Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Nak Tahu Hukum & Jadi Jutawan : Betulkan Cara Belajar

Nak Tahu Hukum & Jadi Jutawan : Betulkan Cara Belajar

  • PDF
(27 votes, average 4.44 out of 5)

Ingin Tahu Hukum Atau Jadi Jutawan ?

Betulkan Cara Belajar

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Sepanjang beberapa belas tahun saya berkecimpung di dalam dunia pengajian, belajar, ceramah, menulis, menjawab dan bersama dengan masyarakat sekeliling. Saya ingin kongsikan satu perkara ringkas dalam tulisan ini.

Belajar Cara atau Manhaj Berfikir

Setiap kali saya hadir mendengar ulama-ulama besar atau para pemikir, para Professor, Para Pemegang ijazah PhD, Tuan-tuan guru pondok, ahli politik dan individu hebat dan berjaya di bidang-bidang mereka. Saya tidak hanya mendengar isi kandungan penyampaiannya, kerana saya sedar, sukar untuk saya mempelajari segala jenis ilmu hanya dari beberapa kuliah atau ceramah. Dari sekecil-kecil isu ke sebesar-besarnya.

Ilmu, Cara dan Idea
Pada hemat saya adalah amat bermanfaat untuk saya membaca dan melihat bagaimana seorang  ilmuan itu berfikir dan menyusun kandungan ceramah  dan percakapannya.

Saya akui, tidak semua cekap dalam menyampaikan mesej dengan berucap walaupun pemikirannya cemerlang. Jika demikian, proses 'screening' juga amat berkesan dilakukan dari artikel yang ditulis dan buku-buku.

'Screening' Cara Pemikiran Ulama Di Depan Ulama

Saya masih ingat bagaimana pertama kali saya mendengar kuliah Syeikh Prof Dr Wahbah Az-Zuhayli secara 'live' adalah di Universiti Al-Yarmouk, Jordan. Tajuk yang disampaikan ketika itu adalah berkenaan 'Al-Istinsakh' atau 'Pengklonan Manusia'.

Saya begitu bersemangat sekali untuk menghadirinya kerana ingin meihat bagaimana manhaj pemikirannya ketika menyampaikan kuliah tersebut. Terutamanya apabila melihat para hadirin yang majoritinya adalah para pensyarah dan para ulama di Jordan.

Ye, cukup hebat sekali pengalaman itu, saya berpeluang melihat bagaimana cara seorang ulama besar menyampaikan kuliah Fiqh semasa kepada ulama juga.

Sudah tentu, beliau akan menggunakan bahasa Fiqh yang tinggi, manhaj berfikir yang paling kritis dan penjelasan yang paling terperinci. Saya ingin tahu bagaimana cara beliau lakukan dalam masa 2 jam.! Bukan mudah untuk meirngkaskan tajuk seluas itu kepada hanya 2 jam. Sudah tentu beliau terpaksa menggunakan kecerdikannya untuk memilih isi paling utama. Saya menunggu untuk mengetahui apakah kandungan yang paling utama bagi beliau.

Saya ingin tahu apakah tahap tertinggi Dr Wahbah Zuhayli agar mampu saya buat satu 'ceiling' ilmiah tahap kemampuan ulama di zaman ini apabila berbicara secara spontan di hadapan pendengar. Dengan demikian, kita mampu mengukur diri lalu mampu mengetahui  berapa jauh lagi kita berbandingnya.

Benar, saya benar-benar telah mampu mempelajari sesuatu dari kuliah tersebut, bukan hanya dari inti ceramahnya tapi juga adalah bagaimana tahap ilmu tertinggi yang disampaikan oleh ulama sehebat Dr Wahbah kepada sekumpulan ulama lain.

Baru-baru ini semasa di persidangan Fiqh Dunia di Putrajaya, peluang mengikuti perbincangan dan perdebatan tertinggi antara ulama seluruh dunia amat bermakna buat saya. Perbincangan tahap tinggi antara ulama peringkat tertinggi dunia.

Sebenarnya, saya telah lakukan cara ini sejak berada di Universiti Malaya lagi, tetapi menjadi sangat aktif hanya selepas menamatkan pengajian di UM dan memasuki dunia kerjaya dan semakin aktif ketika menuntut di Jordan. Semua pensyarah yang mengajar akan saya 'screen' cara pemikiran, penyusun maklumatnya serta cara ia mengeluarkan sesuatu keputusan terhadap sesuatu isu dan soalan. Demikian juga artikel yang saya baca.

Bagi saya ia adalah satu proses pembelajaran yang amat menarik dan penting samada pengajian di Universiti mahupun pondok.  Malah ia boleh membantu amat membantu seseorang berfikir lebih matang berbanding umurnya.

Keperluan Role Model

Proses tadi akan menjadi lebih bermanfaat kita digabungkan dengan memiliki 'role model'. Di sinilah pentingnya kita meletakkan role model bagi apa jua yang ingin kita capai. Tahap kejayaan dan cara yang ada pada role model boleh kita jadikan sebagai target yang perlu diusahakan.

Namun anda perlu memastikan untuk tidak meletak role model yang terlalu jauh dan tinggi tahapnya hingga tidak mampu dicapai.

Ye benar, saya pasti memang ramai yang telah mempunyai role model mereka sendiri untuk berjaya, tetapi satu kecacatan yang kerap saya temui di kalangan mereka adalah tidak belajar dan tidak mengetahui bagaimana cara role model mereka berfikir dan jalan kejayaan 'role model' mereka.

Bayangkan, ramai yang meletakkan Tan Sri Mokhtar al-Bukhari sebagai 'role model' kejayaan dalam mengumpul kekayaan dan bisnes, bercita-cita untuk menjadi jutawan dan billionaire. Disebabkan cita-cita itulah ada yang menyertai skim cepat kaya internet, dan ada pula yang menyertai MLM piramid untuk mengikuti jejak langkah kekayaaan role modelnya. Padahal role modelnya tidak pernah sertai cepat kaya mahupun MLM.

Inilah satu kesilapan. Anda perlu mengetahui cara perjalanan bisnes Tan Sri Mokhtar untuk menjadi seperti beliau, tiada jalan singkat. Demikian juga ada yang menjadikan Irfan Khairi dan Azizi Ali sebagi role model jutawan muda yang lebih hampir dengan mereka. Malangnya mereka tidak membaca buku tulisan mereka berdua ini serta tiada idea bahawa kekayaan yang diperolehi bukan dengan jalan singkat dan mudah. Betapa banyak kesukaran dan banyaknya usaha mereka sebelum muncul sebagai jutawan.

Tiada jalan pintas dan mudah. Azizi Ali menyebut ia membaca 3 buah buku berkenaan pengurusan kewangan setiap minggu bagi memperlengkapkan diri dengan ilmu bagi menjadi jutawan. Bagaimana pula dengan orang yang menjadikannya sebagai role model. Berapa buah buku pula? Atau tersu masuk skim cepat kaya tanpa ilmu sahaja?

Saya juga kenal agak ramai jutawan Melayu Islam di Malaysia, seperti pengasas Dialog Group Berhad, Pemilik bas Express Budaya, pengasas INGRESS Corporation Berhad dan banyak lagi. Saya sudah lihat dan screen kepayahan mereka, usaha yang diletakkan, perancangan detail yang digariskan oleh mereka untuk berjaya. TIADA JALAN MUDAH samada untuk menjadi Jutawan atau Ulama.

Saya masih ingat satu hari ketika berada di rumah pengasas salah satu syarikat di atas. Tiba-tiba datang beberapa orang ustaz beserta usahawan bumiputra ingin membentangkan satu projek pendidikan yang memerlukan bantuan kewangan dari tuan rumah. Mereka memerlukan beberapa puluh ribu.

Malangnya proposal yang dibentang amat lemah dan tidak menyakinkan. Ia ditolak dengan cara baik dari tuan rumah.

Dengan marahnya, pemohon berkata "kamu ni duit juta-juta, kami minta puluh ribu pun kedekut"

Bayangkan betapa tidak beradabnya pemohon ini.

Selepas mereka pulang, tuan rumah meluahkan tidak puas hati nya kepada saya. Satu yang masih sangat ingat adalah, beliau menyebut..

"Ingat senang ke nak dapat pulu-puluh ribu, orang susah-susah cari dia senang-senang nak minta dengan proposal tidak tentu arah"

Say amat fahami kata-katanya kerana saya sudah faham betapa sukarnya beliau mendapat kekayaan yang berada di hadapan matanya sekarang. Jangan menyalahgunakan tujuan baik tanpa pembentangan profesional.Ia hanya merosakkan tujuan yang baik tadi.

Kesan Tidak Pelajari Manhaj Role Model

Jika ingin menjadi jutawan perlukan pengetahuan mendalam cara berifkir dan manhaj si jutawan. Demikian juga jika anda ingin menjadi seorang ulama, anda hendaklah memproses dan menganalisa pemikiran berpuluh-puluh ulama selain mempelajari ilmu yang sedang disampaikannya secara langsung. Namun, ilmu berkenaan cara para ulama ini berfikir adalah satu jenis ilmu yang sering disia-siakan oleh kebanyakan pelajar.  Demikian juga ilmu-ilmu lain.

Hasilnya pelajar akan menjadi 'stereotype' dengan apa yang diajar gurunya dan tidak punyai kemampuan memperkembangkan 'manhaj' atau tatacara pemikiran gurunya.

Tatkala itu, sekiranya si pelajar tadi menempuh sesuatu isu yang tidak pernah diajarkan secara specifik oleh gurunya, pelajar pasti akan kembali merujuk gurunya setiap kali terbitnya soalan baru.  Ini boleh menyebabkan guru dapat mengenalpasti ketidakcerdasan muridnya.

Bagi saya, anak murid sebegini tidak akan mampu pergi jauh dalam dunia ilmu dan akan terkapai-kapai apabila terpisah dari gurunya samada disebabkan kematian atau jarak. Malah jika kitab atau buku yang dipelajari atau notanya hilang, ia akan menjadi seperti kembali  ke alam Jahiliyah akibat 'lost almost all knowledges' kerana kehilangan itu.  Jika buku tidak hilnag pula, mereka kerap bersifat taksub atau terlalu mengagungkan satu-satu- pendapat dan  fatwa guru mereka.

Saya pernah bertemu dengan seorang pelajar Arab semasa di Jordan, yang cukup keras dalam fatwa yang dikatakan diambil langsung dari pensyarahnya yang juga Ulama terkenal di sana.

Saya tidak berpuas hati dengan kekerasan pandangannya, akhirnya saya sempat bertemu dengan ulama tersebut lalu mengutarakan soalan yang sama. Saya utarakan juga apa yang dipegang oleh muridnya. Sambil menggeleng kepala, ulama ini berkata :

"Dia benar-benar masih mentah dan tidak mampu memahami fatwaku" Beliau kelihatan kesal dengan senario itu.

Inilah kerana mereka mempelajari ilmu secara kurang bijak. Apabila dirujuk kepada guru yang mereka pegangi, jawapan guru tidak 'beku' atau 'jumud' sebagaimana yang disangka oleh anak murid ini.

Akhirnya, anak murid ini kurang berjaya menyelesaikan masalah setempat yang sentiasa berubah-ubah. Yang hanya dimahiri adalah fatwa dan keputusan gurunya 'sebiji-sebiji'. Padahal keputusan dan fatwa gurunya mungkin boleh berubah dengan keadaan sekeliling di ketika itu (terutamanya dalam bidang Fiqh). Jika dapat difahami manhaj atau cara pemikiran gurunya, ia sudah pasti mampu menjadi seorang yang lebih bermanfaat.

Maaf, ia memang agak sukar untuk memperturunkan kaedahnya di dalam tulisan ini.

Sehingga hari ini sesiapa sahaja yang berbicara isu ilmiah atau memberikan ceramah, secara tidak langsung saya akan ter'screen' cara kepintaran mereka menyusun topik yang disampaikan.  Saya suka memanfaatkannya. Ia memberi input yang amat baik bagi saya.

Malah cara inilah yang dilakukan oleh Al-Imam Muhammad Bin Idris As-Syafie ( wafat 204 H), apabila terbukti beliau menuntut ilmu dari Imam Malik Bin Anas dari madrasah aliran hadis, Imam Muhammad Al-Hasan (murid utama Imam Abu Hanifah) yang dikenali dari aliran aqal dan seterusnya Imam Ahmad Bin Hanbal sebagai rakan hampir dan lain-lain. Terbukti Imam As-Syafie tidak meniru bulat-bulat semua ilmu dan gahya pemikiran setiap guru-gurunya, tetapi beliau berjaya mengambil manfaat dari semua manhaj yang ada dan menggubalnya dalam bentuk tersendiri sehingga menjadi satu manhaj yang tersendiri lagi mantap.

Setelah saya menerangkan hukum berkenaan pelbagai hukum transaksi kewangan di web ini ( http://www.zaharuddin.net/) dan juga hukum-hukum yang lain. Banyak kali kotak email dan ruang komentar saya diterjah soalan-soalan yang berulang, cuma bentuk lafaz dan ayatnya sahaja yang berbeza. Inilah juga kesan buruk akibat tidak membaca artikel dengan mengambil manfaat dari asas hukum bagi setiap isu yang saya utarakan. Ia menyebabkan soalan berulang isinya berbeza lafaznya akan ditanya berulang kali.

Sebagai contoh, soalan berulang terdapat juga soalan yang seperti

1)        Melalui artikel "Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nasyid"

Salah satu soalan yang diutarakan adalah di ruangan komen :

"Salam ustaz, boleh jelaskan tak tentang hukum bersanding, sebab ape tidak boleh, hmm terima kasih kepada semua tulisan"

Padahal telah saya jelaskan antara sebab haramnya dalah kerana wanita yang bernaysid di hadapan khalayak kerap mencantikkan diri bentuk melampau mereka sehingga sebahagiannya mendedahkan bentuk tubuh dan berlenggang lenggok. Sepatutnya inti ini sahaja sudah boleh dipadankan dengan soalannya dan terus mendapat jawapan.

2)        Contoh lain adalah melalui artikel "kayu kokka dan bahaya kesyirikan"

Soalan diutarakan dalam ruangan komen :

"ada kawan saya kata anaknya demam dan beliau masukan tasbih kokka beliau dalam air selepas setengah jam bagi minum dan tak lama selepas tu anaknya sihat. Ni khasiat kokka ke?"

Inilah bentuk soalan yang tidak sepatutnya ditanya lagi jika memanfaatkan artikel itu dengan baik.

3)        Melalui artikel "Displin dalam pertunangan"

Soalan diutarakan di ruangan komen juga :

"Saya nak bertanya. Apakah cara untuk mengawal status hubungan supaya tidak terjadi seperti era zaman nih, sebab ia mungkin akan terjadi bagi orang yang tidak memahami erti cara Islam. Bagaimana nak hilangkan gejala seperti itu sedangkan orang yang alim dan warak pun juga terjebak. Saya nak minta nasihat ustaz supaya keadaan nih dapat dikawal, terutama bila berkawan"

Lihatlah, cara-cara untuk mengawal telah diterangkan di dalam artikel, tetapi masih ditanya ..saya juga pelik.

Inilah kelemahan yang akan terhasil akibat membaca sebuah artikel tanpa cuba melakukan 'screen' kepada asas bagaimana sesuatu fatwa itu dikeluarkan. Jika tidak, biasanya soalan mudah sebegini tidak akan timbul lagi.

Artikel, Dalil & Nota Kaki

Saya tahu terdapat pro kontra membuat artikel dengan disertakan nota kaki dan dalil. Ada yang lebih menyukai santai di sana sini tetapi berisi. Ada juga yang suka santai tanpa isi.

Bagi saya, masing-masing punyai golongan sasaran tersendiri. Saya juga punyai sasaran saya sendiri. Artikel saya dicampur adukkan antara cara santai dan cara nota kaki serta dalil. Ia bertujuan mengajar sedikit demi sedikit cara berfikir yang benar, iaitu biasakan diri dengan beberapa dalil asas dalam menilai situasi, tidak perlu terlalu banyak. Beerapa dalil asas sudah mencukupi.

Demikian juga fungsi nota kaki atau nama kitab yang disebut. Ia mensasarkan kumpulan yang suka merujuk kembali dan mengajar para pelajar yang masih baru untuk berkenalan dengan kitab yang patut dirujuk. Para pelajar yang 'buta' kitab yang perlu dirujuk boleh dengan mudah tersilap akhirnya membawa padah racun gerakan liberal dan orientalis jahat.

Justeru, bagi sebuah artikel bernota kaki, nota kaki itu sendiri adalah bentuk pemberian ilmu kepada pembaca dan tidak terhad hanya kepada 'matan' atau kandungan teras artikel. Ia adalah satu jenis cara pengajaran yang sangat bermanfaat buat pelajar, tetapi mungkin tidak bagi orang awam.

Apapun, saya perlu mensasarkan manfaat bagi kedua-dua kumpulan. Dengannya saya berharap akan ada yang mampu mempelajari isu yang dikupas dengan lebih baik agar soalan-soalan berulang seperti contoh di atas akan berkurangan.

Ilmu Kewangan & Dr Abd Sattar Abu Ghuddah

Dalam bab kewangan Islam, selama setahun lebih saya pelajari cara pemikiran dan ilmu Fiqh Mualamat dan kewangan semasa dari Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah secara dekat. Peluang bertugas di Qatar Islamic Bank Bhd (Asian Finance Bank Berhad) tidak saya sesiakan begitu sahaja.

Sehingga saya juga telah mencuba mengeluarkan banyak pendapat sendiri dalam kebanyakan isu harian perbankan, tetapi ia berdasarkan manhaj pemikiran dan ilmu Syeikh Dr Abd Sattar.

Saya tidaklah terus selesa sedemikian, tetapi dalam beberapa ketika saya akan menyemaknya dengan Syeikh bagi memastikan samada saya benar-benar telah mampu menggunakan manhaj pemikiran dan ilmunya dengan tepat. Alhamdulillah, 99.5 % keputusan yang saya beri 'in advance' kepada pengurusan tertinggi bank akan dipersetujui oleh Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah kemudiannya.

Malah, lebih meriah apabila pernah keputusan yang saya perolehi berbeza dari fatwa sebenar beliau. Setelah dimesyuaratkan, akhirnya beliau bersetuju dengan keputusan saya. Antaranya adalah dalam isu 'Ar-Rahn'. Alhamdulillah. Tiada apa yang perlu saya banggakan ketika menyebut di sini, apa yang saya ingin fokuskan adalah contoh yang saya alami sahaja.

Ia bukanlah tanda saya ini bijak, cuma saya ingin memberikan contoh bagaimana bermanfaatnya kaedah ini.

Jangan Lupa Audien

Tetapi ingat, ia mesti dilakukan dengan betul dan melihat siapa audien yang bertanya.

Maksud saya, jika si penanya adalah orang awam yang amat kurang ilmu Islamnya, cara jawapan dari seorang ilmuan juga akan dipermudah. Ini juga wajib dipelajari dari para ulama.

Jangan pula, tersilap menggunakan cara atau kaedah jawapan mudah di majlis ilmiah dan seminar peringkat tinggi. Jangan juga sebaliknya. Jika bercampur gunakan tahap pertengahan.

Sebuah hadis atau kata-kata hikmah menyebut :

أمرت أن أخاطب الناس على قدر عقولهم

Ertinya : Aku diperintahkan untuk berucap kepada manusia menurut kadar kemampuan aqal mereka" ( Faidhul Qadir, 3/378 ; Ibn Hajar : Sanadnya sangat dhoif tetapi tidak samapi maudhu)

Semoga berjaya dalam pencarian ilmu kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

10 November 2007



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Nak Tahu Hukum & Jadi Jutawan : Betulkan Cara Belajar