(31 votes, average 4.68 out of 5)
Untitled Document
 

Jawapan :

i) Jika anda bertanya manakah yang lebih baik antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha, jawapannya adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih ertinya : “ Tidak hampir kepadaku orang yang ingin hampir kepadaKu sebagaimana apabila mereka melaksanakan amalan fardhu / wajib mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” ( Riwayat Al-Bukhari )

 

 

Amat jelas hadis ini menjelaskan amalan fardhu atau wajib lebih utama di sisi Allah SWT dari yang sunat, walau sehebat mana sekalipun yang sunat itu.

Hadis tadi sebagai asasnya, tetapi dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksud saya begini, jika seseorang itu perlu qadha puasanya selama 30 atau berpuluh-puluh hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat sehingga mampu mengerjakan syawwal terlebih dahulu, ketika itu mungkin ia boleh mendahulukan puasa syawwal bagi mengejar waktunya yang singkat berbanding qadha. Tapi harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa qadha adalah panjang, tetapi kita tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum qadha puasa tetapi sudah berpuasa sunat syawwal akan pasti bermasalah kerana ia masih berhutang dengan Allah. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah qadha puasanya tetapi tidak sempat sunat syawwal, maka tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.

 

Kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

 

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan saya seperti berikut :-

 

Tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu ( dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk digabungkan. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang membolehkan penggabungan menjadi tandatanya iaitu :-

 

• Jika anda mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan tahiyyatul masjid atau dengan solat unat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat tahiyyatul masjid. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

• Menurut guru saya Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

 

• Tindakan A’isyah ra yang melewatkan qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa qadha dan syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. ( tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya)

• Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun , ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat sepenunya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

• Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW ertinya “ Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Muslim). Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melangkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

• Hujjah ulama yang mengharuskan adalah hadith “ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12) dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat dalam mazhab Syafie mestilah dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103)

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

• Qiyas haji Qiran (iaitu menggabungkan Haji dan Umrah) kepada Puasa Qadha wajib dan Sunat Syawwal adalah qiyas yang kurang tepat. Malah terdapat majority ulama yang tidak setuju dengan konsep “qiyas’ dalam isu ibadat. ( Rujuk Nihayah As-Sull, Jamaluddin al-Isnawi)

Kesimpulan pandangan saya yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal) ; bagaimanapun, pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan adalah beberapa ulama mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

 

ii) Semasa usia remaja, saya pernah meninggalkan solat, demikian juga puasa. Tetapi saya tidak ingat jumlah solat yang ditinggalkan, serta jumlah hari puasa yang ditinggalkan. Bagaimana cara terbaik untuk saya lakukan qada’ terhadap kedua-dua perkara wajib ini?

 

Jawapan : Terdapat pelbagai pandangan ulama dalam hal ini, tetapi pandangan pilihan saya adalah. Ia adalah hutang kepada Allah yang mesti di bayar, maksud saya semua amalan solat dan puasa wajib yang ditinggalkan wajib juga diganti. Sabda Nabi menyebut tentang perlunya membayar hutang Allah ini: “ Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi (terlebih dahulu) “ (Riwayat ) .

 

Bagaimanapun, timbul persoalan akan beratnya tindakan untuk menggantikannya dan jumlahnya yang tidak terkira banyaknya. Jika demikian maka respond cadangan saya adalah anda boleh melakukan tindakan berikut:-

a) Tawbat kepada Allah atas kelalaian yang lalu, dengan tawbat dan penyesalan yang sungguh-sungguh.

 

b) Qadha’ solat dan puasa yang ditinggalkan menurut kemampuan yang ada, jangan terlalu dipaksa, sekadar yang mampu kerana Allah maha pemurah dan pengampun. Bersangka baiklah dengan Allah SWT agar Allah mengampunkan tetapi sangka baik mestilah disertakan dengan bukti kesungguhan kita untuk bertawbat, Sabda Nabi dalam hadith Qudsi “Berkatalah Allah: Aku berada di atas sangkaan hambaku terhadapKu..” ( Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Muntaqa Targhib wa Tarhib, no 821, 1/437 ). Pun begitu saya tetap sarankan agar ianya diganti sekadar yang mampu bagi membuktikan kesungguhan. Jika tidak saya bimbang, ramai meninggalkan solat dan puasa wajib dengan mudah, kemudian bertawbat, kemudian ponteng lagi, kemudian tawbat. Benar Allah maha pengampun tetapi buktikan keinsafan kita. Nabi bersabda : “ Sekiranya kamu melakukan dosa sehingga sebesar matahari sekalipun, kemudian kamu bertawbat , nescaya Allah akan menerimanya “ (Riwayat Ibn Majah no 4238 dengan sanad yang baik; disebut sebagai “Hasan” dalam majma az-Zawaid; rujuk Muntaqa 2/820)

 

c) Kemudian tebus kesalahan lalu itu dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh yang pelbagai seperti ajak orang lain agar jangan ponteng puasa (sebagai tebus kita ponteng dahulu), ajak orang keluarga, rakan-rakan yang melalaikan solat agar mementingkannya. Cadangan saya ini berasaskan sabda Nabi SAW : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada, dan ikutilah perbuatan dosamu (buruk) dengan perbuatan baik (pahala) , kerana ia akan memadamnya dan menjadikan kamu sebagai seorang yang berakhlak mulia “ ( Riwayat Tirmidzi, kitab al-Birr, no 1987, 4/355 ; Hasan Shohih menurut Tirmidzi dan Hasan menurut Albani)


Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh