(2 votes, average 5.00 out of 5)

Halal Haram Dalam Kontrak Pembuatan, Renovasi  Jahitan

Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 renovasi

Pernahkah anda memperbaiki, menambah dan membesarkan rumah, dapur atau mana-mana bahagian rumah, pejabat atau kedai ?. Jika pernah, itulah yang dinamakan kontrak Istisna’ atau kontrak pembuatan di dalam ilmu Fiqh Islam. Namun, adakah anda sudah mengetahui syarat dan displin yang diletakkan oleh Islam dalam kontrak ini bagi ia benar-benar mematuhi hukum Shariah?. Insha Allah di dalam tulisan ringkas ini, saya akan cuba berkongsi beberapa perkara penting tentangnya. Hal ini termasuklah, kontrak pembuatan item yang besar seperti kereta, rumah atau sederhana seperti kereta, atau kecil seperti penjahit baju dan pakaian serta juga kontrak renovasi rumah, dapur dan seumpamanya.

Secara definisinya, Istisna’ adalah suatu kontrak jualan item yang khusus yang memerlukan proses pertukangan, pengilangan atau pembuatan. Sebagai contoh, kontrak jualan kereta yang masih belum siap tapi dalam pengilangan, rumah yang masih dalam pembuatan, dan begitu juga tempahan untuk membesarkan rumah, memasang kabeinet dapur, ruang tetamu, jahitan pakaian, kerja mencetak buku, majalah dan sebagainya. Semua itu adalah termasuk di dalam kategori jualan secara istisna’ yang telah disahkan harus dan ia juga telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad sallaAllahu ‘alaihi wasallam. Baginda nabi sendiri pernah diriwayatkan menempah sebentuk cincin emas ( sewaktu belum diharamkan lelaki memakai emas). (hadis riwayat Al-Bukhari, 5/220 ; Muslim 3/1655). Nabi juga pernah menempah dibuatkan mimbar untuk berkhutbah sebagaimana disebut di dalam sohih al-Bukhari.

BEBERAPA SYARAT PENTING

Bagi memastikan jualan dan tempahan secara istisna’ ini sah dan halal, berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipastikan :

  1. Istisna’ adalah kontrak yang muktamad (ertinya jika mana-mana pihak ingin menamatkannya, mestilah mendapat izin dan redha pihak yang lain), sejurus pihak pembuat sudah meluangkan waktu, tenaga dan kos barahan mentah untuk menyiapkan tugasan yang dipohon. Namun sebelum kos-kos terbabit, pembeli berhak membatalkannya walau tanpa izin pembuat.
  2. Hanya terhad pada item yang perlukan proses pembuatan sahaja, justeru pembelian padi, jagug, buah-buahan dan yang sepertinya tidak termasuk dalam kontrak istisna’. Pun begitu, proses mengetin bahan makanan atau mempakejkannya ini boleh termasuk dalam kontrak istisna’.
  3. Diharuskan untuk menempah barangan secara istisna’ walaupun barangan itu tiada yang serupa dengannya dalam pasaran. Ini berbeza dengan kontrak jual beli as-salam yang mensyaratkan komoditi yang dibeli wujud dalam pasaran.
  4. Bahan-bahan mentah yang sedang digunakan oleh pembuat untuk menyiapkan tempahan BUKAN milik pembeli KECUALI pembuat sudah memberikan jaminan kerja akan siap dan sebahagian harga telah pun dibayar kepada pembuat bagi tujuan jaminan itu.

HARGA

  1. Harga keseluruhan item termasuk kos pertukangan mestilah diketahui dan disebut dengan jelas sewaktu kontrak di meterai.
  2. Harga boleh dibayar secara sekaligus (lump sum), mengikut peratusan siap atau di akhir dengan syarat ia dipersetujui dengan baik oleh kedua belah pihak.
  3. Harga juga dibenarkan untuk berbeza-beza berdasarkan tempoh siap, beerti pembuat boleh meletakkan harga RM 10,000 jika ingin siap dalam tempoh sebulan, RM 15,000 untuk siap dalam tempoh dua minggu atau RM 20,000 untuk dua minggu kerja. Namun DENGAN SYARAT, sewaktu kontrak dipersetujui, hanya satu harga dan tempoh dari pilihan yang diberi sahaja dipersetujui.
  4. Jika harga jangkaan hasil kiraan pembuat jauh lebih rendah dari kos yang dikenakan kepad apenempah. Pembuat tidak diwajibkan memberi diskaun. Hal yang juga jika kos anggaran meleset, ketika itu, kerugian mestilah ditanggung oleh pembuat tanpa memaksa pembeli membayar harga tambahan.
  5. Jika barang yang ditempah gagal disiapkan dalam tempoh yang dipersetujui, DIHARUSKAN untuk pembeli mengenakan denda mengikut hari kepada pembuat. Ia tidak dikira sebagai riba kerana ia bukanlah pertukran duit dengan duit tetapi kerja yang lewat dengan bayaran gantirugi wang. Keharusan telah diputuskan oleh Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia OIC.
  6. TIDAK BOLEH pembeli secara istisna’ menjual aset atau barang yang masih dalam proses pembuatan kepada pihak ketiga KECUALI jika ia menjualnya item atas specifikasi juga, ia dinamakan kontrak Istisna’ Selari. Sebagai contoh, Ahmad telah membeli dan menempah LIMA buah kereta BMW 520i dengan spesifikasi yang sama dan jelas. Sebelum kereta tersebut siap dihantar kepada Ahmad, Ahmad telah menjualkan sebuah kereta BMW spesifikasi BMW 520i kepada Ali dengan syarat ia tidaklah semestinya tertakluk kepada mana-mana kereta secara khusus tetapi ia hanya tertakluk kepada spesifikasi.

LAIN-LAIN BERKENAAN KONTRAK

  1. Adalah diharuskan setelah kontrak dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju meminda mana-mana klausa kontrak. Tanpa persetujuan kedua belah pihak, pindaan, pengurangan atau tambahan TIDAK boleh dilakukan.
  2. Harus bagi pembeli untuk melantik seorang pakar bagi memantau kerja-kerja pembuat bagi memastikan kerja yang dilakukan menepati spesifikasi yang ditetapkan.
  3. JIka pembinaan dan pembuatan yang telah disiapkan berbeza spesifikasi dari yang ditempah dan diminta, pembeli berhak untuk menolak dan tidak membayar. Pun begitu, pembeli juga boleh menerima apa yang ada dengan tuntutan diskaun khas berdasarkan budibicara kedua pihak.
  4. JIka item yang telah siap menepati spesfikasi, tetapi pembeli menolak tanpa sebab yang kuat, pembuat boleh menyimpan barangan tersebut selaku pemegang amanah namun tidak dipertanggungjawab ke atas keselamatan barangan itu. Jika keadaan ini berlaku, pembeli juga perlu membayar kos khidmat simpanan yang dilakukan oleh pembuat. Jumlah itu sepatutnya dimaklumkan lebih awal oleh pembeli yang terpaksa menyimpan itu.
  5. Diharuskan juga bagi pembeli melantik pembuat atau pengilang menjadi ejennya atau wakil bagi menjualkan barangan yang telah siap kepada pihak ketiga dengan harga yang telah dipersetujui. Tugas itu boleh dilakukan sama ada dengan upah atau percuma.

 

Begitulah secara ringkas beberapa panduan bagi sesiapa yang terlibat dalam kontrak istisna sama ada ia dinamakan istisna’ atau tidak, ia masih tetapi perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam bagi mengelak berlakunya ketidaktentuan (gharar) yang boleh membatalkan aqad.

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

15 Mac 2013

www.zaharuddin.net



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites