Pengenalan Ilmu Fiqh Islam

(20 votes, average 4.45 out of 5)

Pengenalan Asas Berkenaan

Ilmu Fiqh Islami

Oleh :

Zaharuddin Abd Rahman

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam Rasul junjungan dan ahli keluarganya dan para sahabatnya.

PERKARA ASAS TENTANG FIQH

1) Ta'rif Ilmu Fiqh : Mengetahui praktikal hukum syar'ie bersumber daripada dalil-dalil yang terperinci. Merupakan ilmu perundangan Islam yang syumul.

2) Pecahan dan Kesyumulan Fiqh : Memastikan kehidupan individu, masyarakat dan umat Islam selari dengan hukum-hakam syar’ie di bidang berikut : -

a) Hubungan dengan Allah SWT ; iaitu melalui Fiqh Ibadat.

b) Hubungan manusia dengan dirinya sendiri ; iaitu melalui kefahaman halal, haram & adab-adab peribadi.

c) Hubungan manusia dengan ahli keluarga ; melalui Fiqh al-Usrah.

d) Hubungan manusia sesama manusia lain ; melalui Fiqh Mu’amalat Maliah, Fiqh Jinayah ( hudud, qisos, ta’zir), Fiqh Siyasah Syar’iyyah (politik), Fiqh al-Jihad.

Kesimpulan : Islam melingkupi seluruh aspek kehidupan dan tidak terhad kepada hukum hakam persendirian dan keluarga sahaja.

3) Fleksibliti Hukum Fiqh : Hukum dari sudut boleh berlaku fleksibiliti ke atasnya atau tidak, terbahagi kepada dua iaitu :-

a) ‘At-Thawabit’ : iaitu hukum yang tidak boleh berubah sama sekali walaupun zaman dan masa berubah : Ia melibatkan perkara berikut [1] :-

· Asas-asas aqidah ; seperti : kewujudan Allah, kesempurnaan Allah dan yang seumpamanya.

· Asas-asas kebaikan dan asas akhlak yang diterima oleh fitrah yang suci. Ia seperti : Adil, amanah, baik kepada ibu bapa, bersikap benar, mempertahankan nyawa, amar ma’ruf nahi mungkar, menyebarkan ilmu, mengekalkan syiar Allah di atas muka bumi, mentarbiyah pemuda dan pemudi, menyertai jemaah Islam dan lain-lain.

· Seluruh asas-asas keburukan ; seperti zalim, derhaka ibu bapa, curi dll.

· Hukum yang berasal dari nas yang membawa maksud kekal hingga qiamat , seperti sadba Nabi SAW : الجهاد ماض إلى يوم القيامة

Ertinya : “Jihad berterusan hingga ke hari qiyamat”

· Hukum-hakam asas yang qat’ie (iaitu dari sudut ia suatu kewajiban) adapun pelaksanaannya terdapat hal yang boleh berubah menurut peruntukan ‘rukhsoh’ : seperti kefardhuan solat, zakat, haji, puasa .

b) ‘Al-Mutaghayyirat’ ; Hukum yang dibina atas dalil-dalil yang tidak ‘qat’ie thubut’ atau ‘zanniyyatu at-thubut’ dan ‘zanniyyatu ad-dalalah’ dan juga beberapa hal pelaksanaan terhadap perkara ‘thawabit’ seperti : Kewajiban menutup aurat, adalah thawabit demikian juga had yang perlu ditutup, maka kaedah pelaksanaannya terpulang kepada muslim, samada ingin memakai warna biru, hitam, hijau dan lain-lain. Demikian juga hal pentadbiran politik yang berubah mengikut keperluan tetapi MESTILAH BERLEGAR DIDALAM LINGKUNGAN ‘THAWABIT’ sahaja serta tidak menyimpang darinya.

4) Sifat Umum Hukum Islam :

a. Bertepatan dengan fitrah yang sohih, dan tidak bertentangan dengan aqal yang sempurna. Dalil – Rujuk Firman Allah : Ar-Rum : 30

Perkara ini ditegaskan juga oleh As-Syeikh Abd Rahman Nasir As-Sa’di dengan katanya “ Sesungguhnya syarak tidak akan datang dalam bentuk yang bertentangan dengan aqal, juga tidak akan bertentangan dengan ilmu yang benar” [2], Perkara ini juga pernah diketengahkan oleh Imam Ibn Taymiah dalam kitabnya ‘Dar’u at-Ta’arud bayna an-Naql wal ‘aql’ (Menolak pertentangan di antara nusus dan aqal), demikian juga disebut oleh Ibn Qoyyim : “ Tiada satu nas shohih pun kecuali ianya bertepatan dengan aqal” [3]

b. Dibina di atas dasar ‘Taysir wa raf’u al-Jarh’ ; iaitu memberi kemudahan buat manusia dan mengangkat kesukaran dari mereka” ; Dalilnya dari firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 185 , Al-Maidah : 6 , An-Nisa’ : 43 , Al-Baqarah : 183 , Al-‘A’raf : 157.

c. Menegak keadilan ; Dalil , firman Allah : Al-An’am : 115 dan banyak lagi.

d. Memelihara kepentingan ummah dan kesejahteraan ummat dan mengelakkan mafsadah dari berlaku ke atsa mereka. [4] Dalil - Firman Allah : Al-Qasas : 77

e. Kekal ; Ia adalah syari’at terakhir dan bersifat pembatal kepada syari’at sebelumnya. Dalil : firman Allah : ahzab ; 40.

f. Tadarruj dalam penurunannya. Bagaimanapun wajib dilaksana segera ketika mampu, Dalilnya dari firman Allah : Al-Imran : 133 ; Al-Maidah : 48 , An-Nisa’ : 65 ; dan hadith Nabi SAW, ertinya : “Apabila aku perintahkan dengan sesuatu perintah, maka perbuatlah kamu seaya upayamu, jika ku larang sesuatu pekara jauhilah ia” [5]

Adapun sikap ulama kontemporari terhadap Isu ‘Tadarruj’ dalam pelaksanaan hukum Islam, secara umumnya mereka terbahagi kepada dua kumpulan :-

· Tidak bersetuju dan wajib melaksanakannya segera : ia adalah pandangan As-Syahid Syed Qutb, As-Syahid Abd Qadir Awdah, Dr. Said Ramadhan Al-Buti.

· Bersetuju dengan Tadarruj berperancangan ketika tiada kemampuan : mereka adalah Abul A’la al-Mawdudi, Dr Yusof Al-Qaradhawi & Dr Muhd Abd Ghaffar Syarif.

Bagaimanapun kumpulan ini meletakkan beberapa syarat iaitu [6] :

- Yakin tentang kewajiban melaksanakan syari’at Islam secara sempurna , dan wajib menyediakan suasana yang sesuai bagi melaksanakan tuntutan tersebut.

- Bukanlah bermaksud tadarruj, menjatuhkan hukuman kepada si lemah, dan meninggalkan si kaya dan yang berpangkat.

- Prinsip Aqidah tidak termasuk dalam bab tadarruj ini.

- Prinsip-prinsip asas Islam tidak termasuk dalam harus tadarruj, seperti solat, puasa, tidak boleh berzina, tidak boleh minum arak, berjudi dan seumpama dengannya.

5) Sifat Khusus Islam & Hukum-hakamnya.

a- Rabbani : Bersifat ketuhanan dari sudut : Sumber dan Manhaj.

b- ‘Alami : Menyeluruh buat seluruh manusia di seluruh tempat.

c- Syumuli : Merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Surah Anbiya: 89

d- Waq’ie : Sesuai di setiap keadaan, tempat dan masa.

e- Thawabit wal murunuh : Thabit dalam hal prinsip dan fleksible dalam hal pelaksanaan.

6) Sebab Ikhtilaf Fuqaha’ dalam hukum-hakam yang bersifat Dzonniah.

Secara umum, perbezaan pandangan merujuk kepada hal berikut :

Perbezaan dalam menentukan sesebuah dalil sesuai di jadikan dalil untuk sesuatu hukum @ tidak.
Perbezaan dalam menentukan kekuatan ‘thubut’ dalil.
Perbezaan dalam menentukan darjat kekuatan perawi hadith.
Perbezaan memahami erti dan madlul dari al-Quran dan Al-Hadith.
Perbezaan dalam membuat penilaian, penelitian dalil dan ‘tarjih’.
Perbezaan pemikiran akibat suasana dan persekitaran.

Pertama : Sebab Ikhtilaf Dalam Hal Yang Terdapat Nas


1) Dalam memahami ayat-ayat Al-Quran

· Ayat Quran kebanyakkan datang dalam bentuk Mujmal. Perlukan tafsiran dari Sunnah. Cth : Solat, potong tangan pencuri dsbg. Tugas Rasul SAW dalam hal ini (An-Nahl:64 ; An-Nahl : 44 ; Al-Imran: 164)

· Hadith datang dalam dua bentuk : Perbuatan, Pertuturan. Ikhtilaf dalam menerima pakai sunnah perbuatan. Jumhur terima.

· Ikhtilaf dalam hal Sunnah Perbuatan Nabi SAW. (Fe’liyyah) Sebab :-

i. Ilmu tentang ‘thubut’ sesebuah hadith :-

- Hadith diluar pengetahuan sesetengah Fuqaha’.

- Perbezaan dalam mempercayai perawi hadith.

ii. Berkenaan kandungan Hadith.

- Perbezaan memahami madlul dan kehendak hadith.

2) Ikhtilaf dalam hal Sunnah Pertuturan Nabi SAW ( Qawliyyah)

Sebab-sebabnya :-

· Ikhtilaf dalam lafaz ‘musytarak’ : Perkataan yang boleh membawa pelbagai maksud.

· Ikhitlaf dalam memahami lafaz umum dan khusus Hadith.

· Ikhtilaf dalam memahami madlul hadith dari sudut makna haqiqi atau majazi.

· Ikhtilaf dalam men’taqyid’ mutlaq atau dibiarkan mutlaq sahaja.

· Ikhtilaf dalam memahami lafaz ‘perintah’ dan ‘larangan’ dalam hadith.

Kedua : Ikhtilaf Dalam Hal Yang Tiada Nas Khusus.

· Ruang ikhtilaf lebih besar.

· Perbezaan dalam menentukan Qawaid ‘Ammah dan Ruh Tasyri’ (Maqasid Syariah) untuk dijadikan asas ijtihad.

· Perbezaan dalam menentukan dakwaan terdapat ijma’ dalam sesuatu isu.

· Perbezaan dalam menerima sumber-sumber dalil selain Quran & Hadith, iaitu (sila rujuk artikel terkemudian berkenaan Pengenalan Ilmu Usul Fiqh) :-

i. Qias

ii. Istihsan

iii. Maslahat mursalat

iv. Ilham, Mimpi dan Firasat

v. Istishab dan lain-lain.

-Bersambung-

5 Ogos 2006


--------------------------------------------------------------------------------

[1]. Al-Manahij Al-Usuliyyah, Dr Fathi Ad-Durayni, hlm 76-77 ; As-Siyasah As-Syar’iyyah, Al-Qaradhawi, hlm 210

[2]. Ad-Durrah al-Mukhtasorah fi Mahasin ad-Deen al-Islami, hlm 39

[3]. I’ilam al-Muwaqqi’ien, 2/22 , cet Dar Kutub ‘Ilmiah

[4]. I’ilam al-Muwaqqi’ien, Ibn Qoyyim, 3/11

[5]. Riwayat Bukhari dan Muslim ; Dalil tentang Tadarruj berperancangan ini adalah merujuk kepada pengharaman arak yang dibuat beransur-ansur dan demikian juga Riba menurut pendapat sebahagian fuqaha, demikian juga Zakat yang pasa awalnya hanyalah pilihan dan bukannya wajib, mencontohi siyasah Umar Abd Aziz.

[6]. At-Tadarruj fi Tatbiq As-Syari’ah Al-Islamiyyah, Dr Md Abd Ghafar As-Syarif , hlm 107

 


Add this page to your favorite Social Bookmarking websites