(18 votes, average 4.67 out of 5)

 

 

Teknik Agamawan Bantah 

Seksualiti Merdeka

Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

gay

Di zaman serba moden ini, para agamawan turut dibawa arus pemikiran moden, sebahagian agamawan menjadi semakin progesif dalam befikir, sebahagian yang lain masih berada dalam dunia kitab silam. Sebahagian lagi berada dipertengahan. Tidak dinafikan ini menyuntik perbezaaan pandangan, ia adalah sesuatu yang sihat namun jika tidak terkawal yang progresif akan terus menjadi liberal melampau, manakala yang silam akan terus menjadi rigid tidak membangun. Kita inginkan wasatiy dalam bentuk yang terbaik. Ia perlu diusahakan.

Justeru proses timbang tara di antara satu sama lain diperlukan.

Perbezaan ini dan cara berfikir pasti membawa seorang agamawan berbeza pandangan dengan yang lain, sama ada disebabkan perbezaan IQ, pengalaman, kebimbangan, pengalaman sendiri dan sebagainya. Justeru perbezaan memang tidak dapat dielakkan.

KEPELBAGAIAN CARA BANTAHAN

Antara topik semasa yang mengundang perbezaan adalah pendirian terhadap kumpulan Seksualiti Merdeka. Para agamawan melihat dari pelbagai segi antaranya :-

 1)           Sudut hukum Fiqh dan panduan kepada majoriti orang ramai yang pelbagai.

Saya boleh kelaskan saya terdiri dari kumpuan ini, iaitu kami melontarkan pandangan atas dasar hukum Islam, mengelak mudarat dari segala apa yang dipromosi oleh kumpulan LGBT, secara pukul rata. Walau mungkin ada sebahagian yang diperjuangkan adalah boleh disokong tetapi membantah secara pukal dirasakan oleh kumpulan ini lebih baik agar sasaran kumpulan ini iaitu majoriti orang ramai yang kurang terpelajar atau orang biasa akan mendapat panduan dan tidak terkeliru.

Khususnya apabila gerakan LGBT tidak secara jelas mendedahkan apa perjuangan mereka dalam bahasa mampu faham orang awam, mereka bermain di sebalik istilah seperti yang tersebut di website mereka :

“Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, pansexual dan sebagainya”

Bahagian ‘berhak disayangi dan menyayangi’ tiada masalah dari sudut Islam namun apabila ia membawa mesej pengiktirafan aktiviti yang disebutkan selepas itu, ia membawa masalah.

Adakah pembaca artikel saya ini secara automatis dapat memahami apa itu heteroseksual[1], aseksual[2] , pansexual[3], biseksual[4].?

Mungkin istiah gay dan lesbian agak mudah dan biasa, namun bagaimana dengan yang lain-lain itu?

Inilah yang saya maksudkan.

Perlu difahami, tidak semua orang berminat untuk membuka website kumpulan ‘Seksualiti Merdeka’ ini untuk membaca baris demi baris serta memahami tuntutan dan siapa mereka, begitu ramai orang awam termasuk penjenayah dengan mudah boleh membuat kesimpulan sendiri erti kempen yang bernama “Seksualiti Merdeka” sebagai memerdekakan seks dari sebarang kongkongan, bebas mengikut selera masing-masing dan semua orang patut menghormatinya, tidak boleh diskriminasi terhadap golongan ini dengan membuang mereka dari kerja, menghalang mereka dari seberang tugas, melihat mereka dengan hina dan pada masa yang sama tidak boleh menegah aktiviti mereka yang dianggap hak asasi dari persetujuan suka sama suka.

Kalau ada menteri yang ditangkap mengadakan seks bebas dengan isteri atau suami orang , meliwat dan sebegainya, TIDAK BOLEH diskriminasi menyuruh mereka berhenti kerja dan mengundur, hanya kerana kecenderungan seks mereka.

Saya sedar, ada item-item yang boleh kita sokong seperti tidak wajar kita menghalau mereka dari keluarga atau membuang kerja, namun banyak yang lain tidak boleh dipersetujui,  keadaan ini menyebabkan saya dan sebahagian besar agamawan membantah, malah saya dan lainnya cuba membuat andaian berdasarkan pemikiran awam yang tidak mengkaji pakej lengkap gerakan ‘Seksualiti Merdeka’ ini.

Bantahan itu lebih kepada teknik ‘Sad az-zara’i atau menutup peluang kesilapan tafsir dan kemudaratan serta dilihat menyokong sesuatu yang sedikit manfaat tapi banyak mudarat.

Bantahan itu agar kita dapat mengelakkan diri dari mengutamakan perasaan dan hati kumpulan kecil yang memperjuangkan hal ini dengan mengurangkan perhatian maslahat majoriti umat Islam.

Bantahan boleh dibuat dalam pelbagai bentuk:-

a-      Andaian berdasarkan umumnya tema Seksualiti Merdeka

b-      Berdasarkan kajian lengkap pakej yang diperjuangkan

c-      Berdasarkan peruntukan undang-undang.

Kesemua itu sewajarnya mana-mana agamawan lain tidak boleh menjenamakan mereka dari kumpulan ini sebagai ‘MEREKA SENDIRI TIDAK FAHAM APA YANG MEREKA PERKATAKAN!’.

Bagi saya, itu satu gelaran yang terlalu memperkecilkan minda dan kefahaman agamawan lain. Jangan sesekali kita merasa lebih faham dari mereka kerana ia membabitkan teknik berdakwah dan strateginya. Merasakan hanya satu jensi kefahaman dan satu cara sahaja yang benar adalah kurang wajar kerana bantahan berdasarkan andaian juga ‘valid’ kerana pemilihan nama kumpulan ini iaitu ‘Seksualiti Merdeka’ dan kekaburan objektif kumpulan ini di website mereka yang mendorong kepada boleh wujudnya pelbagai andaian.

Justeru, jangan kita  hanya menyalahkan ketidakfahaman orang ramai jika dan  bantahan melalui andaian kalau pemilihan nama oleh kumpulan itu sendiri yang mendorongnya.

 2)             Sudut menyemai kemarahan dan bantahan fizikal terbuka

Ada juga individu atau sebahagian kecil agamawan yang mungkin menyokong kaedah ini, iaitu mengangkat sepanduk, membakar poster penganjur dan maki hamun dan sebagainya.

Bagi saya, walau kita termasuk saya mungkin tidak setuju dengan cara ini, ia perkara normal dari kalangan masyarakat awam, sebagai respons terhadap sesuatu yang mereka tidak fahami, mengelirukan dan dirasakan boleh membawa kepada kemudaratan besar. Mereka juga ada hak untuk bertindak sebegitu sebagaimana LGBT ingin mengempen hak asasi mereka berhimpun dan berkempen ‘Seksualiti Merdeka’.

Pun begitu, bantahan berposter sebegini adakalanya ada juga manfaatnya khususnya jika dilakukan oleh segolongan kecil agar pengempen keburukan sentiasa beringat bahawa ada kumpulan agresif yang ‘gila-gila’ dalam tindakannya. Namun pastinya jangan sesekali semuanya memasuki golongan ini. Ini adalah kepelbagaian respons dan juga merupakan hak asasi. Kalau Seksualiti Merdeka ingin orang menghormati hak mereka berhimpun dan menyatakan inti perjuangan mereka, mereka juga patut tiada masalah dengan bangkangan dari pihak yang seperti ini.

Kalau dahulu mereka beraktiviti dengan senyap tiada banyak karenah dan gangguan, justeru kini apabila mereka mengambil sikap mempromosi, jangan pula pelik mendapat bantahan dan kempenan untuk membenci mereka pula.

Hujah bahawa Nabi pasti tidak melakukan tindakan sebegini, adalah tidak konkrit jika dilihat dari sudut penilaian ilmu usul fiqh, kerana perbezaan zaman yang membawa kepada perbezaan cara dan pendekatan di dalam bab fiqh muamalat sebegini. Justeru, cara ini masih boleh diterima asalkan tidak mengakibatkan kebahayaan fizikal tanpa hak (kebenaran perundangan)

 

3)            Sudut dakwah dan kaunseling mensasarkan lebih kepada golongan sasaran iaitu kumpukan LGBT

Terdapat juga agamawan yang berusaha membantah secara lunak dengan mengutamakan tanggungjawab dakwah dan pemulihan terhadap golongan ini (padahal sebahagian besar di antara mereka tidak merasa berpenyakit untuk dipulihkan).

Bahasa agamawan golongan ini adalah seperti memujuk, mungkin mensasarkan agar mereka boleh diterima oleh golongan LGBT dan seterusnya membuka ruang terus memperbaiki dan tidak terus menghukum yang dirasakan kurang berkesan untuk memperbaiki mad’u.

Pun begitu, mungkin wujudnya agamawan dari kumpulan ini ‘terlepas sempadan’ sehingga sepatutnya mereka memfokuskan kepada membetulkan kumpulan LGBT dan menjernihkan konsep yang dipegangnya, tetapi akhirnya kekecewaan mereka teralih kepada hal lain iaitu meluahkan bantahan terbuka atau sinis kepada agamawan lain yang membantah secara terbuka. Meremehkan hujah-hujah mereka, seolah mereka ingin mewakili kumpulan LGBT memotong hujah-hujah yang tidak relevan, inilah boleh membawa kerugian kredibiliti agawaman yang lain.

Mereka sedaya upaya ingin memahami LGBT dan perjuangannya mereka tetapi tidak pula sedaya upaya memahami sebab musabab agamawan lain membantah dengan terbuka dengan pelbagai analogi dan andaian.

Mereka adakalanya pula terlalu akademik sedang dalam beberapa isu kemasyarakatan, keterlaluan akademik hanya mengakibatkan sebahagian masyarakat awam keliru dan gagal menetapkan pendirian.

Akhirnya, sangat membimbangkan LGBT menganggap agamawan dari kumpulan ini menyokong mereka dan apa yang diperjuangkan oleh mereka secara pakej, lalu dipergunakan oleh mereka bagi menambah kekusutan dan kekeliruan awam.

Saya tidak sama sekali mendakwa agamawan dari kumpulan ini salah, ia juga diperlukan namun tidak semua agamawan perlu mengambil sikap ini dan tidak semua pula perlu mengambil teknik bantahan jenis pertama dan kedua, keempat dan kelima. Itulah dakwah secara sinergi.

Namun golongan agamawan ini sepatutnya bukan hanya terhenti dalam pendekatan mengasihani dan kelembutan mereka, mereka perlu punyai strategi ‘follow up’ seperti dialog, dan tarbiyah berterusan agar kelunakan mereka tidak berhenti di situ sahaja.

Kepelbagaian cara agamawan adalah sihat dan ia juga kaedah yang ditunjukkan oleh sahabat nabi semasa berada di sisi Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam kes tawan perang badar, lihat bagaimana Umar al-Khattab r.a mencadangkan ‘kita hapuskan’, Abu Bakar r.a mencadangkan Rasulullah tidak mengahpuskan sebaliknya disimpan dengan syarat tawanan mengajar Muslim.

Dalam kes, perangi golongan murtad pula, Umar r.a tidak mahu mengambil jalan perang namun Abu Bakar r.a pula kali ini ingin memerangi.

Dan banyak lagi peristiwa bersejarah Islam yang menunjukkan pendekatan berlainan keras dan lembut digunakan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri seperti berlembut dengan si jahil tulen tetapi berkeras dengan Munafiq, pengempen kejahatan dan yang berdegil dari kebaikan. Nabi salallhu ‘alaihi wasallam juga pernah mencemuh mereka yang degil dari arahannya[5], juga penentang Islam, demikian juga Allah swt di dalam Al-Quran.

Antara contoh:

ويلك ومن يعدل بعدي إذا لم أعدل فقال ‏ ‏عمر ‏ ‏دعني يا رسول الله حتى أضرب عنق هذا المنافق فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إن هذا في أصحاب ‏ ‏أو أصيحاب ‏ ‏له يقرءون القرآن لا يجاوز ‏ ‏تراقيهم ‏ ‏يمرقون ‏ ‏من الدين كما ‏ ‏يمرق ‏ ‏السهم من ‏ ‏الرمية ‏

Ertinya : seorang lelaki berkata kepada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, bersifat adillah dalam pembahagian harta rampasan itu, nabi menjawab : (Wailak) jatuh dalam kecelakaanlah engkau, siapa yang akan adil selepasku jika aku tidak adil. Berkata Umar : Biarkan aku memotong tengkuk munafiq ini wahai Rasulullah. Berkata Rasulullah : Aku Sesungguhnya orang ini dan teman-temannya membaca Al-Quran tetapi tidak melampaui kerongkong mereka iaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka menyudahi bacaan Al-Quran sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.  ( Riwayat Muslim & Ibn Majah)

Baginda juga pernah berkeras dengan sahabat yang memakai cincin emas dengan mencabutnya dan mencampakkan cincin tersebut. Banyak lagi dalil yang menyokong kepelbagaian cara ini. Lihat gaya bahasa dan tindakan Rasulullah dalam keadaan tertentu, emosinya baginda dan keras katanya.


 4)       Sudut Islami dan tuntutan politik kepartian.

Agamawan politik pula mungkin ada keadah berbeza kerana sebahagian mereka merasakan sebarang isu yang tidak membawa kepada keuntungan undi atau membawa kepada imej tidak kompromi, imej kasar, tidak toleransi dan menjauhkan sokongan akan ditangguhkan komentar, mungkin kerana bimbang isu ini akan memadamkan isu besar yang sedang mereka dendangkan.

Atau sebaliknya, mereka akan memainkan isu ini selantangnya bagi meraih keyakinan kumpulan pengundi sasarannya untuk meyakini hala tuju parti mereka yang bertergas dalam perkara bathil.

Mungkin juga, maka bagi saya, teknik ini juga valid  dan boleh dilaksanakan oleh mana-mana agamawan yang terlibat. Ia adalah perkara memilih pendekatan yang paling sesuai menurut core objektif masing-masing.

 

5)         Sudut pemikir hak asasi dan undang-undang.

Terdapat juga golongan agamawan yang mungkin lebih suka pandangannya diterima dengan membawakan hujjah-hujjah undang-undang dan mengulas takrif hak asasi pada rangka undang-undang setempat.

Kumpulan agamawan dan pemikir Islam ini mungkin mahu bermain dengan bahasa setempat agar hujjahnya lebih dikira berpijak dibumi yang sama dengan kumpulan LGBT yang cuba bernaung di bawah Fasal 8 (1), 8 (2) dan 10 Perlembagaan Persekutuan secara terang menjamin kesamarataan untuk semua warga Malaysia dari segi undang-undang, dan juga perlindungan bagi semua warga Malaysia dari diskriminasi atas dasar gender, serta kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Justeru bagi mereka, adalah hak LGBT untuk berkempen sedemikian kerana itu sememangnya tergolong dalam hak asasi mereka.

Pihak berkuasa Islam termasuk pemerintah tidak perlu menjadi polis moral menganggu dan membantah, sebaliknya memberikan fokus kepada isu lebih besar.

 

SEKSUALITI MERDEKA DAN HAK PEROGOL?

Terdapat individu yang merasakan keutamaannya adalah untuk membetulkan hujah bantahan agamawan seperti dakwaan bahawa kempen Seksualiti Merdeka akan memasukan hak perogol untuk merogol di dalam agenda mereka. Menjadi prioriti sebahagian individu ini untuk menjelaskan bahawa Seksualiti Merdeka yang sebenar ialah cabang kepada perjuangan hak asasi manusia, bukan cabang kepada Festival Seks Bebas atau Kelab Tarian Bogel.

Kita berterima kasih kepada mereka yang sudi menjelaskan, tentunya Seksualiti Merdeka juga amat berterima kasih, namun pahitnya apabila pembetulan itu ditambah lagi dengan kata sinis seperti :

“Ketidak cermatan agamawan dalam meletakkan ulasan, menyebabkan seluruh hujah mereka tidak dipandang biar pun dengan sebelah mata, kerana konotasinya hanya satu, iaitu MEREKA SENDIRI TIDAK FAHAM APA YANG MEREKA PERKATAKAN!”

Bagi saya, seperti yang dimaklumkan di atas, selaku individu yang mempromosi kebaikan, kita perlu ‘humble’ dan bersangka baik bahawa agamawan mempunyai kumpulan sasaran masing-masing dan setiap mereka ada cara tersendiri. Mungkin betul pada mereka, namun tidak pada kita. Atau adakah pembaca sendiri yang tidak cermat memahami ulasan?.

Secara terangnya, saya adalah salah seorang yang menggunakan provokasi hak perogol akan termasuk di dalam kempen ‘Seksualiti Merdeka’ bagi tujuan menjauhkan sokongan ramai terhadap perjaungan kumpulan itu. Justeru, saya rasa perlu dijelaskan mengapa dan apakah sebab punca saya memasukkannya?

Sebagaimana disebut oleh penulis yang membantah, memang kelihatan beliau 'tidak memandang tulisan saya walau dengan sebelah mata, hingga tidak mampu dibacanya dengan tenang sehingga habis'.

Padahal saya sebutkan dalam artikel saya yang lalu dengan jelas secara ‘provokasi minda’ dengan atas saya :

“...sudah tentu boleh wujud kumpulan perogol bersiri yang turut serta dalam kempen mereka atas kefahaman dan tafsiran mereka sendiri bahawa ia termasuk di dalam  hak asasi peribadinya, tanpa mengendahkan ia menceroboh hak asasi mangsa. Dalam kes seks sejenis atau bebas, bukankah ia juga menceroboh hak orang lain, iaitu ibubapa dan adik beradik atau suami pasangan itu?” 

TELAH SAYA JELASKAN, di bawah kenyataan provokasi itu bahawa penjenayah perogol juga mungkin akan mempunyai tafsiran sendiri terhadap apa yang diperjuangkan oleh Seksualiti Merdeka, hingga mereka akan seterusnya menganggap kehendak seksual mereka adalah hak asasi walau ia salah pada tafsiran sebenar kempen kumpulan Seksualiti Merdeka.

InshaAllah, pastinya  saya juga tahu itu bukan isu yang termasuk dalam tuntutan Seksualiti Merdeka, namun itu adalah satu jenis contoh isu yang memerlukan kepada pendekatan Sad az-Zarai’, ertinya “penutupan ruang salah tafsir orang ramai”, khususnya penjenayah.

Selain itu, bagi seks bebas pula, dijelaskan di dalam satu artikel yang berusaha membetulkan cara bantahan agamawan menyebut:

“atau hak paedophile mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur. Titik besar yang membezakan antara semua itu ialah, soal persetujuan bersama pelaku seks tersebut. Dalam kes rogol, seks berlaku tanpa persetujuan. Dalam kes seks kanak-kanak di bawah umur, mereka belum ‘mempunyai hak’ untuk memberikan persetujuan. Konsensus adalah subjek yang besar di dalam topik hak-hak asasi kemanusiaan.”

Ya, kenyataan yang bagus dan cukup memberi kefahaman, namun sangat dihargai jika dapat disertakan link dari pihak  penganjur Seksualiti Merdeka akan tafsiran ini, jika itu betul, ini beerti Seksualiti Merdeka rupanya memperjuangan hak seks di atas dasar suka sama suka sesama orang dewasa, atas dasar consensus, sama ada dengan gender yang sama atau berbeza, TIDAK termasuk rogol dan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Jika demikian, adakah tafsiran itu kini sudah boleh diterima di dalam Islam?

Adakah seks dewasa atas umur dan suka sama suka itu tidak punyai unsur ceroboh?

Bagaimana jika hubungan seks bebas itu dilakukan oleh orang dewasa tanpa hubungan nikah yang sah? Di dalam Islam tentunya kita menolaknya kerana ia menceroboh hak dari perspektif Islam, menceroboh hak si wanita walau persetujuannya diberikan, tapi disebabkan kelemahannya ia meneirma perlakukan itu dilakukan ke atasnya.

Walau dari sudut perundangan Malaysia itu mungkin tidak bersalah, namun ia tetap bersalah dan pencerobohan hak Allah yang menciptakan hak ibubapa yang membesarkan wanita dan lelaki itu, hak maruah ibu bapa yang pasti tercalar khususnya jika terlahir anak luar nikah, hak anak yang lahir tanpa nikah yang tertekan kelak kerana mungkin hidup tanpa ayah biologikalnya dan banyak lagi.

Pendek kata, memasukkan rogol itu adalah provokasi minda dan satu contoh ekstrem bagaimana tafsiran ceroboh boleh berbeza ikut definis masing-masing kerana bagi saya mengajak dan mengempen Seksualiti Merdeka itu memperlihatkan LBGTI sebagai hak sebenarnya juga mempunyai unsur PENCEROBOHAN hak, iaitu hak ahli keluarga.

Saya juga mendapat banyak pengaduan oleh keluarga yang sudah habis usaha untuk menyelamatkan anak mereka dari gejala Gay, Lesbian  juga Seks Bebas (walau sudah lebih umur) mengadu pada saya, disebutkan sehingga sebahagian pengamal gay dan lesbian  itu menyisihkan keluarganya untuk bersama pasangan masing-masing.

Begitu juga seks bebas antara dewasa, isteri orang dengan suami orang, ibu orang dengan anak orang, akhirnya menceroboh keharmonian rumah tangga suami isteri, ibu ayah dan anak. Dalam takrifan Islam, itu semua pencerobohan! Sebarang kempen yang mengajak kepada itu atas apa jua nama walau HAK ASASI adalah wajib dibantah.

Ya, bagi saya, itu semua termasuk di dalam item kempen LGBT dan semuanya pencerobohan dari perspektif Islam, kalau rogol adalah pencerobohan secara direct hak mangsa, gay , lesbian dan seks bebas boleh dianggap menceroboh hak famili, walau mungkin tidak disebut disokong secara direct oleh undang-undang negara.

Kerana itu gerakan mempromosi mesti ditentang, adapun jika agamawan ingin menganjurkan dialog juga saya bersetuju.

Sama seperti jika terdapat gerakan yang ingin mempromosi murtad, saya akan menentang tapi jika mereka yang ingin murtad atau lesbian, gay atau seks bebas itu melakukannya secara senyap-senyap, itu terpulang kepada mereka dan tiada penentangan secara terbuka dibuat, kecuali nasihat umum pada semua.

Namun, apabila zina, gay dan lesbian ingin dipromosi dengan mempergunakan undang-undang. Agamawan mesti membantah sebagai panduan kepada ramai, cara bantahan boleh berbeza-beza. Bukan hanya semata-mata ingin mencemuh dan memarahi.

Apabila seseorang agamawan yang mungkin terlalu terikut perkembangan susasana semasa sehingga melihat dari kacamata undang-undang dunia terlebih dahulu sehingga terlupa mengutamakan hak Allah yang melarang.

Sehingga ada yang befikir, kemampuan berhujah dengan kefahaman undang-undang dunia lebih matang dan penting  berbanding agamawan yang hanya reti berhujjah dengan menyatakan undang-undang Allah dengan petikan ayat Al-Quran dan hadith. Astaghfirullah.

Prioriti seorang agamawan sebenarnya bukan sibuk membetulkan dan membunuh hujah agamawan lain, walau dirasakan hujah itu tidak bernas pada pandangannya. Setiap agamawan mempunyai fokus sebab dan mengapa ia menggunakan hujah terbabit, sebagaimana saya sedar agawaman yang tidak bersetuju ini juga punyai sebab, mungkin bimbang institusi agamawan dilihat sinis kerana membawakan hujah yang tidak tepat, imej Islam tercalar dan lain-lain.

Namun apabila itu dilakukan tanpa memahami ‘big picture’ hujah sebenar yang ingin disampaikan oleh agamawan lain, akhirnya seseorang boleh jatuh dalam kategori menyokong LGBT atau Seksualiti Merdeka. Sehingga kumpulan Seksualiti Merdeka juga memahami kita menyokongnya, ini sudah suatu kegagalan dalam priority dan olahan walau pada hakikatnya kita TIDAK MENYOKONG

AKHIRNYA

Bagi agamawan yang berbeza cara dan teknik, bagi saya, sebijak manapun olahan kita dan selunak manapun pendekatannya, sebahagian besar perjuangan LGBT dan Seksualiti Merdeka mesti dinyatakan sebagai salah. Mesej tersebut mesti sampai kepada mereka. Cara lunak, simpati atau apa jua, terpulanglah.

Itu mesej yang mesti sampai, dan bukan tersilap prioriti kepada menujukan peluru kepada agamawan lain tanpa mengetahui alasan sebenar mereka. Apabila kumpulan Seksualiti Merdeka merasakan seseorang agamawan 'menyokong' mereka sehingga digunakan kata-katanya seolah membantu mereka, itu sudah suatu kesilapan akibat kebijakan 'terlebih'.

Bagi orang ramai pula, perlu difahami bahawa sekeras manapun seseorang agamawan atau individu Islam membantah, itu tidak semestinya satu-satunya imej Islam. Islam diwatakkan oleh individu-individu yang memahaminya dengan tahap ilmu masing-masing, lihatlah juga kepada agamawan yang lain. Tiada masalah berbeza cara dan pendekatan, itu sinergi juga namanya, menuju satu matlamat yang murni.

Bagi penganjur Seksualiti Merdeka, jika kamu ingin memperjuangkan hak asasi, perlu ketahui hak asasi yang diajar oleh agama mungkin berbeza dari tuntutan kamu, maka jika kamu dibantah, janganlah merasa marah kerana apabila tuntutan kamu telah dianggap mencerobohi anutan dan keyakinanan seseorang yang lain. 

Justeru kalau kamu merasa dikasari dengan bahasa sebahagian agamawan, jangan hanya menuding jari memarahi dan membenci mereka, kamu juga mungkin sedang melakukan hal yang sama cuma dengan cara berbeza. Selain itu, jelaskan sejelaskan objektif kewujudan kamu agar tiada penjenayah dan individu yang tersasar menafsirkan tuntutan kamu kepada nafsunya. Perhatikan juga jenis-jenis pencerobohan yang mungkin kamu tidak langsung mempertimbangkannya sebelum ini.  


Moga kita diampun oleh Allah atas kelemahan kita dalam membawa mesej Islam melalui cara dan teknik berbeza-beza. Wallahu ‘alam.

 

Sekian

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Nov 2011

 

 

 



[1] Seks berlainan jantina tidak kira melalui nikah atau tidak asalkan cukup umur dan suka sama suka.

[2] Tiada atau lemah daya kehendak seksual terhadap lelaki atau wanita.

[3] Rangsangan seks kepada selain aktiviti banyak banyak bentuk sama fizikal atau sifat dan sikap. Melepasi semua jenis aktiviti seks.

[4] Berminat seks dengan berlainan jantian dan juga sama jantina, iaitu homseksual dan heteroseksual sekaligus.

[5] Contohnya Rasulullah menggunakan kata celaka engkau kepada seorang lelaki yang seolah mempersoalkan arahan baginda. Matannya بَيْنَمَا رَجُلٌ يَسُوقُ بَدَنَةً مُقَلَّدَةً قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَيْلَك ارْكَبْهَا . قَالَ : بَدَنَةٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ , قَالَ : وَيْلَك ارْكَبْهَا ، وَيْلَك ارْكَبْهَا



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites