Senarai Lengkap Artikel Pelaburan Cara Keluar Dari Pelaburan & MLM Haram : Jawapan

Cara Keluar Dari Pelaburan & MLM Haram : Jawapan

  • PDF
(114 votes, average 4.62 out of 5)

VCD 2 siri, hubungi 0193623152 untuk mendapatkannya

( SIla dapatkan 2 keping vcd ini  : Kuliah hampir 3 jam merangkumi penerangan dan soal jawab isu semasa kewangan termasuk isu Riba, Pelaburan Internet, Skim MLM Cepat Kaya, Empay, ASB, KWSP, Jainetwork, Uptrend, Bank Konvensional, Kerja Kerajaan, Lupus Duit Haram dan banyak lagi  ; hubungi 019 3623 152 & email raisteam01@yahoo.com untuk tempahan dan pembelian)

 

Skim Pelaburan & MLM Haram :

Cara Lupus & Jawapan Pelbagai Dakwaan

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Inilah Habuan Dunia Yang Jika Salah Cara Mendapatkannya Pasti Sengsara di BarzakhBeberapa menjak selepas tulisan saya berkenaan Em-Pay, ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund, Multi Level Marketing (khas kepada yang tiada produk),  Winlifund berlegar di kalangan masyarakat Malaysia, amat banyak respond yang saya terima. Email saya dan yahoogroups tidak sunyi dari diterjah respond yang pelbagai.

"Alhamdulillah ustaz tulis beserta hujjah dan ilmiah, kalau tak mesti mereka tolak mentah-mentah" Kata seorang peserta ABB Fund kepada saya melalui sms.

Ada yang menelefon saya dan sambil menangis menceritakan perihal penyertaan mereka di dalam pelaburan-pelaburan haram ini.

Ramai pula yang meminta jalan penyelesaian dalam keadaan mereka telah menggunakan wang keuntungan hasil pelaburan ini untuk diri, anak dan keluarga. Jumlahnya hampir mustahil dapat diganti semula, katanya. InshaAllah artikel ini akan cuba membantu memberi jawapan untuk anda yang mementingkan kehidupan dunia dan akhirat.

Usaha Bertahun Berjaya Tembus Kerana Pelaburan Internet

Web saya yang sebelum ini hanya terhad kepada sekitar 150-200 pelawat sehari, berubah setinggi 10,000 sehari. MashaAllah, saya juga agak terperanjat, kerana saya tiada info langsung bahawa Em-Pay, ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund, MLM,  Winlifund dan pelbagai skim inetrnet dan cepat kaya ini begitu ramai pesertanya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Jawapan yang saya sediakan, saya fikir ia hanyalah untuk tatapan beberapa kerat pelawat yang menghantar soalan kepada saya sebelum ini, tidak terfikir pula saya artikel ini di buka sehingga 50,000 kali dalam masa 1 bulan lebih sahaja iaitu sejak ia saya siarkan di web peribadi saya ini. Tidak terkira inidividu yang memanjangkannya di group masing-masing.

Ini menyebabkan saya menerima email soalan hukum, permintaan penjelasan dan kajian lain sekitar 200-600 email sehari. Oleh kerana saya juga bekerja sepenuh masa dan ada tanggung jawab yang besar kepada organisasi tempat saya berkhdimat, maka terpaksalah saya menutup alamat email dan nombor telefon yang sebelum ini disiarkan di web saya. Nanti , bila dah reda sikit barulah saya siarkan semula.

Waktu Yang Sesuai

Apabila saya menyiarkan hasil pendapat dan kajian tentang ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund, MLM,  Winlifund..saya kira di sinilah artikel dan waktu yang paling sesuai untuk saya menyertakan juga pendedahan tentang betapa besarnya dosa Riba. Alhamdulillah, dengan populariti tajuk ini, dapat juga akhirnya saya sampaikan kepada umum perihal kebahayaan dosa Riba kepada hidup dunia akhirat.

Sebenarnya telah bertahun-tahun saya cuba meng'highlight'kan perihal dosa Riba yang amat besar ini. Sebenarnya banyak yang telah saya usahakan (setakat kemampuan dan ruang yang ada) untuk mendedahkannya kepada awam.

Antara usaha yang telah saya usahakan antaranya :

 

1) RADIO : Empat siri penerangan tentang Riba di Institusi Kewangan Konvensional di RADIO IKIM.FM . Ia diterbitkan oleh Ust Mahadir Shaharuddin dan disirakan di radio pada hari selasa berturut-turut.

2) Television : Satu Siri penerangan Riba dan keperluan kepada Bank Islam di RTM jam 8.30 pagi pada 21 Julai 2006

3) Kursus Solat : Dalam setiap Kursus Solat yang telah saya kendalikan di lebih kurang 50 kali dengan jumlah keseluruhan peserta sekitar 10,000 orang. Pasti akan saya sebut dengan jelas perihal Riba.

4) Ceramah Agama Biasa : Dalam hampir semua ceramah-ceramah saya di masjid dan surau seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang. Pasti juga akan saya sentuh perihal Riba. Tanyalah di mana saya berceramah, terutamanya tempat yang pertama kali saya ceramah.

5) Media Cetak : Saya juga cuba lagi menyedarkan masyarakat dengan menulis berkenaan RIBA beberapa kali di Majalah-i dan METRO AHAD sejak tahun awal 2006. Ia diterbitkan tetapi saya tidak mengetahui berapa ramai yang membacanya.

6) Media Internet : Kemudian, saya bina pula web peribadi sejak Mac 2006 dan memasukkan tajuk-tajuk berkaitan ancaman ini. Setelah itu, saya bina yahoogroups dan forum maya untuk tujuan yang sama. Selain itu saya juga selalu menumpang di web-web lain untuk siaran ilmiah tentang Riba ini.

7) Seminar & Forum ilmiah di Univeristi : Membentangkan kertas kerja seminar dan forum di seminar umum atau anjuran fakulti di Univeristi-univerisiti. Ini juga telah saya lakukan antara universiti yang dapat saya bentangkannya adalah UITM Kedah, Politeknik, UPM, UUM, UM, UIA dan banyak lagi.

8) Majlis Fatwa : Membentangkannya di Majlis Fatwa yang sudi mendengarnya dan membincangkannya.

9) Merealisasikan Teori, Bukan Hanya Bercakap : Selain dari hanya bercakap, saya juga terlibat dengan alam realiti kewangan Islam. Dari sinilah, semua teori-teori Fiqh tadi di uji tahap kemampuannya untuk di jadikan realiti di Bank Islam tempat saya berkhidmat, cuba menyesuaikannya dengan 'background' undang-undang yang kurang 'Shariah freindly' sememangnya mencabar. Tapi akhirnya berjaya juga kami realisasikan teori Fiqh dari kitab ini kepada alam realiti. Lihatlah produk-produk tulen hasil gabungan teori Shariah dari kitab Fiqh dan teori pemasaran semasa demi menghasilkan satu produk yang menepati Shariah dan mampu dijual dan menarik pelanggan di Malaysia khasnya.

Mana MLM alternatif??

"Kalau ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan sahaja macam mana MLM yang menepati Shariah tu, biar orang boleh guna" Demikian tempelak seorang pemuda  tanpa kesabaran melalui sebuah web.

Jawapan saya seperti berikut :-

Pertama : Memang ramai 'suruh', 'arah' dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.

Inilah masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam sebelum meminta. Kita kena faham, tak semua yang perniagaan diasakan ikut cara yang menpeati Shariah itu menarik pada pandangan mata orang ramai dan boleh laku untuk dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan dan skim atau produk yang sangat boleh dijual dan menarik itu menepati hukum Shariah. Jadinya bagi menghasilkan satu plan hebat yang menepati Shariah dan boleh jual, perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah & bisnesman amat perlu dalam hal ini.  

Mana mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat dicadangkan hanya dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja kepada saya, ini kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut teori Shariahnya. Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan tidak sebahagian yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan pihak pakar pemasaran demi memastikan samada ia 'viable' untuk diperkenalkan atau tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab pemasaran.

Kedua : Saya juga bukanlah seorang jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan plan bisnes MLM contoh yang hebat dan menepati Shariah. Mudahnya, selagi tiada bisnesman Muslim yang punyai perhatian kuat tentang halal haram dan berkesudian berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak akan didapati plan dan skim MLM alternatif yang menepati Shariah.

Untuk maklumat, proses inilah yang amat kerap kami (ilmuan Shariah sedunia, saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi kewangan Islam seluruh dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar pemasaran, peguam untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta dalam masa yang sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di sisi undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai juga.

Rasa Pelik Orang Yang Pelik

Banyak juga email ucapan terima kasih, insaf, penghargaan yang saya terima serta soalan lanjut dan permintaan untuk mengkaji pelbagai lagi skim yang wujud. Tidak kurang juga sekitar 1 % dari ribuan email yang diterima mengandungi kata-kata cemuhan, makian, carutan dan penghinaan, bagaimanapun tiadalah yang saya baca sehingga habis. Bagi saya masa amat penting, terlalu banyak soalan dan tugas lain perlu saya selesaikan dari membuang masa membaca email tiada nilai Islam dan tiada berilmu tersebut.

Ada yang merasa pelik bagaimana saya dapat mengeluarkan sesuatu hukum hanya sekadar dalam 4 jam. Jawapan saya, sebenarnya semua jenis pelaburan itu telah saya tahu hukumnya sejurus 1-5 minit saya buka webnya, atau mendengar penerangan dari pesertanya. Bukannya kerana saya terlalu pakar, tetapi kerana elemen haramnya terlalu jelas bagi yang biasa dalam industri pelaburan dan kewangan Islam. Malah panduannya telah diputuskan oleh Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia sejak tahun 80 an lagi. Cuma mereka yang tidak biasa saja yang merasa pelik, bagi saya ia adalah tugas yang telah bertahun saya lakukan dalam dunia realiti industri kewangan Islam dan juga akademik.

Selain itu, ia juga berdasarkan anugerah pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di industri kewangan ini. Saya sememangnya telah amat biasa menyemak dokumen bagi setiap pelaburan, produk kewangan bank dan sebagainya. Ia memang tugas rasmi saya setiap hari di sejak saya di RHB ISLAMIC Bank Berhad hinggalah ke Institusi Kewangan Antarabangsa yang saya berkhidmat sekarang ini.

Hasilnya, menyemak perkara ini tidaklah sesukar mana jika anda telah mengetahui fokus,  konsep dan displinnya, Cuma ia perlukan penelitian dan pemahaman setiap baris ayat yang didrafkan oleh peguam. Sebagaimana pakar memasak dapat mengetahui kurang rempah atau terlebih, atau menggunakan ‘ajinomoto' atau tidak sejurus mereka merasa sesuatu masakan. Ye, saya tidaklah mengatakan saya seorang pakar, cuma saya amat rapat dengan mereka yang pakar seperti Sheikh Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, pakar ilmu kewangan Islam sedunia. Saya juga baru sahaja bermesyuarat dengan beliau pada 26 Mac 2007 yang lalu, sempat juga saya menyemak hasil kajian saya terhadap MLM dan Pelaburan Internet dengan beliau secara ringkas. Alhamdulillah beliau bersetuju dengan hasil kajian saya tersebut hanya dengan beberapa minit mendengar penjelasan saya akan bagaimana ia berfungsi. Ini tidak hairan kerana beliau amat cekap, berilmu dan berpengalaman.

Sheikh Dr Abd Sattar adalah Pengerusi Majlis Penasihat Dallah al-Barakah Banking Group, Dow Jones Islamic Index, AAOIFI, Pakar di Kesatuan Fiqh Sedunia, Majlis Shariah Qatar Islamic Bank, Rayyan Islamic Bank dan di seluruh dunia. Tempiasan ilmu itu sudah cukup memberi manfaat yang banyak buat saya. Hasilnya, berkat dari kefahaman dan perbincangan dengan beliau, mampulah saya mengenalpasti sesuatu instrument kewangan dengan baik.  Di samping beliau, rakan-rakan dalam industri perbankan dan pelaburan yang telah biasa menguruskan pelaburan ratus-ratus juta juga boleh dirujuk apabila terdapat kekeliruan.

Walaupun saya telah mengetahui hukum semua produk pelaburan di atas sekilas saya melihatnya, saya terpaksa bersabar untuk menghebahkannya kepada awam kerana  saya amat faham, bahawa begitu ramai yang telah terlibat dengannya dan ramai juga ustaz dan ustazah yang terlibat. Justeru, sebarang pendedahan mestilah diiringi dalil yang secukupnya. Maka semua ini memerlukan masa, malangnya masa sesuai agak kurang ada dalam aktiviti seharian saya untuk menaip selalu.

Masalah saya seterusnya adalah, bagaimana saya ingin memudahkan fakta hukum ini agar boleh difahami oleh si pembaca. Ini satu cabaran kerana isu-isu kewangan sememangnya agak rumit untuk difahami oleh orang awam yang tidak terlibat dengannya.

Pengiktirafan & Locus Standi

"Ustaz patut ada pengiktirafan dari badan berwajib jika nak keluarkan tulisan seperti ni" kata seorang pelawat web zaharuddin.net kepada saya.

Bagi menjawab soalan ini, perlu saya utarakan soalan balas berikut : "Adakah kita nak biar je kemungkaran depan mata dengan hujjah kena tunggu Majlis Mufti terlebih dahulu?" Ini jelas bertentangan dengan Hadith Nabi :

Ertinya : "Apabila kamu nampak kemungkaran yang terang, cegahlah ia dengan tanganmu, jika tak mampu dengan lisanmu, jika tak mampu dengan hatimu dan  itulah  selemah-lemah iman" ( Muslim)

Tiada pun Nabi suruh "jika nampak kemungkaran cegahlah dengan tunggu majlis mufti dan fatwa kebangsaan terlebih dahulu"

Agenda Tertentu ? 

Justeru, apa yang saya mampu untuk nyatakan dengan segera, maka saya nyatakan. Soal memilih-milih tidak timbul, ini kerana saya hanya menjawab soalan orang yang bertanya ketika itu.  Siaran media pula adalah diluar kuasa saya. KIta hanya mampu menghantar apa-apa bahan yang kita tulis tetapi editor yang menentukan siarannya. Jadinya ia diluar kuasa saya. Apa yang mampu saya lakukan, saya selamatkan orang dari apa yang boleh di ketika ini. itu saja.

Adakah salah jika seorang lelaki melihat 10 orang sedang hampir lemas di sungai, lalu ia memilih untuk menyelamatkan 2,3 orang yang paling hampir di tebing?. Tindakannya itu boleh menyebabkan nyawa 8 orang lagi dalam amat bahaya. Dan Jika kelapan-lapan itu meninggal, adakah lelaki itu dituduh bersalah? Favoritisme?, Penakut ? ...ada agenda tertentu ?

Sudah tentu tidak, ia hanya mampu bertindak dan membantu setakat itu sahaja. Maka itu pun dah sewajarnya kita ucapkan terima kasih atas bantuannya menyelematkan 2 orang. Jika tidak semua mati.! Demikianlah isu saya juga.

Geleng kepala saya melihat gelagat pembaca. Mana tidaknya, sehari sebelumnya datang email mempertikaikan kehalalan gaji saya, kononnya saya bekerja dengan kerajaan dan membawa agenda bank kerajaan.

Sehari sebelum itu pula, sms yang mempertikaikan 'capacity' saya yang bekerja di bank serta 'kononnya' terlibat dengan riba hingga menyebabkan saya tidak layak untuk mengulas.

Ada setengahnya pula mempertikaikan saya kerana saya tidak ada jawatan rasmi dalam kerajaan atau diiktiraf kerajaan. Ada yang lain pula mengatakan, saya tidak layak mengulas kerana saya juga bertugas di bank,

Di ketika lain pula terdapat pula suara yang mengatakan, saya tidak layak juga kerana ustaz ni tak cukup faham  instrumen kewangan moden. Padahal setiap hari saya berdepan dengan instrumen kewangan moden di bank.

Kesian saya melihat alasan-alasan sebegini. Lihatlah, sebahagiannya ingin saya dikitiraf kerjaaan sebelum berkata-kata, ini bermakna; kenalah saya kerja kerajaan barulah mereka boleh iktiraf tulisan saya.

Lalu jika saya bekerja dengan kerajaan pula, pasti ada pula yang menghentam saya juga,

Ada juga yang ingin saya berada di luar bank, tapi jika demikian pula bagaimana mungkin saya memahami dengan baik aplikasi teknikal sesbuah pelaburan tanpa terlibat dengan langsung.

Jadinya, kerja kerajaan salah, tak kerja salah, kerja bank Islam salah, tak kerja pun salah, ada jawatan rasmi salah, tak ada pun salah. Tak de fatwa dari Majlis Mufti Kebangsaan salah, tak de pun salah. Cepat salah, lambat pun salah. Apa nak jadi orang zaman sekarang dalam berfikir.

Kesimpulannya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah alasan dan kaedah orang yang terlibat dengan Riba menzahirkan rasa penolakan hukum tanpa ilmu. Malanglah masyarakat harini yang asyik terikat dengan jawatan seseorang dan hanya ingin mengikut melulu berdasarkan jawatan itu. Dalam Islam, jawatan sememangnya ada sedikit nilai dalam menyebarkan hukum, tetapi nilai yang lebih penting adalah isi kandungannya.  

Jika pandangan hukum ini adalah hak mutlak si mufti, dan jabatan agama maka sudah tentu kita tidak akan dapat menjumpai kitab-kitab ulama yang tidak berjawatan ini (di zamanya) hingga hari ini. Lihatlah ulama silam dan semasa yang amat ramai tanpa jawatan kerajaan seperti Imam Abu Hanifah ( yang menolak jawatan Qadhi), Imam Malik, Imam Shafie, Imam Ahmad, Imam An-Nawawi, Imam Az-Zahabi, Sheikh Abu Zahrah, Sheikh Mustafa Az-Zarqa, Sheikh Dr. Yusof Al-Qaradawi  dan lainnya. Kitab-kitab yang cukup banyak, adakah mereka semuanya mufti rasmi kerajaan dan ketika itu barulah boleh bersuara membantu masyarakat dalam hal ehwal agama mereka?. Adakah para sahabat yang alim hanya boleh memberi jawapan apabila dilantik oleh Nabi sebagai gabenor dan mufti? Jawapnya tidak. Selagi anda mempunyai hujjah, kefahaman dan pendalilan yang betul, selagi itu semua kita berhak membantu masyarakat dalam hal ehwal agamanya.

Dalilnya adalah dari sabda Nabi SAW yang sohih. Iaitu telah datang kepada Nabi SAW seorang sahabat memberitahu ia telah diajar oleh satu makhluk pelik bahawa mahkluk itu berkata mereka takutkan ayat kursi. Sebagai respond Nabi SAW membalas

صدقك وهو كذوب ذاك شيطان

Ertinya : Ia ( makhluk) itu telah bercakap benar, walaupun ia sebenar amat banyak menipu , itulah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari, dengan Fath al-Bari, no 3275 , 6/404  )

Adakah Nabi SAW dalam hal ini mempertikaikan bahawa, '..dia tu syaitan, dia tiada locus standi itu beri tunjuk ajar dalam hal agama" ?

Jawabnya tiada, itulah ilmu yang diajar oleh Islam, boleh menerima apa saja yang baik tanpa mengira dari siapa ia datang, yang dilihat adalah apa yang dikata dan bukan yang berkata.

Saidina Ali KW pula pernah berkata : "Ilmu adalah barang hilang dari mukmin, ambillah ia walau dari si musyrik " (Riwayat Ibn Abd Barr, Jami' Bayan al-Ilm , 1/121)

Kisah Nabi Allah Sulaiman yang menerima maklumat dari burung Hud Hud dan lain-lain. (Surah an-Naml : ayat 20-22)

Sebuah Hadith menyatakan  :

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها

Mafhum : "Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu dimana muslim menjumpai kebijaksaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya"  (Riwayat At-Tirmidzi, no 2687 ; Hadith ini lemah dari sudut sanad ; Syeikh Nasirudin al-Albani menyatakan bahawa hadith ini sangat lemah ; bagaimanapun menurut Al-Qaradhawi, maksud hadith adalah tepat dan disokong oleh dalil-dalil shohih dari al-quran dan hadith lain. Justeru, ini boleh dipegang (Lihat : Thaqafatuna ; Bayna al-Infitah wal Inghilaq , hlm 41)

Ust Zaharuddin Pernah Kerja Bank Riba, Justeru tidak layak bersuara?

Inilah antara tuduhan yang paling berdosa, ia adalah fitnah dan kejahilan orang yang mendakwa semata-mata. Saya hanya bertugas sebelum ini di RHB ISLAMIC Bank Berhad dan bukannya RHB Bank. Ia adalah sebuah bank Islam 100 % dan berlesen sama seperti Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Muamalat, ia bukan RHB Bank. Ia mempunyai dua lesen perbankan yang berbeza. Sila buka http://www.rhbislamicbank.com.my/ , semua modal dan operasinya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariahnya. Jika anda mempertikaikan modalnya bercampur halal dan haram, maka anda perlu baca artikel ini ,(http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=140&Itemid=72)  jika anda masih tak faham macam mana akaun di bahagikan dan operasi di bezakan, sila baca artikel ini (http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=117&Itemid=72)

Jika Ikhlas, Haramkan Yang Lain !

Satu lagi perangai pemakan Riba hari ini yang amat sukar menerima kenyataan adalah kerap mengaitkan isu ini dengan hal-hal yang lain.

"Kenapa bila kita baca buku tu, ia ada indeks dan bab-bab tertentu?" tanya saya kepada seorang pendegar kuliah saya.

"ermm.. sebab nak bagi mudah cari satu-satu tajuk kot ustaz" Jawabnya kelihatan teragak-agak.

"Oklah..tu , cuma lebih terang agar persembahannya lebih baik dan terfokus" tambah saya.

Jawpan lebih mudah saya, adalah kerana ini yang paling mudah saya sebutkan dan ia juga masih baru serta tiada khilaf tentang pengharaman bentuk pelaburan begini. Yang ada majlis fatwa haruskan tu, ia menjadi kurang priority kerana telah banyak juga majlis fatwa yang haramkannya.

Atau boleh juga saya jawab bahawa pengharamannya sangat jelas dan bersuluh sejak sekian lama.

Demikianlah yang perlu kita faham, ketika Khalifah Umar Ab Aziz naik sebagai khalifah, ia di datangi anaknya yang menuntut agar ayahnya segera merubah secara sekaligus semua yang bercanggah dengan agama.

Khalifah menjawab dengan tenang

لا تعجل يا بني , فإن الله ذمّ الخمر في القرآن مرتين , وحرمها في الثالثة , وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة , فيدَعوه جملة , ويكون ذا فتنة .

Ertinya : "Jangan tergesa-gesa ya anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik) , maka mereka meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah." (Al-Muwafaqat, Imam As-Syatibi, 2/94)

Perkara kedua, apalah yang disibukan dengan keikhlasan seseorang?. Islam tidak menyuruh kita untuk mengorek hati seseorang serta melihat keikhlasannya. Ia adalah urusan seseorang individu itu dengan Allah SWT. Bagi masyarakat umum adalah menilaht isi kandungan yang disampaikan. Itu sahaja.

Perkara haram ada macam-macam jenis, dalam hal memaklumkannya kepada masayarakat juga perlu ada tekniknya. Ini termasuk dalam bab Fiqh Ad-Dakwah juga. (rujuk Fiqh Ad-Dakwah wal Irsyad, Al-Habannakah)

Adapaun kenapa isu itu dan ini tiada dalam akhbar?. Ini telah saya jawab ringkas, sila rujuk di http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=326&Itemid=72

Apabila pelaburan melalui internet ini juga diharamkan oleh Mufti Johor, Perlis, Terangganu dan terbaru Jabatan Mufti Perak dan disenarai hitamkan juga oleh Badan Pengawal Pelaburan Malaysia iaitu Suruhanjaya Sekuriti ( rujuk senarai penuh nama-nama syarikat yang terlibat di www.zaharuddin.net). Hasilnya, semakin ramai yang menghubungi saya samada lalu bertanya persoalan berikut :-

1)     Modal boleh ambil semula atau tidak?

Jawapnya : Modal boleh diambil semula, ini kerana sesebuah aqad transaksi Riba tidak diiktiraf dalam Islam. Berdasarkan keputusan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma Fiqh Islami) aqad pelaburan menjadi terbatal apabila mana-mana pihak menjanjikan jaminan modal atau sebarang keuntungan yang ditetapkan. Ini bermakna, modal yang telah diletakkan juga tidak hangus malah sipelabur layak mendapatkannya semula. Adapun jika pihak syarikat menetapkan bahawa kontrak tidak boleh dibatalkan di pertengahan jalan. Ketika itu, harus hukumnya untuk menunggu bagi mendapatkan semula semua modal yang telah diletakkan. Tidak kurang mahupun lebih.

2)     Apa nak buat dengan keuntungan yang telah diperolehi?

Para ulama dari empat mazhab telah bersepakat berkenaan kewajiban melupuskan harta haram dengan mendermakannya dengan seberapa segera.

Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, : "Wajib melupskan harta yang haram ketika bertawbat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). ( Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti ini adalah pelbagai hadith Rasulullah SAW yang diriwayat Abu Daud dengan sanad yang baik, hadith tentang kekalahan Rom dan kemenangan pertaruhan yang dibuat oleh Abu Bakar As-Siddiq dan juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi (6/188) dan banyak lagi.

3)     Jika Nak Derma ke mana Yang Boleh ?

Ringkasannya mudah sahaja :-

a- Faqir atau miskin ; samada dari kalangan ahli keluarga atau tidak. Majoriti mazhab Islam termasuk ulama silam memberikan fatwa harus untuk individu yang benar-benar dalam keadaan ini menggunakannya untuk dirinya sekiranya ia termasuk dalam kalangan si miskin dan faqir yang SEBENARNYA (bukan dakwaan kosong). Ketika itu, penggunaan harta yang kotor itu, tidak lagi menjadi kotor. Tetapi mestilah dengan syarat ianya disertai dengan perasaan insaf dan bertawbat dari perbuatan haramnya yang lampau. (Al-Ikhtiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 129 ; Ihya Ulumiddin, 2/145 ; Al-Majmu' , 9/428)

SIAPA ITU FAQIR DAN MISKIN?

Menurut majoriti mazhab dan ulama, Faqir : Adalah Mereka yang tiada memilki harta (duit ataupun harta seperti kereta, rumah) dan tiada pula kemampuannya dan kelayakan bagi mencari harta halal yang mampu mencukupi had keperluan asasnya dari sudut makan, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya dan yang di bawah tanggungannya. Seperti ia perlukan minima RM 10 untuk keperluan asas,  tetapi hanya perolehi RM 1, 2 atau 4 sahaja.

Miskin : ia memerlukan RM 10, tetapi hanya memiliki RM 7 atau 8 sahaja. Selain itu, termasuk juga mereka yang mempunyai harta tetapi tidak dapat digunakan kerana sebab-sebab tertentu seperti jauh dan sebagainya. Termasuk juga dalam takrif ini seperti para pelajar univeristi ( ibu bapa juga tidak berkemampuan) yang wangnya hanya mencukupi untuk makan dan tidak mencukupi untuk membeli peralatan asasinya seperti buku, kitab, tatkala itu ia juga dikira miskin ( Nihayatul Muhtaj, Ar-Ramli, 6/151, hlm 153)

Tetapi awas, jangan ada yang menggunakan pelbagai helah untuk menganggap diri miskin semata-mata untuk menggunakan harta haram ini untuk dirinya. Allah SWT maha mengetahui akan segala helah makhluknya.

b-     Badan Kebajikan Awam & Pembinaan Kemudahan Awam Yang Halal.

Memberikannya kepada pemerintah melalui pusat zakat ataupun badan kebajikan yang dipercayai untuk membina masjid, rumah anak yatim, bantuan kepada mangsa bencana dan seumpamanya. Saya kira ini tidak lagi memerlukan huraian kerana kejelasannya.

c-      Masjid & Surau.

Bagi saya ia tidak berapa digalakkan dan saya sebenarnya lebih cenderung kepada pandangan ulama mazhab Hanafi dan Ibn Qasim al-maliki yang tidak membenarkannya. Ini kerana sebuah hadith menyebut bahawa Arab Jahiliyah dahulu amat menjaga Ka'bah agar tidak terbina dari duit haram, ini disebutkan oleh Ibn Hisham bahawa pemerintah arab dahulu pernah berkata "Wahai quraisy, janganlah kamu masukkan dalam pembinaannya kecuali dari hasil kamu yang baik, janglah masukkan harta dari pelacuran dan riba" (Mukhtasar Ibn Kathir, 1/126 ; Sirah Ibn Hisham, 1/150).

Akan tetapi di ketika uzurnya sesebuah masjid dan surau dari bantuan kewangan bolehlah diambil pandangan yang lebih ringan dalam hal ini iaitu ia merupakan pandangan Ulama Hanafi, Mazhab Syafie yang berfatwa harus menggunakan duit haram yang tidak diketahui pemilik ini untuk membina bahagian-bahagian masjid atau surau. (Al-Majmu' , 9/428 ; Hasiyah Radd Al-Muhtar, 2/92) ;

4)     Tak mampu nak derma seluruh keuntungan Riba itu sekali gus, adakah jalan lain?

Bagi yang benar-benar insaf, dan wang keuntungan masih ada, tetapi jika didermakan sekaligus maka akan habis seluruh wang simpanan atau membawa kesukaran belanja keluarga yang teruk. Ketika itu bolehlah di dermakan wang keuntungan tersebut secara berperingkat khas bagi mereka yang berada dalam situasi ini. Ia samalah dengan dalil berkenaan tindakan khalifah Umar Ab Aziz yang membuat perancangan ke arah suasana Negara yang lebih baik dalam bentuk beransur. ( Al-Muwafaqat, As-Syatibi)

5)     Dah guna habis duit beli itu ini, memang tak mampu nak ganti balik.

Untuk kumpulan sebegini, yang terpenting adalah bertawbat dan memutuskan semua keterlibatannya dengan wang haram ini. Dalam masa yang sama memperbanyakkan sedeqah sedikit demi sedikit sepanjang hidupnya. Ianya perlu bagi menghapuskan dosa-dosa silam yang melekat di hati, kehidupan dan dagingnya. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW :-

‏اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

Ertinya : Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah perbuatan dosamu dengan pahala, nescaya ia akan dapat memadamnya dan menjadikan kamu dengan ahklah yang mulia" ( Riwayat At-Tirmidzi , no 1910 , At-Tirmidiz : Hadith Hasan)

Disebut di syarahnya akan erti penghapusan itu :-

والمراد يمحو الله بها آثارها من القلب أو من ديوان الحفظة , وذلك لأن المرض يعالج بضده فالحسنات يذهبن السيئات

Ertinya : apa yang dimaksudkan adalah Allah akan menghilangkan kesan dosa itu dari hati, kerana kesan dosa penyakit itu dirawati dengan apa yang bertentangan dengannya, maka kebaikan menghialngkan segala kejahatan. ( Tuhfatul Ahwazi, hadith no 1910 )

6)     Bolehkah guna duit untung itu untuk buat modal perniagaan halal?

Ini juga satu persoalan yang kerap ditanya, bagi saya ia hanya akan menjadi harus sekiranya anda benar-benar dalam keadaan bermasalah sekiranya melupuskan terus wang-wang haram itu. Hanya Allah SWT yang dapat mengetahui samada seseorang itu benar-benar sudah sampai tahap untuk mengambil pandangan yang lebih ringan iaitu, harus menggunakannya sebagai modal untuk yang perniagaan halal sebagai ganti kepada terjebaknya ia dalam perniagaan haram yang lalu disertai dengan azam dan niat ikhlas untuk mendermakan modal dari yang haram itu dari masa ke semasa.

Ulama silam juga pernah membincangkan berkenaan  hukum menggunakan keuntungan yang didapati dari perniagaan halal, bagaimanapun modalnya adalah wang curi atau haram. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam As-Shafie, Imam Abu Yusof dan Sheikh Zufar Huzayl bersetuju bahawa pencuri tersebut berhak mendapat bahagian keuntungan daripada pelaburannya walaupun modal asalnya adalah haram, tetapi ia wajib memulangkan kembali wang yang dicuri (wang yang digunakan sebagai modal perniagaannya atau pelaburannya) kepada yang berhak. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, 2/241; Rawdah at-Tolibin, An-Nawawi, 4/211; Al-Hawi, al-Mawardi, 7/337).

Berdasarkan ijtihad ulama yang disebut di atas ini, saya berpandangan bahawa pelabur yang terdesak dan   sukar untuk mendermakan wang untungnya secara sekaligus diharuskan menggunakannya untuk dilaburkan ke tempat halal dan harus juga mengambil keuntungan daripada perniagaan/pelaburan halal itu. TETAPI PERLU DIINGAT ia hanya harus dilakukan di ketika : -

a- Telah bertawbat dari kesilapan serta menghadapi masalah untuk mendermakan secara keseluruhannya pada satu masa.

b- Di ketika insaf dan berniat ingin 'convert' atau mengubah semuanya kepada yang halal serta tiada modal lain.

c- Tidak lagi meneruskan aktiviti haram itu sama sekali.

Kesimpulan cara yang perlu dilakukan; ringkasnya cara umumnya adalah seperti berikut:-

Pertama : Cara terbaik adalah bertawbat. Kerana terjebak tanpa ilmu dalam saham-saham yang berunsur Riba secara sepakat ulama yang berkelayakan ini.

Kedua : Perlu diingat beberapa dalil seperti sabda Nabi SAW : ertinya " Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.." ( Riwayat Muslim, 3/85 ).  

Ketiga : Harta haram tidak sesekali boleh digunakan untuk manfaat diri pemiliknya, samada untuk kegunaan pembayaran cukainya, saman keretanya, makanan keluarganya, tambang basnya dan lain-lain untuk kepentingan dirinya. Apatah lagi digunakan untuk menunaikan Haji dan Umrah. Kemungkinan Haji itu dilihat sah berdasarkan rukun dan syaratnya tetapi tidak diterima Allah SWT kerana ia adalah dari hasil yang tidak baik sama sekali.

Berdasarkan sebuah hadith pula

كل لحم نبت  من سحت فالنار أولى به

Ertinya : "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih kayak untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

Berdasarkan hadith ini, terdapat beberapa pihak yang keliru lalu menyangka ianya boleh digunakan untuk manfaat diri selain makan dan minum sebagai contoh memlei computer, sofa dan lain-lain. Ini adalah satu kesilapan dalam memahami konsep harta haram dan hadith di atas. Jika demikianlah, maka ramailah yang akan mencuri serta menggunakan wang curi untuk membeli kereta sahaja. Tidak benar sama sekali, hukum asal dalam bab harta haram ini, ianya tidak boleh digunakan untuk apa jua manfaat pemegangnya samada untuk makan atau lainnya termasuk membeli peralatan rumah, pembayaran cukai, pembyaran interest pinjaman bank dan lain-lain kegunaan sendiri. 

Kesimpulan

Apapun, saya tetap akan menyatakan kebenaran tetapi secara beransur, disertai hujjah dan tidak terburu-buru tanpa perancangan. Sebahagian yang gopoh kerap memprovokasi itu dan ini, tetapi saya akan tetap bertindak secara berperancangan.

Perlu juga saya sebut di sini bahawa saya TIDAK TERLIBAT DALAM SATU JENIS pun pelaburan internet dan tidak ada satu pun skim MLM yang saya sertai. Semau dakwaan saya menyertai mana-mana antaranya adalah TIDAK BENAR sama sekali. Wallahu 'alam.

Akhirnya sekali, sabda Nabi SAW :

ائتمروا بالمعروف , وانتهوا عن المنكر ... فإن من ورائكم أياماً , الصبر فيهن مثل القبض على الجمر , للعامل فيهن مثل أجر خمسين رجلاً يعملون مثل عمله : قيل يارسول الله أجر خمسين رجلاً منا أو منهم ؟ قال : بل أجر خمسين منكم !!

Ertinya : "Serulah kepada kebaikan dan laranglah dari kemungkaran ...dan sesungguhnya akan datang satu masa kelak, mereka yang bersabar (dalam menghadapi fitnah) seperti pemegang bara-bara api, manakala mereka yang bekerja (untuk Islam) di ketika saat itu mendapat ganjaran 50 kali ganda pahala amal seseorang . Sahabat bertanya : Adakah ganjarannya lebih dari  50 ganda seperti amalan sesama mereka atau berbanding kami? , berkata Nabi : Bahkan , lebih 50 kali dari amalan kamu" (Riwayat Abu Daud , 4/123 ; At-Tirmidzi , 5/257 ; Ibn Hibban , 2/108 ; Ibn Hibban mensohihkannya, Trimidzi menyatakan ianya Hasan Gharib , Albani mendhoifkan setengah nas dan menshohihkan setengah nas bermula dari ‘hari sabar‘)

Sekian

Doha, Qatar

9 Rabiul Awwal 1428 H

28 Mac 2007-03-28



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 9 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Pelaburan Cara Keluar Dari Pelaburan & MLM Haram : Jawapan