Ceramah Secara ‘Online'

(3 votes, average 5.00 out of 5)

Ceramah Secara ‘Online'

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Nota :   ** alhamdulillah ceramah ini telah berjalan dengan lancarnya. Bagi sesiapa yang ingin mendengar download rakamannya - CERAMAH ONLINE UZAR **

Ceramah seorang diri di dalam bilik, dengan sebuah mikrofon kecil, berhadapan screen monitor komputer namun didengari oleh berpuluh atau beratus orang pendengar yang tidak kelihatan dek mata, bukanlah satu bentuk ceramah yang saya minati.

Sebelum ini telah banyak kali juga, saya berceramah dan penganjur menyiarkannya secara langsung sama ada audio sahaja atau audio dengan visualnya sekali. Namun suasana itu sedikit berbeza kerana masih ada audien yang boleh saya lihat di hadapan saya walau kecil jumlah mereka, masih boleh untuk saya renungi dan berinteraksi.

Namun ceramah di hadapan screen computer, secara berseorangan memang ada rasa peliknya, namun pernah saya lakukan sekali beberapa bulan yang lalu. Saya akui ada rasa sukar untuk menghayati ceramah sendiri, khususnya apabila tiba-tiba ada pendengar yang mengatakan suara tidak kedengaran, sedangkan yang lain berkata sebaliknya. Sebagai penceramah, saya yang ‘pening' hingga tidak pasti ingin mengulang semula isi yang telah disebut atau tidak. Kalau diulang pun intonasi dan penghayatannya sudah turun.

Keadaan mungkin boleh menjadi lebih kurang enak, apabila sebahagian besar isi ceramah saya biasanya datang secara spontan tanpa catatan semasa ceramah, justeru untuk mengulang semula akibat beberapa orang pendengar tidak mendengar dengan baik adalah satu cabaran tambahan.

Namun demikian, inshaAllah esok (13 Jun 2009), buat kali kedua saya akan berceramah secara online, di hadapan screen computer.

Melalui paltalk, pada jam 6 petang (USA), 11 malam (UK) - Hari sabtu 13 Jun 09

Bersamaan waktu Malaysia adalah 6.00 pagi (hari Ahad) saya akan ke udara merentas wayar dan gelombang internet.

kuliahonlinejun2009.jpg

Maklumat lanjut : layari

Amat baik sebenarnya dapat memanfaatkan kemudahan moden seperti ini untuk kebaikan Islam dan umatnya. Bayangkan seseorang penceramah dapat merentas sempadan geografi secara langsung (live) dean percuma pula, dapat berkongsi manfaat ilmu dengan jumlah  pendengar yang tiada hadnya di seluruh dunia. Pendengar pula boleh berinteraksi dengan sesi soal jawab.

Namun saya rasa, masih belum ramai penceramah yang tahu menggunakannya. Saya pula, baru mula belajar menggunakannya. Terima kasih kepada pihak MISG USA yang menyusun kuliah ini. Semoga ia berlangsung dengan lancar sebagaimana dirancang. InshaAllah. MISG memang tidak asing dalam industri ceramah online ini. 

CERAMAH DAN SKILL

Berceramah adalah satu dakwah yang sangat-sangat memerlukan skill, saya sendiri masih dan akan terus belajar cara dan kaedah yang efektif dan terbaik.

Kebiasaannya, apa yang pasti saya lakukan di peringkat awal adalah melihat latarbelakang audien. Namun hal ini tidak mudah untuk diperolehi khsuusnya jika berceramah di tempat yang pertama kali dijemput. Kita langsung tiada clue akan orang yang berada di hadapan kita. Jenis pemikiran dan harapan mereka terhadap ceramah kita.

Tatkala itu, jalan mudah adalah mengambil pendkataan ‘sederhana' dalam penyampaian. Maksud saya ‘sederhana' adalah mengimbangkan antara ilmiah dan ringan, antara isu asas dan perincian cabang. Sama seperti ceramah saya di Germany, Switzerland dan Perancis baru-baru ini. Ia adalah sebuah ceramah yang moderate untuk audien yang tidak saya ketahui latarbelakang dan kecenderungan mereka, apa yang diketahui hanya mereka adalah pelajar yang cerdas tetapi bukan bidang pengkhususan agama. Selain itu, itu pertama kali bertemu mereka.

Tatakala itu, saya tidak boleh untuk menghurai terlalu ilmiah. Justeru itu, saya terpaksa fokuskan perkara asas terlebih dahulu, membetulkan set up pemikiran terhadap priority di dalam menanggi ibadah khusus dalam kehidupan. Walaupun ia mungkin berulang dengan kandungan ceramah saya di tempat lain. Namun ia adalah satu keperluan yang sukar dielakkan bagi saya untuk pendengar di tempat baru. Perkara ini akan terus berlaku selagi mana penganjur tidak meletakkan sebarang tajuk khusus.

TAJUK KHUSUS

Bila tiada tajuk khusus, saya akan menumpukan kepada perkara asas dan ringan bukan terlalu ilmiah tetapi tidak pula terlalu ringan.

Apabila ada tajuk khusus, ia lebih mudah bagi seorang penceramah untuk menyusun point yang ingin disampaikan. Mudah juga bagi saya.

Justeru itu, nasihat saya buat penganjur yang ingin menjemput mana-mana penceramah, meletakkan tajuk semasa jempuatan adalah lebih friendly penceramah berbanding tidak meletak tajuk sebenarnya. Ada penganjur yang cuba ingin memberikan keselesaan kepada penceramah lalu diberi kebebasan pencermaha memilih apakah isi yang ingin dikongsikannya. Tatkala itu, keberangkalian penceramah mengulang isi ceramah lama adalah tinggi. Khususnya bagi sesetengah penceramah yang mempunyai kecenderungan terhadap sesuatu isu atau perkara. Tentunya perkara yang satu itulah yang akan diulang nantinya. Sebagai contoh, penceramah yang cenderung mengajak kepada tajdid pemikiran pasti akan menceritakan bab itu, pencermah yang suka ‘hentam wahabi', pasti akan meneruskan minatnya itu. Penceramah ahli politik pasti akan melencong ke politik, penceramah yang mendalami bab kekeluargaan, pasti akan pergi ke isu keluarga, demikian juga penceramah muamalat kewangan, aqidah dan lainnya.

Justeru tentukanlah tajuk buat penceramah anda. Berikanlah sedikit maklumat latarbelakang berkenaan siapakah pendengar yang akan datang, dan maklumkan kepada penceramah anda, minat dan kecenderungan pendengar di tempat anda, iaitu sama ada mereka suka ilmiah tulen seperti universiti, lawak jenaka atau sedih menangis, atau audien yang suka diajak berfikir dan lain-lain jenis audien. Semua maklumat ini amat membantu penceramah anda.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

12 Jun 2009

18 Jumada Thani 1430 H

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites