Utama arrow Senarai Lengkap Artikel arrow Politik Islam & Dakwah arrow Mogok Lapar & Benarkah Matlamat Tidak Halalkan Cara ?
PDF Print
User Rating: / 3
PoorBest 
 
Written by Administrator, on 02-06-2009 08:30
Views 6810    
Favoured 30

Mogok Lapar & Benarkah Matlamat

Tidak Halalkan Cara ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ways.jpg

 

Terlalu kerap kita mendengar ungkapan "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Terdapat ramai juga pihak yang menggunakannya tetapi tidak mengetahui sumbernya, tidak pula mengetahui bahawa kaedah itu juga ada limitasinya. Sebenarnya bukan semua matlamat tidak menghalalkan cara dan bukan semua matlamat boleh menghalalkan cara.  Saya menulis atas dasar akademik dan berharap pembaca boleh membaca dengan teliti, jangan menyalahgunakannya selepas ini, jangan pula terus keliru dengannya.

Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang lebar akan asal usul kaedah ini. Tumpuan saya adalah kepada membetulkan kekeliruan faham banyak pihak dalam penggunaannya sahaja.

KAEDAH ATAU TIDAK ?

Ada yang menyatakan ia adalah sebuah kaedah di dalam Islam, atau keadah Fiqh, dan pelbagai lagi, hakikatnya phrasa atau teori atau apa sahaja yang ingin anda namakan ia, iaitu :-

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Ertinya : " Matlamat tidak menghalalkan cara"

Ia sebenarnya bukanlah sebuah kaedah di dalam Islam atau Fiqh Islam.

Perlu difahami bahawa untuk digelar sebuah ‘kaedah' sama ada Usuliyyah atau Fiqhiyyah di dalam Islam ia mestilah bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis yang pelbagai dan berulang-ulang maksud dan ertinya, hingga boleh dikenalpasti ia adalah adalah satu ‘kaedah teras' dalam hukum hakam Fiqh. Untuk memahaminya, seperti jika terdapat sebuah lorong jalan raya di lebuh raya yang menurut statistiknya amat kerap berlaku kemalangan, hasilnya lorong tersebut akan diletakkan sebuah papan tanda bergambar tengkorak, ia tatakala itu ia adalah sebagai sebuah ‘kaedah', pemberitahuan kepada semua pengguna jalanraya, bahawa lorong ini merbahaya dan kawasan kemalangan.

MAKA APA SUMBER DAN ASAL USUL TEORI INI?

Ringkasnya, phrasa ini mempunyai sedikit kaitan dengan beberapa teori di dalam pengajian Usul Fiqh seperti :-

"sad az-zari'ah"

Ertinya : Penutupan pintu (keburukan)

Ye, sad az-zarai'e adalah sebuah teori yang popular di dalam bidang Usul Fiqh Islam. Ia memberikan indikasi, bagi menutup pintu-pintu dosa dan haram dari berlaku, maka semua jalan-jalan yang berpotensi untuk menghala dan mendorong kepadanya turut mengambil hukum haramnya. Imam Al-Alusi pernah menyebut sebuah kata-kata kesimpulan bagi keadaan ini iaitu :-

أن للوسائل حكم المقاصد

Ertinya : Bagi hukum sesuatu jalan (cara), adalah mengikuti hukum objektif atau maqasidnya[1]

Namun melihat dan mengamati apa yang disebut oleh Imam al-Alusi ini akan membawa kefahaman seolah-olah ‘matlamat menghalalkan cara', dek kerana hukum jalan adalah mengikuti objektif, justeru jika objektifnya baik, sudah tentu jalannya akan turut diterima dan menjadi baik walaupun ia adalah cara yang haram, begitukah ?

Di sini pembaca perlu berhati-hati, dengan sebuah lagi phrasa berkaitan iaitu ‘Matlamat Menghalalkan Cara', teori ini menurut sumbernya dipopularkan oleh Niccolò Machiavelli di dalam buku tulisannya bertajuk ‘The Prince'.

Jika dirujuk kepada konsep yang digagaskan oleh Machiavelli  ini, sudah tentunya Islam menolak ideanya kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, ia akan berubah menjadi mulia dan diterima.

HABIS BAGAIMANA ?

Sebenarnya, Islam menolak sebahagian kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara' dan menerima pula sebahagian bentuknya.

Dalam masa yang sama, Islam juga, menerima idea "Matlamat TIDAK Menghalalkan Cara" dan menolak sebahagian dari bentuknya.

Adakah anda sudah keliru?. Untuk lebih jelas, berikut adalah penjelasan lanjutnya.

Apa yang penting, sesudah anda membaca tulisan ini, anda cuma perlu tahu apa bentuk-bentuk yang boleh diterima dan ditolak oleh Islam. Kemudian boleh anda mengguna pakai kedua-dua phrasa yang popular ini, tanpa menelitinya seseorang akan tergolong di dalam kumpulan yang tidak memahami cara penggunaan dan seterusnya tersalah dalam kefahaman dan aplikasinya.

BAGAIMANA DAN BILA ISLAM MENGHALALKAN CARA ?

      Dalam keadaan tertentu Islam menghalalkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat yang lebih utama dan besar kepentingannya berbanding cara yang diambil. Bidang yang jatuh dalam kumpulan cara boleh menjadi harus disebabkan matlamat ini HANYA TERGOLONG dalam bidang muamalat harta, jenayah dan keluarga, kerana kebanyakan dari hukuman dalam bidang ini bergantung kepada 'illah atau penentuan sebab utama dan matlamat serta objektif. Adapun, bidang ibadah tidaklah termasuk kerana ia bersifat ta'abudi

      Ringkasan hujjah dan dalil bagi keadaan ini adalah :-

      1. Firman Allah : -

: فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya : Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Al-Baqarah : 173)

Ayat ini jelas menunjukkan bagi mencapai matlamat ‘TERUS HIDUP' iaitu maslahat nyawa, dibenarkan bagi seseorang Islam itu untuk melakukan satu cara yang tidak halal, iaitu memakan makanan yang haram, bagi mencapai matlamatnya iaitu terus hidup. Ini kerana kepentingan nyawa adalah lebih besar berbanding memakan yang haram, justeru dalam keadaan TERPAKSA sahaja, cara yang asalnya HARAM itu menjadi harus buat sementara waktu.

        2.    Firman Allah swt :-

من كفر بالله من بعد إيمانه إلا من أكره وقلبه مطمئن بالإيمان ولكن من شرح بالكفر صدرا

Ertinya : Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. ( An-Nahl : 106 )

Ayat ini juga menunjukkan keterpaksaan dalam menjaga atlamat iaitu nyawa, membolehkan seseorang Islam mengucapkan perkataan kafir, semata-mata untuk mencapai matlamat yang lebih utama, iaitu dengan syarat ia dalam keadaan terpaksa dan hatinya tetap beriman.

        3.    Hadis Nabawi

ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس ويقول خيراً وينمي خيراً

Ertinya : Tiadalah dikira sebagai pembohong, mereka yang memperdamaikan di antara manusia, dan dia berkata yang baik dan berharap hasil yang baik juga. ( Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini membawakan kata-kata Ibn Shihab yang mengatakan diberikan keringanan untuk untuk berbohong di dalam tiga keadaan iaitu :-

  • Peperangan
  • Memperdamai antara manusia yang bertelagah
  • Suami kepada isteri dan isteri kepada suami (untuk menuju kepada yang baik sahaja dan tidak sampai  memudaratkan keduanya).

Namun Imam At-Tabari tidak bersetuju dan berpendapat yang dibenarkan bukanlah berbihong tetapi adalah tawriah iaitu menyembunyikan hal yang benar dengan cara-cara bijaksana seperti kata-kata yang membawa banyak maksud. [2] Apa yang jelas dari huraian para ulasa silam, mereka sepakat keharusan menipu dalam keadaan terpaksa dan dharurat, namun mereka berbeza tafsiran dalam keadaan biasa demi mencapai matlamat yang halal dan baik. [3]

       4.    Keadah Umum Fiqh

الضرورات تبيح المحظورات

Ertinya : keadaan terdesak (dharurat) boleh mengharuskan yang haram.

Ini adalah kaedah yang sangat popular dan diketahui umum, walaupun ia hanya relevan di dalam hal terdesak, ia masih satu keadah yang memberikan indikasi matlamat boleh menghalalkan cara dalam sesetengah bentuk dan keadaan

 


MOGOK LAPAR, FATWA POLITIK DAN KEWANGAN ?

Matlamat akan boleh menghalalkan cara apabila:-

1.   MATLAMAT itu adalah terlalu besar sehingga mencapai tahap terdesak. Ia juga digelar kehausan melalui peruntukan rukhshah. Tatkala itu mana-mana CARA yang tidak memberi mudarat kepada orang lain adalah dibenarkan.

2.   MATLAMAT : bersifat kebaikan dan demi kepentingan umum yang ternyata melalui indikasi para ulama yang soleh lagi taqwa (bukan ulama dunia lagi jahat). Tidak pula berada di dalam keadaan terdesak (dharurat).

CARA : TIDAK PUTUS berkenaan pengharamannya. Sama ada disebabkan ijtihad berbeza dalam sesuatu perkara. Ia juga biasanya hanya melibatkan hal-hal muamalat ( urusan manusia dengan manusia samada dalam bab kewangan, jenayah dan rumahtangga)

Hanya ‘cara' yang diputuskan secara qatie, seperti minum atau industri arak, zina, perjudian, industri riba, pembunuhan nyawa, murtad dan yang sepertinya tidak akan boleh menjadi harus walau ada yang mungkin berhujjah ia untuk kepentingan atau maslahat umum, kerana tatkala itu hujjahnya adalah bohong semata-mata.

Sebagai contoh cara-cara yang tergolong dalam kelompok boleh menjadi cara yang dibenarkan disebabkan besarnya manfaat dan masalahat pada matlamatnya adalah:

  •  Bab Kewangan : Malaysia mengambil fatwa yang lebih ringan di dalam hal jualan hutang secara diskaun (discounted debt trading), atau jualan al-Inah yang mana kedua-dua jenis jualan ini tidak dipersetujui oleh majoriti ulama di peringkat antarabangsa. Namun dibenarkan oleh majority ulama Fiqh Malaysia atas pelbagai hujjah, antaranya (bukan ini sahaja, hanya antara lain sahaja!) untuk memberikan lonjakan awal perkembangan kepada industri kewangan Islam, kerana cara-cara tersebut lebih mudah dan customer friendly. Justeru tidak boleh untuk kita mengatakan, industri perbankan Islam di Malaysia menghalalkan ‘cara' iaitu merujuk kepada kedua-dua jenis jualan tadi untuk mencapai ‘matlamat' yang murni (iaitu kebangkitan industri kewangan halal di Malaysia). INi kerana kedua-dua cara tadi tidak putus pengharamannya.

  • Bab Politik : Demikian juga di dalam bab pendekatan politik, seperti ‘mogok lapar' yang heboh baru-baru ini, jika ia merujuk kepada mogok lapar yang sehingga boleh ‘membunuh diri', sudah tentu ia tergolong dalam 'cara' yang dilarang. Namun sekiranya ia adalah satu jenis mogok lapar versi Malaysia iaitu berpuasa sunat bagi yang Islam, dan boleh minum setiap beberapa jam bagi bukan Islam, tentulah ia tidak tergolong dalam ‘cara yang putus hukum haramnya'. Kerana ia tidak memudarat malah tidak membunuh diri. Telah disebutkan sebelum ini, tindakan dalam bidang politik banyak bergantung kepada motif dan objektifnya, selagi caranya tidak secara tepat menyalahi hukum, ia adalah tergolong dalam hal yang mubah (harus). Pun begitu, tidaklah beerti saya menyokong tindakan mogok lapar itu, saya hanya memberitahu penilaian ringkas hukumnya sama ada ia tergolong di dalam 'cara' yang harus atau tidak sahaja.

Perlu diingat, bab politik adalah satu ilmu dan displin yang terlalu banyak flexibiliti di dalam Islam namun ia diikat oleh pelbagai restriction (dhawabid) juga. Hasilnya TIDAKLAH TEPAT untuk dianggap sesuatu pihak atau kumpulan telah menggadai prinsip atau dasar selagi mana tiada tindakan haram secara putus dilakukan.

Sejarah Islam yang silam telah membuktikan kepada kita bagaimana pemerintah Islam mempunyai mandat untuk mengubah ‘cara' tertentu atas target mencapai matlamat yang diijtihadkan lebih besar manfaat buat umat. Sebagai contoh tindakan khalifah Umar al-Khattab r.a untuk tidak menggagihkan tanah Iraq kepada pejuang-pejuang Islam yang berjuang (atas nama ghanimah sepatutnya). Sebaliknya Umar r.a membiarkan tanah itu kekal kepada pemiliknya dan dikenakan cukai kharraj dan jizyah secara berterusan atas dengan maslahat yang lebih besar untuk umat Islam. Sedangkan tindakannya kelihatan secara zahirnya seolah-olah bercanggah dengan peruntukan Al-Quran dan amalan Nabi s.a.w, tindakan beliau juga dibantah oleh Bilal bin Rabah dan Abd rahman Bin Auf, namun Umar yang berhujjah dengan ayat surah al-Hasyr ayat keenam sebagai justifikasi ijtihad dan keputusannya, beliau juga mendapat sokongan majoriti sahabat termasuk Uthman Affan r.a dan Ali k.w.[1]

Justeru itu, di dalam urusan muamalat (urusan manusia dengan manusia) sama ada dari aspek kewangan, politik, jenayah dan rumah tangga, masih terdapat campur tangan isu maslahat dan mafsadah, pertimbangan keduanya adalah terpakai (valid) bagi menentukan sesebuah tindakan itu dibenarkan atau ditolak dalam mencapai sesebuah matlamat yang digariskan. 

  

3.    MATLAMAT bersifat kebaikan dan kepentingan awam, manakala

CARA : Disepakati haram namun mudaratnya jauh lebih kecil berbanding manfaat yang amat besar. Seperti melibatkan diri dalam industri ceramah di televisyen, terpaksa bergaul dengan melihat aurat petugas-petugas wanita di set penggambaran. Atau dijemput menjadi penulis artikel tamu berkaitan Islam di sebuah majalah yang bercampur halal dan haram.

Namun demikian, penentuan besar atau kecil, ini sekali lagi amat dibimbangi ditentukan sewenang-wenangnya oleh individu tidak berkelayakan. Justeru, pengesahan ulama atau kumpulan ulama yang bertaqwa lagi berkelayakan adalah perlu demi mengelakkan hukum dipermainkan.

AKHIRNYA

Sekarang, jika masih ingin berhujjah dengan matlamat tidak menghalalkan cara dalam apa jua isu, fahamilah terlebih dahulu bentuk-bentuk yang dibenar dan tidak yang diperuntukan oleh Islam, melalui Al-Quran, Al-Hadis dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin.

Dan jangan lagi sesiapa sahaja dengan mudah, menolak atau mengutuk secara sewenangnya atau pukul rata phrasa sama ada teori ‘matlamat menghalalkan cara' atau ‘matlamat tidak menghalalkan cara'

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Jun 2009



[1] Ruh al-Ma'ani, 28/84 ; Mirqat al-Mafatih, 4/238

[2] Syarah Sohih Muslim, di hadis no 2605

[3] Rujuk Fath Al-Bari, Kitab al-Sulh, hadis 2546

[4] Rujuk kisah lengkap ini dalam Al-Kharraj, abu Yusuf, halaman 26-29

Last update: 02-06-2009 20:00

Published in : Soal Jawab, Politik Islam & Dakwah
Quote this article in website Favoured Print Send to friend Related articles Save this to del.icio.us

Users' Comments (16) RSS feed comment
Posted by noor, on 22-12-2009 01:23, IP 60.51.94.148, Guest
1. Mogok lapar
Assalamualaikum ustaz, 
 
Tahniah atas artikel menarik ustaz. Saya ingin bertanya dengan lebih lanjut mengenai hukum mogok lapar seperti yang berikut: 
 
1. Dalam keadaan mogok lapar yang diharuskan oleh(kerana tiada cara lain untuk menentang kezaliman, kecuali melalui mogok lapar) adakah ia boleh diteruskan sehingga ia membawa kepada kematian/maut? 
 
2. Apakah hukum mogok lapar yang dilakukan oleh- 
(a) orang gila (yang tidak faham kesan perbuatan); 
(b) orang yang mengalami tekanan perasaan tetapi tidak sampai tahap gila; 
(c) orang yang sakit tenat/kronik (kerana rasa kecewa dan merasakan putus asa atas sakit yang dialami lalu mogok  
lapar  
 
3. Apakah hukum bagi perbuatan memaksa seseorang yang sedang mogok lapar untuk makan atau beri bantuan perubatan yang bersifat "artificial feeding" / paksa makan dengan menyalurkan ubatan sebagai gantian kepada makanan?  
 
4. Dalam melakukan tindakan untuk memaksa orang yang sedang mogok lapar makan, kadang-kadang tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan kepada orang yang sedang mogok lapar tersebut (mungkin disebabkan tindakan yang melawan, menghalang dsb). Apakan hukum orang yang menyebabkan kecedaraan tersebut dan apakah dalil sandaran? 
 
Saya harap ustaz sudi memberi penjelasan berhubung soalan-soalan di atas.
 
» Reply to this comment...

Posted by Eeza, on 12-08-2009 10:46, IP 211.25.185.135, Guest
2. Komen on senaman Poco2
Assalamualaikum. 
 
Mungkin ada kaitan dgn topik dan mungkin tidak. Harap ustaz dapat ulas serba sedikit. 
Kebelakangan ini, di mana2 tarian poco2 digunakan sebagai salah satu cara senaman. Bagi saya, so long gerak tari nya tidak 'over' yang lebih kepada pergerakan kaki dan mungkin sedikit pergerakan tgn, tidaklah menjadi isu utk muslimat,apatah lagi jika aktiviti hanya di kalangan muslimat. Tetapi baru2 ini saya terima satu satu email berkenaan poco2 walaupun tiada dinyatakan sumber2 yg sah. Saya cuba cari di internet tetapi tiada jumpa yg berkaitan. Harap ustaz dapat komen. Email adalah seperti di bawah: 
 
Assalammualaikum. 
 
Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. 
Saya ingin berkongsi dgn rakan2 semua tantang tarian pocoh2 yang 
sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat,umumnya  
masyarakat kita yg beragama islam terutama suri2 rumah dan badan2  
kerajaan ketika manghadiri kursus. 
 
Sebenarnya tarian pocoh2 ini berasal dari Filipina bukannya dari  
Indon.Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka 
menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka.Lihatlah sahaja  
bagaimana pergerakannya, yg membentuk salib. 
 
Mungkin kita x perasan 
kerana kita suka mengikut2 sesuatu yg baru tanpa usul periksa. 
Inilah cara musuh2 islam mengenakan kita sedangkan kita tahu 
apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama  
maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga 
yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama hindu.cuma  
tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. 
Marilah kita sama2 fikirkan.
 
» Reply to this comment...

Posted by falah, on 12-06-2009 22:01, IP 115.134.188.222, Guest
3. Assalamualaikum
pendapat saya berdasarkan penilaian saya melihat perkembangan politik semasa. pertama, tujuan mogok lapar dan puasa sunat: jelas sekali tujuannya bagi saya untuk memujuk tuanku sultan perak untuk membubarkan DUN. maka saya melihat tujuan ini harus saya sokong berdasarkan perjuangan parti PAS yg secara zahiriah ingin memperjuangkan dan menegakkan Islam di muka bumi Malaysia. 
 
Bukankah puasa itu tadi kalau dikira niatnya kerana ALLAH? namun yg pastinya hanya ALLAH yg maha mengetahui. 
 
Lihatlah sekeliling, dimana saja puak yang ingin perjuangkan Islam, mereka ditekan dan ditindas, di palestin, iraq, pakistan, thailand. Bacalah dengan nama tuhan. Bacalah ayat2 ALLAH dengan memerhatikan alam sekeliling. Jangan jadi golongan orang yg lihat tapi xnampak, dengar tapi xfaham 
....wallahualam
 
» Reply to this comment...

Posted by Me, on 07-06-2009 09:17, IP 58.26.136.5, Guest
4. Solekan?
Majalah ANIS tu solekan cover wanita2nya pada pendapat saya terlalu over. Mungkin alasannya utk tarik remaja2 & mereka2 yg suka pada solekan. Kadang2 terfikir pula, lebih percayakan solekan atau Allah, samalah sykt2 penerbangan Islam yg menghidangkan arak, lebih percayakan arak atau Allah utk tarik pelancong. 
 
Maaf ustaz, mungkin kasar..tapi ini le trend akhir2 ni..sampaikan mufti2/ustaz2 nak masuk forum Islam pun disolekkan oleh wanita2.  
 
Klu solek simple2 aja, ilmu tu tak masuk dalam hati penuntun ke? 
Sekarang ni pun dah tak kenal mana satu ustazah sbb solekan ustazah, masyaAllah. 
 
UZAR : Betul, saya setuju teguran-teguran itu.
 
» Reply to this comment...

Posted by ajis, on 05-06-2009 01:21, IP 203.82.79.101, Guest
5. puasa dan mogok lapar politik..
Salam, 
kalau berpuasa sunat semestinya dapat pahala, tapi mogok lapar dapat lapar jelh. tak kiralah atas maksud ape kita berpuasa samada untuk kuruskan badan,politik,ekonomi,hobi ke ape janji kerana Allah. yang aku pelik sangat kenapa atas sebab politik x boleh pula, apa Allah melarang kite dari berpolitik kah?.. 
 
Kalau untuk kebaikan ape salahnye berpuasa. Poket pun rabak.
 
» Reply to this comment...

Posted by daur a'la, on 04-06-2009 20:32, IP 60.49.75.159, Guest
6. renung sejenAK
salam perjuangan atas jalan yg haq.. 
setiap org ada hak utk beri pendapat.. 
tetapi pandangan agama(hukum hakam) juga ada haknya ke atas org2 yg mjaga hak agama-Nya,,moga Allah mempermudahkan dakwah bil hikmah bersifat wasotiyyah..teruskan usaha fi sabilillah UZAR.. :) :)
 
» Reply to this comment...

Posted by Ibnu Daud, on 04-06-2009 11:48, IP 203.82.79.103, Guest
7. En
Salam Y.Bhg Ustaz ..tahniah dengan penulisan Ustaz yang cukup bermanfaat ini dan 
mudahan Allah permudahkan urusan ustaz untuk terus menjadi ilmuan terulung. 
dan berkaitan dengan matlamat tidak menghalalkan cara saya punyai satu persoalan..berkaitan dengan pinjaman 
mudahan Allah memberikan ustaz kelapangan untuk merungkaikan masalah saya ini.. 
 
Saya telah meminjamkan wang sebanyak RM20ribu kepada seorg teman untuk 
perniagaannya..setelah diyakini halal perniagaannya saya telah memberinya pinjam wang tersebut 
Dia berjanji untuk membayar hutang saya sebanyak 2 ribu sebulan 
selama 12 bulan menjadikan wang yang dibayar kpd saya sebanyak rm24ribu setahun. 
Disamping itu dia berjanji untuk memberi RM20 ribu kepada saya sebagai hibah  
atas pertolongan di akhir bulan ke 12 tersebut dan menjadikan jumlah yang diberikan  
kepada saya sebanyak RM44ribu.matlamat saya memberikannya sebagai pinjaman kerana sbg kawan  
dan dia bersungguh mahu saya menerima wang tersebut..katanya ini Qardhul Hassan.. 
dia boleh berikan wang tersebut sebagai hibah. 
 
soalan saya ustaz.. 
Adakah saya boleh menerima wang tersebut ? dan adakah ia termasuk dalam riba? 
 
mudahan Allah memberikan kelapangan kepada Ustaz untuk 
menjawab pertanyaan saya ini. Sekiranya Ustaz pernah menulis topik 
ini mudahan ustaz berbesar hati untuk memaklumkan di bahagian mana. 
 
yang benar 
ibnu daud
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by syam, on 03-06-2009 17:47, IP 60.50.193.12, Guest
8. puasa & mogok lapar- POLITIK
Salam, Ustaz.pendapat saya itu semua bukan islamik.. lagi x islamik kalau hujah hanya dicari untuk mencuci dosa politik.bagaimana pendapat ustaz?
 
» Reply to this comment...

Posted by amir, on 03-06-2009 11:47, IP 210.19.96.3, Guest
9. Riba terdesak
Salam ustaz, 
 
Artikel diatas, ustaz ada menerangkan mengenai riba, dimana ia tidak akan menjadi harus walau dalam apa keadaan sekali pun. Saya sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman islamic dari perbankan islam. Tiada satu pun dari bank yang saya pohon meluluskan permohonan saya. Saya masih belum cuba untuk mendapatkan pinjaman konventional kerana takut akan riba. Saya terasa pihak bank yang membuatkan perbankan islam ini menjadikan ia payah untuk umat islam untuk mendapatkan pinjamannya. Apakah nasihat ustaz? 
 
UZAR : nasihat telah saya berikan dalam artikel terdahulu saya, sila buka artikel ini.
 
» Reply to this comment...

Posted by zana, on 03-06-2009 10:14, IP 58.139.248.9, Guest
10. usul politik
Dalam sifir politik, ianya terdapat usul asasnya sendiri seperti:- 
1. " Isu lain untuk menyuramkan isu sebenar"  
2. "Buat benda remeh (bodoh?) untuk menghangatkan isu yang suram". 
 
Politik memerlukan perhatian ramai barulah mendapat sokongan. 
Maka, berpolitiklah selagi tidak tersasar dari apa-apa landasan ugama atau undang-undang dunia.
 
» Reply to this comment...

Posted by Pelajar UIA, on 02-06-2009 23:08, IP 210.48.222.5, Guest
11. SOALAN
salam ustaz. 
kalau cam2 la us ckp camne plak ngan hukum bagi ASN? de yang kata haram n de yang kate tak haram sebab objektifnya nak meningkatkan ekonomi org melayu dan pada zaman sekarang sistem ekonomi dunia tidak memihak kepada Islam sebab tu dilonggarkan sedikit tentang hukum pelaksanaan tu. apa pendapat us bahawa perbankan Islam perlu didefinisikan semula? 
 
UZAR : saya tak pernah hurai isu ASN, saya hanya hurai ASB, dan boleh baca artikel berkaitannya di tempatnya, bukan di sini
 
» Reply to this comment...

Posted by cassablanca, on 02-06-2009 19:37, IP 203.82.91.101, Guest
12. Akhir Zaman..
Usahlah bertegang urat dengan apa jua keadaan sekeliling. Jika diperamati, walau apa jua keadaan di sekeliling tidak menepati dengan shariah, kita seharusnya cuba mengubah. Tapi apakan daya kita ni sebagai manusia kerdil.  
 
Punyakah kuasa untuk mengubahnya? Saya fikir masih jauh lagi. Kadang2 susah untuk menepati kehendak semua disebabkan kita duduk di dalam kelompok majmuk.  
 
Walau apapun, dakwah mesti diteruskan dan Islam mesti diutamakan. Kita berserah kepada Allah sahaja. Apa yang penting, semua tahu garis panduannya. Dan pemimpin pula ada bahagiannya di akhirat nanti. Yang paling penting, bekalan kita ni nanti.  
 
Apa bekalan kita di akhirat nanti? Bukankah lebih baik bersolat hajat ataupun duduk di tikar sembahyang di masjid atau di surau lebih baik daripada mengadakan mogok lapar itu semua? Nak tunjuk dengan siapa? Nak tunjuk dengan Allah ka?  
 
Sebaliknya, apa yang paling utama, kita serahkan sepenuhnya kepada Allah kerana hanya Dia lah yang mampu mengubah sesuatu dan hanya Dialah Yang Maha Mengetahui. Tidak kah Islam itu mengajar kita bersabar, beriman dan bertaqwa? Islam mengajar kita supaya berdoa dan berserahlah kepada Allah. Semuanya! Jiwa dan raga. Kita tidak punyai kuasa. Sekalipun kita ditindas, kita juga diajar supaya pinta kepada Allah. Pohon kepada Allah. Dan tidak semestinya apa yang dipohon itu dikabulkan kerana itu juga diluar pengetahuan dan batasan kita sebagai hambaNya. Jadi, tetapkan dan perteguhkan dalaman dahulu. Dan bersabarlah kita dalam menghadapi permainan dunia ini semua. Lihat sahaja isu Palestin. Mampu nak mengubahnya?  
 
Percayalah, semua ini sebenarnya telah dituliskan di dalam Kalam Allah.. Manusia akhir zaman. Akhir zaman saudara dan saudari.. Kita telah hampir ke penghujung dunia. Perhatikan keadaan sekeliling. Bertambah aman ke atau sebaliknya? Cuba bayangkan trend sahsiah masing-masing? Menaik atau menurun? Tepuk dada tanya iman. Jadi, sebagai manusia kerdil ini, persiapkan bekalan dan sentiasa amal maaruf nahi mungkar. Itu lebih baik!
 
» Reply to this comment...
» See all 3 replie(s)

Posted by catalina, on 02-06-2009 14:48, IP 60.53.166.6, Guest
13. makna mogok lapar?
Salam, ustaz. Terimakasih di atas huraian 'matlamat vs cara' secara terperinci. 
 
Setakat sy tahu, sejak beribu tahun lepas, bila disebut mogok lapar, ia dilakukan secara all-out, non-kompromi at least sehingga hampir maut - you do or we die. Boleh dikatakn tiada dalam vocabulary sejarah dilakukan separuh hari seperti puasa. Oleh itu, sememangnya akan terdapat pelbagai pandangan masyarakat, ulasan halal haram, retract sana sini dsb sebab itulah makna asal mogok lapar. Bila dilakukan separuh hari atau tanpa kelaparan nyata, itu bukan mogok lapar malah secara logik pun tidak akan membawa kesan yg dikehedakki. W.A.
 
» Reply to this comment...

Posted by Auni, on 02-06-2009 12:16, IP 130.95.16.119, Guest
14. dharurat & matlamat no 3
Salam ustaz, 
 
Ana ada cadangan dan soalan. 
 
Cadangan: ana rasa mungkin wajar juga kalau ustaz huraikan tentang istilah dharurat itu sendiri. (mungkin ustaz pernah tulis tentang perkara itu di blog ni dan saya belum baca).  
 
Apa maksud dharurat, apa beza dharurat dan hajiat, dan sebagainya. terdapat kecenderungan di kalangan masyarakat utk menggunakan istilah ini sewenang-wenangnya. malah ada ustazah yg menggunakan alasan dharurat utk mengharuskan seorg ibu tunggal melacur utk menyara anak2. 
 
Soalan: Saya masih kurang faham tentang matlamat no 3 dlm tulisan di atas. adakah melibatkan diri dlm industri hiburan (pembikinan filem atau drama yg melibatkan penyanyi wanita dan artis wanita yg tidak menutup aurat) juga sebenarnya harus? kalau ana tak silap, ustaz sendiri pernah menulis tentang haram penyanyi nasyid wanita menyanyi walaupun utk tujuan dakwah. 
 
jazakallahu khair al-jaza' 
 
wallahua'lam 
 
UZAR : yang harus bukan penyanyi dan ARTIS wanita yang buka aurat itu, tetapi yang saya maksudkan adalah individu islam yang memasuki arena itu untuk terlibat dalam dakwah perfileman dan seni seperti kumpulan raihan sebagai contoh, penggiat filem dakwah seperti Tuan Hj Abu Hasan Morad..namun terpaksa bercampur dengan orang-orang seperti artis tu.
 
» Reply to this comment...
» See all 2 replie(s)

Posted by Abu Zaid, on 02-06-2009 11:20, IP 118.100.36.118, Guest
15. Matlamat
Ustaz, satu analysis yang akademik dan mudah difahami. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada UZAR. 
 
JazakalLahu khairan....
 
» Reply to this comment...

Posted by subblogger, on 02-06-2009 10:30, IP 60.52.81.244, Guest
16. Puasa dan mogok lapar = Politik
salam,  
 
Mybe ustaz sepatutnya memberi huraian berkenaan niat puasa itu.  
 
Pendapat sy, utk merubah kepimpinan, hati pemimpin itulah yg perlu diusahakn dgn dakwah, ikhram dan nasihat dan bukannya cara melawannya@kekerasan. Politik 'demokrasi' ini tidak memenangkan Islam. Semangat kepartian, semangat menjatuhkn, manfaat kpd kepentingan ini tidak memberikn tarbiyah kpd pemimpin dan yg dipimpin. 
 
Utk bangunkn negara Islam, kena usaha mbangunkan/mengimarahkn masjid dgn solat fardhu dahulu bukannya dgn politik demokrasi. Pabila ramainya org Islam bersembahyg jumaat, permpuan Cina pon reti pakai baju kurung pd hari jumaat sbb ada suasana Islam pd hari Jumaat siang.  
 
sekadar pndapat peribadi. 
 
UZAR : niat puasa urusan dia dengan Allah.
 
» Reply to this comment...
» See all 7 replie(s)

Add your comment



mXcomment 1.0.9 © 2007-2010 - visualclinic.fr
License Creative Commons - Some rights reserved

foot

Powered by: Al-Jaroom