Utama arrow Senarai Lengkap Artikel arrow Perbankan arrow Perbankan Islam Mahal & Zalim ?
PDF Print
User Rating: / 98
PoorBest 
 
Written by Administrator, on 25-07-2007 09:04
Views 26111    
Favoured 47

Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

( Artikel ini telah disiar dahulu di bulan februari yang lalu, ia disiar semula kerana masih banyak persoalan berkaitannya)

Saya telah menjelaskan beberapa proses mengawal selia dan mematuhi Shariah di bank-bank Islam di dalam bab yang lepas. Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia ataupun jendala perbankan Islam di bank konvensional yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap proses itu. Justeru itu, menjadi tanggungjawab anggota majlis pengawasan Shariah setiap bank bagi bersikap lebih tegas, proaktif dan bersungguh-sungguh terhadap operasi bank yang diselia mereka.

Masih segar di ingatan saya, pemuda mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang popular didengari.

" Mengapa bank Islam lebih mahal daripada yang riba? "dan saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan seperti itu.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab: "Sebagai contoh. "katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan membiayai perumahan bank Islam jauh lebih tinggi daripada perbankan konvensional, apa pandangan ustaz? "katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali. "Bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu?  "kata saya, "Adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab: "Bank Islam ini mengenakan kadar 7.60% setahun bagi tahun ke- tiga sehingga tiga puluh, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75%, tambahan pula, bank Islam kena bayar RM1050 sebulan, bank konvensional hanya RM850 sahaja" katanya memberi contoh dengan yakin.

Teknik yang Tidak Disedari

Ini antara bentuk kekeliruan yang menjalar kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini.

Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.60% (tahun ke-3 sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar?

Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% sebagai contoh.

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar interest yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6% sehingga 6.75%. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

 

sila fahamkan

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai.

Malah apabila dilihat kepada kadar membiayai yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar membiayai syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

  • a) Kadar mengurus minima (cost of fund ) bank islam itu.
  • b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.
  • c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, walaupun saya menerangkan fakta di atas terdapat orang ramai yang mula menyebut:

Zalim?

"Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional? Kami ingin kamu menjadi lebih murah."

"Bukankah bank Islam ini patutnya 'maqasid' (objektif Shariah) adalah membantu umat Islam, lalu kenapa mahal? " tanya pelajar sarjana IPTA kepada saya.

Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah ketua jabatan fakulti Shariahnya. Lalu saya melihat kepada professor itu dan bertanya.

"Professor, berapakah yuran yang dikenakan apabila saya ingin mengambil PhD dalam bidang Fiqh Islam dan Perbankan Islam."

"Lebih kurang RM13,000" katanya.

"Mengapa begitu tinggi Professor, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.

"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Professor tersebut.

Demikian dapat saya simpulkan hal di perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.

Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, apabila kita mengutuk kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harga yang sama ataupun lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan dan halal.

Jual 2 Kali Ganda Harga Modal Tidak Zalim?

Ada yang merungut dengan mengatakan bahawa bank-bank Islam zalim kerana harga aset yang dijualnya kepada pelanggan adalah dengan 100%  keuntungan nescaya ia haram?.

Jawapan saya, tidak sama sekali, selagi ia diterima oleh harga pasaran. Buktinya adalah dari hadith Nabi SAW :-

أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

Justeru, tindakan bank-bank Islam yang menjual rumah atau asset kepada pelanggan yang dibelinya dengan harga 100 % lebih dari harga asal adalah halal selagi mana pasaran dapat menerimanya.

Kunci Memahami

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini pembaca perlu memahami fakta berikut :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma. Saya yakin, apabila anda menjadi salah seorang daripada pemegang saham utama di bank Islam, adakah anda dengan mudah merelakan keuntungan yang diraih berkurangan semata-mata kerana ingin membantu umat Islam?. Jawabnya, ia tertakluk kepada iman pemegang saham itu. Hasilnya, apabila anda merungut ianya mahal, berusahalah supaya anda menjadi salah seorang pemegang saham dan mampu rendahkan harga bank yang anda miliki. Ini amat terpuji dan yang amat saya galakkan secara peribadi.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetetif.

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

 

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula:

a) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Nabi juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan 'ceilin' harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga. Sebagaimana respon dan jawapan nabi SAW kepada sahabat baginda :

بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال   

Ertinya : Bahkan  Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Ia adalah kerana Nabi tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan. Justeru itu, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran adalah dibenarkan. [1]

b) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami apabila bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

 

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu mendekati bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh bank-bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru itu, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh bank-bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut: RHB ISLAMIC Bank: RM920 ribu, HSBC Amanah: RM49 ribu, Maybank "Islamic windows": RM1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": RM55 ribu, Hong Leong Islamic: RM45 ribu. Merujuk kepada laporan setiap bank berkenaan bagi tahun kewangan 2005. Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?

c) Keuntungan baik yang diperolehi bank-bank Islam juga membolehkan bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di perbankan konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan fikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar membiayai sahaja.

d) Adakah anda menyedari? Apabila bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan dalam Akaun Simpanan Wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

 

Adakah fakta ini mencukupi? Saya akan memberi jawapan memahamkan rakyat Malaysia.

 

1)     Nilai yang halal adalah tidak ternilai.

Seorang usahawan Malaysia memberitahu saya pengalamannya di London, harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal daripada ayam yang tidak disembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Bagaimana apabila individu mengatakan produk bank Islam lebih mahal. Majlis Penasihat Shariah masing-masing mengesahkan produk yang halal berbanding produk-produk yang tidak disahkan Shariah.

 

Fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini adalah orang Islam mengambil berat makanan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan riba diharamkan. Ia adalah jauh lebih berat daripada memakan ayam bangkai ataupun khinzir.

Allah SWT berfirman :-

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )  

Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingattkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram. 

Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling disibukkan adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam mindanya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit lebih mahal merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Ini lah bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti kepada alam barzakh dan akhiratnya. Padahal, tiada yang lebih zalim dari bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba, semurah manapun mereka. Kerana ia tetapi haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT.

 

2)     Kos tambahan bagi khidmat profesional pengesahan Shariah.

Apabila dilihat daripada perspektif perniagaan dan logik pula. Pengesahan Shariah amat diperlukan dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan bank Islam. Justeru itu, keadaan ini dianggap sebagai satu proses menambah piawaian profesional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang ditawarkan bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses ‘Shariah Screening', yang lebih unik dan berkualti mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

 

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.

Ini ternyata daripada statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 melaporkan aset semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM111.8 billion dan ia hanya merupakan 11.6% daripada keseluruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004.

 

Jumlah Keseluruhan Asset Bank di Malaysia Menurut Ranking Pada 30 Jun 06

Maybank   : RM 224 Billion

CIMB Group : RM 154 Billion

Public Bank : RM 135 Billion

RHB Capital : RM 96 Billion

AMMB Holdings : RM 72 Billion

Hong Leong : RM 61 Billion

EON Capital : RM 38 Billion

Affin Holdings : RM 35 Billion

Bank Islam Malaysia Berhad : RM 18 Billion 

Sumber : NST, 26 Nov 06 

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang ditawarkan mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di kedai runcit dibandingkan dengan harga di hypermarket.

 

Individu memahami bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM150 billion (sebagai contoh), apabila ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) daripada peminjamnya berjumlah RM150 juta, kedudukan bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya bank Islam dengan asetnya berjumlah RM8 billion (seperti RHB Islamic Bank pada tahun 2006), apabila ia mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sama (RM150 juta), sudah tentu ia akan memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

 

Kesimpulannya, bank-bank Islam serta kaunter / jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20% aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Apabila hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal daripada institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam.

Saya secara peribadi juga amat mengharapkan  agar kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Bank-bank islam boleh lebih murah dari sekarang, bagaimanapun saya tidak dapat menyembunyikan syukur saya, kewujudan mereka ini pun adalah satu nilai yang besar buat umat Islam kerana dengannya dapat kita mengelakkan pembelian rumah dan lain-lain dari terjebak dengan Riba.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Tulisan asal disiarkan pada 2006

Diedit pada 25 Julai 2007

 


 

[1]    Mahanij Ijtihad Fi Istinbad bi rakyi, Dr Fathi Ad-Durayni, ketika menghuraikan isu tas'ir iaitu penetapan harga oleh kerajaan

Last update: 11-06-2008 15:24

Published in : Soal Jawab, Perbankan
Quote this article in website Favoured Print Send to friend Related articles Save this to del.icio.us

Users' Comments (10) RSS feed comment
Posted by nazirul mubin, on 05-07-2010 21:14, IP 218.111.18.55, Guest
1. soalan
assalamualaikum, 
 
saya ingin bertanya,apa produk-produk yg ditawarkan oleh bank islam?
 
» Reply to this comment...

Posted by Salina, on 26-04-2010 04:54, IP 62.31.192.54, Guest
2. pinjaman
Salam Ustaz,  
Saya baharu sahaja mengikuti kuliah ustaz di kursus sistem2 islam di Birmingham dan mempunyai persoalan yang sama, yang telah pun dijawab dengan panjang lebar didalam artikel ini. Tetapi bukankah riba diharamkan dalam Islam bertujuan untuk membantu orang2 islam yang susah supaya mereka dapat meminjam tanpa membayar dengan harga yang lebih tinggi daripada apa yang dipinjam.  
 
Ustaz ada mengatakan yang orang yang betul2 susah tidak akan mampu untuk ke bank dan hanya orang2 yang agak senang yang sering diluluskan pinjaman. Adakah ini bermakna untuk orang2 terdesak bank bukanlah tempat dituju kerana ia hanyalah entiti business yang bermotifkan profit. Saya juga mushkil mengapa perbankan islam perlu mengikut harga pasaran kerana harga pasaran adalah berlandakan sistem kapitalist yang memaksimakan profit tetapi sistem kewangan islam sepatutnya memaksimakan keuntungan yang berpatutan. 
 
 
UZAR : bank di zaman ini adalah syarikat. sasaran mereka adalah keuntungan tetapi cara halal. Bila saya sebut syarikat kena faham ia bukan badan kebajikan. 
 
Perbankan Islam adalah seperti syarikat2 construction Islam (bina benda halal aja), restaurant Islam (jual makana halal sahaja). Semuanya sasarkan keuntungan ikut harga pasaran.  
 
Dalam sistem ekonomi Islam, orang susah dan memerlukan tempat mereka rujuk adalah Baitul Mal ( zaman sekarang mungkin lembaga zakat ambil alih fungsinya) yang dimiliki kerajaan, ia bukan syarikat. 
 
 
» Reply to this comment...

Posted by moib, on 15-06-2009 16:45, IP 219.94.89.9, Guest
3. BLR vs Fixed Interest
Aslm Ustaz, 
Saya ingin kepastian bagaimanakah bank Islam menetapkan kadar interest 7.6%. Apakah kriteria/judgement bhw kadar itu munasabah...drpd trend BLR,secara purata perbandingan interest adalah lebih krg...Mengelak dikenakan interest tinggi adalah suatu yg dituntut dlm Islam?
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by Wan Hafizan, on 29-05-2009 19:44, IP 123.136.101.197, Guest
4. ...
Salam Ustaz, 
membaca artikel ini sahaja membuatkan saya terfikir tahap mentaliti sesentengah kita... apa yg sy maksudkan; kebanyakan kita menganggap bank2 islam ini (atau org berniaga secara keseluruhannya) sbg badan kebajikan... lalu mengutuk bank2 islam ini kononnya sbg zalim & menindas pelanggan apabila caj yg dikenakan adalah kononnya tinggi... bukan itu saja, secara umumnya mereka mengutuk mereka yg menjual dgn harga mahal, hingga mengatakan keuntungan itu adalah haram... 
 
prinsip umum berniaga; penjual berhak menetapkan harga, tetapi pembeli berhak menentukan sama ada hendak membeli @ tidak... maaf jika ini agak keras; jika anda (mereka yg berfikiran begini) tidak suka dgn perbankan islam sbb kononnya menindas, anda masih punya pilihan menggunakan perbankan konvensional... tetapi akibatnya anda perlu fikir & tanggung sendiri kelak & jangan sekali-kali menyalahkan sesiapa...
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by YaNa99, on 21-05-2009 22:21, IP 118.100.78.49, Guest
5. kadar bunga@interest yg tetap
setelah membaca artikel ini, saya ingin bertanya..  
adakah pinjaman balik yg dibayar kepada bank dalam kadar yang tetap setiap bulan (contoh: awal2 lagi sudah ditetapkan kadar interest adalah 3.8% selama 9 tahun untuk pinjaman utk membeli kereta) adalah dianggap sebagai sistem perbankan islam?? 
 
UZAR : kadar tetap atau tidak, bukan penentu itu riba atau bukan..yang penting adalah aqad dan syarat2 bagi aqad sama ada dijaga atau tidak. pemantau syariah dibuat atau tidak.
 
» Reply to this comment...

Posted by Hashim, on 17-09-2008 16:11, IP 81.79.146.30, Guest
6. ...
Assalamualaikum Ustaz...Untuk makluman ustaz, saya baru sahaja membuat pinjaman peribadi di Public Bank dengan jumlah yang boleh dikatakan besar..Namun demikian, saya betul2 tidak tahu ttg strategi/helah setiap bank yang mengenakan kadar interest yang rendah atau pun tinngi.. dan utk makluman ustaz juga saya baru sahaja melayari web site ini secara tidak sengaja, namun saya amat bersyukur dengan 'penemuan' yang tidak disangka ini....Persoalan saya di sini, bagaimana dengan status pinjaman yang telah diluluskan dan akan saya gunakan kelak..Tolong jelaskan saya ustaz
 
» Reply to this comment...

Posted by nuR, on 15-06-2008 07:22, IP 60.52.102.153, Guest
7. ...
salam.... 
 
rahmat saya katakan apabila "terjebak" 
dengan website ustaz secara tidak langsung apabila saya online untuk mengetahui tentang peraduan XXXXXM... 
 
sebagai student, info yg ada dalam nih banyak yang membantu... boleh dijadikan rujukan untuk assigment... 
 
saya harap akan datang ramai student yg akan turut sama terjebak dan mendalami ilmu bersama selain membincangkan mengenai isu semasa. 
 
saya akan syorkan laman web nih kepada lecturer saya untuk student beliau yg amik subjek beliau next sem... 
 
memang sangat berguna... 
terima kasih.. 
 
saya pun jarang tengok tv bila di kampus..  
so, bila bukak website nih dah jadi mcm revision site pulak... :grin  
 
apa pun, terima kasih byk usaha ustaz memaintance website ni
 
» Reply to this comment...

Posted by mohd dzulcarnaen Musa (dzulcar, on 11-06-2008 15:18, IP 211.25.51.205, Guest
8. ...
Assalamualikum, 
 
Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y. Bhg. Ustaz diatas penerangan berhubung perbankan islam. Ini merupakan kali pertama saya layari blog Y. Bhg. Usataz. Secara amnya saya mula memahami mengapa perbankan islam kadar yang dikenankan agak tinggi jika ( MESEJ ANDA DIPADAMKAN KERANA IA TELAH BERULANG KALI DIJAWAB DI WEB INI DAN JUGA BUKU UZAR. ANDA BOLEH MERUJUK DI ARTIKEL BERKAITAN - ADMIN)
 
» Reply to this comment...

Posted by sati, on 01-10-2007 10:49, IP 58.139.249.66, Guest
9. ...
( admin : soalan anda telah dipadamakan kerana ia soalan berulang dan telah di jawab di web ini, silalah mencari jawapannya di ruangan soal jawab pilihan) 
 
» Reply to this comment...

Posted by Ibnu Hassim, on 04-09-2007 09:47, IP 58.139.249.66, Guest
10. ...
Alhamdullillah dan tahniah atas usaha YBhg Ustaz bagi membantu masyarakat menilai dan membuat keputusan yang adil.  
 
Secara umum, tidak dinafikan sbg pembeli, kita akan mencari barangan/perkhidmatan yang termurah bagi memenuhi kehendak kita.  
 
Dalam pasaran yang bebas, alternatif dicari bagi tujuan ini. Sebagai pembeli, saya hanya ingin menyentuh sedikit sahaja kekurangan yang saya rasa perlu diberi perhatian oleh bank2 Islam iaitu dari segi mendidik masyarakat khususnya dengan mendidik pegawai2 mereka agar fasih, jelas dan mampu menjelaskan kepada pelanggan dengan mengadakan kursus2 berterusan. Kekurangan jelas apabila byk kali saya mengunjungi bank2 Islam dan mendapati ini berlaku. Mungkin tindakan bank Islam mendapatkan kakitangan dari bank2 konvensional bagi menjimatkan kos latihan perbankan TETAPI "pengisian" kefahaman produk dan amali adalah amat penting sebagaimana telah disarankan Ustaz untuk membolehkan masyarakat sedar dan bijak menilai. Kalau kakitangan bank2 Islam sendiri tidak jelas dan berkeupayaan serta berkeyakinan terhadap produk, masyarakat umum akan lebih terkeliru.  
 
Pernah saya ke kaunter bank konvensional yang mempunyai perbankan Islam bagi tujuan membeli insuran kenderaan (takaful). Jawapan yang saya tanya terhadap perbezaan antara insuran konvensional dan takaful adalah "sama saja..." yang mana menimbulkan rasa mudahnya kakitangan menjawab soalan2 penting masyarakat dalam perkara2 seumpama ini.  
 
Bagi yang lemah iman dan keliru akan berpendapat "sama aja" spt yg dijelaskan. Yg kuat iman tetapi krg ilmu mengenai perkara ini akan terus memilih yg Islam sebagai jalan keselamatan. 
 
Pernah suatu ketika apabila seorg rakan membandingkan kaedah konvensional dan Islam dgn hanya menyatakan perbezaan wujudnya aqad shj. seolah-olah memperkecilkan aqad. Saya tidak arif tetapi berpendapat aqad amat besar maknanya.  
 
Wanita yg bukan muhrim akan halal bagi kita juga kerana adanya aqad dan memberi kesan yg besar kepada kehidupan semasa dan akan datang(akhirat). 
 
Secara kesimpulan, saya masih berpendapat, Bank Negara secara umum dan bank2 Islam secara khusus patut mewajibkan semua kakitangan mengikuti kursus2 secara berterusan bagi memahirkan kefahaman kakitangan tentang perjalanan bank2 Islam khususnya yang bertemu dengan masyarakat di kaunter. Hanya ambil bekerja mereka yang berminat dan mendalami pengamalan bank2 Islam dan bukan mereka yang masih mengekalkan "status quo" mereka tanpa berubah kerana malas dan rasa tak penting krn mencari makan semata2.  
 
Peranan media secara berterusan dan kewujudan subjek khusus di peringkat IPTA/IPTS atau seawal peringkat menengah juga akan mendidik masyarakat berfikir lebih awal. 
 
Bagi yang malas untuk menkaji, saya cadangkan pilihlah yang Islam tanpa prasangka untuk jalan mudah. Contoh yang pernah saya dengar adalah seperti bila kita sakit dan berjumpa doktor. Doktor akan tanya tentang sakit2 yang kita alami dan berdasarkan tanda2 sakit, doktor akan memberi ubat2 yg sesuai mengikut jadual penggunaan. Jika kita kata yg kita hanya makan ubat jika kita tahu sebab2 kenapa kita diberi ubat sedemikian, doktor akan nasihatkan kita lapangkan masa dan belajar kedoktoran bagi memahami tindakannya. Sakit kita akan semakin melarat dan jln mudah adalah makan shj ubat sesuai dgn nasihat doktor dan kita akan sihat utk menjalani kehidupan. Tidak semua kita mahir semua bidang dan kecerdasan serta kebolehan kita memahami tak sama. 
 
Wallah hu'alam. 
 
Kota Bharu
 
» Reply to this comment...
» See all 3 replie(s)

Add your comment



mXcomment 1.0.9 © 2007-2010 - visualclinic.fr
License Creative Commons - Some rights reserved

foot

Powered by: Al-Jaroom