Yang Baik & Yang Pelik : Wales UK

(12 votes, average 5.00 out of 5)

Coretan Seminggu

Di Wales, United Kingdom

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Ketibaan saya sekeluarga di Cardiff International Airport melalui Amsterdam pada hari Sabtu 5 Julai 08 amat licin dan mudah, Alhamdulillah. Lega rasanya kerana tidak perlu berhadapan dengan pengalaman buruk beberapa pelajar Malaysia yang pernah berhadapan dengan pelbagai masalah sama ada di airport London dan juga Cardiff. 

Kurang selesa juga mendengar ada pelajar yang terpaksa mencukur habis janggut bagi mengelakkan sebarang masalah di Airport London. Namun hal demikian berjaya dihindari di Cardiff, sebuah airport yang jauh lebih kecil dan hampir menyamai airport Kuantan sahaja rasanya. Kalau tidak samapun, mungkin lebih elok sedikit sahaja tahapnya. Terasa bertuah dan lega kerana amat mudah dan cepat segala urusan di airport kecil ini.

Tidur semalaman di Cardiff di rumah kenalan yang juga pensyarah UPSI. Ribuan terima kasih kepada Akhi Is dan Ukhti Hasliza sekeluarga yang sudi mewaqafkan rumahnya sehari buat kami singgah dan mengisi perut lapar akibat tidak yakin makanan di dalam kapalterbang KLM. Sambil berkenalan dengan tempat-tempat persinggahan utama pelajar Malaysia di Wales seperti Global Food iaitu sebuah gudang jualan pelbagai barangan halal termasuk barangan Malaysia. Kelihatan hampir semua barangan makanan kebiasaan Malaysia boleh didapati di sini.

Keadaan ini menjadikan pelajar Malaysia di sekitar Cardiff ini sukar untuk berasa rindu dengan masakan Malaysia. Berbeza dengan pengalaman kami di Jordan dahulu, yang sukar mendapatkan barangan makanan yang biasa digunakan di Malaysia. Namun di Jordan tidaklah pula sukar untuk mendapatkan yang halal berbanding UK.

JENAYAH DAN LAMPETER

Hari Ahad 6 Julai 2008, rakan-rakan dari Lampeter tiba di Cardiff bersama 4 buah kereta untuk menjemput saya sekeluarga. Jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat serta pujian wajar diberikan atas perancangan rapi komuniti Malaysia di Lampeter.

Tidak lupa juga kehebatan peralatan "tom tom" yang menyediakan peta dan memandu arah hasil informasi satellite, sehingga tepat ke hadapan alamat rumah yang diberikan. Amat mengkagumkan, saya baru sahaja memesan peralatan ini dengan kelengkapan peta seluruh UK dan Eropah.

Dengannya, peluang untuk sesat hampir zero di kawasan ini. Sebut sahaja alamat dan poskodnya, anda boleh sampai di sana tepat tanpa sesat. Inilah yang membantu rakan Lampeter mengesan saya di alamat Cardiff tanpa sebarang masalah.

Tom tom

"Ia ibarat hati kepada kita di UK" Kata seorang rakan di Lampeter.

Perjalanan Cardiff-Lampeter mengambil masa lebih tiga jam, melalui pemandangan desa yang indah. Lampeter pula boleh dianggap sebagai sebuah Bandar kecil didiami oleh kebanyakkannya warga tua Wales. Diwartakan kawasan Lampeter dan sekitarnya adalah antara kawasan yang paling kurang warga asing.

Keadaan ini memberi kesan kepada rekod jenayah setempat, yang memcatatkan statistik terendah. Selain itu, ia juga memberi sedikit kejutan suasana buat saya yang selama ini hidup dan tinggal di ibu Negara Malaysia, Kuala Lumpur, Gombak dan Puchong yang amat terkenal dengan seribu satu macam jenayah.

Masakan tidak, saya masih lagi terbawa-bawa perasaan risau dan alert terhadap keselamatan diri, keluarga dan harta benda sebagaimana ketika di Malaysia. Berbeza dengan rakan-rakan di sini yang memberitahu bahawa pintu rumahnya pernah terbuka sepanjang malam akibat tidak rapat, tiada sebarang masalah.

Kereta tidak berkunci  di malam hari, no problem.

Anak dilepaskan bermain tanpa pemerhatian kerap ibu bapa, tiada risau.

Inilah kelebihan Wales terutamanya Lampeter. Saya kira rakan-rakan di Wales mungkin akan mengalami kejutan budaya akibat rekod jenayah dahsyat di Malaysia, apabila balik kelak. AWAS jangan terbayang Malaysia seperti Lampeter dan Wales. Bayangkan anda di London.

Namun keadaan ini mungkin meleset jika berada di kawasan-kawasan yang dipenuhi warga Pakistan seperti Birmingham, Glasgow dan Bandar besar seperti London sudah tentu. Ia bukan hanya andaian kosong, malah fakta ini juga dapat dilihat daari caruman insuran kereta dan lain-lain di setiap kawasan terbabit. Jenayah yang amat kurang menjadikan insuran bagi kereta di Lampeter lebih murah berbanding yang lain. Demikian saya dimaklumkan, kalau tidak benar, tolonglah maklumkan.

Permandangan Lampeter

Sedihnya mendengar kawasan didiami umat islam dari Pakistan, Arab, Bangladesh dicop kawasan mudah berlaku jenayah dan tidak disukai oleh warga tempatan. Sepatutnya kehadiran  umat Islam dirasakan lebih tenang, namun hakikat kini sebaliknya berlaku.

Malang juga tiada Insuran secara Islam atau TAKAFUL di UK setakat pengetahuan saya setelah membuat semakan menerusi internet. Ada beberapa buah syarikat yang baru dibuka, namun belum mewarwarkan produk mereka.

KERETA MURAH & GAJI

Minggu pertama tidak banyak yang boleh dilakukan bagi urusan PhD terutamanya di ketika supervisor sedang bercuti selama sebulan lebih. Justeru, penumpuan lebih kepada menguruskan urusan kehidupan yang masih belum selesai.

Lampeter
 

Wales

Kereta sudah dibeli secara cash (kerana harganya boleh dikira murah), hanya dengan GBP1800 saya miliki sebuah Honda Shuttle, sebuah MPV 7 seater bergear automatic tahun 1999 dengan milage 56,000 KM. Mungkin tidak begitu murah berbanding kereta biasa, namun bimbang juga jika terlalu murah, risiko rosak yang adalah lebih tinggi. Saya diberitahu ada rakan di sini yang membeli kereta dengan harga GBP 50 (RM 320), namun selepas menggunakannya selama sebulan lebih, eksosnya tertanggal di tengah jalan.

Sebahagian penjual di sini juga kelihatan mengamalkan kaedah jualan secara Islam (in substance) apabila mendedahkan kelemahan-kelemahan kereta mereka secara profesional. Namun tidak semuanya  begitu, cuma mungkin lebih baik sedikit dari Malaysia.

Sesuai dengan harga kereta, gaji pekerja tempatan di UK pula agak tinggi berbanding Malaysia. Amat diketahui umum, ramai pelajar Malaysia yang bekerja di UK. Pendapatan sejam sebagai cleaner di sekolah atau pasaraya sahaja sudah mencecah GBP 5-6 (RM32- 38.40 sejam), ada rakan yang mampu memperolehi GBP 1000 sebulan( RM6,400) hanya dengan bekerja sebagai cleaner.

Tugas professional sebagai lecturer dan senior Lecturer pula menawarkan gaji sekitar GBP 2500 - GBP 3333 = RM16,000 - RM21,333 sebulan. Itu belum lagi pendapatan seorang Prof Madya atau Professor penuh.

Demikian juga jawatan-jawatan professional dalam pelbagai sektor. Justeru, dengan pendapatan sedemikian, harga kereta baru sekitar GBP 10,000 - 30,000 adalah sesuai, kereta second hand pula sekitar GBP 500 - GBP9,000. Harga rumah yang sederhana besar pula sekitar GBP 80,000 - GBP 500,000.

Tidak seperti di Malaysia, majoritinya bergaji RM 1500-RM 5000 sebulan, tapi kereta berpuluh ribu, rumahnya beratus ribu RM. 

Walaupun penduduk tempatan punyai kelebihan dari sudut pendapatan, namun cukai kerajaan menghantui mereka. Pelbagai cukai dikenakan, televisyen dan telefon ada cukai, wang pusaka katanya cukai sebanyak 40%. Rumah berperabot yang tidak didiami ada cukai dan macam-macam lagi cukai.

Hasil cukai disedeqahkan kepada individu kurang bernasib baik. Malangnya ada yang sihat wal afiat tetapi malas bekerja tidur makan pun masih mendapat sumbangan dari kerajaan. Pekerja professional berhempas pulas, 30-40% pendapatan mereka diambil dan diberi kepada yang malas.

Kata seorang rakan di sini :

"Jika gaji sebulan mereka kurang dari GBP 700 (RM 4480 sebulan), mereka akan memilih tidak bekerja, kerana sumbangan dan benefits yang diberikan kerajaan lebih lumayan dari pendapatan sebegitu." 

Kerana itu, pelajar Malaysia dan rakyat asing mengambil alih tugasan untuk gaji sedemikian. Malah warga EU (negara eropah) gajinya berbeza dengan rakyat asing yang bekerja. Sebagai contoh, jika tukang sembelih warga Malaysia gajinya hanya GBP 8 satu jam, tapi warga UK atau EU diberikan GBP 12 sejam atau lebih. Tugasannya sama malah tugas warga Malaysia itu lebih berat, namun gajinya lebih kecil. Namun fenomena ini sudah diterima penduduk di sini. Bagaimana pula Malaysia dengan warga asal seperti Melayu, cina dan India?

RUMAH SEWA MAHAL & PEMANDU

Jika kereta murah, rumah sewa pula mahal. Menurut statistik yang saya perolehi di Internet, purata sewa rumah dua hingga tiga bilik di Bandar Lampeter  adalah sekitar GBP 400-700 ( RM2560 - RM4480) sebulan, selain itu agak sukar pula memperolehi rumah sewa di kawasan ini. Namun terdapat kawasan lain yang jauh lebih mahal.

Adab pemandu di sini amat dikagumi oleh ramai rakan-rakan yang berpengalaman. Pujian kerap diucapkan oleh mereka, sehingga hampir setiap rakan Malaysia yang baru ditemui di sini, pasti akan memuji. Memang benar, terutamanya di Lampeter. Mereka tidak kelihatan tergesa-gesa, bersabar, tiada cilok-cilok, kerap memberi laluan kepada orang lain terlebih dahulu ( amat jarang di Kuala Lumpur), tiada mat rempit, tiada bunyian hon kecuali sekali sekala apabila kesilapan betul-betul berlaku.

Lebih dari itu, pemanduan sangat berhemah dan seat belt tidak pernah lekang, malah semua kanak-kanak juga wajib memakai seat belt dan mempunyai kerusi khusus mereka di dalam kereta. Hampir semua pemandu dilihat mematahui undang-undang ini termasuklah rakan-rakan Malaysia. Katanya penguatkuasaan juga efisyen dan professional.

Pematuhan had pandu laju juga amat tinggi. Sistem elektronik mereka mampu menangkap anda kerana tiada insuran atau road tax, hanya dengan mengambil nombor kereta dan dimasukkan ke dalam sistem yang cukup efisyen.

Pada hemat saya, jika ada pengganas jalan raya di Malaysia hadir ke sini , mereka juga ‘terpaksa' berubah kerana budaya dan keadaan di sini. Cubalah...

URUSAN INDIVIDU DIGANGGU ?

Memang boleh dipuji, itulah yang dapatsaya komen berkenaan penguatkuasaan tali pinggang keselamatan bagi semua individu dalam sebuah kereta, tanpanya saman pasti dihadiahkan. Malah di pasaraya besar seperti Tesco, Morisson, Lidl dan sepertinya, troli barang yang punyai ruang duduk kanak-kanak juga disertakan tali pinggang. Bas juga mempunyai tali pinggang keselamatan.

"nyawa begitu mahal di sini berbanding Malaysia" kata seorang rakan.

"Malah jika dihubungi ambulans, dalam masa kurang dari lima minit mereka akan sampai. Kalau di Malaysia entah berapa puluh minit atau jam baru sampai" Katanya lagi.

Saya terfikir, di waktu kita memuji penguatkuasaan undang-undang jalanraya sebegini yang membawa kesan baik kepada nyawa. Bukankah sama ada anda ingin memakai tali pinggang keledar atau tidak, ia urusan individu. Apa yang terlalu disibukkan dan apa perlu kerajaan masuk campur.

Campur tangan dalam urusan lampu trafik, memandu laju, menelefon sambil memandu , langgar lampu merah mungkin ada rasionalnya, kerana terang-terangan menceroboh hak dan membahayakan orang lain.  Namun memakai tali pinggang keselamatan..ini sudah kes ceroboh hak individu.

"aku punya pasallah nak selamat atau tidak"

Mungkin itu kata-kata segelintir rakyat Malaysia jika diketatkan undang-undang sebegini.

Justeru, mengapa warga UK boleh dengan baik dan tenang menerimanya?. Sudah tentu kerana mereka sedar ia adalah punyai satu nilai yang baik dan menawarkan keselamatan nyawa. Walaupun hak individu mereka terganggu, ia tetap bertujuan baik.

Namun, apabila sebuah kerajaan negeri di Malaysia mewarwarkan syarat untuk naik pangkat adalah menunaikan solat lima waktu, ia dianggap urusan individu dengan Allah, kerajaan negeri tidak perlu masuk campur. ?

Padahal solat itu pengikat diri individu dengan Allah, ia membentuk satu benteng undang-undang dalam diri sehingga mampu mengelakkan pekerja bersifat tidak amanah, menipu dan sepertinya sewaktu bertugas. Ia mampu membentuk benteng diri yang pertama sebelum datangnya undang-undang manusia.

Kebimbangan individu terhadap dosa dan siksaan akhirat adalah paling unik dan kukuh bagi mengelak penyelewengan sebelum ia berlaku lagi. Ia mampu menghindar di waktu bersendirian dan ramai.  Justeru, sudah tentu ia relevan dengan keputusan kerajaan negeri.

Saya kira, pastilah ia tidak diwajibkan kepada pekerja bukan Islam. Namun dikira  amat memalukan jika ada mana-mana orang Islam yang menentang atau mengkritiknya. Seolah-olah mereka mengistiharkan diri tidak solat dan terbeban dengan syarat tersebut. Syarat ini juga tidak melibatkan sebarang kos tambahan sesebuah kerajaan. Hanya sedikit waktu diperuntukan untuk solat. Tiada sebab bagi menolaknya kecuali bagi mereka yang amat jelas punyai masalah hati dan mungkin munafik.

HARGA MINYAK DAN ISI MINYAK

Harga minyak di sini sudah tentu lebih tinggi dari Malaysia, harga jualan petrol di sekitar GBP 1.19 (RM 7.60) hingga 1.21 (RM 7.74) seliter.

Uniknya, harga minyak berbeza di sebuah stesyen dengan sebuah yang lain. pertarungan harga secara kompetetif boleh dilihat dengan jelas seolah harga tambang tiket MAS dan AirAsia mungkin.

Pertama kali saya mengisi minyak di stesyen, saya terbawa-bawa cara Malaysia. Iaitu sebagaimana biasa di Malaysia, saya masuk ke stesyen terlebih dahulu untuk membuat pembayaran. Tiba-tiba juruwang berbangsa Welsh ini tersenyum sambil berkata :

"Heh, kamu belum isi lagi, lalu apa yang ingin kamu bayar?"

Saya juga tersenyum dan kembali ke kereta dan spontan mengisi minyak sebagaimana yang diingini. Selepas itu, kembali ke dalam kedai dan membuat pembayaran. Sekali isi sahaja habis GBP 60 (RM 384), itupun belum penuh tanki minyak Honda Shuttle ini. Hmm, nampaknya terpaksa mengaku harga minyak di Malaysia masih amat murah berbanding di sini. Namun perbandingan antara keduanya mungkin kurang tepat kerana UK bukanlah pengeksport minyak seperti Malaysia.

Cuma, semasa saya mengisi minyak itu, saya terfikir akan tahap amanah warga di sini. Mungkin agaknya jika dibuat kaedah ini di Malaysia, pemandu memecut laju sejurus selepas mengisi minyak. Mungkin tidak dalam semua keadaan tetapi banyak keadaan. Wallahu'alam. Namun hal itu mungkin tidak berlaku di sini. Saya tidak pasti statistiknya. Mengapa demikian? Mengapa negara dan individu bukan Islam ini mampu mengamalkan sikap amanah sebegini.?

Malah di kedai-kedai barang charity, warga Wales meletakkan barangan yang ingin disumbangkan untuk jualan kebajikan di luar pintu kedai (di luar waktu pejabat). Tiada siapa yang mencurinya. Semua kelihatan menghormati tujuan barang itu diletakkan di situ, iaitu untuk kebajikan bagi mereka yang memerlukan. Namun di Malaysia, agak kerap didengari penyelewengan wang derma, wang zakat dan lain-lain.

NILAI BAIK DAN BERSIH VS LUCAH

Banyak sungguh nilai baik yang diamalkan oleh orang tempatan di sini dan amat bertepatan dengan kehendak Islam seperti sikap bersih warganya. Walaupun mereka memasuki rumah dengan kasut, namun halaman dan dalam rumah masih terjaga dengan amat baik berbanding kebanyakan umat Islam.

Sebuah hadis menyebut :-

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ كَرِيمٌ يُحِبُّ الْكَرَمَ جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ فَنَظِّفُوا أُرَاهُ قال أَفْنِيَتَكُمْ ولا تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Ertinya : Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan yang indah, maha bersih dan sukakan yang bersih, maha mulia dan sukakan mereka yang mulia, maha pemurah dan sukakan yang pemurah, maka bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai kaum Yahudi (yang pengotor)" (Riwayat AT-Tirmidzi, 5/111)

Walaupun sikap bersih dan pelbagai nilai murni lain ada dalam diri mereka dan telah membudaya, namun mereka kelihatan terus tenggelam dalam banyak perkara buruk yang lain terutamanya arak, bahan seks, lucah dan banyak lagi. Rancangan televisyen mereka amat menjelekkan, malah iklannya juga sedemikian. Kotor dan bertentangan dengan nilai murni Islam dan global.

Agak pelik, bagaimana mereka boleh berakhlak mulia di atas jalan raya, semasa memandu, sukakan kebersihan di dalam dan dan halamannya walaupun sentiasa berkasut di dalam rumah, mudah senyum, tetapi minda dan media mereka tidak sedemikian murni. Inilah hasil kehidupan yang tidak berlandaskan cara hidup yang benar.

WAKTU SOLAT

Waktu solat di musim panas ini agak mencabar sedikit,

Subuh : 2.30 pagi

Syuruk : 5.00 pagi

Zuhur : 1.20 ptg

Asar : 5.30 ptg

Maghrib : 9.40 pm

Isyak : 11.50 pm

Bagaimana pendapat anda?.

CARBOOT SALES

Ini favorite kebanyakan rakyat Malaysia di sini.

"Jualan bonet kereta".

Dinamakan sedemikian kerana penjualnya majoritinya membawa kereta masing-masing dengan bonet dipenuhi barangan used untuk dijual dengan harga yang amat menarik bagi orang luar dan warga Malaysia khususnya.

Saya juga tidak melepaskan peluang membeli di sini. Ia ibarat pasar malam Cuma ia dibuat di pagi hari dan adakalanya kereta juga di jual di car boot ini.

Sekadar coretan ringan, pengalaman beberapa hari di UK. Sebagai pendatang baru merantau menuntut ilmu agar ilmu lebih dihargai. Persekitaran yang lebih banyak mengajar dan membuka minda keluar dari kotak.

Carboot

Carboot

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

14 Julai 2008

Lampeter, UK



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites