Senarai Lengkap Artikel Politik Islam & Dakwah Parlimen Dibubar Hari Ini : Selamat Mengundi (Ulasan UZAR)

Parlimen Dibubar Hari Ini : Selamat Mengundi (Ulasan UZAR)

  • PDF
(22 votes, average 4.95 out of 5)

Parlimen Bubar Hari Ini Untuk

Pilihan Raya Umum Ke-12

 

Mari Mengundi..Namun Jangan Teruk Sangat Mencaci Hingga Tanpa Batasan

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 tengah hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

sumber : bernama

 


Ulasan UZAR

Dalam kereta tadi sekitar jam 12 tghari, berita IKIM diberitakan bahawa YAB Perdana  Menteri menafikan pembubaran parlimen akan dibuat hari ini dan juga menafikan mesyuarat kabinet hari ini adalah yang terakhir.

Sejam sesudah itu, dalam berita televisyen. Isteri saya menghubungi memaklumkan bahawa parlimen telah dibubarkan hari ini.

Nasihat buat semua rakan-rakan pengundi yang telah berdaftar. Jalankan tanggjung jawab mengundi dengan amanah, dan ingatkan diri bahawa Allah swt sedang melihat siapa yang kita sokong dan pandangan Allah swt lebih utama dari pandangan manusia.

Sebagai pengundi, JAUHILAH SEBARANG JENIS RASUAH POLITIK DARI MANA-MANA PARTI POLITIK JUA, JANGAN KERANA BEBERAPA RATUS RINGGIT ATAU BEBERAPA KAMPIT BERAS, BASIKAL DAN SEBAGAINYA..MENYEBABKAN KITA TERHUMBAN DI DALAM API NERAKA BERTRILLION TAHUN DUNIA. DIAZAB DI BARZAKAH DENGAN AZAB YANG PEDIH. Maintainkan iman di musim pilihanraya ... 

Sebagai ingatan semula disertakan satu artikel saya yang disiarkan beberapa tahun lepas, maaf saya tidak sempat mengeditnya.

CIRI UTAMA DEMOKRASI DAN PENDIRIAN ISLAM TENTANGYA

1) Pemerintah dari kalangan rakyat.

Asas ini diterima oleh Islam sebagaimana Sabda Nabi SAW :

خيارأئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم و يلعنونكم

Mafhum : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan hadith [5] :

ثلاثة لا ترتفع صلاتهم فوق روؤسهم شبرا..وذكر أولهم.. رجل أم قوما وهم له كارهون

Mafhum : "Tiga kumpulan yang tidak diangkat solatnya walapaun sejengkal di atas kepala mereka, ...disebut pertamanya, lelaki yang mengimamkan kaum, dalam keadaan kaum membencinya"

Jelas dari hadith tadi, Islam juga menitik beratkan kepimpinan rakyat yang disukai oleh rakyat, justeru realiti semasa bagi mengetahui kesukaan rakyat kepada seseorang pimpinan adalah melalui kaedah pengundian.

2) Pemerintah bekerja untuk rakyat.

Pemerintah bekerja untuk kebaikan rakyat. Ciri ini juga telah diterima oleh Islam sebagaimana konsep kepimpinan dalam Islam, dimana pemimpin hakikatnya menjadi petugas yang bersusah payah bagi kebaikan rakyat. Di sebut di dalam sebuah Hadith :

سيد القوم خادمهم

Mafhum : "Pemimpin kaum adalah org yang berkhidmat (khadam) bagi kaum." [6]

Khalifah Abu Bakar as-siddiq, berkata : Wahai manusia, aku bekerja untuk keluargaku maka aku mencari penghasilan untuk makanan mereka, sekarang aku bekerja untuk kamu, maka tetapkanlah buatku dari Baitul Mal kamu" [7]

Khalifah Uthman ra juga pernah menegaskan bahawa : " Urusan aku adalah menuruti urusan kamu"

Abu Muslim al-khawalani, seorang faqih tabi'ein masuk menemui Muawiyyah ra. lalu berkata :

السلام عليكم أيها الأجير

Mafhum : "Asallamualaikum wahai org gaji"

Malah pemimpin Islam bertanggung jawab menyelamatkan rakyatnya dengan memberikan bantuan apabila mereka dalam kesusahan sebagaimana firman Allah dalam ayat 33, Surah al-Maidah. Malah kewajiban utama para pemimpin Islam adalah memberikan nasihat-nasihat keagamaan terhadap rakyatnya sebagaimana disebut di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang masyhur. Tugas mereka juga adalah untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah keburukan dunia dan akhirat dari menimpa rakyatnya.

Sabda Nabi SAW :

عن معقل بن يسار قال: سمعت النبي(ص) يقول: ما من عبد استرعاه الله رعية فلم يحطها بنصيحة إلا لم يجد رائحة الجنة

Mafhum : "Tiada seorang manusia pun yang Allah memberikannya kuasa pemerintahan, kemudian ia tidak memberikan nasihat Islam (kepada rakyatnya) kecuali tiadalah ia mendapat cium bauan syurga" ( Riwayat Bukhari dan Muslim ) [8]

Sebuah hadith lagi menyebut

الناس على دين ملوكهم

Ertinya : "Sesungguhnya rakyat akan mengikut gaya, cara hidup dan agam pemimpin mereka" [9]

Cuma perbezaan terzahir jika dilihat dari cara kerja pemimpin dalam sistem Islam dan demokrasi. Pemimpin dalam system Islam bekerja untuk rakyat kerana Allah manakala pemimpin demokrasi tidak bekerja untuk Allah pada konsep asalnya tetapi bebas menurut pengamal demokrasi tersebut.

3) Suara majoriti adalah terpakai.

 

Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak tepakai dalam perkara-perkara thawabit [10]. Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru [11]. serta perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati'e.

Firman Allah SWT :

وإن تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله إن يتبعون إلا الظن وإن هم إلا يخرصون

Mafhum : "Sekiranya kamu mentaati majority di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan..." ( Al-An'am :116)

Justeru, Islam menerima suara majority dalam hal ‘mutaghayyirat' tetapi dengan syarat-syarat tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal al-‘aqd ' [12] atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh raya dan menetapkan cukai tol.

Ini bermakna unsur ini juga diterima oleh Islam, cuma dalam ruang lingkup yang terhad, ini kerana aqal manusia tidak mampu mengetahui seluruh kebaikan untuk manusia, hanya Allah swt yang mengetahui kebaikan sebenar untuk manusia. Perlu di ingat bahawa Allah tidak menafikan fungsi aqal dalam menentukan tindakan terhadap perkara baru selagi mana tidak melanggar nas atau ‘maqasid syariat'.

4) Rakyat diberi hak kebebasan sewajarnya.

Islam juga mengiktiraf kebebasan individu samada dalam menegur pemerintah, kerjaya yang halal, beragama dan mengamalkan, pemilikan harta dan banyak lagi. Bagaimanapun demi menjaga ketenteraman manusiawi samada rohani dan jasmani maka kebebasan yang dianjur oleh Islam mempunyai batasannya. Secara ringkas batasannya terkandung dalam 5 perkara dharuriyyat [13] :

i. Aqidah : Bermakna disekat kebebasan bagi keluar atu menggugat aqidah Islam samada murtad atau memerangi Islam. Juga tidak dibenarkan merosakkan aqidah umat.

ii. Nyawa : Kebebasan Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri, menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia tanpa sebab.

iii. Aqal : Kebebasan Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dengan meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas melihat atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.

iv. Keturunan/Maruah: Kebebasan Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat, memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.

v. Harta : Kebebasan Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras, menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.

Lalu, secara teori umum, Islam menerima kaedah ini tapi diperincikan bersama pengecualian-pengecualian demi kemaslahatan manusia.

5)Rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.


Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal antaranya, teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul dan banyak lagi.

Hak teguran ini digalakkan begitu hebat di zaman Khalifah Islam yang pertama Abu Bakar As-Siddiq dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur[14]:

وليت عليكم ولست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و...أطيعوني ما أطعت الله ورسوله فإذا عصيت الله فلا طاعة لي عليكم

Mafhum : "Sesungguhnya aku hanya dilantik dr klgn kamu, bukanlah aku yang terbaik dr kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku"

Islam mempunyai sikap tegas terhadap para pemerintah zalim dan bersifat autokratik atau diktator. Sabda Nabi SAW [15]:

أشد الناس عذابا يوم القيامة إمام جائر

Mafhum : "Sekeras2 manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim"

Bagaimanapun rakyat yang ingin menegur pimpinan negara Islam seeloknya menjaga adab-adab teguran yang sesuai tetapi jika ia tidak diendahkan, Islam membenarkan pimpinan tersebut diturunkan kerana ia dianggap kepimpinan negara Islam yang menyeleweng, demikianlah pandangan Syeikh Sa'id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah hlm 380. Ulama lain juga menambah bahwa proses menurunkan perintah itu boleh dibuat secara aman. Prof. Dr. Muhd Salam Madkur[16] menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan serta pemimpin tersebut tidak lagi boleh diberi nasihat. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah[17], Imam al-Qurtubi[18] , Imam Abu Hamid al-Ghazali[19] (505 H) , Imam as-Syawkani[20] (1255 H) dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi[21].

Manakala Abu Yu'la al-Farra al-hanbali [22] menuruti pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan khalifah Makmun dan Mu'tasim. Imam Al-Mawardi ( 450 H) menyebut dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq[23].

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, "Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (dengan mengangkat senjata bukan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan Ijma' al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti di dalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan? Kata para ulama? :" Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.?

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: " Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. [24] (Syarah Sohih Muslim oleh an-Nawawi, jld 12)

Ad-Dawudi pula menyebut: "yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar" (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan : "As-Syura adalah prinsip syariah, mana-mana pemimpin yang tidak ber'syura' bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB" [25]

Maka kaedah Pilihanraya yang ada pada hari ini tanpa syak lagi, adalah suatu kaedah yang berkesan untuk memecat pemimpin zalim dan mengabaikan tanggung jawab Islam dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Selain itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

Rasulullah SAW juga telah menyatakan keharusan merebut kekuasan dari pimpinan sebagaimana hadithnya :

دخلنا على عبادة بن الصامت وهو مريض قلنا أصلحك الله حدث بحديث ينفعك الله به سمعته من النبي صلى الله عليه وسلم قال دعانا النبي صلى الله عليه وسلم فبايعناه فقال فيما أخذ علينا أن بايعنا على السمع والطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن ترو كفرا بواحا عندكم من الله فيه برهان

Mafhum : Kami telah berbai'ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbai'ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah' (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai'ah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. [26]

Jelas dari hadith di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya. Dalam hal ini, pilihanraya adalah salah satu medan yang terbuka demi menunaikan tanggung jawab tersebut. Saya tidak mengtaakan ianyaa adalah satu-satunya jalan, tetapi ia adalah salah satu jalan yang boleh diguna pakai demi mencapai matlamat besar Islam. Wallahu a'lam.

 

sekian

www.zaharuddin.net

13 Feb 08

1.20 petang



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 17 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Politik Islam & Dakwah Parlimen Dibubar Hari Ini : Selamat Mengundi (Ulasan UZAR)