Promosi Kandungan Buku di MPH 3 Feb 08 ini

(15 votes, average 5.00 out of 5)

Pengalaman Baru :

Ceramah di Kedai Buku ?

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ceramah 

Pihak penerbit buku "Wang Anda dan Islam" menghubungi saya bagi memaklumkan, sempena buku saya masuk ke pasaran kedai-kedai buku bermula di MPH. Pihak MPH  meminta pihak penerbit untuk mendapatkan kerjasqama pengarang untuk menganjurkan satu sesi penerangan ringkas dalam masa 1 jam berkenaan kandungan buku yang baru dipasarkan.

Majlis ini akan dibuat di MPH Midvalley Mega Mall, Bangsar . Di dalam kedai buku MPH.

Semasa menerima permintaan dari penerbit ini, saya agak keberatan menerimanya, kerana saya agak yakin pastinya saya akan berceramah kepada rak-rak buku dan kerusi kosong sahaja. Terbayang juga, saya bercakap seorang diri seperti penjual ubat yang tidak mendapat sambutan.

Bayangan-bayangan ini menjadikan saya merasakan tidak perlu sesi sebegini untuk saya, terutamanya saya bukannya dikenali, sudah tentu tidak akan menarik minat hadirin untuk mendengar.

Pihak penerbit cuba meyakinkan saya dengan menyebut satu banner akan dibuat oleh pihak kedai buku MPH diluar kedai bagi menarik perhatian orang ramai dan ia juga dibuat pada hari minggu. Jika kehadiran mampu mencecah 20 orang pendengar pun sudah sampai target, kerana  itu adalah jumlah kerusi yang akan disusun. Demikian kata mereka.

Bayangkan, berceramah di kedai buku ?..Saya memang kerap berceramah di pelbagai tempat dan suasana, namun berceramah di kedai buku memang ganjil bagi saya dan belum pernah saya laluinya sebelum ini. Dua puluh kerusi itu mungkin sahaja akan kosong.

Dakwah Di Kedai Buku ?

Setelah berfikir mendalam berkenaan hal ini sambil memikirkan permintaan penerbit. Akhirnya saya bersetuju memenuhi permintaan ini. Malah saya semakin bersemangat pula.

Apa sebabnya?

Hampir terlepas pandang saya sebelum ini.

Bukankah ini satu lagi bentuk sesi dakwah dan peluang berdakwah kepada sesiapa sahaja yang lalu lalang dan bershopping di Mid valley Mega Mall. Bukan mudah untuk mendapat peluang menaikkan nama Allah dan Rasulullah s.a.w di sebuah kedai buku besar di pasaraya sebesar Mid Valley, Mega Mall.

Apa perlu saya bimbangkan jikapun saya berdiri dan bercakap seorang diri,  majlis ilmu pasti akan dihadiri oleh para Malaikat dan berpeluang mendapatkan doa Malaikat serta redha Allah. Biarpun manusia tidak meredhainya dan meraikannya.

Nabi s.a.w bersabda :-

إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ في الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فإذا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إلى حَاجَتِكُمْ

Ertinya : Sesungguhnya Allah telah mewakilkan sekumpulan malaikat berpsuing-pusing di jalanan bagi mencari majlis zikir, apabila mereka berjaya menemui satu kaum (sekumpulan) yang sedang mengingati Allah, mereka akan berteriak (menawarkan doa bagi hadirin) "segera minta apa yang kamu hajatkan"( Riwayat al-Bukhari, no 6045, 2/353)

Menurut Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani (wafat 852 H). Majlis zikir yang disebut di dalam hadis di atas merangkumi seluruh majlis dan sesi yang membawa kepada ingatan kepada Allah samada dengan tasbih, tahmid dan takbir. Bentuk tasbih tahmid dan takbir bukan pula terhad kepada zikir yang meniti di bibir malah termasuk adalah majlis ilmu yang menyedarkan manusia tentang kescuian Allah dan Islam, kebesarannya dan keperluan menuruti hukumnya. (Fath Al-Bari, 11/212)

Saya berharap majlis yang bakal berlangsung di MPH ini tergolong dalam majlis zikir. Berdoa di majlis seperti ini adalah waktu-waktu maqbul berdoa. 

Sudah tentu bukan redha, ramai manusia dan pendengar yang ramai menjadi objektif sebuah ceramah berkaitan Islam. Saya bukan mempromosi novel cinta remaja, tapi saya mempromosi sesuatu ilmu berkaitan hukum dan Islam.

Namun tidak dinafikan jumlah pendengar yang ramai adalah satu bentuk tambahan kelebihan kepada sesiapa yang ingin diberikan Allah, kerana meluasnya mesej yang dapat disampaikannya. Jika ramai yang menurutinya, pastinya bertambah luas pula pahala yang bakal diperolehinya jika ia seorang yang ikhlas dan pandai menyusun info yang disampaikan dengan berkesan. Saya teringat bagaimana seorang pemegang 'gold credit card' mematahkan kadnya di hadapan rakan saya di luar dewan kuliah sebagai tanda insaf, ia dilakukan kesan dari usaha penerangan berkenaan riba, besar dosanya dan kesan kepada dunia serta akhirat yang diberikan dalam slot saya sebelum itu. Hidayah dari Allah, saya hanya berusaha.

Ilmu Kewangan Islam ‘Eksklusif'

Ceramah kewangan Islam biasanya amat berprestij dan dibuat di hotel-hotel lima bintang dengan yuran beratus dan beribu ringgit. Ini menyebabkan ‘target group' mereka semakin mengecil.

Saya kerap kali akan menurunkan sedikit ‘standard' dan ‘prestij' ilmu kewangan Islam yang sering dianggap ‘ekslusif' serta terhad bagi beberapa kerat individu dan kelompok sahaja. Biarlah saya digelar, individu kewangan Islam jenis ‘murah' dan non ekslusif untuk golongan awam, kurang prestij di mata cendiakawan, pengkursus berprestij tinggi dan ahli akademik bertahap angkasa.

Malah ia bertambah buruk apabila persepsi ramai pula menganggap ilmu kewangan dan perbankan ini sukar difahami.

Pagi tadi (23 Jan 08) semasa majlis ceramah kewangan Islam di UKM, Bangi, seorang peserta bertanya

"Ustaz, saya dah ajak ramai rakan untuk hadir tetapi mereka menolak kerana merasakan bab kewangan bukannya bidang mereka, jadi bagaimana mungkin kita dapat menarik minat mereka untuk hadir mendengar bab kewangan Islam sebegini"

Satu soalan yang sukar untuk dijawab dengan satu jawapan muktamad.

Memang benar, menurut pengalaman saya sendiri pun sebelum ini kebiasaannya kursus, ceramah dan seminar Kewangan & Ekonomi Islam yang dianjurkan sukar difahami oleh orang kebanyakkan. Mungkin disebabkan faktor bahasa yang digunakan, kelemahan penceramah untuk memudahkan penerangan atau pendengar yang ‘kosong' ilmu kewangan. Hasilnya ia menjadi majlis tidur dan membosankan.

Namun, saya cuba membawakan bentuk yang mudah samada dalam tulisan buku saya ini mahupun di dalam ceramah. Tidak mudah untuk memudahkan yang susah..

Hasil usaha yang cuba saya gemblengkan untuk memudahkan ilmu berprestij dan eksklusif ini, sambutan dari audien yang hadir amat baik dan menggalakkan walaupun ceramah ini dibuat di kampung dan kawasan hulu, apatah jika dianjurkan di kawasan Bandar. Mereka ibarat baru dilahirkan semula ke alam realiti berkenaan riba dan kewangan semasa. Ada yang panik, terperanjat, susah hati, bimbang dan macam-macam lagi, termasuk juga yang meyalahkan diri kerana tidak punyai ilmu dalam hal ini dari awal.

Justeru tidak wajar saya atau kita merasa dukacita, malu dan sebagainya jikalau saya berceramah di hadapan beberapa orang di MPH ini kelak. Namun mungkin sebagai penceramah, kita akan merasa sedikit keletihan kerana perlu mengulang di banyak tempat disebabkan pendengar yang tidak ramai.

Info Program

Apapun, jika anda punyai masa kosong dan punyai soalan yang ringkas dan perlukan jawapan dari saya, dipersilalkanlah hadir ye. Info majlis seperti berikut :-

Tarikh   : 3 Februari 2008 (Ahad)

Masa     : 2 - 3 petang

Tempat : MPH Bookstores,

Unit JA1, Ground Floor,
Mid Valley Megamall, Mid Valley City,
58000 Kuala Lumpur

Jumpa di sana....InshaAllah.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

23 Jan 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites