Fahamilah : Tiada 'Pinjaman Secara Islam' di Bank Islam

(14 votes, average 5.00 out of 5)

Bank Islam Peniaga Bukan Pemberi Pinjam

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Ramai yang terkeliru apabila menyebut 'pinjaman secara Islam' apabila merujuk kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua silap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada. Ini adalah kerana sesebuah 'pinjaman' Islam tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan. Pinjaman tidak lain hanya satu jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma sahaja. Hasil dari itu, Allah swt menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman tanpa sebarang caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda.

Terlalu sedikit  produk bank-bank Islam yang didasari oleh aqad pinjaman, contoh seperti kad Caj oleh Ar-Rajhi Bank dan beberapa lain, yang lain semuanya bukan atas aqad pinjaman. Hasil dari itu, bank-bank Islam berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih sesuai. Ternyata keuntungan secara halal boleh diperolehi tiga kaedah iaitu:-

 

1)       melalui aqad jual beli, termasuk sewaan

2)       melibatkan diri dalam sistem perkongsian pelaburan dari jenis Mudharabah atau Musharakah.

3)       Melalui konsep ujrah atau upah hasil sesuatu perkhidmatan yang diberi.

Namun begitu, menurut kebiasaanya ketiga-tiga konsep ini digunapakai oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian atau biasa bagi memperolehi untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk digunakan oleh industri tersebut.

Oleh kerana sifat dan fungsi sebuah bank berbeza dengan sebuah syarikat jualan biasa, sambil menyedari ketiga-tiga konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah bank untuk memperolehi keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep tersebut bagi menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini. Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, itu adalah dalam konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai 'trader', iaitu penjual dan pembeli.

Untuk mengubah sifat asal fungsi sebuah bank dari pemberi pinjam kepada pembiaya dan penjual serta pembeli, bank-bank Islam banyak menghadapi cabaran undang-undang setempat. Adakalanya halangan undang-undang setempat boleh menjadikan sebuah bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus menepati Shariah. Bukan kerana mereka sengaja untuk ingkar dan culas, tetapi terpaksa tunduk dek undang-undang setempat yang enggan diubah oleh pembuat undang-undang. Usaha mendesak masih berterusan tetapi tentunya tidak wajar diletakkan ancaman dan kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham siapa yang patut ditujukan kecaman.

CARA BANK ISLAM

Dalam tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan dengan ringkas salah satu cara yang cuba digunapakai oleh sebuah bank Islam bagi menjalankan fungsinya sebagai pembiaya dan juga trader.

Caranya adalah dengan memperkenalkan konsep jualan secara Murabahah. Bagi mengadun kontrak Murabahah  agar ia dapat disesuaikan dengan peranan asas sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetapi ingin bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader), beberapa jenis pengadunan kontrak Murabahah  telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti berikut :-

·         Produk pembiyaan aset atau modal (Financing): Murabahah  antara tiga pihak (Tri-partied Murabahah )

·         Produk Perbendaharaan (treasury) : Komoditi Murabahah

·         Produk pasaran modal (capital market) : Terbitan Sukuk Murabahah

Demikian tadi tiga contoh produk utama yang menggunakan konsep Murabahah  dalam tiga sektor utama perbankan. Namun dalam tulisan ini, saya hanya akan menyebut satu sahaja dari tiga produk tadi.

MURABAHAH DENGAN PIHAK YANG PINTA BELI (MURABAHAH LIL AMIR BISHIRA)

Murabahah  Lil Amir Bishira didefinisikan sebagai jualan Murabahah bagi individu yang berjanji untuk membeli atau Murabahah to the purchase orderer, ia adalah satu bentuk permintaan satu pihak (pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai wang (biasanya bank) untuk membeli satu satu aset yang diingi pelanggan dengan pihak pelanggan berjanji akan membelinya dari pihak yang pembeli awal (bank) dengan harga yang lebih tinggi dari pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi Al-masarif Al-Islamiah, Al-Qaradhawi)

Produk ini mempunyai bentuk idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan oleh beberapa buah bank Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan untuk produk-produk runcit di bank-bank Islam (retail banking products).

Produk yang menggunakan asas Murabahah  biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset seperti :

·           kereta, rumah, kapalterbang, kapal

·           alatan mesin untuk kegunaan kilang,

·           bangunan

·           tanah

·           hak cipta

·           hak pemilikan saham

dan lain-lain aset yang bersifat tangible dan intangible.

HUKUM

Majoriti ulama mengharuskan pembelian secara dalam bentuk ini dengan beberapa syarat yang mesti dijaga. Selain syarat-syarat Murabahah yang biasa, kontrak Murabahah antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan, tanpanya jual beli ini dikira batal dan haram.

Keharusan jual beli ini telah lama disebut, khususnya oleh Imam As-Syafie :-

إذا أَرى الرجلُ الرجلَ سلعة، فقال: اشتر هذه وأربحك فيها كذا، فاشتراها الرجل، فالشراء جائز, والذي قال أربحك فيها بالخيار , إن شاء أحدث فيها بيعا وإن شاء تركه

 

Ertinya : Apabila seorang lelaki menunjukkan kepada seorang yang lain satu barang lalu berkata : Engkau belilah ia, dan aku akan beli dari kamu dengan tambahan beberapa jumlah untung buatmu, maka lelaki (pertama) itu membelinya, jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang berkata akau akan membeli darimu dengan untung( yang berjanji), adalah terbuka kepada pilihan, sama ada untuk membelinya atau menolaknya . (Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, 3/33)

Proses jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai harus, termasuk majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) [1], Fatwa muktamar Perbankan Islam kedua di Kuwait tahun 1983 dan juga Akademi Fiqh OIC dalam sidang mereka yang kelima pada tahun 1988.

Antara syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas dalam resolusi akademi Fiqh OIC adalah ( rujuk Qararat wa tawsiat, Akademi Fiqh OIC, Dar al-Qalam):-

أولاً : أن بيع المرابحة للآمر بالشراء إذا وقع على سلعة بعد دخولها في ملك المأمور ، وحصول القبض المطلوب شرعاً ، هو بيع جائز ، طالما كانت تقع على المأمور مسؤولية التلف قبل التسليم ، وتبعة الرد بالعيب الخفي ونحوه من موجبات الرد بعد التسليم ، وتوافرت شروط البيع وانتفت موانعه .

ثانياً : الوعد - وهو الذي يصدر من الآمر أو المأمور على وجه الانفراد - يكون ملزماً للواعد ديانة إلا لعذر

ثالثا : المواعدة - وهي التي تصدر من الطرفين - تجوز في بيع المرابحة بشرط الخيار للمتواعدين ، كليهما أو أحدهما ، فإذا لم يكن هناك خيار فإنها لا تجوز ، لأن المواعدة الملزمة في بيع المرابحة تشبه البيع نفسه ، حيث يشترط عندئذ أن يكون البائع مالكاً للمبيع حتى لا تكون هناك مخالفة لنهي النبي عن بيع الإنسان ما ليس عنده

Ertinya :

Pertama : Jualan ini apabila berlaku ke atas satu asset, diwajibkan pihak pembeli (bank) untuk memiliknya dengan pemilikan sah menurut hukum syara, maka tatakala itu ia jualbeli yang sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta (biasanya bank) menanggung tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum dijual (serahan) kepada pelanggan, dan juga bertanggung jawab untuk menerimanya jika dipulangkan kerana terdapat ‘aib yang tersembunyi pada asset dan sebab-sebab yang mewajibkan pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.

 

Kedua : Janji : iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta ( bank), janji ini bersifat mengikat (mulzim) ke atas yang member janji dari sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran sebenar

 

Ketiga : Kedua pihak saling berjanji : Iaitu janji yang diberikan oleh kedau-dua belah pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang diminta janji akan jual), ia adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan boleh memilih (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah pihak terikat dan tidak boleh membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua belah pihak menjadi tidak harus (kontrak batal dan haram), kerana saling berjanji untuk membeli dan menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang ketika itu memerlukan penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke dalam larangan menjual sesuatu sebelum memilikinya.

Kesimpulannya, jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan oleh bank-bank Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam resolusi fatwa di atas ringkasannya :-

  • Aset yang dijual oleh bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh memulangkannya kepada bank jika terdapat rosak.
  • Janji dari satu pihak adalah bersifat mengikat.
  • Janji dari dua pihak tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

12 Mei 2009

 



[1] Ia adalah majlis Syariah yang paling berpengaruh di seluruh dunia dalam mengeluarkan fatwa berkaitan isu kewangan dan perbankan. Dan ahli majlis Syariah mereka dianggotai oleh 20 orang ualam yang paling berpengaruh di seluruh dunia. (rujuk http://www.aaoifi.com/sharia-board.html)



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites