Apakah
hukumnya bagi seseorang yang bekerja sebagai seorang pereka grafik @ animasi
untuk permainan komputer @ yang terlibat dalam pembikinan games itu
sendiri? Apakah hukum bermainnya pula?. Adakah pekerjaan tersebut dikira
sebagai haram dilaksanakan kerana secara asasnya, permainan komputer
kadang-kala melekakan pemainnya? adakah pereka games
tersebut menanggung dosa pemain tersebut sekiranya mereka bermain sehingga
meninggalkan solat, sebagai contoh?
Jawapan
Bagi
memberikan jawapan dalam hal ini, pertamanya kita perlu menentukan terlebih
dahulu APAKAH HUKUM PERMAINAN GAMES ITU SENDIRI?, hanya selepas itu kita
mampu mengetahui hukum individu yang bekerja dalam pembikinannya.
Bagi
mengetahui hukum sesebuah permainan, saya suka untuk merujuk kepada perbahasan
ulama dalam bab hukum bermain catur. Benar, di zaman silam tiada play
station 3, x-box, wii-games dan yang sepertinya, antara permainan yang ada
serta mempunyai beberapa persamaan adalah catur . Justeru saya meyakini dengan memahami hukum catur,
kita akan dapat menentukan sikap terhadap permainan moden yang disebut tadi,
dari sudut asasnya.
Saya tidak
ingin mengulas terlalu panjang lebar dan terlalu ilmiah sambil menyertakan
perdebatan ulama berkisar hukum bermain catur, cukuplah saya menghidangkan
ringkasan sahaja. Secara umumnya di dalam perbincangan hukum permainan catur,
ilmuan Islam berbeza kepada tiga jenis pendapat :-
1)Harus : Namun Dengan
Syarat
Antara
yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari
adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini
kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi'en
seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkanbeberapa ulama terhebat tabien yang turut
bermain catur sepertiSaid ibn Jubair,
As-Sya'bydan lain-lain. Imam
Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. (As-Sunan
al-kubra, al-bayhaqi, 10/211)
Justeru,
Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut:
Menurut
pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus),
sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada
ia dikiralahwun (lalai) dan
hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan
minda dan melatih berfikir.
Antara
syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-
·Tidak
menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.
·Tidak
disertai dengan judi dan pertaruhan.
·Hendaknya
pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana
tewas dan sebagainya. (Al-Halal
wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)
Melalui
pendapat ini, jelas bahawa sebab-sebab pengharaman yang mungkin datang bukanlah
kerana catur atau permainan itu sendiri, tetapi lebih kepada sebab-sebab
luaran.
Oleh
itu, jika berdasarkan pendapat ini, games moden turut diharuskan dengan
syarat yang disebut oleh al-Qaradawi dan ditambah satu lagi menurut pendapat
saya iaitu : mestilah intipati games yang direka cipta atau dbeli itu
tidak bercanggah dengan Islam dan hukumnya. Iaitu konsepnya, ideanya, gambarnya
dan lain-lain.
2)Haram : Yang melarang
Antara mereka
adalah Ali bin Abi Talib r.a, Ibn Umar r.a, Ibn Abbas r.a, Mazhab Hanafi,
Hanbali, dan Maliki.Demikian juga Ibn
Taymiah dan kebanyakan ulama kontemporari Saudi, pandangan haram ini juga
dinisbahkan kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Umar. Imam Abu Hanifah
dan Imam Malik turut termasuk dari mereka yang mengharamkannya.Demikian dinukilan oleh Imam Ibn Qudamah dan lain-lainnya. (Mughni, 10/172)
Ulama
kontemporari Saudi turut mengharamkannya malah mereka mengatakan semua syarat
yang diletakkan oleh Qaradawi itu amat jarang dipenuhi oleh sang pemain.
Ibnu Taimiyah
pernah berbicara panjang di dalam masalah ini, dari halaman 216 hingga halaman
245 jilid XXXII dari kitab Majmu Fatawa, antara kata beliau :
"Misalnya kita tetapkan bahwa permainan catur itu bebas dari itu semua
-maksudnya tidak melalaikan kewajiban dan tidak akan melakukan hal yang haram-
maka larangan perbuatan itu ditetapkan oleh para sahabat. Sebagaimana yang
sohih dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahwa beliau pernah menjumpai
kaum yang sedang bermain catur. Lalu beliau mengatakan
ما هذه التماثيل التي أنتم لها عاكفون لأن يمس جمرا حتى يطفأ خير له من
أن يمسها
Ertinya :
"Mengapa kamu menekuni patung ini? Sungguh jika salah satu diantara kamu
menggengam bara api sampai padam itu lebih baik daripada memegang catur" (
Riwayat Al-Baihaqi, 10/212)
Kumpulan yang
mengharamkan mengatakan penyamaan mainan catur dengan patung (berhala) yang
dibuat oleh Ali itu jelas menunjukkan bahawa ia satu permainan yang haram.
Ibn Taimiah
pula menisbahkan Imam Syafie sebagai berkata : "Permainan yang paling aku benci
adalah an-nard, permainan catur dan permainan burung dara sekalipun
tanpa perjudian. Sekalipun kebencian kami kepada permainan itu lebih ringan
dari pada permainan dadu"
Namun
demikian, apa yang jelas, tiada satu hadis yang sohih menyatakan pengharaman
catur, hanya wujud adalah perdebatan berkenaan pandangan para sahabat sahaja.
Cuma Imam Ibn Qudama cuba membawa dalil berikut sebagai hadis pengharamannya :-
إن الله عز
وجل ينظر في كل يوم ثلاثمائة وستين نظرة ليس لصاحب الشاه فيها نصيب
Ertinya :
Sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat (kepada hambanya) pada setiap hari
sebanyak 360 kali pandangan, dan orang yang bermain catur ini tiada termasuk
dari kalangannya ( Al-Mughni, 10/172)
Ibn Qudamah
kemudiannya terus menghuraikan pemain catur sama seperti pemain an-nard
kerana lalainya mereka semasa bermain dari ingatan terhadap Allah swt. Namun
demikian, penyamaan ini (qiyas) ini ditolak oleh ulama Syafie kerana perbezaan
konsep asas antara kedua permainan tadi.
3)Makruh
(tidak begitu digalakkan)
Antaranya adalah Imam As-Syafie dan
merupakan pandangan mazhab Syafie
Imam Syafie berkata :
إذا خلا الشطرنج
عن الرهان واللسان عن الطغيان والصلاة عن النسيان لم يكن حراماً
Ertinya : Apabila catur tidak besertanya
pertaruhan dan kata-kata maki hamun, melupakan solat, maka ia TIDAK lah
termasuk dari yang haram ( Tafsir Ibn Kathir, 6/40 )
Imam an-Nawawi menjelaskan pendirian
mazhab Syafie dengan katanya :-
وأما الشطرنج فمذهبنا أنه مكروه ليس بحرام وهو مروي عن جماعة من التابعين
وقال مالك وأحمد حرام قال مالك هو شر من النرد وألهى عن الخير وقاسوه على النرد وأصحابنا
يمنعون القياس
Ertinya :
Adapun catur, dalam mazhab kami (Syafie) ia adalah makruh dan tidak jatuh
haram, dan ia (keharusannya) juga diriwayatkan dari kumpulan tabien; namun
menurut Imam Malik dan Ahmad, ia adalah haram dan Imam Malik berkata ia lebih
buruk dari An-Nard ( sejenis permainan arab yang berasakan judi), serta
melekakan diri dari kebaikan, justeru mereka menqiyaskan catur dengan an-nard,
namun dalam ahli-ahli dalam mazhab kami (Syafie) tidak bersetuju dengan qiyas
tersebut. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, hadis no 2260, jil 15, hlm 15)
Imam
al-Ghazali pula memberikan perbezaan antara catur dengan an-nard dengan
hujjahnya ia berbeza adalah kerana :
Catur adalah
mainan latihan perangkaan strategi perang, ia lebih mirip kepada sukan memanah,
berkuda dan berlumba ( dari sudut manfaatnya) ( Rujuk Al-Wasit, 7/353 )
KESIMPULAN
HUKUM CATUR
Dari sudut
dalil yang diberi serta banyak lagi yang tidak disertakan, saya berpandangan
yang HARUS TETAPI MAKRUH JIKA BERLEBIHAN adalah lebih kukuh.
Tidak
dinafikan bagi seseorang yang ulama atau ahli agama, pandangan YANG
MENGHARAMKAN tentunya terpakai untuk dirinya. Bukankah status kedudukan para
ulama itu menjadikan dirinya perlu lebih ketat dalam pengalaman berbanding
orang awam. Sebagai kata-0kata yang kerap kita dengari
"kebaikan yang
dilakukan oleh orang awam, masih dikira keburukan bagi seorang yang hampir
dengan Allah swt"
Ertinya bagi
seorang yang soleh, mengkahatamkan al-quran sebanyak satu kali pada bulan
Ramadhan boleh dianggap satu kesalahan dan aib, berbanding orang awam yang
dikira sebagai satu kejayaan besar. Jika piawaian ini diambil kira bolehlah
kita katakan, pandangan ‘HARUS DENGAN SYARAT' atau ‘MAKRUH' lebih ringan untuk
dihidangkan kepada orang awam khususnya : -
Tiada dalil spesifik yang menyokong pengharaman,
Hujjah yang mengatakan haram semuanya disebabkan wujudnya
faktor luaran seperti lupa Allah SWT, judi dan sepertinya, maka jika tiada
faktor-faktor ini bak kata Imam al-Ghazzali, semuanya kembali menjadi hukum
mubah.
Qiyas catur dengan an-Nard adalah tidak tepat sebagai pandangan
mazhab Syafie kerana an-Nard sememangnya diasasi oleh perjudian
berbanding catur yang amat boleh dimainkan tanpa pertaruhan.
Namun begitu,
walaupun ia ‘harus dengan syarat' atau ‘makruh' sahaja, saya amat bersetuju
dengan fatwa Imam al-Ghazzali yang lebih kurang sama dalam bab muzik.
Gunakanlah ia secara terkawal dan tidak terlalu kerap kerana ia umpama ubat,
yang tidak boleh terlalu kerap, kelak akan membawa mudarat.
Gunakan ia
hanya untuk menghilang kebosanan sama seperti bergurau senda, ketawa, bersukan
dan sebagainya. Tentunya penenang yang hakiki adalah pada membaca dan
menghayati AL-Quran, zikir dan membaca, namun tidak semua manusia sama status
iman mereka, tatkala itu amat relevan kata-kata Nabi kepada Hanzalah dan Abu
Bakar r.a yang kerisauan kerana masih boleh berehat-rehat ketiak di rumah
dengan isteri dan anak, sedang mereka begitu serius ketika mendengar kuliah
Nabi s.a.w berkenaan akhirat dan lainnya :
Ertinya :
Wahai Hanzalah ; satu waktu (zikir dan ibadah khusus serta serius) dan satu
waktu lain pula ( rehat dan ringan) ( Riwayat Muslim)
Berkenaan
hukum menjual catur di dalam mazhab Sayfie, disebabkan mazhab ini mengganggap
catur sebagai makruh, hukum menjualnya juga turut makruh. (Al-Majmu',
An-Nawawi, 9/243)
JAWAPAN KEPADA SOALAN
Jika demikian
perbincangan kita, hukum bermain games PS1,2, dan 3 juga harus dengan makruh
jika berlebihan, dan haram hanya apabila melanggar perkara asas yang telah
disebutkan di tadi.
Tatkala itu,
saya berpandangan, hukum terlibat sebagai programmer computer, grafik
animator dan sepertinya bagi pembikinan sesebuah games adalah turut HARUS,
namun ia bukankah satu kerja yang terbaik dan terpilih bagi individu yang mahu
jelas hilang dari sebarang syubhat.
Unsur syubhat
wujud khususnya kerana pencipta permainanan itu TIDAK MAMPU mengawal kekerapan,
dan addicted sang pemain serta kelalaian mereka.
Asalnya
penjual dan pencipta barang jualan yang bersifat neutral TIDAK menanggung
sebarang tanggungjawab jika pembeli menggunakan barang neutral itu untuk tujuan
jahat. Seperti penjual lap top computer, pisau, Television, printer dan
sebagainya. Semua ini tergolong dalam kategori neutral yang mana pengguna akan
menentukan sama ada ia digunakan kepad adosa atau pahala.
Namun berbeza
dengan PENJUALAN GAMES;kerana amat
diketahui, permainan itu diciptakan sememangnya untuk dimain, menghiburkan
pembeli, malah lebih baik jika mampu dicipta kecanggihan sehingga boleh
menjadikan pemain ketagih dengannya. Tatkala itu, pencipta games menanggung
beban tanggungjawab kepada mainan ciptaannya, berbeza dengan barangan neutral
yang saya sebutkan di atas.
Justeru, jika
permainanan yang direka yang bersifat pendidikan ilmu fardhu kifayah seperti
matematik atau permainan serampang dua mata, hiburan dan pendidikan atau lebih
hebat dari itu ia membawa kepada kesedaran Islam. Tatkala itu ia menjadi sunat
pula dan pahala yang diperolehi oleh penjual juga.
Hukum boleh
berubah pula menjadi HARAM apabila kandungannya dan paparan terdapat hal yang
bertentangan dengan Islam.
Posted by xdenama, on 12-09-2009 10:52, IP 60.50.237.161, Guest
1. Masalah Akidah
Saya kini sedang meneliti perkembangan dan sejarah Chess dunia. Chess mengikut sejarahnya bermula di India. Kemudiannya telah berkembang ke beberapa buah negara seperti China, Rusia dan beberapa negara lain termasuk Mesir sendiri. Kesemua chess yang berkembang dinegara tersebut termasuk Timur Tengah mempunyai nama (buah) dan bentuk serta konsep yang berbeza. Persoalannya: 1. Adakah hukum permainan catur(termasuk konsep buah catur) yang diterangkan itu mengambil kira Modern Chess (yang kitamain kat Malaysia) yang telah diperkenalkan oleh King Alphonso X 1221-1284. 2. First World Chess (Modern) adalah pada tahun 1851. 3. Adakah ulamak yang memberi fatwa chess tu hidup selepas Modern Chess diperkenalkan. 4. Apakah kita tidak mengambil kira 3 perkara yang boleh menggelincirkan akidah iaitu Niat, Perlakuan & Kata-kata dalam memperkatakan tentang hukum Chess Modern. 5. Biar kita patahkan salib itu sekalipun, kita masih menggunakan istilah Bishop dan konsep chess yang diperkenalkan oleh golongan gereja itu, apa maksud bishop? 6. Berapa ramai antara kita yang melihat orang Islam yang bermain chess mematahkan salib? apa hukum jika dia tidak mematahkan salib tersebut? apakah dia termasuk dalam kategori gelincir akidah dari aspek perbuatan? 7. Kesemua perbahasan mengenai hukum catur berkisar dari aspek permainan secara umum, tidak ada ulamak yang membicarakan dari aspek konsep chess modern dan buahnya. 8. Jadi yang terakhirnya, adakah fatwa yang dibuat adalah merujuk kepada chess di Timur Tengah sahaja atau chess di negara-negara lain juga.
Saya harap dalam membuat rumusan terhadap hukum chess, janganlah kita melihat dari satu aspek sahaja. Kita bukan membicarakan tentang persoalan dosa atau makruh, tetapi kita mempersoalkan tentang AKIDAH.
Posted by mohamad adnan, on 18-07-2009 18:44, IP 219.95.41.250, Guest
3. assalamualaikum
ustaz, saya berminat nak belajar dari ustaz secara xformal.. saya harap ustaz dapat pertimbangkan permintaan saya terima kasih......
UZAR : terima kasih atas sangka baik dan minat sdr. InshaAllah boleh belajar bersama saya melalui web ini, buku dan beberapa buah video saya buat masa ini. InshaAllah akan dapat faham pemikiran dan pendekatan saya.
Posted by abdul, on 18-06-2009 23:40, IP 66.198.41.20, Guest
4. grafik animator
salam, saya keliru dgn hukum kerja grafik animator dan sebagainya, tidakkah melukis kartun itu haram sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis...tolong jelaskan.
Posted by bulan, on 18-06-2009 22:06, IP 139.141.52.127, Guest
5. an-nard
assalamualiakum... ustaz zaharuddin. apa kaba? terima kasih atas penjelasan. saya nak kepastian, an-Nard tu dadu kan? saya search kat wikipedia , keluar 'DF1/ = Dadu Terima kasih.
UZAR : boleh buka link wikipedia arabic tu untuk tengok gambarnya
Posted by hafiz, on 16-06-2009 02:01, IP 89.100.97.70, Guest
6. Action Figure
Salam.. Benarkah Aishah r.a bermain dengan permaiaan patung (kuda bersayap) dan Rasulullah tidak melarang? jika benar, bagaimana pula permainan anak patung/ figura aksi pada zaman ini. Sebabnya berbanding permainan patung, catur jauh lebih bermanfaat.
UZAR : BENAR, Ummul MUkminin Aisyah memang bermain dengan patung kuda berkepak tetapi ketika itu beliau adalah kanak-kanak. Yang main catur adalah kanaka2 dan orang tua, hukum bermain bagi kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Hari ini permian moden dimain orang orang dewsa juga.
Posted by Husaini Ibrahim, on 11-06-2009 12:21, IP 115.135.13.108, Guest
8. Kitab Fiqh Lahwi
Salam'alaik UZAR, Tak silap saya kesemua permainan di atas ada disentuh oleh Sheikh al-Qaradhawi dalam kitab khasnya iaitu Fiqhul Lahwi. Namun, saya hanya mendengar kitab ini dua tiga tahun sudah, kini sudah senyap sedangkan isi kandungannya amat relevan dengan keadaan dunia masa kini yang penuh dengan pelbagai jenis permainan ini. Sekian dimaklumkan.
UZAR : saya pun tidak pasti kerana belum sempat membeli atau melihat buku Al-Qaradawi itu.
Posted by zin, on 10-06-2009 21:33, IP 58.26.75.37, Guest
9. dah jelas
zufi & nin, kan ustaz dah terangkan secara jelas... jgn fokuskan pada game ape yg dimainkan, tp fokuskan kepada unsur2 yg boleh membawa kepada jatuh hukum harus,makruh,haram atau sunat sesuatu game yg dimain tu. tapi kalu yg jelas haram mcm main judi tuh mmg x syak lagi hukum haramnye. itulah apa yg sy faham ttg penjelasan ustaz. maaf ye
Posted by nim, on 10-06-2009 03:21, IP 77.11.156.198, Guest
11. billiard & pool
Salam,
Ustaz, apa pula hukumnya main billiard atau pool di kelab malam? Tiada unsur judi, cuma suka-suka tapi persekitaran dan suasananya yang tidak jelas, halal haramnya. Mohon penjelasan. Terima kasih. Wassalam.