Coretan Kedua Dari Wales United Kingdom

(10 votes, average 4.90 out of 5)

Coretan Wales United Kingdom

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Wales, minggu kedua agak luar biasa. Ada banyak perkara yang menjadikannya luar biasa bagi saya. Luar biasa tidak semestinya menarik dan tidak juga membosankan. Mungkin saya boleh berkongsi sedikit hal-hal ringan lagi dalam entry kali ini.

Pertamanya adalah kejutan biasa orang bandar apabila berpindah ke desa. Inilah yang dirasai sekarang ini.

Bandar dengan suasana hiruk pikuk bandar, jammed, bahaya, udara kurang bersih, air paip amat kurang bersih walaupun sudah di tapis dengan penapis sebesar sebiji peluru berpandu, persekitaran dipenuhi pasaraya seperti di Puchong yang punyai lima ke enam  buah pasaraya besar di sekelilingnya, dipenuhi kedai 24 jam, toll bersepah di sana sini.

Semua yang tersebut tadi hampir tiada di tempat saya di Wales ini;

tiada jammed kerana bandarnya seperti pekan cowboy tetapi bersih,

tiada hiruk pikuk kerana jam 7 petang bandarnya sudah lengang seperti jam 1 pagi,

kurang bahaya penduduknya namun bukan tiada,

hanya terdapat sebuah pasaraya Somerfield dan yang lain semuanya terletak lebih kurang 35 KM dari sini, sama ada di Bandar Aberystwyth ke utara  atau di Camarthen di sebelah Selatan.

udara amat segar di kelilingi perbukitan dengan rumput menghijau dan kambing-kambing sihat,

aa 

aaa 

Gambar : Beberapa keping gambar di wales, gambar saya tangkap sendiri semasa dalam perjalan. Rakan-rakan memberitahu, ini belum cukup cantik, kena tunggu lepas musim sejuk nanti, warnanya hijau floresen. 

air paip boleh diminum!, ini amat luar biasa sehingga menyebabkan saya dan keluarga masih tidak yakin untuk menikmatinya walaupun rakan di sini mengatakan : "Ya boleh minummm, tapi lebih elok jika di masak". Saya masih lagi membeli air mineral ketika ini.

Itulah yang luar biasa buat saya.

Keduanya terasa luar biasa kerana saya terlalu tidak sibuk. Setakat ini, tiada sebarang program khusus malah Universiti juga sedang dalam tempoh cuti. Saya pula masih gagal menyelesaikan banyak perkara kerana pada awal bulan Ogos 2008 barulah saya akan berpindah ke rumah sewa tetap.

DILEMMA RUMAH SEWA SEMENTARA

Ketika ini saya masih menginap di rumah sewa sementara. Ia dianggap sementara  kerana saiz dan kedudukannya yang kurang sesuai dengan bilangan keluarga saya, terutamanya terdapat anak pada umur suka melompat ke sana ke mari. Rumah sewa sementara ini terletak di atas sebuah restoran Bangladesh Muslim berhadapan dengan pintu utama University Of Wales, Lampeter. Kedudukan yang cukup strategik dengan universiti namun tiada banyak erti bagi pelajar PhD yang tiada 'regular classes'.

UNiversiti Wales, Lampeter 

 

Gambar : University Of Wales, Lampeter di depan rumah sewa saya 

Disebabkan kedudukannya di tingkat atas sebuah restoran, setiap kali anak-anak berlari maka bunyinya akan kedengaran di ruang restoran dan setiap itulah juga, pekerja restoran akan bergegas menegur kami. Situasi sama dihadapi oleh penyewa sebelum ini yang mempunyai tiga orang anak. Keadaan ini menjadikannya hanya sesuai untuk dijadikan rumah sewa sementara selama sebulan buat saya, menunggu berpindah lagi ke rumah sewa yang lain.

Keadaan 'menunggu' ini menambah sukar untuk saya membuat banyak persiapan yang patut. Banyak barang dan buku yang belum boleh dipunggah kerana tidak ingin membuat kerja punggah dan susun berkali-kali. Akibatnya banyak perancangan yang terpaksa ditangguh, ditangguh dan terus ditangguh.

Apapun, saya dikira bernasib baik kerana tidak perlu bersusah payah menunggu dan mencari rumah sewa sebagaimana yang ditanggung oleh kebanyakan rakan di Lampeter semasa mereka tiba dahulu. Akibat kesukaran mendapatkan ruamh sewa, ada yang terpaksa menumpang di rumah rakan lain selama sebulan atau lebih. Terima  kasih rakan-rakan di Lampeter kerana telah awal-awal menempahkan rumah ini walaupun kami terpaksa meninggalkannya selepas ini.

Penangguhan demi penangguhan,'supervisor' pula masih belum pulang ke Wales, banyak masa dihabiskan di rumah dan di perpustakaan. Malangnya, suasana di sekitar tidak banyak mendorong saya untuk menyiapkan PhD terutamanya apabila belum dapat walau sekali bertemu dengan 'Supervisor'. Perjalanan pengkajian ilmiah ini,  memerlukan restu dan pandangan 'Supervisor' terlebih dahulu sebelum prosesnya dimulakan.

Akibat penangguhan, ia menghilangkan dorongan saya juga dari mengarang sebarang penulisan sama ada ilmiah, semi ilmiah atau pun untuk pengisian web ini.

WAKTU MERONDA UK ?

Akibat dari itu, terdapat rakan yang mencadangkan kami sekeluarga menjadikan waktu sebegini sebagai waktu 'meronda' dan 'ta'aruf' dengan United Kingdom dan sudah tentu para pelajar Malaysia di sekitarnya, terutama yang mengenali web ini. Malah ada yang mencadangkan ke Eropah!.

Meronda dengan petrol seliter berharga RM 7 menggugat hasrat tadi, terutamanya diri yang masih asyik ter'convert' setiap matawang pound kepada Ringgit Malaysia, sudah tentu terasa mahal segala sesuatunya. Namun di minggu kedua ini, penyakit biasa orang baru di luar negara, iaitu 'convert setiap harga matawang asing ke RM' sudah semakin pudar dari minda saya. Ini menjadikan idea yang dilontar tadi boleh dianggap menarik, terutamanya mengejar peluang sebelum harga 'petrol' semakin naik dan semakin naik.

Kehadiran peralatan pemandu arah GPS jenama 'tomtom' memang banyak memudahkan perjalanan. Justeru, sebarang alamat yang diberi beserta poskod, pastinya akan beres dengan bantuan 'tomtom' ini.

tomtom
 

Terfikir juga saya, dengan sedikit kecanggihan ini sahaja pun segala pergerakan kereta, lokasi, had laju, keadaan trafik dan begitu banyak info disalurkan kepad pemandu hingga amat sangat mudah mencari destinasi, namun agak pelik mengapa Osama Bin Laden masih gagal ditemui oleh Amerika berbekalkan segala kecanggihan tentera dan kuncunya. Benarkah Osama wujud atau hanya satu watak yang diwujudkan Amerika untuk menyerang Islam dari masa ke semasa ? Wallahu'alam.

PENYAKIT SAYA & ADA KE RAKAN DI UK NI?

Ada rakan yang mencadangkan saya bertemu dan menziarahi individu si polan bin si polan dan sekian bin sekian (yang dikira mengenali saya dan saya mengenalinya) di UK ini.  Namun bab mengecam rakan lama ini, sedikit membimbangkan saya. Kelemahan saya adalah mengenali 'nama' seseorang tanpa melihat wajahnya, ramai yang cuba menemukan saya dengan seseorang lalu  menyebut :

"Ustaz..kenal tak si polan, si polan..?"

"dia ni bekas Jordan juga, kenal?"

"kenal tak ..dia ni seorang pensyarah Universiti .. dan dia kata dia kenal ustaz"

"dia kata dia ni junior ustaz, di sekian-sekian...."

Dan banyak lagi ayat-ayat yang seerti dengannya, Namun saya menyusun sepuluh jari memohon maaf jika gagal mengingati. Penyakit lupa nama dan keliru wajah ini semakin ketara apabila semakin banyak tempat berceramah dan bertemu pelbagai jenis wajah dalam setiap program. Mungkin sebahagian penceramah tidak menghadapi masalah ini, namun saya terpaksa angkat tangan mengalah. Hanya mereka yang betul-betul punyai sesuatu yang agak khusus, mampu saya ingati.

Memang benar, adakalanya setelah melihat wajah barulah boleh teringat sedikit demi sedikit. Itu pun banyak kali masih lagi keliru. Terfikir di kotak minda saya :-

"di mana ye, di Jordan?, Syria?, UK?, Scotland?, Australia?, Ireland?, Mesir?, di tempat ceramah masjid, surau?, kursus kewangan?. kursus solat?, pejabat kerajaan?, swasta?, ceramah politik? Motivasi?, sekolah?, mesyuarat?, di pasaraya?, kedai makan?  seminar ? dan banyak lagi, hingga berserabut di minda sebelum boleh mengingatinya.

Agak sedih juga, kadang-kadang ada rakan yang terasa hati apabila saya tidak mengingatinya. Keadaan ini memaksa saya 'buat-buat' ingat sementara sedang cuba mengingat (saya kira ahli politik paling kerap bersikap begini kerana terlalu ramai yang ditemuinya, malah siap tepuk-tepuk bahu anda lagi) dan terus berborak rancak, namun sebenarnya dalam masa berborak itulahlah, minda saya ligat 'scanning' setiap informasi dan isi cakapnya. Dalam beberapa keadaan saya dapat mengingatinya dalam beberapa saat, minit atau apabila ia masuk topik tertentu yang biasa. Ada juga yang terus menerus tidak ingat, sehingga berpisah semula.

Nasihat dan harapan saya, diharap jangan terasa hati jika saya terlupa, anggaplah ia satu 'penyakit' saya, bukannya kerana anda tidak penting bagi saya..

Lebih dahsyat dari itu, ada yang mengandaikan saya akan mengingati suaranya dalam telefon kerana pernah menjemput saya ceramah sekali atau dua kali dalam dua tahun. Sudah tentu penyakit saya ini akan menyukarkan saya untuk memenuhi andaian rakan tadi.

Ada juga yang bersuara agak kecewa apabila saya tidak menyimpan nombor telefon mereka, ini kerana mereka pernah berhubung sekali dua dengan saya atau pernah menjemput saya berprogram di tempatnya dua bulan, sebelas bulan, setahun atau dua tahun lepas.

Malah ada juga yang kecewa kerana beliau selalu sangat bertanyakan hukum kepada saya melalui sms, dan saya masih lagi membalas smsnya dengan bertanya 'siapa di sana?.

Sudah semakin gawat jika begini, tidak mampu saya simpan nombor setiap individu terutamanya yang dikira jarang saya hubungi atau tidak saya kenali secara khusus. Jika kerap bertanya soalan dianggap sebab, maka ada beratus orang kerap bertanya soalan melalui sms hingga peti memori handphone juga tidak mencukupi untuk menyimpannya (jika ingin disimpan), malah apa yang dingin disimpan ?. kerana penanya hukum melalui sms terus ke telefon saya (bukan ke sistem 33221) kerap tidak memperkenalkan dirinya. Ia adalah satu faktor utama yang menyebabkan beratus sms yang masuk ke kotak telefon bimbit saya tidak saya balas.

Namun saya harap rakan-rakan yang pernah saya kenali dan mengenali saya di UK ini tidak tergolong dalam kategori 'terasa hati' jika saya gagal mengingatinya dengan baik.  Demikian juga rakan-rakan di mana-mana jua anda berada.  

Untuk mengelakkan hal yang sama berlaku kepada orang lain, saya sendiri akan memperkenalkan diri apabila bertemu dengan rakan lama, mengelakkan beliau menghadapi masalah yang sama dengan saya. Sms saya juga akan disertakan dengan nama di hujung, bukan tanpa nama.

MARI BERTA'AFUF DAN BER'IKHWAN'

Jika anda berada di UK, mungkin boleh juga saya ziarahi anda inshaAllah.

Allah swt berfirman :

إنما المؤمنون إخوة

Ertinya : "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara" ( Al-Hujurat )

Pakar bahasa mengatakan perkataan ukhuwwah diambil dari perkataan al-akh min an-Nasab iaitu : adik beradik, manakala perkara 'ikhwan pula berasal dari perkataan persaudaraan UNTUK menyumbang kepada Islam.

Maka Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata apabila Allah swt menggunakan perkataan 'Ikhwah' dalam ayat tadi, ia adalah suatu penegasan dan arahan umat Islam bersaudara seperti adik beradik dan Islam menjadi seperti ayah seperti kata hukama :

أبي الإسلام لا أب ( لي ) سواه

Ertinya : Bapaku adalah Islam dan tiada bapa lain selainnya ( Tafsir Al-Kabir, 28/111)

Imam Al-Qurtubi pula menambah, persaudaraan yang disebut Allah SWT tadi bermaksud persaudaraan dalam urusan agama dan kehormatan. ( Tafsir Al-Qurtubi, 12/322)

Hasilnya, ayat ini secara langsung menyeru umat Islam agar mengukuhkan hubungan antara satu dengan yang lain DENGAN DIDASARI OLEH IMAN. Bukan didasari oleh asas kita sama-sama warganegara Malaysia di rantau asing semata-mata.

IKHWAN YANG BERSIFAT DUNIA?

Pengukuhan hubungan itu pula bukanlah hanya dengan memperbanyakkan sembang demi sembang isu-isu kehidupan biasa semata. Namun bagaimana hubungan itu mampu membawa kepada sifat iman tulen kepada kedua-dua belah pihak.

Amat diharapkan agar tiada yang menyangka bahawa dengan bersembang bab-bab dunia seperti bola sepak, car boot, pemandu arah GPS tomtom, harga murah dan termurah, e-bay, kereta, artis, lawak jenaka, urusan kerja dan sepertinya setiap hari, maka ia sudah dikira melunaskan hak persaudaraan yang disebut oleh Allah swt.

Sudah tentu tidak mencukupi, malah masih jauh dari cukup. Apa yang kita harapkan lebih dari sekadar manfaat kelegaan dan gembira di dunia ini. Kita harapkan satu hubungan persaudaraan yang mampu dirancang dan diolah untuk memberikan manfaat kepada Islam atau akhirat kita dan seterusnya dunia.  

Perancangan sebegini pula memerlukan kepada perkumpulan atau persatuan untuk mengurus tadbirnya. Hasil kerja individu sukar untuk mencapai objektifnya. Kita harapkan program pertukaran ilmu yang mampu meningkatkan iman sesama kita. Bagaimana caranya,? Terlalu banyak dan belum tiba ruangnya untuk saya ulaskan di sini. Tidak dinafikan mungkin sebahagian besarnya telah dan sedang dijalankan di tempat anda. Mari perkukuhkannya, tambahkan rakan dan kenalan, jauhi dari mencipta musuh dan lawan.

Moga coretan kali ini ada manfaatnya buat semua.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Mobile : +447531177663

zaharuddin@yahoo.com



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites