(22 votes, average 4.68 out of 5)

Tarikh Sohih Lahir & Wafat

Nabi Muhammad SAW

Soalan

Saya mendapat pelbagai tarikh berkenaan dengan lahir dan wafatnya baginda nabi saw. Menurut ustaz, bilakah tarikh lahir dan wafat nabi SAW berdasarkan riwayat yang paling tepat ?

Soalan melalui system sms 33221

Jawapan

Menurut kemampuan, ilmu dan rujukan yang saya ada, Baginda SAW lahir pada hari Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) dan berdasarkan riwayat yang terkuat, ia adalah dalam tahun Gajah  ( Al-Hakim dengan sanad yang terdapat unsur 'tadlis' pada Abi Ishak tetapi terdapat dua riwayat yang saling menguat antara satu sama lain sehingga naik ke taraf hasan Lighayrihi ; As-Sirah An-Nabawiyyah As-Sohihah, Dr Akram, 1/96)

Malah bukti-bukti sejarah yang disulami dengan pelbagai riwayat-riwayat juga membuktikan baginda lahir dalam tahun Gajah.

Para ulama telah berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat lahirnya baginda SAW. Ibn Ishak menyatakannya pada 12 Rabiul Awwal (Sirah Ibn Hisham, 1/171 , tanpa sanad). Bagaimanapun, ini adalah pendapat yang paling kuat menurut Prof. Dr Akram Dhiya Al-'Umari.

Wafat

Menurut Imam Ibn Hajar, tarikh wafatnya Baginda SAW pula adalah jatuh pada  hari Isnin, 12 Rabiul Awwal, tatkala baginda berumur 63 tahun. ( Riwayat Al-Bukhari, 8/150). Iaitu setelah baginda geirng selama 10 hari menurut riwayat Sulayman At-Tamimi yang dikeluarkan oleh Al-Bayhaqi dengan sanad Sohih .

Baginda mula mengadu kurang sihat adalah semenjak tahun yang ketujuh selepas pembukaan Khaybar, iaitu selepas memakan sepotong daging kambing yang beracun yang diberikan oleh isteri Sallam Bin Mashkam yang berbangsa Yahudi, walaupun baginda mengeluarkan semula dan tidak menelan daging itu, racunnya masih berjaya memberi kesan. ( Al-Bukhari, 8/131 Fath Al-Bari)

Baginda telah meminta isteri-isteri baginda untuk merawatnya di rumah Aisyah dan anataranya adalah dengan mengusap kesakitan itu dengan tangan baginda kerana keberkatannya dan dibacakan dua Qul. ( Al-Bukhari, 8/141 ; Ahmad, 21/226 )

Wallahu'alam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Julai 2007



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites