Ramai
yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada
pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas.Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia,
khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan?. Ikhlaskah diri
kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, bercerita, belajar, mengajar,
mendidik dan berniaga?.
Ini
satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu
mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka
yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk,
sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.
Ertinya : Katakanlah:
""Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah
dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama ( Az-Zumar : 11)
Nabi
s.a.w pula bersabda :-
إن الله لا
يقبل من العمل إلا ما كان له خالصًا، وابتغي به وجهه
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt tidak akan
menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan
kepada wajahNya ( Al-Bukhari, no 97, kitab al-Ilm)
APA
ITU IKHLAS?
Imam
Abu al-Qasim Al-Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memeberikan
definisi Ikhlas sebagai:-
إفراد الحق سبحانه في الطاعة
بالقصد، وهو: أنه يريد بطاعته التقرب إلى الله سبحانه دون أي شيء آخر؛ من تصنع
لمخلوق، أو اكتساب محمدة عند الناس، أو محبة مدح من الخلق، أو معنى من المعاني سوى
التقرب به إلى الله تعالى، ويصح أن يقال: الإخلاص تصفية الفعل من ملاحظة المخلوقين
Ertinya:
Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan
niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri
kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya
kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan
kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh
juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan)
dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd
Halim Mahmud, 1/443)
Memang
mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri
bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati
sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah,
namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah
swt kelak.
Ada
yang berkata, ketidakiklasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut
melalui cakap-cakap dan kata-katanya,
dari
tulisan melalui baris ayatnya,
dari
tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya.
Apapun,
persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta
mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.
PENDAKWAH MELALUI
CERAMAH
Pendakwah
melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar,
Bukan
kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, itu tidak mencabar,
Atau
di kurung melalui akta ISA kerana sebab yang sepatutnya anda faham,
Dibuang
kerja kerana dakwahnya menentang arus politik kerajaan atau membelakangkan
AUKU,
Sebenarnya,
apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh'
kerana beberapa ada tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana
Allah swt iaitu :-
·Keujuban di dalam diri
: Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang
berkorban persis Nabi Ibrahim a.s apabila mereka ditangkap, dipenjara dan
didenda oleh pihak yang menghalang dakwah.
Malangnya,
ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan
ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah.
Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya.
Lebih
menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus
menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah
dari hatinya.
·Imbuhan dan bayaran
: Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan
bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana
Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah s.a.w. Namun lama
kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di
hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi
semakin terhakis.
Populariti
menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah. Sebarang ceramah tanpa bayaran
atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan
bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa
yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang
menjemput. Di ketika itu, Imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah swt
dalam hatinya.
·Kecintaan kepada pujian
: Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi
ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika
pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan
dimainkan.
Jika
pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan
dipersembahankan,
jika
pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan
disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung.
Benar,
ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah
keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah swt, namun tidak sedikit
yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat,
‘Hebat',
‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Persis
Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh Syatian
setiap hari.
Di
benak para pendakwah melalui ceramah ini, sentiasa berusaha untuk ikhlas kerana
Allah, namun Syaitan sentiasa berjuang merosakkan ikhlasnya dengan apa yang
tersebut di atas malah berpuluh lagi cara. Ya Allah, alangkah mencabar dan
sukarnya untuk mengekalkan keikhlasan dalam perjuangan melalui medium ceramah.
PENDAKWAH MELALUI
TULISAN
Ada
di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur
lancar dan menawan. Namun dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan
mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka
web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya,
majalah, buletin dan sebagainya.
Niatnya
hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah swt,
redha Allah adalah objektif.
Namun,
dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :-
a- Royalti dan
Honorium
Hasrat dunia
sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah
dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana
Allah',tujuan dan objektif tertinggi
yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'
"Jika
demikian, kita menulis secara percuma, menyerahkan manuskrip buku kepada
penerbit tanpa perlu sebarang royalti dan honorium" Demikain tegas beberapa
rakan pendakwah, berusaha mencapai penerusan dalam ikhlas. Mujahadah dan
menjerat nafsu agar tunduk kepada niat yang tulus ikhlas.
"Tidak
semestinya berjaya juga, ikhlas tidak semestinya tanpa bayaran dan honorium, ia
di dalam hati" Terang saya mengingatkan diri.
Matanya mula
berkerut mendengar ayat ringkas saya itu. Namun akhirnya dia terangguk-angguk
tanda faham tanpa memerlukan penjelasan lanjut.
Manakan tidak,
seseorang mungkin boleh membuang semua habuan harta itu untuk mencapai ikhlas,
namun ikhlas belum tentu boleh wujud semudah itu.
Perasan diri
‘hebat', ‘merasa diri ikhlas kerana tidak mengambil habuan harta', rasa diri
lebih ikhlas dari mereka yang menerima royalti, suka dan gembira menerima pujian
orang sekeliling yang mengisbatkan dirinya sebagai ikhlas kerana tidak
mengambil royalti dan honorium juga adalah ‘pembunuh' sebuah keikhlasan yang
tulen.
Sebenarnya
keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima
imbuhan wang hasil penulisan dan ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang
terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya.
Jika honorium
dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia
masih boleh mengekalkan Ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.
Jika pujian
dan apa jua pujian orang terhadap penulisannya dan ketegasannya sehingga
menolak sebarang bayaran hasil tulisan dan ceramahnya itu tidak berbekas di
hati dan bermuzik indah di mindanya. Ia telah ikhlas.
Itu tandanya apa juga
yang dari manusia sudah tidak memberikan kesan kepada hatinya, hanya redha dan
cinta Allah yang ditagihinya. Yang lain hanyalah sampingan, wujud dan tiadanya
tidak memberi kesan kepada jiwa.
Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang
diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam
yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang
tertanggung ke atas dirinya. Hasilnya kebajikan akan berganda hasil royalti dan
honorium yang diterima.
Bagi yang menolak
royalti serta mampu mengekal ikhlas, lalu disunyikan tindakannya itu dari pengetahuan segala
macam manusia, agar tidak terganggu hatinya dengan pujian menggunung. Jika
diketahui sekalipun, hatinya tidak sama sekali terbekas dengan kata-kata manis
manusia, tidak pula dia merasa dan memandang rendah kepada mereka yang menerima
royalti.
Orang lain
tidak perlu ukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan
keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan
fikirkan tentangnya sentiasa.
·Pujian, nama dan selebriti
‘Aku menulis bukan
kerana nama' Itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari.
Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya,
hanya kerana Allah. Namun di ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih.
Hatinya kian terganggu, bukan apa...
Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji
sebagaimana sebelumnya
Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya
diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi
objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh
membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana
peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.
Tatkala itu, diri sendiri seolah sudah memberi gelar kepada dirinya sendiri,
"aku sudah menjadi seorang selebriti kerana
tulisanku"
Kalau tidak diakui sendiri, tatkala ada rakan lama
yang berkata :
"wah!, engkau sudah jadi selebriti sekarang ini,
tahniah"
Dengan kadar beberapa saat minda, hati dan
perasaannya mengakui hakikat itu dan merasa sedikit bangga dengannya. Tanpa
disedari, mengakui keselebritian diri itu tanda kita sedang ditipu oleh dunia. Lebih
‘sakit' apabila kebanjiran manusia yang
membeli buku, melawat web atau blog, yang menjadi rakan di facebooknya,
kemunculannya di TV dan Radio dilihat sebagai indikasi bahawa dirinya sudah
layak bergelar ‘selebriti', ‘public
figure' yang menggembirakan.
Apa yang patut dibuat sepatutnya adalah, hati wajib menafikannya serta segera
menarik hati dan jiwa kepada persoalan berikut:
"Adakah aku
sudah berjaya menjadi selebriti atau ‘public figure' penulis (atau penceramah)
di sisi Allah, pada pandangan Allah?, Bukankah itu tujuan asal kita?"
Saya teringat
kata-kata sahabat besar, iaitu Ibn Mas'ud r.a , ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau
berkata kepada khalayak yang mengikutinya:
علام
تتبعوني؟ فوالله لو تعلمون ما أغلق عليه بابي ما اتبعني منكم رجلان
Ertinya : Atas
sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku
lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku
lagi. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)
Justeru, maka
sedarilah diri yang mudah lupa, Syaitan sentiasa berusaha menghancurkan
kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran sang Syaitan, untuk
dilupuskan.Bukankah ia sebuah ujian
yang sukar buat para pendakwah. ? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari
ditangkap dan dipenjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah
adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan
khalifah Allah swt.
·Ahli akademik, Pangkat dan gelaran
Sebahagian
pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di
Universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak
mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku,
jurnal, pembentangan di konferen dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak
lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada
jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang
bengkok dan memurnikan yang bergolak.
Namun,
sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya
niat ikhlas tersasar dari landasannya.
Seorang
pensyarah universiti terlihat saya sedang menulis dengan tekun lalu menyapa :
"Tengah
menulis apa?"
"Tengah siapkan
sikit lagi buku baru saya" jawab saya ringkas
"Buku tentang
apa? Rugi kalau tulis sekarang ni, tunggulah dah siap PhD nanti. Tulis buku
sekarang ini tak masuk dalam kiraan merit" katanya tanpa rasa malu dan segan.
"Berkenaan
kewangan Islam, ooo ye ke tak masuk dalam merit, tapi tak mengapalah" jawab
saya semula, cuba ambil hati beliau yang sibuk memikirkan soal merit.
"Tapi kalau
rasa nak jual buku dan ambil royalti aja, pun ok juga" katanya lagi sambil
tergelak kecil dan kemudiannya berlalu pergi.
Saya hanya
mampu memberikan senyuman tawar kepadanya.
Saya
sebenarnya sedikit kesal dengan mentaliti pensyarah sedemikian, jelas sungguh apa yang dalam
benaknya hanyalah merit dan wang. Tidak terfikir olehnya kalau ada seseorang
menulis kerana Allah dan mencapai redha Allah walau tidak peroleh merit ataupun
royalti. Mungkin agaknya terlalu pelik di zaman ini? Mari sama-sama kita
berusaha mencapainya..menjadi orang pelik di akhir zaman !
Memang ramai
dari kalangan ahli akademik yang menulis kerana mengejarmerit untuk
melayakkan diri mendapat kenaikan gaji dan pangkat. Kerap kali terdengar perbincangan di kalangan mereka hanya berkisar tentang naik pangkat, mesti capai prof madya segera, naik gred gaji, jurnal antarabangsa dan seumpamanya,
Justeru itu, tulisannya
digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik, katanya "khas untuk
pembacaan bijak pandai". Ya itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya.
Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak
senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan
rendah.
Hidupnya di
bilik sejuknya digadaikan untuk menghasilkan kajian dan penulisan cemerlang di
mata majlis editor pakar sesebuah jurnal yang dicintainya. Jika tidak sedemikian, ada
pula yang menulis untuk konferen besar, mulanya niat adalah untuk mengembangkan
ilmu kepada masyarakat antarabangsa, agar mereka turut mendapat redha Allah,
namun malang di pertengahan jalan, niat tersasar.
Populariti
serta networking yang ditagih dalam
konferen dan seminar besar yang dihadirinya, semua diniat untuk menambah kenikmatan dunia.
Ya, harapannya untuk menaikkan pencapaian diri di dunia dengan kepujian, dilihat 'berjaya oleh sanak saudara dan taulan. Tidak lupa juga untuk membawa pulangan harta juga. Akhirnya, niat ikhlas kerana Allah
menjadi semakin terpadam, sedikit demi sedikit hingga tidak tinggal satu apapun
amalannya yang dilihat oleh Allah swt.
PENDAKWAH MELALUI POLITIK,
JAWATAN DAN PANGKAT
Ada
sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dan mencari redha Allah melalui jalan
politik, jawatan yang dipegang yang yang ‘ingin dipegang'.
Di
dalam hati mereka seolah tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk
mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan
sampingan yang lain juga turut digunakan.
Namun
liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik
boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana
Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan
kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang
bawahan.
Lebih parah, apabila
dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang
melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu
semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya
ingin berjuang dalam comfort zone,
pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau
boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.
Tatkala
itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu
menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang
Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang
dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.
Sepatutnya,
jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya,
kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di
sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan
pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar
Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah
sentiasa memastikan kita layak melalui ikhlas dan rendah diri.
Cabaran
pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak
sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya.
Ia juga boleh datang dari Syaitan durjana yang jauh lebih professional dari
manusia yang terlihat dek mata.
Boleh
sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari
sepatutnya. Tatkala itu keikhasannya pudar dan semakin terpadam. Akhirnya
takala dia sudah memegang kuasa, jawatan, apa yang dijanjikan kepada Allah
sebelum ini dilupakan, kerjanya untuk mencapai redha manusia dan pengundinya
menjadi semakin dominan berbanding redha Allah. Tatkala itu hancurlah dia pada
pandangan Allah swt.
PENDAKWAH MENUNTUT
ILMU
Selain
berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus
belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan
pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya.
Namun,
seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan nabi sa.w.w agar berterusan
menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih
pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan
diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan
masyarakat, bukan menyatukannya.
Bukankah
ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan
bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Allah swt :
Ertinya
: Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu
membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat
mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka (
Al-Anfaal : 63)
Namun
hari ini, Negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari
pelbagai jenis Negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya
tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini,
lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa?
Banyak
sebabnya, boleh sahaja menyalahkan Syaitan dalam hal ini, namun tidak kurangnya
adalah si ilmuan, pendakwah dan penuntut ilmu yang menuntut bukan ikhlas kerana
Allah, tetapi atas kepentingan diri sendiri dan kumpulan yang dicenderunginya.
Dirinya
merasakan sedang berjuang habis-habis menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan
dalam agama.
Dirasakan
dirinya sedang adalah sentiasa di pihak yang benar lagi tepat. Hingga kebenaran
yang dirasakan berada di pihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat,
mengkafir, membid'ahkan dan menghukum orang dan pihak lain. Seolah tiada lagi
ruang dan kemungkinan, kebenaran berada di pihak yang satu lagi.
Akhrinya,
syaitan mengambil alih, mengubah niatnya dari menuntut ilmu secara ikhlas untuk
mencapai redha Allah kepada menuntut ilmu agar boleh mempertahankan
kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka...apakah
yang boleh menyedarkan mereka ? Wallahu'alam.
KESIMPULAN
Tulisan
ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk
dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.
Ia
merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang
menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan
hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus Syaitan. Bimbang matinya
kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA
oleh Allah swt.
Sebuah
hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, iaitu :-
إن أول
الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى
استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على
وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه
فعرفها, قال: فما
عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت
القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل
وسّع الله عليه, وأعطاه من
أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من
سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم
أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار
Maksudnya (ringkasan
terjemahan) :
Antara yang terawal
diadili di hari qiyamat kelak adalahmereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang
kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : Aku telah
berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid
Dibalas : Kamu
berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar"SANG BERANI"
maka dikatakan, telah
ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam
neraka.
Ditanyakan kepada
(orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Aku
mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"
Dijawab semula : Kamu
berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran
agar digelar"QARI"
maka dikatakan, telah
ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam
neraka.
Ditanyakan kepada
(orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Tidak aku
sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya
keranaMu"
Dijawab semula : "Kamu
berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"
maka dikatakan kepada Malaikat,
lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia
ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)
Semoga
kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang
sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya.
Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia
atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada
kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut
dalam hadis:-
أرأيت الرجل يعمل العمل من
الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن
Ertinya
: Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan,
tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan
buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)
Ibn
Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang
mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."
Benarlah,
bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang
pendakwah dan mukmin. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah
seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran
besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...
Posted by abuhanani, on 29-01-2010 15:31, IP 115.134.12.210, Guest
3. Mujahadatun nafsi
Penjelasan yang cukup bermanfaat... moga kita sentiasa dapat berhati-hati dalam kerja kebajikan yang dilakukan ... asasnya ilmu sangat penting untuk memastikan kita selamat dari godaan syaitan dan bisikan nafsu .. kata hukama' : Manusia itu semuanya mati kecuali orang berilmu , orang berilmu itu semuanya tidur kecuali orang yang beramal , yang beramal itu semuanya tertipu kecuali orang yang ikhlas " . terima kasih ustaz atas nota yang sangat bermaafaat ini . Kualiti ibadah itu letaknya pada ikhlas . Ia akan sentiasa menjadi rahsia di antara Tuhan dan hambaNya .
Posted by hamba allah, on 20-01-2010 11:19, IP 202.60.56.249, Guest
4. Ikhlas kita
Assalamualaikum,
Alhamdulilah ustaz sangat terkesan dihati saya, memang soal keikhlasan menjadi cabaran yang amat besar kerana buat apa pun hendaklah berdasarkan niat. kadang2 amat ditakuti niat asal yang bersih berubah disebabkan faktor2 yang telah ustaz nyatakan di atas oleh yang demikian pentinghnya kita saling berpesan2 kerana kebenaran. terima kasih ustaz.
Posted by ikhwanjamal, on 16-12-2009 06:01, IP 129.59.86.181, Guest
8. tiada solusi
jika setiap apa yg diperbuat sering meras tak ikhlas, apakah itu kelemahan kita sebagai manusia dengan hanya meletakkan Allah sebagai pengadil kita, atau kita sering menolak untuk berbuat apa-apa bg mengelakkan riya' dan ujub atau sebagainya. tentunya, ikhlas kita tidak akan seikhlas nabi, namun mungkin kita boleh mencuba seikhlasnya, beristighfar memohon petunjuk agar keikhlasan sentiasa diperbaharui apabila terlintas setiap fikrah syaitan yang melintasi akal dan fikiran. very great artikel from ustaz. terkesan saya membacanya.
Posted by nur, on 15-12-2009 15:10, IP 210.19.39.66, Guest
9. Keikhlasan dalam solat?
Dalam solat pun perlu ada keikhlasan...
Saya mendapati lebih mudah melakukan solat apabila dengan kawan kawan... tetapi apabila sampai kerumah dan bersendirian... lebih mengutamakan tidur...
apabila cuba menilai tingkat keimanan ini... saya rasa seperti munafik pula dalam ibadah saya...bukanlah saya ingin menunjuk kepada insan lain... jauh sekali... tetapi lebih mudah jika ada ajakan dan dorongan...iyalah ikut ikutan... tetapi ini tidak sepatutnya berlaku..
bagaimanakah caranya untuk keluar dari belenggu ini?
Posted by joegrimjow, on 14-12-2009 07:44, IP 94.168.241.191, Guest
10. ikhlas
susah nak pupuk nilai ikhlas ni akan wujud juga perasaan walau sedikit untuk berbangga tapi kalau terusan mencuba niat betul kerana DIA insyaAllah DIA tahu
Posted by meor muslih, on 07-12-2009 05:15, IP 88.100.182.151, Guest
12. Pertanyaan
Assalamualaikum ustaz,
Mungkin pertanyaan saya ni off topic (jadi saya mintak maaf), saya cuba cari dekat internet untuk mencari jawapan, tapi x jumpa. Seolah-olah benda macam x menjadi isu. Tapi still saya rasa bersalah.
Kalaulah saya download software, lagu dan sebagainya dari internet, bukan dengan niat nak jual dan ambik untung, haram ke? Bukan apa, sebab ramai orang tahu mencuri tu haram, tapi kenapa ramai orang tak rasa bersalah bila mendownload, hanya kerana benda tu tak tangible, benda tu hanyalah hakikatnya 'codings of developers'?
Dan katakanlah, di youtube ada orang upload lagu/cerita di internet yang dia beli, dan semua orang stream daripada dia, berdosa ke? Dosa ke orang yang menonton/mendengar tu pulak?
Saya sendiri ustaz, kadang2 rasa benda macam ni macam kecik je, sedangkan hakikatnya berdosa (kalau haram lah)
Macam mane pandangan ustaz?
Sekian terima kasih. (kalau sudah ada jawapan ni website ni harap dapat beritahu. Saya dah search tapi x jumpe)
Posted by ruzian, on 05-12-2009 22:35, IP 115.132.251.44, Guest
14. Ikhlas
Alhamdulillah artikel ustaz telah menyentuh hati saya. Sebagai rakan akademik, apa yang ditulis itu memang berlaku dan segala peringatan akan dijadikan panduan. Terimakasih. Saya doakan semoga ustaz akan ditingkatkan iman dan dipelihara daripada ujian yang berat.Terutamanya setelah bergelar Dr. nanti, hadapilah dengan tabah dan doa kerana banyak ujian yang menanti...
Posted by abuabid, on 05-12-2009 06:43, IP 60.51.107.59, Guest
15. sukarnya..
memang itu hakikat dan perbincangn hati manusia.. trima kasih ustz.. walau ana xmampu ana nk tulis artikel sebegini tetapi insyaAllah ana linkkn artikel ni. smga Allah menerima kebaikkan kita walau ia sekecil kebaikkan.. hmm.. sukarnya ikhlas.. smga Allah mnjaga hatiku dan semua. InsyaAllah
Posted by ingin tahu, on 05-12-2009 01:43, IP 60.53.214.176, Guest
16. jual beli..
saya ada buat perniagaan di internet.. saya ingin tanya ustaz boleh tak saya buat tag line jualan saya seperti ini "belilah barangan saya sempena Sambutan CHRISMAST"..lari sedikit daripada article ustaz..minta maaf..
Posted by Izhar, on 04-12-2009 23:13, IP 118.101.119.62, Guest
17. Teguran untuk semua
Saya rasa soal ikhlas ini bukan saja para pendakwah yang terkesan, ia juga relevan kepada semua jenis pekerjaan. Mungkin sebab itu, persoalan mengenai hati adalah hadis pertama dalam Hadis 40 Imam Nawawi
Posted by jaja, on 03-12-2009 15:52, IP 121.120.215.111, Guest
18. tangkap
bia pun di tangkap, di gelar persis mujtahid tp lagi lah elok dari golongan yg kononnya tidak mahu menimbulkan kontroversi ttp akhirnya menyembunyikan ilmu krn nak jg hti pihak2 tertentu..btolkn ustz??
Posted by yusri, on 02-12-2009 23:51, IP 60.48.56.244, Guest
19. Hal berkaitan kwsp
assalamualaikum, utz. saya ingin bertanya iaitu, hal tentang kwsp. saya dah keluarkan semua duit dalam kwsp kerana kakitangan kerajaan berpencen tak perlu mencarum lagi. Sekarang, saya ingin menyimpan semula dalam kwsp kerana jumlah yang saya simpan sendiri itu (dalam kwsp)dapat saya tolak daripada dikenakan cukai kerana cukai pendapatan yang saya kena bayar semakin tinggi. Soalannya, bolehkah saya terus simpan dalam kwsp untuk tujuan ini?
Posted by guest, on 02-12-2009 16:12, IP 202.170.57.254, Guest
20. sukarnya.........
terima ksh ust ats artikel.satu peringatan.klu blh sy nk mtk nsht ust.dari dulu lagi sy cuba utk hapuskan sft2 mazmumah ni.tp hny Allah shj yg tau betapa sukarnya mujahadah ni.kdg2 sampai sy jadi tertekan n sedih sgt sbb xdpt control perasaan. mcm mana ye sbb benda ni kdg2 kta x dpt control tiba2 dia mai t'lintas s'diri
Posted by mohd shah rafi, on 02-12-2009 14:39, IP 161.139.144.2, Guest
21. Ikhlas
Subhanallah...
Cantiknya pengertian ustaz tentang Ikhlas dalam dunia hari ini.terima kasih kerana tunjuk ajar ini. moga Allah memberkati tuan dan kita semua dunia dan akhirat. Amin
Posted by ina, on 02-12-2009 13:14, IP 58.27.115.85, Guest
22. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui
Mmg sukar menilai keikhlasan diri sendiri. Spt seekor semut hitam, di atas batu yg hitam dan di malan yang gelap gulita. Hanya Allah Yang Maha Mnegetahui. Sebagai hambanya kita cuma mapu berusaha utk ikhlas, berdoa dan memohon keampunanNya. Semoga kita semua mendapat keampunanNya.
Posted by HjSyahrul, on 02-12-2009 10:52, IP 203.121.26.14, Guest
23. Tulis Pasal Krisis Kewangan Dubai Plak
Salam Uzar, syukran atas tazkirah buat para penulis. Cuma klau brkelapangan hrp Uzar bole tulis/ ulas jgk ttg krisis kewangan dubai yg kini jd buah mulut &ada pihak yg cuba buat snjata utk damn Islamic financial system. sykran.
Posted by umar, on 01-12-2009 22:21, IP 115.135.216.22, Guest
25. alhamdulillah
alhamdulillah..
sebenarnya ust, memang pengalaman2 ustz la yg saya mahu pelajari, dgn pengalaman2 ustz juga la yg mahu diambil iktibar..
dgn kisah2 begini, sangat mudah utk saya menilai diri sendiri, kerana ia terang2 bersangkut paut dgn kehidupan seharian..dan sgt mudah utk sya membayangkan bgimana sekiranya saya di tmpat ustz..itulah yg sgt terkesan dihati..
apa yg saya sgt2 mahukan, adalah ingin memperbetulkan mana yg salah dlm kehidupan ini..dan melalui pengalaman2 ustz lah kami saya belajar sama..
Posted by hamba-Nya, on 01-12-2009 21:45, IP 115.132.38.90, Guest
26. harap diperjelas...
sy nk mintak ustaz beri penjelasan ckit tentang pertembungan solat sunat hari raye dan solat sunat jumaat..sy yakin masih rmai lg followers blog ustz yg kurg arif tentang mslah ini..
Posted by busyro, on 01-12-2009 19:21, IP 60.51.74.174, Guest
27. busyro
Allahu rabbi...tulisan ust kali wt kan hati sy tersentak,selama ni sy bljr..byk kejar gelaran..nampak sgt tak ikhlas,ptt la setiap apa yg di capai terasa kosong..selalu dgr ikhlas,slalu ckp psl ikhlas..tapi bila berlaku pd diri sendiri,kadang2 tu tanpa kita sedar,kita sebenarnya dah tak ikhlas dlm buat keje..doakan sy ust
Posted by tak ikhlas, on 01-12-2009 18:35, IP 211.25.208.185, Guest
28. tak ikhlas
Ust, macamana kalau saya tak ikhlas melakukan tugasan di pejabat? Bila tengah tension sesangat tu bangun pagi pon dah demotivated sbb tau kena ke ofis, tengok kerja pon nak termuntah, tengok boss pon amatlah menyampah (part ni bukan saya saja).
Pendek kata mmg tak ada hati langsungla cuma terpaksa, belum nampak lagi pintu yang lain. Hari2 duk doa agar dapat keluar secepatnya.
Nampak gayanya mmg sah tak ikhlas. Pahala dari kerja yang dikatakan ibadah tu memang tak dapatla maknanya ya Ust? Hmm.. nak korek tang mana lagi..
UZAR : ya tanpa ikhlas satu amalan pun tak ada nilainya di sisi Allah.
Posted by abdullahbukhari, on 01-12-2009 13:51, IP 210.48.222.3, Guest
30. ada yang akan terasa!
Rencana bagus,menyentuh ttg kepentingan menjaga hati agar tidak terbabas..jikalau dibaca buku Talbis Iblis, ternyata ruang utk setan mengganggu amat besar!itulah sebabnya tasauf dlm eti kata mengikut panduan al-Quran & hadith amat penting sekali....tapi kan syeikh bila ana baca...ana rasa akan ada orang yang terasa..siapa? ayatnya anta walau berkias,nampak jelas..marilah kita pakat tegur-menegur..tolong ulas sekali ttg doa bala TG Nik Aziz!
Posted by kak Nisha, on 01-12-2009 13:40, IP 124.13.179.96, Guest
31. Memang susah
Assalamualaikum semua, Terima kasih atas peringatan dan kesedaran, ustaz. Sebagai seorang ibu pun sukar untuk menjadi ikhlas dengan anak-anak serta suami. Inikan pula dengan benda-benda lain. Itulah perjuangan saya sebenarnya.
Posted by azlanshah, on 01-12-2009 13:17, IP 86.108.119.47, Guest
32. Masyallah
Salam..Syukran Ust.. Artikel ini sangat2 lah bermanfaat dan hadir tepat pada waktunya insyallah.. Semoga semua penuntut ilmu dan pendakwah dapat memahami hakikat keikhlasan yang sebenarnya..
Posted by ichigo13, on 01-12-2009 12:05, IP 218.208.110.225, Guest
34. hamba Allah
“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau daripada kedua-duanya.”
Posted by Abu Mujtahidah, on 01-12-2009 11:10, IP 124.82.97.67, Guest
35. sukarnya jalan dakwah
assalamualaikum utz, sy juga pendakwah spt utz, isu yg utz kemukakan telah lama menghantui jiwa saya, sehingga kdg2 syaitan menusuk rasa malas dalam diri.. mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mukhlisin
Posted by PakNikHase, on 01-12-2009 10:23, IP 124.82.127.99, Guest
36. Sesungguhnya Ia Lebih & Malah Sgt Sukar
Ia Ustaz!
Begitulah hakikat makam ikhlas. Untuk mencapai tahap keikhlasan mengikut piawaian Allah swt sungguh sukar dan amat mencabar sampailah ke akhir hayat seseorang hamba Allah itu. Akan tetapi bak kata orang "Miskin pun susah, Kaya pun susah tapi baiklah Kaya" maka begitulah juga dengan ikhlas ni, 'Ikhlas pun susah, tidak ikhlas pun susah tapi baiklah ikhlas mengikut kemampuan dan bawaan masing-masing dan seterusnya pulang kepada Allah swt untuk menilainya" InsyaAllah!
Posted by rafrar, on 01-12-2009 09:36, IP 118.101.53.79, Guest
39. setuju 100% betapa sukarnya nak ikhlas
Salam us, jazakallah dgn artikel us ini,marilah kita semua sentiasa muhasabah diri dan tidak henti-henti berdoa kepada Allah supaya sentiasa bersifat ikhlas dalam kehidupan
Posted by Fauzan, on 01-12-2009 08:39, IP 115.133.0.179, Guest
40. sukarnya nak meneruskan keikhlasan
assalamualaikum ustaz. terima kasih atas artikel ini. saya ini hanya insan biasa. bukan ustaz, bukan golongan agamawan. memang saya sendiri merasakan sukarnya nak ikhlas.
dah lama saya tak baca hadis yang panjang dihujung artikel ustaz kali ini. alhamdulillah ia mengingatkan saya akan perlunya saya terus bermujahadah akan niat yang ikhlas.
saya mendoakan agar semua orang yang berjuang untuk agama allah sentiasa memperbetulkan niat setiap masa. berjuanglah kerana allah bukan kerana nama, harta, pangkat dan sebagainya.