Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pilihanraya Musim Haji : Sebuah Panduan Hukum
  • PDF
(1 vote, average 5.00 out of 5)

 

PILIHANRAYA MUSIM HAJI : SUATU PANDUAN HUKUM

Oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

mecca2

Saya dan rakan-rakan asatizah kerap ditanya hukum dan pandangan kami berkaitan ura-ura jika pilihanraya dilaksanakan sewaktu musim haji, adakah ia dibenarkan di dalam Islam?

Sebagai panduan sebelum sesuatu yang buruk itu berlaku, respons dan jawapan ini diberikan, kerana jika pandangan sebegini lewat diberikan sesudah keputusan pihak berkuasa dilakukan, pandangan berkaitan hal ini tiada boleh memberikan banyak kesan lagi. Justeru, sebelum terlambat dan juga sebagai jawapan kepada sebuah soalan, ia dicoretkan.

Di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Justeru, Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK SAMA SEKALI WAJAR dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu jemaah haji dan petugas haji sedang berada di luar Negara. Lalu terhalang dari menunaikan hak dan kewajiban mengundi atau menjadi calon.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu tentunya merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah :

وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2)

Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

 

Juga Firman Allah :

وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا

Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

 

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang berilmu memberi kesaksian bagi menegakkan keadilan dan kea rah pencapaian keputusan terbaik, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian, khususnya apabila telah dipanggil oleh pihak mahkamah. Begitulah juga keadaannya bagi pengundi yang telah berdaftar yang telah berdaftar apabila munculnya pilihanraya umum. 

Dalam konteks pilihanraya, rakyat bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi. Memang benar, hanya sekitar 30,000 ke 40,000 orang yang akan terjejas dan terhalang, sedangkan beberapa juta pengundi lain masih boleh menunaikan tanggungjawab mereka. Namun dalam Islam, yang haq itu mesti diberikan walau kepada seorang sahaja sekalipun. Justeru, jika ada sesiapa yang mengatakan 'tidak mengapa' kerana masih berjuta yang boleh mengundi, mereka ini seolah orang yang mengetahui bahawa ada di beberapa kawasan yang majoriti kemenangan kurang dari sepuluh undi.Justeru, jumlah 30 ribu itu adalah jumlah yang sangat besar dan menyekat hak walau seorang sekalipun tetap haram hukumnya.

Kefahaman dari ayat-ayat dan huraian para ulama tafsir silam dan kontemporari menunjukkan jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka sudah tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara. Ia adalah tergolong dalam umum erti ayat terbabit.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian sama ada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :


وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

 

Selain dari itu, berdasarkan penelitian tahap minda dan praktis masyarakat Malaysia, kelihatan jelas, pertempuran parti-parti dan penyokong dari parti bukan sekadar dalam meraih undi namun juga melibatkan kata-kata kesat dan cercaan di antara satu sama lain, dicampuri pula dengan politik wang dan rasuah. Semua ini bertentangan dengan ruh musim haji dan kemuliaannya. Mereka yang melaksanakan haji di larang untuk:

مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji, dan dia tidak berkata kotor dan tidak melakukan maksiat, dia kembali seperti dia dilahirkan oleh ibunya.” (al-Bukhari dan Muslim)


Namun perlu dingati, bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga, tiada pengecualian daripada KEWAJIBAN menjaga adab-adab hariraya aidil adha yang mulia, malah kita disunatkan untuk bertakbir lebih dari satu hari, menunjukkan kebesaran dan keperluan mengingati kebesaran Allah sewaktu musim haji dan bukan ’berperang’ mulut dan kempen kerana pilihanraya. Justeru, kata-kata kesat dan pertempuran lisan yang bercampur aduk caci maki dan cercaan pastinya menghilangkan lagi keutamaan musim haji dan memecahkan persaudaraan umat Islam.

 

Kesalahan melakukan maksiat akan menjadi bertambah besar jika dilakukan di tempat atau pada masa yang dimuliakan. Maksiat secara mutlak mengurangkan pahala haji berdasarkan firman Allah swt:

فمن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسُوقَ وَلا جِدَالَ فِي الْحَجِّ.

Ertinya: (Oleh yang demikian) sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Ibadat Haji.” (al-Baqarah: 197)

 

Akhirnya, saya dan rakan-rakan para asatizah dan pendakwah menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

 

Sekian

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

* ARTIKEL ASAL INI TELAH HILANG DARI WEB INI, JUSTERU IA DIUPLAOD SEMULA.



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 33 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pilihanraya Musim Haji : Sebuah Panduan Hukum