Al-Quran : Surah Terbaik Untuk Dibaca & Bacaan Gagap
Lebih Baik Dari Lancar?
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Assalamualaikum
wrt,
Berkenaan
hadith nabi yang menyebutkan bahawa dua ganjaran bagi orang yang membaca
al-quran dengan kepayahan kerana tidak lancar. Adakah ganjaran itu melebihi
ganjaran pahala orang yang membaca lancar? Biasanya kalau dengar di ceramah-ceramah,
penceramah selalu menyebut bahawa pahalanya melebihi pahala orang yang membaca
lancar. Tapi baru-baru ini, saya ada terima email yang memetik dari kitab
fadhilat amal dan pendapat yang diberi adalah bertentangan. Mohon penjelasan. Terima
kasih.
Jawapan
Berpandukan
kepada pertanyaan saudari, di sana ada dua kemungkinan, iaitu :-
1)Penceramah tersilap ; Jika ia
benar-benar diucapkan oleh penceramah, ternyata sang penceramah tidak
melakukan homework dengan baik atau mengambil informasi secara rambang tanpa
mempelajari atau merujuk kepada sumber dengan tepat. Hasilnya timbulkan kenyataan
silap sebagaimana yang diberi.
2)Saudari selaku pendengar tersilap ;
mungkin juga, penceramah menerang dengan betul, cuma saudari selaku pendengar
yang tersilap menangkap point yang diberikan oleh pencermah berkenaan.
Tanpa
perlu kita pergi lebih jauh untuk mencari salah siapa, adalah lebih baik saya jelaskan
letak duduk sebenar dalam hal pahala membaca Al-Quran walau dalam keadan
tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka
yang lancar.
Hadis
yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut :-
الماهر بالقرآن مع السفرة الكرام البررة والذي
يقرأ القرآن ويتتعتع فيه وهو عليه شاق له أجران
Ertinya : Orang yang mahir
membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang
membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya
kesukaran, baginya dua pahala. ( Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)
Jika
dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka
terhadap hadis di atas adalah bukan pada‘membaca sambil melihat Al-Quran'
tetapi lebih kepada membaca secara
hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah
menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru
hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-quran lagi.
Imam
An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas
adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca
ayat-ayat Al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnay
tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan
kesukaran yang dihadapinya. (Syarah Sohih Muslim)
Namun
demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang
yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di
atas. Ini kerana hadis tersbeut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia
hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya
kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.
Pandangan
kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam
hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca Al-Quran
dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.
Berkenaan
perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, Al-Qadhi ‘Iyadh
berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud meraka yang tersekat dan gagap
lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut
bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak
sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka
yang kurang mahir.
Memang
benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih
besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik,
jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logic lagi tidak
bertepatan dengan kefahaman aqal yang waras.
Dari
penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi s.a.w tadi sebenarnya bukanlah diungkap
dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih
kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca Al-quran.
Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi
yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir
agar mencapai tahap mahir dan setersunya meraih kebaikan yang ditawarkan.
SURAH APA YANG TERBAIK DIBACA?
Timbul
persoalan berkaitan surah apakah yang terlebih baik untuk dibaca pada akhir
Ramadhan ini.
Jawapan
yang paling tepat adalah seluruh al-Quran, namun bagi mereka yang tidak mampu,
cuba perhatikan baik-baik sabdaan baginda Nabi ini:-
اقرءوا
القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شافعا لأصحابه اقرءوا الزهراوين البقرة وآل عمران
فإنهما يأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان أو غيايتان أو فرقان من طير صواف تحاجان
عن صاحبهما اقرءوا البقرة فإن أخذها بركة وتركها حسرة ولا يستطيعها البطلة
Ertinya : Bacalah Al-Quran kerana
di hari qiyamat kelak ia akan datang memberikan syafa'at kepada tuannya,
bacalah dua cahaya iaitu AL-BAQARAH dan ALI-IMRAN, kerana ia berdua akan datang
dihari qiyamat kelak seperti dua awan besar atau sekumpulan burung yang akan
melindungi tuannya, bacalah AL-BAQARAH kerana sesiapa yang mengambilnya akan
mendapat berkat, meninggalkannya adalah penyesalan, dan yang mengambilnya dapat
menghalang sihir. (Riwayat Muslim)
Para
ulama menjelaskan, pahala bacaannya akan bertindak seperti awan dan sekumpulan
burung yang menaungi pembacanya dengan seperti teduhan sayap burung atau awan.
Dalam hadis sohih yang lain disebutkan kedua-dua surah ini akan mendahulu
pahala dari surah-surah lain.
Banyak
lagi surah-surah lain yang mempunyai kelebihan tersendiri, disebut dalam banyak
hadis-hadis Baginda Nabi sa.w, namun cukuplah jawapan ringkas saya setakat ini
mencadangkan dua surah ini sebagai tunjang bacaan Al-Quran kita.
Posted by musafir88, on 13-11-2009 22:47, IP 161.139.192.2, Guest
2. keliru
salam uzar,
mungkin soalan saya terkeluar dari tajuk di ats,sy x tau di mana perlu saya letakkan soalan ini,
ceritanya begini,saya seorang penuntut di salah sbuah ipta,di sini saya bergiat dalam sebuah kelab yg islamic,kelab yg membawa saya ,mengenal usrah,ketika mula bergiat aktif,saya ada membeli sehelai baju yang dianggap sebagai baju rasmi kelab,masalahnya,di bahagian bawah belakang baju itu ditulis satu ayat yang juga dikenali sebagai tema kelab,salah satu perkataan dalam ayat tersebut ada tertera perkataan Al-Quran(di dalam tulisan rumi). sedangkan apabila baju itu dipakai,perkataan AL-QURAN itu akan ditindih ketika saya duduk.apakah hukumnya uzar?adakah saya telah berdosa menindih perkataan Al-Quran tersebut? jazakallah..
Posted by Abd Jabbar, on 29-10-2009 08:37, IP 202.86.248.231, Guest
3. Bacaan yg sebenarnya
Salam Uztaz,
Bagaimana pula perbandingan ganjaran bacaan orang yg lancar/sedap didengar tapi tidak faham berbanding dengan orang yg kurang sedap tapi memahaminya? Ada ceramah saya dengar kena baca dengan sebenar bacaan ("haqqa tilawatih" - surah baqarah mohon maaf/periksa jika tersilap), iaitu kita kena baca dengan pemahaman yang baik jika tidak hampir sia-sia.
UZAR : baca sedap ada ganjarannya dan nabi juga arahkan
baca dan faham juga ada fadhilat tersendiri
masing2 ada fadhilat tersendiri dari dalil yang berbeza..justeru tidak pertembungan antara keduanya..
Posted by Hana, on 24-09-2009 13:28, IP 203.82.92.108, Guest
4. 3 golongan dilaknat al-Quran
Salam Lebaran, Uzar, Adakah kenyataan ini daripada hadis Rasulullah? "Terdapat 3 golongan apabila dia membaca al-Quran dia akan dilaknat oleh Rasulullah, iaitu: 1) Dia tahu bahawa bacaan al-Qurannya tidak lancar tetapi tidak berusaha untuk memperbetulkannya. 2) Dia membaca al-Quran dengan lancar tetapi tidak berusaha untuk memahami isi kandungannya. 3) Dia membaca al-Quran dengan lancar dan memahami isi kandungannya tetapi tidak beramal dengannya."
Posted by nizam, on 15-09-2009 10:48, IP 124.82.216.69, Guest
5. assalamualaikum
ustaz saya ingin bertanya, bolehkah kita membaca surah-surah pendek sahaja sebagai amalan harian kerana hanya mampu membaca surah-surah pendek sahaja dengan sempurna dan lancar sedangkan apabila membaca surah-surah panjang gagap dan tidak lancar.
Posted by zulkifli, on 15-09-2009 02:55, IP 210.187.70.11, Guest
6. ...
Sesungguhnya Al Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar,
Posted by hafizlidin, on 11-09-2009 22:58, IP 115.135.71.222, Guest
7. kelebihan surah al-ikhlas
salam ustaz. baru2 ini saya ada mendengar ceramah dr seorg ustaz. dia menyatakan kelebihan membaca surah al-ikhlas sebanyak 3 kali adalah sama seperti membaca 30juzuk al-quran. adakah ia benar? nampak seakan tidak logik pula.
Posted by Miss, on 11-09-2009 09:45, IP 121.121.156.70, Guest
8. Re: AlQuran
salam ustaz, Saya ingin bertanya dunia semakin canggih dengan kehadiran model telefon bimbit, kewujudan thumbdrive, MP3 Player, Laptop. Persoalan saya di sini kadang2 kita memasukkan Zikrullah dan Alquran berbentuk MP3 di dalam peralatan tersebut, Boleh kah kita membacanya tanpa Wuduk? Bagaimana pula perempuan yang kedatangan haid boleh kah dia turut membaca? terima kasih ustaz...
Posted by fikry, on 09-09-2009 02:47, IP 203.82.92.106, Guest
9. hadis dhaif
salam,uzar... betui ke ada pandangan mengatakan boleh beramal dgn hadis daif dlm fadhail amal sprt kelebihan baca surah2 tertentu dll??.. jazakalla.. salam
UZAR : BOLEH..displin beramal dengan hadis dhoif perlu dijaga, antaranya jangan terlalu yakin ia adalah kata-kata nabi s.a.w. kerana yang ia dhoif dan untuk elakkan kita menisbahkan sesuatu kata yang bukan perkataan nabi kepada Nabi.