Utama arrow Soal Jawab & Isu Pilihan arrow Bai'ah Diikat Lafaz Talaq : Suatu Ulasan (Kemaskini)
PDF Print
User Rating: / 16
PoorBest 
 
Written by Administrator, on 09-11-2009 11:21
Views 10894    
Favoured 44

Bai'ah  Diikat Lafaz Talaq Tiga : Suatu Pandangan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

( Info : Pada 12 Nov, Kenyataan Rasmi PAS Pusat  dikeluarkan , PAS TIDAK BERSETUJU dengan Bai'ah beserta Ta'liq Talaq Tiga, ia hanya dilakukan secara sukarela oleh individu tertentu. Adapun Bai'ah disertakan dengan laknat sekiranya mengkhianati perjuangan atau lompat parti, bagi saya, ia tiada sebarang masalah. Case closed)

talaq3.jpg

 

SOALAN

Baru-baru ini, heboh diperkatakan tentang janji setiap calon yang bertanding untuk menceraikan isteri masing-masing dengan talaq tiga jika khianat atau keluar parti, minta sangat ustaz dapat ulas perkara ini dari sudut hukum Islam. Harap ustaz dapat bersifat neutral seperti biasa ketika menghuraikannya.

JAWAPAN.

Sebelum memberikan jawapan, saya cuba melihat-lihat berita yang ditulis dalam perkara ini, maklumlah, setiap berita yang berkait dengan sesebuah parti politik lebih baik dicari dan diambil dari sumber ahli parti tersebut. Ini penting bagi mengelakkan salah faham dan termakan dengan mainan berita oleh pihak yang tidak bersama dengannya.

Oleh kerana isu ini berkait dengan parti PAS, maka berita yang disiarkan oleh akhbar yang dikenali sebagai pro UMNO mungkin perlu diambil disemak ketepatannya dari sumber media parti PAS itu sendiri. Bagi saya, ini adalah pendirian yang amat perlu bagi semua pembaca dan masyarakat Malaysia.

Sama seperti, setiap berita berkenaan UMNO yang disiarkan oleh akhbar rasmi PAS seperti Harakah, setiap individu sepatutnya berhak untuk menyemak ketepatannya dari sumber parti UMNO. Begitulah displin yang dianjurkan oleh Islam.

Namun setelah mencari dan membuka web para pimpinan PAS dan berita rasmi PAS, tiada kelihatan sebarang tulisan berkenaan hal ini. Sudah pasti, hal ini sama sekali TIDAK ELOK untuk didedahkan kepada umum. Malah saya kira ia mungkin salah satu dari perkara yang dirahsiakan oleh PAS yang dianggap sebagai isu dalaman pimpinan.

Namun demikian, pengesahan yang dibuat oleh YB Shah Alam, temuramah Mingguan Malaysia dengan Dewan Muslimat PAS serta tulisan YB Zulkifli Nordin yang mengandungi pengesahannya setelah beliau menghubungi beberapa wakil rakyat PAS. Dengan semua informasi ini, kelihatan sudah cukup untuk saya mempercayai kewujudan Bai'ah tersebut.

Hari ini barulah muncul berita di Harakahdaily yang menunjukkan baia'ah tersebut agak pelik dan janggal, malah mungkin hanya dibuat oleh beberapa negeri atas inisiatif pesuruhjaya masing-masing. 

Bagaimanapun, disebabkan telah ada pengakuan seperti yang disebutkan oleh YB Khalid Samad, soalan ini masih relevan untuk dibincangkan.

Bagi saya, paling kurang terdapat beberapa perkara yang perlu diperinci dan diteliti dalam hal ini. Ia seperti berikut :-

  • 1)    Hukum melafazkan Talaq tiga dengan sekali lafaz
  • 2)    Bersumpah atau berbai'ah sambil ta'liq talak dengan tiga sekaligus.
  • 3)    Munasabah mengikat bai'ah taat setia dengan lafaz ta'liq tercerai isteri dengan tiga talaq

TIGA SEKALI LAFAZ JATUH BERAPA DAN DOSA ATAU TIDAK?

Ulama berbeza ijtihad seperti berikut:-

PENDAPAT PERTAMA : Talaq sedemikian adalah HARUS ( dibenarkan) dan jatuh TIGA sekaligus : Ini merupakan ijtihad mazhab Syafie dan Hanbali serta majoriti ulama silam : (al-Muhazzab, 4/282; Al-Mughni, 7/104 ;)

Malah Umar al-khattab juga mendenda sesiapa sahaja yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus. Sebagai dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari :-

أَنَّ عُمَر كَانَ إِذَا أُتِيَ بِرَجُلٍ طَلَّقَ اِمْرَأَته ثَلَاثًا أَوْجَعَ ظَهْره

Ertinya : Sesungguhnya Umar, apabila didatangi oleh lelaki yang mneceraikan isterinya dengan talaq tiga ( sekali lafaz), lalu akan dipukul belakangnya (sebagai hukuman)

Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:

أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله   

Ertinya : "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!" (Riwayat Nasa'i, 2/349, perawinya dikatakan boleh dipercayai namun diperbincangkan oleh Ibn Hajar)

Gejala menceraikan isteri dengan talaq tiga melalui satu lafaz juga berlaku di zaman Umar al-Khattab, ini dikisahkan oleh Ibn Abbas dalam satu riwayat yang sohih:-

إبن عباس رضي الله عنهما قال: كان الطلاق على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبي بكر وسنتين من خلافة عمر رضي الله عنهما طلاق الثلاث واحدة، فقال عمر رضي الله عنه: إن الناس قد استعجَلُوا في أمرٍ قد كانت لهم فيه أَنَاة، فلو أَمْضَينَاهُ عليهم، فأَمْضَاهُ عليهم

Ertinya : Ibn Abbas berkata : Talaq di masa Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan dua tahun awal pemerintahan Umar, talaq tiga dianggap satu , maka Umar berkata selepas tu : Sesungguhnya manusia (ramai orang) tergesa-gesa dalam urusan ini (semakin ramai menggunakan lafaz tiga tanap tertibnya), walaupun sebelum ini mereka lebih cermat, maka jika demikian kita benarkan untuk mereka (jatuh tiga sekaligus) ( Riwayat Muslim, no 1472 )

Pendirian Umar al-Khattab ini yang tidak dibantah oleh sahabat lain, menunjukkan berlakunya Ijma' Sukuti berkenaan jatuhnya tiga talaq dengan sekali lafaz.

PENDAPAT KEDUA : Ia adalah HARAM (DOSA) dan jatuh TIGA SEKALIGUS : Malik dan Abu Hanifah & Salah satu riwayat dari Ahmad. Ia juga pendapat majoriti Sahabt, tabien dan ulama silam.  (Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385)

Sebahagian dalil-dalil mereka adalah sama dengan kumpulan pertama di atas

PENDAPAT KETIGA : Ia HARAM tetapi hanya jatuh SATU talaq sahaja : Sebahagian sahabat seperti Ali Abi Talib, Ibn MAs'ud,  Abd Rahman Auf, Az-Zubayr Awwam.

Dalil mereka yang pertama adalah hadis Ibn Abbas dari Thowus, namun riwayat ini dikritik oleh ulama hadis seperti Ibn Abd Barr dan ramai lagi serta dianggap lemah.

Dalil kedua adalah hadis Ibn Umar yang menjatuhkan talaq tiga dengan sekali lafaz, kemudian Nabi s.a.ww mengarahkannya untuk kembali dan rujuk.

Dalil ketiga adalah Hadis Rukanah yang juga menceraikan isterinya dengan sekali lafaz, namun bila dirujuk kepada Nabi, berikut adalah hadisnya :

طَلَّقَ رُكَانَة بْن عَبْد يَزِيد اِمْرَأَته ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد ، فَحَزِنَ عَلَيْهَا حُزْنًا شَدِيدًا ، فَسَأَلَهُ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْف طَلَّقْتهَا ؟ قَالَ : ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد فَقَالَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّمَا تِلْكَ وَاحِدَة ، فَارْتَجِعْهَا إِنْ شِئْت . فَارْتَجِعْهَا

Ertinya : Rukanah Bin Abd menceraikan isterinya dengan talaq tiga dalam satu majlis, maka sesudah itu ia jatuh sedih yang amat sangat. (Apabila dibawa kepada Nabi) Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya : Bagaimanakah kamu menceraikannya? Dia menjawab  : Dengan tiga sekaligus dalam satu majlis, lalu Nabi menjawab : Sesungguhnya itu hanyalah satu, rujuklahdengannya sekiranya kamu mahu, lalu dia pun kembali rujuk dengan isterinya ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu'la, Dinilai Sohih olehnya)

Penggunaan hadis sebagai hujah, tidak disetujui oleh Ibn Hajar dan beliau menjawabnya dengan jawapan panjang lebar dari empat sudut, (Rujuk kitabnya Fath al-Bari syarah sohih Bukhari)

Selain itu, berkata Ibn Abbas :

وهل هو إلا كمن قال : قرأت سورة البقرة ثلاث مرات وقد قرأها واحدة فإن قوله ثلاث مرات يكون كاذباً

Ertinya : "Adakah ia tidak ubah seperti seorang berkata : aku telah membaca surah Al-Baqarah sebanyak tiga kali, padahal ia hanya membaca sekali, dan kata-katanya TIGA kali itu hanyalah bohong semata-mata"

Ibn Taymiah, Ibn Qayyim dan As-Syawkani juga bersama dengan kumpulan ini. (Zad Al-Ma'ad, 4/67)

DI MALAYSIA MANA YANG TERPAKAI?

Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan.

Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya.

TA'LIQ DENGAN TALAQ TIGA DALAM BAI'AH

Setelah melihat ringkasan perbahasan ulama di atas, jelas kepada kita undang-undang keluarga di Malaysia mengambil pandangan majoriti mazhab yang menganggap jatuhnya TIGA TALAQ dengan sekali lafaz, maka oleh kerana itu, sekiranya mana-mana suami yang melafazkan ta'liq dengan talaq tiga sekaligus, lafaznya itu dianggap sah dan terpakai oleh empat mazhab Islam, dan jika berlaku, dua mazhab mengganggapnya berdosa selain jatuhnya talaq itu.

Talaq itu juga adalah berstatus Bain Baynunah Kubra dan tidak boleh rujuk kecuali setelah bekas isteri berkahwin lain dan kemudian tercerai secara neutral dan habis iddah, barulah bekas suami yang asal boleh bernikah baru dengan bekas isterinya itu. Dalilnya jelas dari firman Allah :-

فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىَ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Ertinya : Kemudian jika si suami menceraikan (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kawin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan istri) untuk kawin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui ( Al-Baqarah :230)

Seperti dijelas sebelum ini, terdapat satu kumpulan sahabat dan ulama yang menganggap hanya satu talaq sahaja yang jatuh walau dilafaz dengan tiga sekaligus.

Namun demikian, melafazkan talaq tiga dalam satu lafaz adalah satu isu. Berbai'ah akan tercerai isteri dengan talaq tiga pula boleh termasuk dalam perbahasan Fiqh yang lain pula. Iaitu kes Bersumpah Untuk Mencerai Isteri Secara Ta'liq.

Tidak dinafikan, ia mempunyai perbahasan tersendiri pula dan tidak mudah untuk diringkaskan dalam ruangan ini.

Cuma, ringkasnya terdapat sekumpulan ulama seperti mazhab Hanafi dan Ibn Taymiah menegaskan sumpah tersebut adalah bergantung kepada niat, tetapi si pelaku berdosa. [1]

ومن قال في معرض حديثه: الطلاق يلزمني لأفعل كذا، أو لأقول كذا فهذا يدل في ظاهره على اليمين لأنه لا معنى له غير هذا، ومن علق طلاق زوجته على أمر تفعله هي أو يفعله شخص آخر -كقوله: إن عمل أخوك أو أبوك كذا فأنت طالق- فهذا المرجع فيه إلى نيته الخفية، فإن كان يقصد من ذلك اليمين ولم يقصد الطلاق فقوله هذا يمين، وإن كان يقصد الطلاق إذا وقع الأمر المعلق عليه وقع الطلاق

Ertinya : Jika seseorang berkata : "Talaq akan jatuh sekiranya aku melakukan ini dan itu" ini semuanya menunjukkan pada zahirnya ia adalah sebuah sumpah dan tiada amkan lain selainnya, barangsiapa yang mengikat akan jatuhnya talaq ke atas isterinya jika diperbuat sesuatu ataupun orang lain buat sesuatu seperti katanya :" Sekiranya saudara kamu atau bapa kamu melakukan itu maka engkau tercerai" semua lafaz sebegini perlu merujuk kepada niat dalamannya, sekiranya diniatkan ia sebagai sumpah dan tidak bermaksud sebenar untuk cerai, ia akan menjadi sumpah sahaja, jika diniat talaq, dan sekiranya berlaku apa yang diikat tadi, jatuhlah talaqnya. [2]

Berdasarkan pendapat ini, jika niat suami yang melafaz hanyalah sebagai ancaman kepada isteri atau menegahnya dari melakukan sesuatu perkara. Tatkala itu lafaz ta'liq itu dianggap bukan sumpah sebenar dan apabila ia dilanggari, perlulah si suami melunaskan kaffarah langgar sumpah yang ditetapkan oleh undang-undang Islam sahaja dan isterinya TIDAK TERCERAI.

Mazhab Syafie pula bergantung kepada uruf setempat, namun kebanyakan ulasan ulama syafie menjurus kepada JATUH TALAQ YANG DIIKAT ATAU DIJADIKAN SUMPAH, IAITU jika dilanggar dengan SENGAJA. Manakala, talaq tidak jatuh jika terlupa atau tidak sengaja. [3]

KONTEKS BAI'AH PAS

Maka dalam konteks PAS, DALAM MENENTUKAN HUKUM IJTIHAD MANA YANG AKAN TERPAKAI (IAITU JATUH SATU TALAQ ATAU TIGA) disebabkan PAS dan semua ahli parlimen PAS berada di dalam wilayah pemerintahan negara Malaysia, para ulama mengatakan keputusan menggunakan ijtihad ulama yang mana satu bergantung kepada undang-undang yang diterima pakai oleh pemerintah agama di Malaysia.

Namun demikian, saya tidak pasti sama ada akan ada pimpinan dan ulama PAS akan cuba mentarjihkan pandangan Ibn Taymiah yang mengelaskan jenis ta'liq talaq yang dibuat oleh calon PAS itu sebenarnya At-Ta'liq al-Qasami iaitu ikatan sumpah janji setia dan lafaz cerai isteri dengan talaq tiga hanyalah bersifat ancaman dan menunjukkan keseriusan tanpa diniatkan. Yang mana jika dilanggari Talaq sedemikian, talaq TIDAK JATUH TETAPI si pelaku hanya dikenakan Kaffarah melanggar sumpah sahaja. [4]

Ringkasnya, bai'ah tercerai isteri dengan talaq tiga itu bergantung kepada niat calon PAS yang menyebut dan teks yang dibacakan. Jika ia diniat semasa dilafaz untuk cerai jika keluar atau khinaat aprti, maka cerai akan berlaku dengan Talaq Tiga, jika ia diniat sumpah, maka tidak tercerai, cuma perlu membayar kaffarah.

PANDANGAN SAYA

Saya tidak pasti bagaimana teks dan lafaz yang dibacakan oleh calon-calon PAS tersebut, justeru sukar untuk memberi komentar samada ia dari jenis sumpah dengan atau dilafaz ta'liq Talaq dengan niat.

Apapun, secara peribadi, saya cenderung untuk TIDAK BERSETUJU dengan cara bai'ah yang mewajibkan calon untuk melafaz ta'liq talaq tiga ke atas isteri masing-masing, yang diLAKUKAN OLEH SEBILANGAN PAS DI NEGERI TERTENTU. Walaupun saya yakin bahawa PAS membenarkan teknik bai'ah sebegitu dibuat kerana :-

  • Pimpinan PAS dan calonnya semua secara yakin mampu melafazkan bai'ah sedemikian rupa  kerana sedar dan percaya semua mereka akan terus istiqamah dalam perjuangan Islam melalui PAS, sehingga lafaz tersebut sedikit pun tidak diras beban sama sekali.
  • Lafaz baiah dan ta'liq talaq itu sama sekali TIDAK menjadikan isteri dan keluarga sebagai gadaian atau cagaran UNTUK KERJA POLITIK, malah ia sebenarnya menunjukkan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar politik tetapi adalah Islam dan semuanya adalah sama penting dengan keluarga. Kesemua itu seolah-olah satu, Politik, Islam dan kelaurga adalah perjaungan yang satu tanpa sebarang pemisahan.
  • Pimpinan mungkin membenarkan atas dasar siyasah syar'iyyah yang memang wujud di dalam Islam.
  • Bai'ah tersebut dibuat bagi tujuan menolak kemudaratan yang lebih besar dan menyeluruh (JIKA lompat, khianat atau keluar parti) sehingga diharuskan untuk dikemudiankan mudarat yang kecil peribadi dan individu. Dan ada kaedah Fiqh yang terang menyatakan : "Didahulukan maslahat ramai atas maslahat peribadi". Justeru, lafaz talaq walau dibuat mudaratnya hanya akan terkena atas individu sahaja berbanding mudarat kepada seluruh perjuangan parti dan Islam akibat keluarnya seseorang dari partinya.

Walaupun semua di atas saya yakin dan faham, namun secara peribadi saya melihat TIDAK BOLEH UNTUK sengaja menggabungkan dua mudarat dalam satu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang.

Kita faham, keluar dari parti (perjuangan Islam) adalah satu kesalahan, malah di sisi ahli PAS, PAS adalah sebuah jemaah Islam dan bukan sekadar parti politik. Justeru memang amat wajar untuk tidak sesekali memikirkan untuk keluar dari kumpulan atau jemaah amar makruf nahi mungkar atas nama PAS itu dikira sebagai KESALAHAN, NAMUN ADALAH TIDAK WAJAR kerana :

  • Mengikat KESALAHAN ITU DENGAN satu kesalahan lagi seperti mencerai isteri dengan Talaq Tiga kerana ia akan hanya menggandakan mudarat ke atas seseorang sedang Islam amat menganjurkan sesebuah mudarat itu diminimakan dan bukan dipergandakan. Lebih kurang tepat, kerana mudarat itu bukan hanya mengenai individu yang bersalah tetapi akan merebak kepada isteri dan anak-anaknya.

 

  • Islam juga tidak membenarkan hukuman atas satu kesalahan dijatuhkan sebanyak dua kali. Demikian juga displin dalam hal hukuman hudud dan qisas. Sebagai contoh, sekiranya seorang lelaki berzina sebanyak tiga kali, dan kemudiannya barulah dia ditangkap dan dihukumi oleh sebuah kerajaan Islam, hukuman sebatnya hanyalah 100 kali juga dan bukan 300 kali.[5] Kecuali setelah dihukum, ia mengulanginya, barulah hukuman berasingan akan dikenakan semula. Itulah ruh dan maqasid dalam hukuman Islam yang sentiasa mendidik dan minimakan hukuman. Namun dalam konteks baiah talaq ini, ia seolah memberikan hukuman berganda atas satu kesalahan (jika berlaku). Wallahu'alam. PAS mempunyai ramai cendiakawan Islam yang popular dan ulung, kita amat berharap dapat mendengar hujjah dan justifikasi mereka dalam hal ini.

 

  • Keluarnya seseorang calon dari PAS tidak semestinya ia terus mengkhianati perjuangan Islam secara total, malah terdapat kemungkinan ia akan terus aktif dalam perjaungan Islam melalui platform jemaah-jemaah lain yang mungkin tidak bersifat politik seperti tabligh dan lain-lain. Justeru, mengenakan dua mudarat ke atasnya adalah tidak wajar kerana dia BELUM BOLEH DIKIRA mengkhianati Islam secara sepenuhnya, hanya kerana ia meninggalkan PAS.

 

  • Menggunakan sumpah setia dengan lafaz ta'liq sebagai pengikat juga tidak WAJAR kerana melafazkan talaq tiga dengan satu lafaz dianggap satu kesalahan dan dosa oleh majoriti ulama,malah penceraian sebegitu juga dibenci oleh Rasulullah serta para sahabat. Maka mengapakah diambil jalan yang dibenci ini sebagai strateginya, sedang boleh difikirkan cara-cara lain untuk mengikat calon untuk kekal. Seperti sumpah laknat atas diri, dicagarkan harta tertentu kepada parti dan sebagainya yang bersifat neutral, bukan sumpah yang tercela dan dikira dosa.

 

  • Bukankah talaq adalah perkara yang dibenci oleh Allah walau ia diharuskan? Ia juga adalah ihsan yang diberi oleh Allah bagi suami isteri yang benar-benar memerlukan, ia juga diajar oleh Allah swt untuk mengikut tertib kiraannya. Mengapa perlu hal sebegini dijadikan pengikatnya? Amat sedih jika terputus hubungan suami isteri, bukan kerana krisis dan ketidaksefahaman tetapi disebabkan perkara luar dari urusan dalam peribadi mereka berdua. Maqasid Shariah dalam peruntukan cerai dalam Islam adalah untuk keharmonian rumahtangga dan keluarga, peruntukan tiga kali diberikan oleh Allah adalah khas untuk suami isteri yang bercerai agar memikir kembali kebaikan kedua-dua pihak dan dibenarkan mengikat semula perkahwinan setelah muhasabah.

Lalu, sebarang penggunaan ‘cerai' untuk tujuan luar rumah tangga memerlukan nas dan hujjah yang benar-benar kukuh. Kerana ia aakan memadam seluruh objektif asal peruntukan cerai yang diberikan oleh Allah swt.

 

  • Saya tidak pasti bagaimana teks dan lafaz diolah. Cuma kita juga tidak boleh menolak kemungkinan perjuangan PAS menjadi melencong akibat pertukaran pimpinan di masa-masa akan datang. Walaupun akan dibidas sebagai KURANG PRAKTIKAL DAN TIDAK MUNGKIN HAL ITU AKAN MENJADI KENYATAAN, namun sepak terajang politik sukar diduga. Bayangkan, jika itu berlaku dan PAS tidak lagi komit dalam perjuangan Islamnya, apakah yang mampu dibuat oleh calon PAS yang masih inginkan perjuangan Islamnya?. Dia tidak boleh keluar parti kerana terikat dengan lafaz talaq tiganya.

AKHIRNYA

Demikian pandangan saya, semua yang membaca bebas untuk menerima pendapat ini atau menolaknya.

Terpulanglah, jika ada sesiapa yang ingin meremeh dan menolak tulisan ini serta menuduh saya sebagai ahli akademik ‘yang duduk dalam bilik aircond', tidak layak memberi pendapat dan tidak mengerti apa-apa hal perjuangan politk Islam. Mereka bebas untuk berbuat demikian.

Apapun, saya hanya memberikan jawapan berupa pandangan kepada orang yang menyoal, boleh jadi pandangan ini benar dan wajar difikirkan, boleh jadi ia tidak mempunyai sebarang nilai untuk difikirkan. Keikhlasan saya dalam melontarkan pandangan ini, tidaklah perlu untuk dipersoal dan didebatkan dan cukuplah Allah swt sebagai saksinya. Saya yakin lontaran ini dibuat secara ikhlas, untuk kebaikan umat Islam di Malaysia khusunya ahli-ahli PAS.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

09 November 2009

 

 


 

Muslimat Pas pertahan bai'ah

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai'ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti.

Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai'ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai'ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.

"Kami sangat setuju dengan bai'ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah.

"Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti... sama kasihnya," kata beliau kepada Mingguan Malaysia semasa ditemui pada Seminar Memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai'ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.

Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai'ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.

"Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh 'main-main' masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam.

"Saya melihatnya positif. Media jangan 'main-main' dengan isu ini," katanya.

Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah.

"Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon," katanya.

Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah dilakukan oleh parti.

 


Bai'ah talak: PAS Pusat sedang siasat PDF  | Print |  E-mail
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS sedang menyiasat amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pihak dalam parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi dari PAS Pusat untuk berbuat demikian.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengarahkan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS untuk menyiasat perkara itu.

Mustafa membuat kenyataan ini bagi mengulas laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan para calonnya untuk berbai'ah (ikrar) untuk taat setia kepada parti.

Antaranya dilaporkan, calon PAS berbai'ah jika beliau menyeleweng dan mengkhianati PAS, maka terjatuhlah talak ke atas isterinya.

Ia dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Laporan ini pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Menurut laporan, PAS menjadikan bai'ah sebegini untuk memastikan tidak ada calon atau wakil rakyatnya yang mengkhianati PAS dengan cara berpaling tadah dan menyokong parti lawan.

Sehingga kini, terbukti tidak ada satupun wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti itu dengan menyokong parti lawan.

 

 



[1] Hasyiah Ibn Abidin, 3/785

[2] Majmu' al-Fatawa, IBn Taymiah, 33/141

[3] Al-Hawi Al-kabir, Al-Mawardi, 13/178 ; Mughni muhtaj, 3/326

[4] Rujuk Majmu' Al-Fatawa, 33/208 ( Kafarah langgar sumpah adalah mengikut urutan kemampuan 1) bebaskan seorang hamba 2) Memberi makan 10 orang miskin 3) berpuasa tiga hari.

[5] Rujuk At-Tasyi' Al-Jina;ie, Abd Qadir Awdah


Last update: 13-11-2009 18:02

Published in : Soal Jawab, Soal Jawab & Isu Pilihan
Quote this article in website Favoured Print Send to friend Related articles Save this to del.icio.us

Users' Comments (28) RSS feed comment
Posted by azam, on 02-02-2010 02:33, IP 115.164.159.48, Guest
1. sy sokong case closed.....
byk lg persatuan kt malaysia ni yg bai'ah 
bukan2 dan merepek.knp xjd isu.sbb bkn parti politik.
 
» Reply to this comment...

Posted by abu, on 17-11-2009 00:21, IP 203.82.66.200, Guest
2. case closed....
bknkh PAS pusat x setuju dgn baiah tersebut....watpe nk gado2..kes tutup. 
..nk marah uzar wat pe...
 
» Reply to this comment...

Posted by CARILMU, on 15-11-2009 01:14, IP 120.141.94.217, Guest
3. sekadar pendapat...
assalammualaikum... memandangkan ahli politik yg. terlibat dalam hal ini merupakan mereka yg. kukuh kefahaman agamanya dan juga parti yg. diwakilinya..pasti mereka ini semua tahu akan akibatnya,malahan sanggup pula menangunggnya..dan itulah sebenarnya hak mereka..seandainya perkara ini ada yg. akhirnya benar2 terjadi(berlaku jatuh talak 3)pastinya ada formula utk. menyelesaikannya("cina buta")..kalau masih berkenan...maka dgn. itu masalah mereka ada penawarnya....cumanya yg. menjadi isu,adakah cara ini yg.palin sesuai utk. dijadikan sebagai pencegah???..tidak adakah lagi kaedah yg. lebih sesuai(yg.sebanding "gerunnya") serta tidak menimbulkan "keanehan" cara politik para agamawan???... (di mata masyarakat umum)
 
» Reply to this comment...

Posted by Ahli, on 14-11-2009 11:15, IP 60.50.53.170, Guest
4. Sila rujuk
http://www.youtube.com/watch? v=hqUAFS-CcUE
 
» Reply to this comment...

Posted by politik oh politik, on 13-11-2009 23:30, IP 58.26.173.195, Guest
5. bai'ah pas
saya rasa berita tu pro umno......so, ia lebih untuk memburukkan pas......byk isu sengaja diadakan untuk menutup kelemahan umno. itu lah halagan yang terpaksa dihadapi oleh pejuang islam. 
 
sy percaya ustaz sendiri pun mesti ada halangan2 utk mengembangkan ekonomi islam sehinggalah ustaz di peringkat berjaya skg...  
 
begitu juga dgn pejuang islam dalam pas..terpaksa menerima semua cabaran ini utk perjuangan islam. 
 
kita tgklah negara kita skg.......mcm 2 msalah dari MCA yg xselesai...MIC yg xselesai. pastu UMNO yg xputus2 dgn rasuah. itu lah yg menyebabkan mereka ni telah MENGALIH PERHATIAN KE ARAH BURUKKAN PAS supaya orang kita ni blh lupakan konflik dalam BN tu. 
 
sy harap islam tetap dipetahankan......dan kepada pejunag islam. jgn putus asa...
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by salim, on 13-11-2009 23:08, IP 119.160.146.249, Guest
6. adilkah kita
Adilkah perkara ini diulas sedangkan UZAR sendiri tahu kesahihan lafaz bai'ah sebenar tidak diketahui. 
 
Pelbagai persepsi buruk terhadap PAS sudahpun dpt kita lihat dalam perbincangan isu ini dan secara tidak langsung mungkin kita telah menyumbangkan saham dalam hal ini (walaupun kita tiada niat dan merasakan pendapat kita ilmiah, adil dan neutral). 
 
Tidak ada jalan lainkah untuk mendapatkan kesahihan perkara ini seperti menghubungi Dewan Ulama PAS atau seumpamanya. Adakah memadai kenyataan akhbar / hearsay dijadikan asas untuk memulakan perbincangan perkara yg sebesar ini. Apatah lagi masyarakat awam mempunyai tahap disiplin ilmu yg berbeza; dan kita sendiri dpt lihat pelbagai kenyataan yg beremosi dilontarkan. 
 
Berdiam diri sebelum mengetahui perkara yg sebenarnya adalah lebih baik. Simple analogy.. jika pihak A mengatakan UZAR adalah begini dan begitu.. perlukah kita ulas di media ? Apatah lagi bila ia melibatkan organisasi islam seperti PAS yg sememangnya ramai yang mahu melihat ia jatuh; walaupun tiada badai yg melanda. 
 
Wallahu'lam
 
» Reply to this comment...

Posted by Shairazi, on 13-11-2009 02:02, IP 203.82.79.110, Guest
7. Peace No War
8) Rilek ar..
 
» Reply to this comment...

Posted by ADAM AMIN, on 13-11-2009 00:42, IP 115.132.31.67, Guest
8. MANUSIA SENANTIASA MELAKUKAN KESILAPAN
:cry  
SEDIH... PILU..... SEBAK... 
 
SEJAK KEBELAKANGAN NI... 
PAS DIHUJANI DENGAN PELBAGAI ISU NEGARA.. 
 
ANTARANYA.. 
i) Ta'lik buta untuk menjadi ADUN atau ahli PARLIMEN (Sahabat Nabi berjuang dan bersama dengan Nabi seperti mereka menjaga dengan baik dan penuh kasih-sayang kepada para isteri dan anak-anaknya) Maksudnya si isteri tidak akan ditinggalkan dan bukan alat kepada politik. 
Tapi, Ada orang mengatakan bahawa ahli politik berpeluang beristeri MUDA, mereka tidak percaya dan sangsi dengan calon pilihan sendiri. 
 
ii) Mereka mendakwa Mahaguru Nik Ajis ke Mekah dengan duit RASUAH. (Mereka berkata lagi, jika dah banyak kali ke Mekah, lebih baik membantu rakyat miskin di Kelantan) 
 
iii) Politik PAS di Selongor jadi pening lalat, Mereka kata PR dah gila kuasa, gila harta, gila pangkat.... Beri sumbangan tak ikhlas, hanya untuk disiarkan dalam Harakah. 
 
iv) Mereka kata, kenapa enggan berpakat dengan UMNO Muslim daripada berpakat secara Bai'ah dengan orang-orang kafir DAP. 
 
Banyak sungguh persoalan sejak kebelakangan ini, 
 
Sedih saya melihat situasi dihina dan terpaksa diterima oleh PAS. 
 
Adakah parti ini sudah terkeluar dari landasan Sunnah Nabi dan Para Sahabah? 
sehingga ada manusia yang sanggup mencari setiap inci kelemahan PAS. 
 
:) :) :)  
Diharap golongan AGAMAWAN yang berpegang teguh dengan SUNNAH NABI, dapat memacu negara bersama pemimpin yang dipilih oleh RAKYAT.
 
» Reply to this comment...
» See all 2 replie(s)

Posted by Dr Mohd Afendi, on 12-11-2009 12:31, IP 60.51.4.198, Guest
9. Pakar2 Fiqh Kontemporari Amat diperlukan
Assalamulaikum Ust, 
Terima kasih atas ilmu di atas. 
 
Isu terbaru ini membuka mata kita bahawa hal2/ isu2 semasa mempunyai evolusinya yg tersendiri. Walaupun perkara pokoknya tetap sama, namun ia masih manghantui pemikiran masyarakat kita hatta sebuah parti berlandaskan Islam pun tidak terkecuali dari merasai tempiasnya.  
 
Pagi ini Prof Dr Zaleha telah berkumandang di radio IKIM & memberikan hujah beliau. Namun dari perspektif pendengar, perbahasan terbatas krn kurangnya sumber ilmu yg sahih di samping sentimen emosi yg masih menebal. 
Nampaknya para ilmuan sekalian perlu berganding bahu mewujudkan suatu forum yg lebih sihat, padu dan berwawasan untuk memacu ummah ke arah shirotol mustaqim
 
Kelahiran ulama'2 yg berpesan dgn kebenaran dan kesabaran ini bakal menerajui M'sia ke arah peradaban yg lebih bertamadun.  
Teruskan usaha ini, Ya akhi!
 
» Reply to this comment...

Posted by MP, on 12-11-2009 03:18, IP 203.82.91.101, Guest
10. Cuma pendapat saya:
A'kum, saya bukan seorang alim, juga tidak bekerja di bilik aircond hehe..hanya ingin beri sikit pendapat, boleh kan? 
 
Ok..time akad nikah, kadi tanya bakal isteri setuju ke tidak. Kalau takde paksaan,si bakal suami shake-hand tgn kadi then akad..kan? Time orang b'cerai pun sama, suami tu sendiri jugak yang lafaz dr mulut dia (sms pun dah kira kan sekarang). Janji dia waras, mmg berniat dengan sendirinya dan takde orang paksa-paksa dia. Baru sah talak tu...kan?  
 
Yang saya paham talak tu sebulat2 datang dari naluri dan pertimbangan seorang suami, kuasanya veto tapi amat2 berat kerana melibatkan kewibawaannya dan amanah yang dijanji dengan Allah. Saya baca dalam buku rumahtangga Islam jugak ada tulis rasulullah(saw) pesan jgn main2 dengan talak tu, Allah paling benci dan tak suka dengar perkataan tu, sbb Dia kan Ar-Raheem iaitu yang Maha Loving. Sebuah perkahwinan tu jugak umpama sebuah masjid.. yang tu pun saya baca dalam buku jugak lah. 
 
Ok sekarang ni, saya terharu sgt bila leader2 pas pegi cipta perjanjian baru yang scary mcm tu. Apa sesuai ke kita nak sebut2 sangat benda yg Allah benci dalam ikrar 'parti yang memperjuangkan Islam'? Tak suitable langsung la.. 
Orang ketiga especially leader yang kita respect patut baik2kan lah hubungan suami isteri bwh didikan diorang,bukan takut2kan members dengan taktik ugut-ugut macam ni. Tak sedap lah.. 
 
Bukan apa, saya kesian kat pakcik makcik kat kampung tu..yelah diorang bukannya belajar tinggi ijazah syariah ke usuluddin ke kat universiti..Bukan diorang kisah pun politik2,yang diorang tahu kang sampai ajal nak ler masuk syurga kan...kalau cikgu tak amanah kesian ler anak murid. Tua2 pun murid gak tu, kalau jadi jandu tua kan ke susah idup? Anak2 camne? mau tak mau kena ikut gak, kesian la..dah kena tipu..Islam tu cantik lah, kalau nak fight politik takpe fight lah, mintak tolong jangan la kotorkan Islam. Sayang. 
Ingat tak masa sekolah menengah kita belajar PI bab 'tiada paksaan dalam islam'? alamak takkan semua dah lupa?
 
» Reply to this comment...
» See all 2 replie(s)

Posted by Mamat, on 11-11-2009 22:28, IP 203.82.66.198, Guest
11. uzar
kalau tidak keberatan minta tolong uzar update artilel ni krn TGNA dah jawab dlm akhbar hari ni
 
» Reply to this comment...
» See all 2 replie(s)

Posted by Me, on 11-11-2009 13:51, IP 115.132.57.146, Guest
12. Selamat berjuang
Lain situasi/kedudukan seseorg, lain le pandangannya.Pada saya tak de masaalah, sbb tak sesat pun. Steady YB Ir Khalid dll yg seangkatan, selamat berjuang. 
Manusia tak sempurna 100%, Allah lebih mengetahui hati2 kita.
 
» Reply to this comment...

Posted by Zulkarnain bin Mohd noh, on 11-11-2009 06:14, IP 60.52.29.107, Guest
13. Abutaqiyuddin
Setahu saya kelantan pernah melakukan hal ini. Bentuk bai'ah ana tak pasti. iaitu semasa berlakunya lompat parti adun semangat 46. Bagi menyelamatkan sebuah kerajaan Islam Tok Guru melakukannya. Wallhua'lam sejauhmana benarnya. Kalau benar mungkin Tok Guru ada alasannya tersendiri. Biar tok guru yang menjelaskannya dan jangan membuat spekulasi sendiri. 
 
UZAR : Masalahnya, kalau Kelantan buat sekalipun, kemudian calon tu lompat, ia tak semestinya jatuh talaq tiga juga. Rujuk ijtihad-ijtihad ulama di atas. 
 
Sekiranya calon tu berpegang kpd pendapat mazhab lain yang saya dedahkan di atas. maka dia hanya perlu selesaikan kaffarah shj. Apatah lagi calon2 PAS pun ramai yang ustaz dan mengaji juga. 
 
Sudahlah cara itu kelihatan buruk, ia juga boleh bawa kesan buruk kepada isteri dan anak-anak. Malah ia juga bukanlah strategi politik dan dakwah yang berkesan malah backfire pula dari sudut politik seperti apa yang berlaku dan heboh sekarang ini.. 
 
Itu pandangan saya, bukan saya buat hukum atau keluar fatwa. Nak terima boleh, tak terima pun..tak mengapa. 
 
Talaq ta'liq masa kahwin adalah berbeza dgn apa yang kita bincang ini.
 
» Reply to this comment...
» See all 1 replie(s)

Posted by kadir rahman, on 11-11-2009 01:37, IP 124.82.62.127, Guest
14. Re: bai'ah
hokagesama, 
 
Belum ada masjid yang dirobohkan. Sila baca artikel dengan teliti. 
 
Bagaimana pula dengan lafaz bai'ah cerai ta'liq seperti yang saudara Ahmad bangkitkan, "sesudah minah binti mamat sah menjadi isteriku, lalu aku telah meninggalkannya selama 4 bulan berturut-turut, tanpa mendapat nafkah zahir dan batin, ketika itu, terfasakhlah nikah ini".  
 
Bayangkan jika lelaki tersebut ditahan dibawah akta ISA selama dua tahun tanpa pengetahuan si isteri. Terfasak atau tidak nikah tersebut? Dari dalil/nas manakah mewajibkan lafaz bai'ah cerai ta'liq tersebut? 
 
penafian: saya tidak menyokong mana-mana ta'liq yang dibuat secara paksaan.
 
» Reply to this comment...
» See all 2 replie(s)

Posted by Ungu73, on 10-11-2009 23:28, IP 60.48.230.48, Guest
15. Setuju
Salam UZAR, 
 
Terus-terang saya katakan, saya beristighfar membaca isu ni dari blog zulkifli nordin..Saya bersetuju dengan artikel ustaz.. 
 
Sedih saya melihat cara tindakan gerakan Islam. Bagi saya cara bai'ah ni ada unsur aniaya kepada ahli-ahlinya. Bai'ah ni akan menghantui sepanjang hidup mereka selagi mereka tidak keluar dari ikatan sumpah taat setia ni.. 
 
Entahlah ustaz, saya nak komen lebih-lebih pun saya pun tak reti dengan cara pemikiran ahli politik ni..Saya ni orang biasa je..Tapi memang melampaulah...sampai lafaz talak tiga!!
 
» Reply to this comment...

Posted by as-syarafuddin, on 10-11-2009 20:55, IP 124.82.79.119, Guest
16. Isu bai'ah talak 3
Salam... Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga, segaja ditimbulkan oleh pihak tertentu... http://www.harakahdaily.net/ v2/index.php? option=com_content&view=article&id=23162:baiah-talak-tiada-dalam-kepala-saya-nik-aziz&catid=1:utama&Itemid=50
 
» Reply to this comment...

Posted by Dr Aisyah, on 10-11-2009 18:56, IP 115.134.215.215, Guest
17. Haji Muda
Salam UZAR, 
Tahniah, artikel yg bagus dan suatu kupasan yg sangat Ilmiah... PAS benar2 memerlukan pemimpin pelapis yang berkaliber dan berkarisma seperti UZAR dan MAZA... 
 
off topic sikit- saya ingin melahirkan kesyukuran dan kegembiraan saya ketika ini kerana saya dan suami terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Saya sangat2 bersyukur pd Allah kerana memilih kami menjadi tetamuNya dalam usia 29 tahun... suatu usia yg scr relatifnya agak muda utk menunaikan haji... cabaran dan ujian yg diterima juga agak hebat tapi alhamdulillah Allah permudahkan segalanya walaupun pada mulanya nampak seperti mustahil... cabaran dari mak, ayah, mak mertua, ketua jabatan di klinik dan yg paling menggugat perasaan seorang ibu muda- terpaksa meninggalkan anak2 yg masih kecil (3tahun dan 2 tahun)selama lebih sebulan! Semoga Allah memberi kekuatan pada kami menghadapi ujian ini. Kami akan berangkat insyAllah 19NOV depan dgn TH Travel. Doakan kami mendapat haji Mabrur, Ameenn... 
 
UZAR : Saya orang biasa aja..tak layak untuk disebut bersama nama Dr Asri dan mereka yang sepertinya. 
 
 
Didoakan Dr Aisyah dan keluarga mendapat haji mabrur, zanban mahgfur dwa s'yan masykur. Selamat pergi dan pulang 
 
» Reply to this comment...

Posted by hafize adnan, on 10-11-2009 17:41, IP 203.82.66.204, Guest
18. Pendapat adalah hak individu...
Salam kpd UZAR dan pembaca artikel.. 
 
Ambo bersetuju dengan pendapat ustaz.. Bagi ambo, perjuangan parti dalam perjuangan islam dan ikatan nikah suami isteri adalah perkara yang tidak bersangkut paut langsung.  
 
Kenapakah kita menjadikan isteri yang dicintai sebagai tebusan walhal kita adalah diharamkan menganiayai sesiapa pun.. Bagi ambo banyak lagi kaedah lain boleh dibuat,sudah kekeringan idea kah seorang pemimpin dalam menegak dan mempertahankankan islam?  
 
Ingatlah.. bijaksana dalam berdakwah adalah dituntut. Maaf banyak2 kerana ambo tidak pandai dalam hal agama mahupun politik. Janganlah kita duk berbalah hal2 cabang dan marilah sama2 kita menjaga akhlak dan nafsu amarah seperti yang ajar Rasulullah s.a.w.. 
 
UZAR : Saya buat artikel ini sebagai memeberikan idea kepada ahli dan mana-mana pimpinan PAS, sebagai salah satu sumbangan juga.. 
 
So, kalau nak terima..terimalah, tak terima...biarlah..mereka yang memimpin, bukan saya.. yang masalahnya, ada orang lebih sudu dari kuah..
 
» Reply to this comment...

Posted by umar, on 10-11-2009 17:37, IP 202.184.124.12, Guest
19. artikel yg bagus dan tidak bias..
alhamdulillah..selagi pandangan yg dikeluarkan didasarkan dengan dalil dan hujah yg benar dan semata2 kerana Allah..saya akan membenarkannya.. 
 
dan ustaz adalah lebih ahli dalam hal ni juga selaku pihak yg neutral.. 
 
terima kasih ustaz..PAS hendaklah membetulkan hal ini..agar rakyat tidak keliru dan bercanggah pendapat sehingga berhujah dengan membuta tuli semata2 utk membacking apa yg dirasanya betul.. 
 
syukron ustaz.. 
 
UZAR : kalau PAS rasa dah betul, depa tak perlulah untuk betulkan apa-apa..Namun jikapun betul dari sudut hukum, belum tahu betul dari sudut strategi politik, khususnya apabila 'dipecahkan' oleh seorang dua YB. 
 
 
» Reply to this comment...

Posted by hokagesama, on 10-11-2009 15:59, IP 202.146.72.41, Guest
20. bai'ah
saya setuju dgn pendapat ustaz.  
 
bukankah nikah itu sama seperti mendirikan masjid...perkara yg Allah dan Rasullulah suka, kenapa nk robohkan masjid? berani sungguh...
 
» Reply to this comment...

Posted by mujahidhisyam, on 10-11-2009 11:23, IP 58.26.217.96, Guest
21. pandangan
alhamdulillah, kekeliruan saya terjawab setelah baca pandangan uzar. 
 
sedih juga dengan komen rahabiah, sedangkan uzar telah bersikap adil dengan meneliti dan mencari maklumat dari banyak sumber (seperti dinyatakan dalam artikel), bukan terus komen tanpa selidik dahulu (seperti yang rahabiah katakan). 
 
jujurnya saya melihat wujud segolongan dalam PAs yang tidak boleh menerima kritikan @ teguran dari pihak luar. semua yang dilakukan dalam PAs adalah benar belaka dan tiada cacat cela. sedangkan baginda Nabi juga masih meminta pandangan dan menerima teguran para sahabat, inikan pula kita yang hidup di akhir zaman. kes yang jelas ialah berita maklum balas negatif beberapa anggota PAs terhadap pembentangan prof aziz bari dan dr abu hassan hasbullah. bukankah sesuatu yang amat berharga apabila 2 orang tokoh ini sanggup memberikan kritikan membina kepada PAs? 
 
cuma tentang artikel ni, ada part yang saya tak jelas. berkenaan talaq adakah jatuh dalam satu lafaz atau tidak, uzar menulis, "PENDAPAT KEDUA: ia adalah HARAM (DOSA) dan jatuh (TIGA)." 
 
tapi meneliti dalil2 yang disertakan, bukankah seperti menunjukkan talaq hanya jatuh satu? 
 
dalil ke-2: Dalil kedua adalah hadis Ibn Umar yang menjatuhkan talaq tiga dengan sekali lafaz, kemudian Nabi s.a.ww mengarahkannya untuk KEMBALI DAN RUJUK. 
 
dalil ke-3: setelah kes dirujuk kepada Nabi, baginda menjawab; "Sesungguhnya itu hanyalah SATU, RUJUKlah dengannya sekiranya kamu mahu." 
 
:? 
 
UZAR : thanks kerana baca dengan teliti..dah dibetulkan..
 
» Reply to this comment...

Posted by abdullahbukhari, on 10-11-2009 09:09, IP 210.48.222.5, Guest
22. bai'ah dlm berita harian hari ni!
Headline berita harian hari ni, Haji Hadi minta siasat kes ni????majlis syura tak tahu menahu dgn amalan ini? 
 
UZAR : itu saya dah siarkan sejak semalam lagi akhi, telah saya masukkan dalam artikel bahawa ini bermakna bai'ah sebegitu dibuat oleh beberapa individu secara berasingan.  
 
So alhamdulillah PAS PUSAT tak buat untuk semua, namun artikel masih relevan bagi mereka yang buat dan menyokong. Namun ini bukan fatwa dan bebas untuk tolak atau terima.. 
 
 
» Reply to this comment...

Posted by Khairulrijal Arshad, on 09-11-2009 23:22, IP 124.13.77.15, Guest
23. Sorotan isu bai’ah PAS : Antara sayangka
Saya menyoroti satu persatu isu ini bagi mencari kesahihannya. Berbagai sumber cuba diperoleh dan sesetengah ulama’ juga telah membuat pandangan di samping mendapatkan sendiri kenyataan Exco Pas Pusat Ustaz Abu Bakar Chik. Berikut adalah kesimpulan yang boleh dibuat : 
 
1. Isu bermula dengan 9 blogger di Selangor yang mengambil kenyataan sedemikian yang kemudiannya mendapat liputan UTUSAN Malaysia setelah mendapatkan kenyataan dari seorang pimpinan di Selangor. 
 
2. Isu berkenaan kemudiannya mendapat liputan meluas akhbar Utusan (klik di sini) khususnya semasa Persidangan Memperkasakan Parti. 
 
3. YB Zulkifli Nordin antara yang terawal memberi respon dan telah mengeluarkan kenyataan keras berkaitan isu ini. (klik di sini) 
 
4. Dewan Muslimat mengeluarkan kenyataan selepas mendapat desakan dari pihak media dan sebahagian bloggers. Lihat kenyataan dewan Muslimat sini. 
 
5. Blogger Ust. Zaharuddin A. Rahman (UZAR) membuat rumusan awal dengan memberikan konklusi tidak bersetuju dengan lafaz takliq talaq berkenaan (klik di sini). Laman Dr. Asri sehingga ketika tulisan ini ditulis, masih tidak memberi respon.  
 
6. Penulis berkesempatan bertanya pandangan yang sama kepada Exco Pas Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik selepas seminar Pilihanraya di Johor menyatakan bahawa jika benar akad berkenaan dibuat, ia dibuat atas kemaslahatan ummah. Walaubagaimanapun, perinciannya perlu diperbahaskan. Beliau tidak menyatakan secara jelas implimentasi bai’ah berkenaan berbanding kenyataan Ketua Dewan Muslimat yang mengesahkan ia ada dibuat ke atas calon lelaki sejak tahun 2007 dan kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Mohd. Khairuddin Othman.  
 
7. Blogger Abu Ummair (klik di sini) mengambil sejarah khalifah Islam Hajjaj bin Yusuf al-Tsaqafi sebagai antara yang mula2 memasukkan bai’ah kepada khalifah Abdul Malik bin Marwan. Khalifah-khalifah seterusnya ada yang mengikuti jejaknya dan menyimpulkan bahawa... 
 
seterusnya rujuk http:// khairulrijal.wordpress.com/ (character telah penuh)
 
» Reply to this comment...

Posted by abunurrain, on 09-11-2009 22:34, IP 203.82.92.130, Guest
24. bai'ah talak taklik
saya secara peribadi tidak bersetuju kaedah yang digunakan oleh sesetengah pj negeri dalam buat bai'ah pimpinan.apabila isu ni timbul saya rasakan ini satu lagi isu yg akan cuba dimainkan oleh pihak pemerintah untuk melalui media miliknya untuk mengurangkan sokongan terhadap pakatan rakyat...terutama PAs..dalam keadaan dan situasi politik malaysia.. 
 
bagi saya tak sesuai..persepsi negetif akan timbul..maksudnya kemudhoratan lebih besar dari kebaikan...sebagai contoh..kalau kita mengajar kat masjid tiba tiba ada orang tanya pasal benda ni..susah juga nak jawab..lagi susah satu nak memahamkan..kesimpulannya..PAS jangan cuba elak dari buat masalah..orang ramai akan makin KELIRU DAN KELABU..
 
» Reply to this comment...

Posted by halim, on 09-11-2009 17:39, IP 210.48.222.5, Guest
25. pernah dengar sebelum ni
salam ustaz. sy pernah dgr sblm ni kalau tak silap saya dr Tuan Ibrahim Tuan Man dlm ceramahnya dan ustaz usahakan lah video tu. lgpn koleksi video sy dah hilang kerana hardisk rosak. yang mana us ibrahim menceritakan kesungguhan perjuangan Pas hanyalah org yg benar-benar layak.
 
» Reply to this comment...

Posted by cassablanca, on 09-11-2009 15:52, IP 203.82.92.153, Guest
26. Sangat Bersetuju
Salam Uzar. Sy amat bersetuju dalam hal ini. Walaupun sesuatu politik itu didasarkan kepada ISLAM tidak semestinya parti itu tidak akan melakukan kesilapan. Manusia sering berbalah dan pasti akan melakukan kesilapan. Jadi sekiranya ini yang akan berlaku kepada parti PAS (perjuangan yang disalahgunakan) maka kesannya amatlah besar. Nauzubillah..Dan Allah lebih tahu apa yang tersirat di sebalik para umatnya. 
 
Lanjutan daripada itu, sy ingin bertanya. Adakah Bai'ah seperti ini wujud semasa zaman Rasul Allah SAW? Adakah ianya wujud sebenar-benarnya?  
Pandangan sy. Sekiranya wujud, maka tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ISLAM zaman dahulu sememangnya berjuang kerana Allah apatah lagi Rasul Allah SAW selaku pemimpinnya. Sekiranya tidak wujud, maka umat sekarang seharusnya tidak perlu mencontohi apa yang tidak dibuat oleh Baginda SAW. Kerana perjuangan dulu berbeza dengan perjuangan ISLAM zaman sekarang. Dikhuatiri menimbulkan Bida'ah atau Syirik yang mengelirukan umat ISLAM kini dalam menempuh zaman yang semakin kusut ini. Ada kata orang, 1. Undi PAS masuk syurga, 2. Lihat gambar pemimpin PAS sahaja pun masuk syurga, 3. Menolak kepimpinan PAS bermakna menolak ISLAM..Apakah kita tidak tahu yang menentukan syurga atau neraka itu hanyalah ALLAH SWT dan yang pasti bukanlah manusia walaupun Ulama'. Perkara yang sebegini buat orang keliru kerana tiada langsung di dalam Al-Quran, Hadith mahupun hukum alam. Akhir zaman. Yg buruk dr sy, yg baik itu hanyalah dari ALLAH SWT..Sekian.
 
» Reply to this comment...

Posted by Ahmad, on 09-11-2009 14:00, IP 41.233.171.212, Guest
27. Bai'ah Calon PAS Diikat Lafaz Talaq Tiga
Salam..syukran atas pndgn ust yg ilmiah walaupon ader sesetengah pndgn ust yg ana x braper setuju..apa2 pon syukran byk2 ust..cma ana nak dptkn kepastian dr ust berkaitan amalan dalam setiap pernikahan di seluruh Malaysia, ta’liq ini wujud dikala akad nikah berlaku. Seperti, selepas akad nikah, pengantin lelaki diminta oleh Juru Nikah agar membaca ta’liq yang kandungannya lebih kurang begini; 
 
“sesudah minah binti mamat sah menjadi isteriku, lalu aku telah meninggalkannya selama 4 bulan berturut-turut, tanpa mendapat nafkah zahir dan batin, ketika itu, terfasakhlah nikah ini”. 
 
mcmner plop dgn yg nie ust..boleh ust jelaskn? syukran :) 
 
UZAR : Jauh bezanya lafaz ta'liq yang diucapkan masa nikah tu dgn yang dibuat kerana bai'ah ni kerana :- 
 
1) Ta'liq masa nikah hanya jatuh talaq satu bukan talaq tiga yang tak boleh rujuk kecuali melalui cina buta.  
 
2) Ta'liq masa nikah tu diperlukan untuk membuang mudarat ke atas isteri krn suami sama ada hilang LEBIH DARI EMPAT BULAN TANPA NAFQAH ZAHIR BATIN, atau jenis lelaki tak bertanggunjwb, justeru untuk elakkan mudarat ke atas isteri beriterusan dan digantung tak bertali, ta'liq itu dibuat bagi menyelematakan hak isteri dari terus terdera. Ia berbeza sama sekali dgn ta'liq talaq tiga yang sebabkan mudarat ke atas isteri dan bukannay membuang mudarat mcm yang dibuat masa nikah. 
 
 
» Reply to this comment...

Posted by msa, on 09-11-2009 13:51, IP 202.170.57.245, Guest
28. artikel yang baik
alhamdulillah, satu kupasan yang baik.. 
 
ana sentiasa menunggu kepulangan ustaz ke pangkuan PAS..dalam kemelut yang berlaku hari ini, PAS sangat memerlukan pemimpin seperti Ustaz untuk kembali ke arena politik..
 
» Reply to this comment...
» See all 4 replie(s)

Add your comment



mXcomment 1.0.9 © 2007-2010 - visualclinic.fr
License Creative Commons - Some rights reserved

foot

Powered by: Al-Jaroom