Utama arrow Senarai Lengkap Artikel arrow Aqidah & Kepercayaan arrow Masuk Islam Tak Boleh Keluar, Macam Kongsi Gelap ?
PDF Print
User Rating: / 11
PoorBest 
 
Written by Administrator, on 26-06-2009 18:50
Views 7514    
Favoured 26

Masuk Islam Tak Boleh Keluar,

Macam Kongsi Gelap ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

murtadkah.jpg

 

Kerap kali saya mendengar, membaca dan melihat tulisan yang mengelirukan berkenaan hukuman murtad. Saya pernah menulis sebuah artikel berkenaannya di web ini, namun mungkin akibat artikel itu bersifat ilmiah, dipenuhi dalil dan istilah-istilah arab, menyebabkan kurang ramai yang berminat atau mampu untuk memahaminya. Khususnya di kalangan pembaca awam atau layman.

Sekarang, timbul lagi persoalan seperti berikut :-

"Adakah Islam ini seperti MAFIA dan ahli kongsi gelap yang mana sekali orang telah memasukinya, ia tidak boleh keluar sama sekali. Hanya boleh keluar dalam keadaan mati ?"

Mereka berkata lagi:

" One would not realise the truth till one has dwell deeply into it and could not escape alive! As joining a mafia or Islam?"

Sudah tentu ada yang berkata demikian dengan niat jahat dan prejudis, namun tidak dinafikan ada juga yang termakan dengan persoalan itu lalu ingin mencari jawapan secara ikhlas atau sincere.

Mereka memerlukan jawapan logik ringkas serta mudah, tanpa istilah arab, nama kitab dan dalil panjang lebar. Mungkin terdapat sebahagian ulama yang telah menulis berkenaannya dengan logic, ringkas lagi mudah, namun tidak sampai ke pengetahuan kita. Jika ada sekalipun, teknik menjawab perlu dikemaskini dan diupdate sesuai dengan minda dan aqal manusia di zaman ini.

Jadi, bagaimana jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada mereka? Menerusi tulisan ini, saya cuba untuk menyediakan sedikit panduan jawapan. Namun amat dialukan buah fikiran para ilmuan Syariah yang lain untuk menokok tambah bagi melahirkan sebuah respon terbaik buat yang bertanya. Semoga nanti, semua ilmuan yang belum berfikir mendalam tentangnya dapat memanfaatkan panduan jawapan kita ini.

POKOK PERSOALAN

Pertamanya, tentu umat Islam tidak bersetuju sama sekali untuk disamakan Islam dengan kumpulan MAFIA, sebuah kumpulan penjenayah dan kongsi gelap, malah seluruh pergerakannya juga dipenuhi rahsia. Maklumat berkaitan Islam tidak sama sekali rahsia. Justeru, perbandingan itu amat tidak adil, bersifat penghinaan dan amat tidak tepat kerana Islam bukan sebuah kumpulan penjahat dan pembunuh seperti kedua-dua kumpulan itu. Islam adalah sebuah agama yang suci, amat menyeru kepada kebaikan dan kemakmuran berteraskan panduan Pencipta alam semesta. Namun itu bukanlah yang ingin dibaca oleh yang bertanya dan bukan pula isu yang ingin saya ulaskan di sini, mungkin lain kali.

Keduanya, isu utama dalam pertanyaan atau pertikaian pada hemat saya ada dua iaitu :

 

  • Masuk Islam dan tidak boleh keluar

   

  • Nak faham sesuatu serta merasai kebenarannya dengan perinci, perlu masuk atau sertai dahulu, hanya selepas itu baru boleh mendapat keputusan, sama ada ia benar atau tidak. Tapi dalam hal Islam, tiada ruang itu kerana sekali masuk, tidak boleh keluar sama sekali, kecuali MATI.

 

NAK KAJI ISLAM KENA MASUK DULUKAH?

Saya ingin bertanya kembali terlebih dahulu, adakah kebenaran dan perincian berkenaan Islam sememangnya tidak boleh dikaji KECUALI setelah masuk Islam?

Jawapan ringkas saya : TIDAK !

Sesuatu kebenaran sebenarnya, khususnya kebenaran Islam masih boleh dikaji daripada luar dan dalamnya tanpa perlu menyertainya terlebih dahulu. Apa yang perlu adalah kajian berdisplin, keinginan mengkaji dan keikhlasan mendapatkan kebenaran.

Apa yang perlu dan mesti dikaji adalah fakta-fakta Islam yang sohih dan bukan melihat gelagat penganutnya serta menganggapnya sebagai sebahagian dari Islam. Kelemahan penganut tidak boleh sama sekali dibebankan ke atas sistem dan ajaran Islam.

Semua maklumat berkenaan Islam boleh didapati dengan mudah dari dua sumber asal Islam iaitu al-Quran dan Al-Hadis, jika sekiarnya terdapat kekeliruan untuk bermula dari mana, itu adalah masalah metodolgi si pengkaji dan bukan sesuatu yang timbul dari Islam.

Lihat sahaja berapa ramai professor dan sarjana barat yang mengkaji Islam, malah berkemungkinan jauh lebih hebat ilmu Islam berbanding umat Islam, seperti Prof. John L. Esposito dengan bukunya bertajuk "Islam, The Straight Path", Karen Armstrong dengan bukunya "Islam, a Short History", dan ‘Muhammad: Prophet for Our Time (Eminent Lives) dan ‘Muhammad: A Biography of the Prophet' dan ramai lagi penulis dan pengkaji termasuk sebahagiannya telah memeluk Islam seperti Dr. Gary Miller dan lain-lain.

Cuma adalah kurang tepat mengkaji Islam dari hasil penulisan sarjana bukan Islam semata-mata. Rujuklah buku dan rujukan yang ditulis oleh para sarjana Islam juga, kebanyakannya telah diterjemah ke bahasa Inggeris atau Melayu, Kesimpulannya, bagi orang bukan Islam, intipati dan kebenaran ajaran Islam amat boleh dikaji dari luar. Tiada benar alasan perlu untuk masuk terlebih dahulu.

Malah, jika inginkan lebih feel dalam setiap kajian khususnya melibatkan hal ehwal ibadah seperti ingin mengkaji serta melihat cara solat yang sebenar, selain dipelajari dari buku, pengkaji juga boleh melihat sendiri bagaimana tatacara dan displin solat masjid atau surau. Namun jangan pelik jika mendapati perbezaan fakta buku dengan amalan harian umat Islam, kerana terlalu amat ramai orang Islam  yang dilahirkan sebagai Islam tanpa ilmu, menyebabkan ibadah mereka turut dikerjakan tanpa ilmu yang tepat. Mereka ini kerap menjadi penghalang kepada kesucian dan kebenaran Islam. Moga dijauhi Allah SWT. 

Jika ingin mengkaji ibadah puasa, si pengkaji boleh cuba menahan diri dari lapar dan dahaga serta mengawal mulut dan mata dari sebarang kejahatan. Untuk mengkaji berkenaan  ibadah Haji, tontonlah rancangan dokumentari lengkap National Geographic. Namun, kegagalan untuk pergi merasai sendiri ibadah haji bukanlah satu alasan masih belum dapat menyelami kebenaran Islam kerana ibadah Haji hanyalah satu kewajiban ke atas mereka yang berkemampuan. Ini bermakna masih ramai orang Islam tidak mengerjakan haji kerana kurang mampu, dan mereka masih tetap terus Islam.

MASUK DAN TIDAK BOLEH KELUAR ?

Isu pokok kedua adalah seperti di atas. Adakah benar dan apa alasan jika ia benar?

Sekali lagi diingatkan, saya tidak akan menyatakan apa-apa rujukan, dalil dan pendapat sarjana Islam dalam tulisan ini bagi mengelakkan sebarang redundansi. Walaupun begitu, sebahagian isi tulisan ini adalah hasil kesimpulan para sarjana Islam juga, manakala sebahagian yang lain adalah isu khilaf di kalangan ulama.

Maka dengan itu, berikut adalah ulasan dan kesimpulan ringkas saya:-

Sebagai pendahuluan, ibaratkan anda sedang ingin membuat keputusan untuk menjalankan sebuah bisnes atau menetap di luar negara, anda sedang memilih beberapa buah negara yang sesuai. Anda sememangnya bebas untuk memilih, namun sejurus anda memilih dan  telah menetap di sesebuah negara, anda TERPAKSA sama ada suka atau tidak untuk tunduk dan patuh kepada undang-undang di negara tersebut.

Itu asas pertama yang perlu difahami, jika keadaan seperti di atas dirasakan logik dan  boleh diterima oleh minda dan aqal sihat, sepatutnya boleh juga menerima undang-undang  Islam  yang dikenakan ke atas penagnutnya, Islam ada undang-undangnya yang khusus buat mereka. Sebahagian dari undang-undang ini adalah MELARANG PENGANUTNYA UNTUK KELUAR MASUK Islam sewenang-wenangnya. Persoalan adakah mesti dibunuh jika keluar? baca selanjutnya tulisan ini untuk mengetahui.

Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa untuk masuk ke dalamnya, ia perlu dibuat secara sukarela dan kefahaman sendiri. Namun sejurus ia telah masuk ke dalam Islam, semua kewajiban SELAKU UMAT ISLAM, MESTI dilakukan tanpa culas. Jika culas, sebahagiannya membawa dosa di antara si pelaku dosa dengan Allah swt, pembalasannya adalah di akhirat. Sebahagian jenis dosa yang melibatkan manusia lain seperti membunuh, merompak, menyeksa, berzina dan lain-lain, hukumannya ada diperuntukan di dunia juga, tetapi ia hanya akan dijalankan setelah proses penghakiman yang adil dijalankan.

Nah, sekarang apa pula ulasan untuk tidak boleh keluar dari Islam setelah masuk ? . Ini dia :-

1.  Hal Agama Bukan Perkara Kecil

Larangan Islam untuk penganutnya keluar dari Islam memberikan indikasi kepada semua yang ingin menukar agamanya menganuti Islam bahawa sebarang keputusan di dalam bab agama bukanlah satu keputusan kecil seperti pembelian kereta dan rumah atau lain-lain barangan komoditi. Ia melibatkan satu hal yang amat penting.

Ini adalah nota awal yang ingin diberikan kepada mereka yang ingin menganut Islam, jika mesej ini difahami oleh orang bukan Islam, tatkala itu mesej dikira sudah sampai tetapi terdapat perinciannya dan ia bukan hanya satu fakta ringkas sebegitu sahaja.

Oleh itu, jika ada sesiapa yang menganggap agama sebagai candu, permainan, barang murah seperti baju yang tidak perlukan fokus berlebihan semasa memilih, mereka dinasihatkan agar berfikir panjang sebelum memasuki Islam. Itulah satu jenis pembelajaran Islam kepada seluruh bakal penganutnya hatta sebelum mereka menjadi Islam. Dengan demikian, kuranglah para ‘penganut agama secara main-main' yang berani untuk keluar masuk ke dalam agama Islam. Semua orang mungkin boleh sesuka hati keluar dan masuk Kristian, Hindu, Budhha tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian dengan Islam. Dengan undang-undang ini, Islam lebih terjaga.

 

2.  Sifat Islam Sebagai Agama Atas Asas Ilmu

Oleh kerana Islam adalah sebuah cara hidup atau agama yang amat mementingkan ilmu. Islam mengarahkan semua individu yang ingin mendekati atau menganuti Islam agar mendekatinya dengan ilmu dan kefahaman yang jitu, bukan dengan emosi dan kehendak semata-mata. Perlu dibezakan pemilihan agama dengan pemilihan sesuatu yang lain. Justeru keputusan memasukinya adalah beserta tanggngjawab kefahaman yang jitu tentang Islam itu sendiri.

 

3.  Menjaga Kesucian Dari Digugat

Kewujudan undang-undang larangan keluar Islam (murtad) juga amat relevan jika dilihat dari sudut logik demi survival dan kesucian sebagai sebuah agama. Dengan itu ia akan mengelakkan perancangan licik man-mana gerakan musuh Islam, yang merancang untuk menganut Islam dan kemudiannya keluar beramai-ramai dengan niat mencemar imej Islam.

Sebagai contoh logik, lihat apa yang dilakukan oleh George Soros kepada matawang Malaysia, dia membeli matawang Malaysia sebanyak-banyaknya dan kemudian menjualnya sekaligus, menyebabkan nilai matawang Malaysia jatuh teruk serta tergugat. Benar, agama tidak seperti matawang tetapi sesebuah agama yang boleh keluar masuk dengan mudah, tanpa displin dan undang-undang adalah bukan sebuah agama yang bernilai.

 

4.  Kaunseling Proses Penting

Bagi mereka yang benar-benar ingin keluar dari Islam bukan kerana dengki dan rancangan jahat terhadap Islam, mereka akan mendapat privilege untuk berbincang dengan ilmuan Islam yang berkelayakan, untuk benar-benar menyemak semula sebab-sebab yang mencetus keinginannya untuk keluar dari Islam. Ini adalah satu proses kaunseling yang dinamakan ‘istitab'. Tempohnya boleh mencecah 3 hari sehingga seumur hidup bergantung kepada keadaan dan keputusan pemerintah Islam dalam menilai seseuatu kes dan individu.

Namun tidak dinafikan berkemungkinan sewaktu tempoh kaunseling itu, individu itu telah pun keluar dari Islam, walaupun begitu tidak semestinya hukuman bunuh serta merta akan dilaksanakan, khususnya jika tiada sebarang kempen memburukan Islam. Sepanjang tempoh itu, kaunseling boleh terus berjalan. Usaha membawa dirinya untuk kembali yakin dengan Islam berterusan.

 

5.  Keluar Islam Secara ‘Senyap' & ‘Bising'

Bagi yang tetap pendirian walau apa juga jenis kaunseling yang diberi, pemerintah Islam  juga tidak akan mengambil tindakan ke atas mereka jika keluarnya mereka secara senyap sunyi tanpa kempen dan memperlecehkan Islam.

Hakikatnya  di Malaysia sudah amat ramai yang keluar dari Islam dengan cara ini. Adakah mereka dihukum bunuh!? Tidak !, ini disebabkan tiadanya pelaksanaan hukum hudud di Malaysia dan malah jika ada sekalipun, dia tetap tidak dihukum kerana ia berlaku di luar pengetahuan pemerintah. Hukuman tatkala itu hanya akan bermula di alam kuburnya sehingga akhirat.

Tindakan hukuman (dalam sesebuah Negara yang melaksanakan hukum Islam) hanya akan  pasti dilaksanakan berpunca dari tindakannya yang memperlecehkan  dan memburukkan Islam, tindakan ini sama seperti menyerang dan mengkhianati Islam dan seluruh penganutnya, itulah erti keluar Islam dengan 'bising'.

Malah jika mengikut logik sekalipun, dalam sesebuah negara maju dan rakyat  berpendidikan, sudah tentu semua kita dilarang untuk mengutuk sesama agama lain secara terang-terangan kerana ia tidak mendatangkan kecuali keburukan dan kebahayaan yang besar. Allah swt sendiri melarang mencerca sembahan-sembahan selain Allah yang dilakukan oleh penganut agama lain. (Rujuk Surah al-An'am : 108) 

Pun begitu, tentunya setiap hari dan waktu, akan sentiasa ada musuh-musuh dan pembenci Islam yang mencerca Islam dan Allah swt Islam secara tertutup, di rumah -rumah mereka, di sekolah mereka atau di dalam kelompok mereka. Hal yang sama turut berlaku di dalam kelompok Islam, mereka mencerca agama lain secara tertutup.

Itu adalah perkara biasa yang tidak dapat dielakkan di dalam kehidupan manusiawi. Ia turut berlaku di zaman nabi s.a.w, orang munafiq amat kerap mengutuk Nabi  dan Islam secara tertutup walaupun dipimpin oleh manusia yang sehebat nabi Muhammad s.a.w.

PENUTUP

Demikian sedikit ulasan yang mampu dan sempat saya berikan bagi sesiapa yang masih keliru berkenaan hal ini, KHSUSNYA di kalangan orang bukan Islam. Juga bagi mereka yang merasa Islam kurang toleran kerana boleh masuk dan tidak boleh keluar. Harapan saya ulasan ini akan dapat memberikan sedikit kejelasan. Para pembaca dialukan untuk memberikan lain-lain hujah minda, semoga ia dapat dimanfaatkan oleh saya, juga pembaca lain.  

Bagi pembaca Islam yang lebih cenderung mencari dalil dan rujukan serta istilah arab. Jika anda terfikir adakah isi kandungan tulisan saya ini mempunyai sandaran dalil dan hujjah para ulama Islam. Saya jawab ringkas, YA. Cuma tidak saya nyatakan untuk memudahkan. Sebahagian hujah dan dalil sila baca artikel saya berikut  dan satu lagi hasil penulisan penulis tamu ( Jawapan Kekeliruan Penentang Hukum Murtad )

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

03 Rejab 1430 H

26 Jun 2009 M

 


Last update: 29-06-2009 19:41

Published in : Soal Jawab, Aqidah & Kepercayaan
Quote this article in website Favoured Print Send to friend Related articles Save this to del.icio.us

Users' Comments (13) RSS feed comment
Posted by mukminblog.blogspot.com, on 31-10-2009 14:33, IP 115.135.250.59, Guest
1. Kenapa tidak boleh murtad(keluar islam)?
Saya setuju dengan tulisan diatas : Umat islam tak faham islam. Memang amat benar sekali kerana Al-quran tidak pernah ditelaah, diamalkan..tetapi alquran dari kecil dijar untuk dilagukan..dibunyi- bunyikan..padahal alquran itu amalan org beriman, bila sebut bab iman itu berkaitan dengan hati..bukan lidah.maksudnya blajar ilmu iman dulu baru baca alquran. 
 
Yg kedua.. Apa itu islam? Didalam alquran dinyatakan 7 tingkat langit, 7 tingkat bumi bertasbih kepada Allah. Artinya semua yg diciptakan allah itu islam. kemudian makhluk mengikut bisikan syaitan dan nafsu yang memurtadkan diri mereka(manusia dan jin). Asalnya semua islam. pokok, kucing, batu, kereta semua islam mereka bertasbih kpd allah. 
 
Siapa yg patut di hukum bunuh kalau murtad? jawab nya iaitu orang-orang beriman. orang yang telah beriman kepada allah kemudian murtad. orang islam yg murtad tak perlu bunuh..mereka ini kalau tak mau beriman lebih baik mereke kafir, kerana mereka tidak berselindung seperti orang munafik dan orang fasiq. 
 
Tetapi allah tidak buta..allah melihat kedalam hati hamba..allah tau siapa beriman, siapa munafik dan fasiq. 
 
manusia lain, kita lihat pada lidah, pada perbuatan, pada ilmu seseorang, pada jawatan, pada sijil sebab itu kita tak nampak siapa munafik kalau dia dah jadi tok imam. 
 
Umat islam hari ini diajar takut tinggal solat, puasa, jgn mencuri, jgn berzina..tetapi kita tidak pernah diajar takut untuk lalai dari mengingati allah. allah tak pernah kata orang yg tinggal solat itu golongan syaitan, allah tidak kata orang yang mencuri itu golongan syaitan..  
 
"syaitan telah menguasai mereka lalu mereka lalai dari mengingati allah. mereka itulah golongan syaitan" almujjaadilah - 19 
 
"Celakalah orang yang hatinya tidak menyebut dan mengingati allah, mereka itu golongan yang SESAT YANG NYATA " - Al zumar:22 
 
"sesungguhnya manusia itu kerugian, melainkan orang BERIMAN dan beramal saleh" 
ada Allah sebut orang islam itu untung? 
 
mukminblog.blogspot.com
 
» Reply to this comment...

Posted by Fariz, on 17-08-2009 18:27, IP 120.141.86.107, Guest
2. Isu bunuh
Ustaz, 
 
Adakah dengan perlaksanaan hukum bunuh ke atas pelaku murtad(keluar dari Islam), dapat menyelamatkan atau meringankan beliau dari hukuman di akhirat? 
 
Kenapa kita tidak boleh biarkan saja dia hidup di dunia ini, jika dia punya dalil2, kita lawan dengan hujah, sebab bagi saya, hukuman bunuh ini tidak nampak kesan positifnya, hanya untuk menutup mulut manusia murtad yang mercerca Islam. Jika orang bukan Islam tahu akan hal ini, mesti pada pandangan mereka, Islam ini adalah suatu agama yang tidak dapat menerima kritikan, tidak bertoleransi, jika ada salah saja, bunuh, salah saja, bunuh.  
 
Saya Muslim, tetapi tidak gemar akan hukuman bunuh tambah2 dalam hal ini. Adakah saya juga dikira TERkeluar daripada Islam tanpa sedar?
 
» Reply to this comment...

Posted by Hamidah MAIS, on 22-07-2009 23:48, IP 203.82.91.103, Guest
3. Apa hukumnya?
Salam usta..saya nak bertanya pandangan ustaz.apa hukumnya bagi mereka yg bergelar peguam syarie Islam yang mewakili anak guam mereka yg ingin keluar daripada Islam?boleh x dia dianggap bersubahat melakukan jenayah murtad? :roll
 
» Reply to this comment...

Posted by azlan, on 10-07-2009 05:52, IP 212.240.52.21, Guest
4. Murtad kerana tidak solat?
Ustad, bagaimana pula orang yg tidak bersembahyang dan telah diajak bertaubat berkali2 tetapi masih enggan? Adakah dikira menjadi kafir dan jatuh hukum murtad itu? Dan jika jatuh, adakah dikira murtad senyap atau bising, i.e. wajib dibunuh berdasarkan hukum hudud. 
 
UZAR : Untuk menentukan dia murtad atau tidak, bukanlah bidang kuasa individu. dalam konteks pertanyaan sdr, cukuplah sdr menasihatinya dan sama ada dia telah jatuh murtad atau belum, ia sukar ditentukan kerana tidak solat kerana malas berbeza dgn hukum tidak solat kerana ingkar.
 
» Reply to this comment...

Posted by zara, on 03-07-2009 22:56, IP 143.167.102.217, Guest
5. translate to english
Salam UZAR, 
Saya cadangkan artikel ni ditranslate/siarkan dlm english juga supaya bila ada non-malay reader/speaker yg search on this topic akan mendapat jawapan yang panjang lebar dan juga ber'authority' ni (written by a syariah 'certified' author).  
 
Pastinya Uzar sendiri mahukan seramai yang boleh untuk mendapat ilmu dari artikel ini dan secara tak langsung boleh membantu mereka yg didlm 'doubt' mendpt penjelasan yg terang lagi benar. Tmbhan plk skrg online information is one, if not THE, of the most popular information resources. 
 
(Sbnrnya saya skrg sdg buat research on online information seeking related to Islam :-) ) 
 
Satu soalan: Dr. Gary Bunt di U of Wales (Islamic Studies) tu saudara seIslam kita ke? Just wondering. 
 
Jazakallah... 
Wallahualam. 
 
 
UZAR : memang perlu diterjemah tapi saya tak punyai masa yang mengizinkan. Sesiapa yang berkemampuan, dipersilakan. 
 
Dr Gary Bunt bukan sdr seislam kita, dia oreintalis.
 
» Reply to this comment...

Posted by shahrul azwad, on 02-07-2009 18:39, IP 60.50.98.32, Guest
6. tak terfikir
tak terfikir oleh saya soalan sebegini pun boleh ada. Baguslah Ustaz ambil berat.
 
» Reply to this comment...

Posted by ibn said mohmmad, on 02-07-2009 14:54, IP 202.45.133.9, Guest
7. sekadar untuk kepastian...
Jika seseorang yang telah murtad dijatuhi hukuman bunuh, adakah dia(yg murtad&telah menjalani hukuman bunuh itu)akan menanggung dosa(disebabkan murtad) di akhirat kelak? 
 
UZAR : tetap kena atas kapasiti seorang kafir.
 
» Reply to this comment...

Posted by Abu Zaid, on 30-06-2009 18:28, IP 58.27.115.86, Guest
8. Bermafaat
Salam, 
UZAR, saya cadangkan agar UZAR pilih article yang bersesuaian untuk diterbitkan (ambil contoh Chedet menerbitkan hantarn dlm blognya).  
 
Tulisan ini amat bermanafaat dan elok seramai mungkin membacanya dan tidak semua boleh membacanya di web ini. 
 
Wassalam 
 
UZAR : ALHAMDULILLAH, cuma kurang faham ayat berkenaan chedet yang sdr berikan. ?? 
 
Adakah sdr ingin mencadangakn artikel ini dipost ke blog chedet? 
 
jika itulah cdgnnya, saya izinkan semua pemvaca utk post ke mana-mana blog atau web termasuklah malaysiakini, malaysi today, chedet dan lain2 
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by daisy, on 29-06-2009 19:09, IP 119.40.120.226, Guest
9. Sekadar membetulkan..
Ustaz, saya nk tegur sikit psl sebaris ayat ustaz dlm artikel ni..- "Allah swt sendiri melarang mencerca tuhan agama lain.".Tuhan adalah Esa, satu..maksudnya tidak ada tuhan agama Kristian, tuhan agama Hindu, etc..semua agama pun sebenarnya menyembah tuhan yg satu kn? it just differs with the way we pray to God.. xpe..mungkin ustaz x perasan.. :) 
 
UZAR ; ye terima kasih, telah diperbetulkan
 
» Reply to this comment...

Posted by kusam, on 28-06-2009 18:19, IP 60.53.133.110, Guest
10. Individu menghukum adakah boleh ?
Uzar, pernahkan perkara murtad ini dibincangkan di institusi pengajian antarabangsa oleh pakar-pakar ? adakah perkara murtad ini termasuk dlm fekh kotemporari, dgn mengabil kira keadaan Islam di zaman sekarang dimana walaupun sebuah negara dipimpin oleh org Muslim tetapi Islam tidak diletakkan di tmpt sepatutnya, MURTAD hukumnya adalah bunuh, dgn kedukkan hukum Islam diMalaysia adalah no.2 dibawah Lord Reid, adakah dibenarkan kuasa menghukum ini dilaksanakan oleh individu. harap Uzar dpt faham susun atur ayat saya. tq 
 
UZAR : setakat pembacaan saya, rasanya belum saya jumpa sebarang perbincangan kontemporari yang meliputi pelbagai isu semasa berkaitan murtad ini.
 
» Reply to this comment...

Posted by cpj, on 26-06-2009 23:48, IP 124.13.190.48, Guest
11. Masuk Islam Tak Boleh Keluar, Macam Kong
Sekiranya Islam dan Kongsi Gelap itu di ibaratkan pakaian, maka Islam ialah berpakaian yang menutup aurat manakala kongsi gelap adalah berpakaian yang betelanjang. 
 
Adakah layak disamakan keduanya sedangkan keduanya sama-sama berpakaian?Daripada berpakaian bertelanjang adalah berhak baginya untuk berpakaian menutup aurat,TETAPI adakah berhak baginya daripada berpakaian menutup aurat untuk bertukar kepada berpakaian bertelanjang? 
 
Tentu sekali TIDAK BERHAK, maka mati baginya adalah lebih baik daripada hidup bagi yang mengetahui...Allahuaqlam.
 
» Reply to this comment...

Posted by zana, on 26-06-2009 23:13, IP 60.48.60.148, Guest
12. quality vs. quantity
Islam menjaga kesucian dan keanggunan dgn ciri-ciri eksklusif.  
 
'Tidak macam pelacur boleh keluar masuk'.  
 
Ciri-ciri ini memastikan kualiti yang diutamakan bukannya kuantiti. Kualiti boleh mengalahkan kuantiti mcm sirah perang badar. Seperti juga kata-kata Sukarno " Bagi aku 1000 pemuda, aku boleh runtuhkan sebuah gunung, bagi aku 10 pemuda revolusi, pasti satu dunia bisa ditawan".
 
» Reply to this comment...

Posted by ibn syafie, on 26-06-2009 20:38, IP 210.48.222.3, Guest
13. dalil logik utk ini
salam ust.. 
bagaimana pulak hujah logik utk org yang memang dilahirkan muslim tapi mahu keluar Islam... 
syukran 
 
UZAR : prosesnya sama seperti dalam artikel.
 
» Reply to this comment...

Add your comment



mXcomment 1.0.9 © 2007-2010 - visualclinic.fr
License Creative Commons - Some rights reserved

foot

Powered by: Al-Jaroom