Buku ‘Formula Solat' Disambut Baik & Pembetulan

(9 votes, average 5.00 out of 5)

Buku ‘Formula Solat'

Disambut Baik & Pembetulan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Segala puji bagi Allah s.w.t atas kurniaanNya yang tidak terkira. Terima kasih juga kepada pembeli yang budiman, moga ia mampu memberi manfaat kepada pembaca, jika tidak banyak, sedikit pun cukuplah. Terima kasih semua yang memberi sokongan dan dokongan. Terutama isteri dan anak-anak saya yang sentiasa menyokong dan memberikan inspirasi untuk terus berusaha melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

 

Telagabiru

 

 

 

Tidak lupa kepada Telaga Biru Sdn Bhd yang mempersembahkan buku dalam bentuk menarik. Juga promosi-promosi yang diberikan. Termasuk promosi di Pesta Buku 2008. Namun malang, saya tidak membawa kamera pada hari tersebut.

 

buku solat

 

 

Dari setiap lembaran buku tersebut, jika terdapat sebarang fakta yang anda tidak setujui, tinggalkanlah ia dan ambillah yang anda setujui.

Imam Malik r.h berkata :-

كل أحد يؤخذ من كلامه ويردّ عليه إلا صاحب هذا القبر صلى الله عليه وسلم

Ertinya : Tiada dari seorang pun kalangan kita ( Ulama dan ilmuan ) kecuali boleh diterima dan ditolak pendapatnya kecuali tuan maqam ini (sambil Imam Malik menunjukkan isyarat ke arah kubur Nabi s.a.w)

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi mengatakan bahawa "mengelakkan khilaf (perbezaan pendapat) adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku, malah ia adalah yang tidak dituntut dalam Islam, kerana sebab-sebab berlakunya perbezaan tadi sentiasa wujud dan pasti berterusan" (Ummutuna Bayna Qarnain, hlm 223 : rujuk huraian lengkap dalam As-Sahwah Al-Islamiyyah Baina Al-Ikhtilaf Al-Masru'.. oleh Al-Qaradawi)

Ia tidak dituntut kerana ia adalah hampir mustahil dan Allah tidak akan menugaskan kita melakukan sesuatu yang tidak mampu dibuat oleh kita. Demikian fakta yang pernah ditegaskan oleh Imam As-Syatibi ( wafat 790 H) di dalam kitabnya "Al-Muwafaqat"

Sambutannya

Secara umumnya, menurut Telagabiru Sdn Bhd, buku saya yang bertajuk "Formula Solat Sempurna" telah menerima sambutan yang amat amat baik semenjak keluarannya 28 Mac 2008 yang lalu.

Menurut rekod mereka dari tempoh 28 Mac sehingga tamat pesta buku 2008 yang lalu (13 April 08), jualan keseluruhan buku telah pun mencecah 5000 naskhah. Alhamdulillah. Doakan saya agar jumlah-jumlah ini tidak mengelabui mata saya dan juga penulis lain sehingga dihinggapi penyakit ‘riya', bangga diri dan lupa daratan.

Jangan bimbang, royalti yang diperolehi tidak mungkin boleh mengkayakan saya di dunia pun, tidak juga boleh melalaikan saya hingga lupa daratan dan terpesong dari niat yang sebenar. InshaAllah.. Doakan, justeru anda tidak perlu berbisik,

"wa kayalah ustaz ye"

Oo, tidak perlu. Hanya beberapa sen sahaja untuk saya di dunia ini dari setiap jualan.

Namun saya amat berharap isi dan manfaatnya dapat mengkayakan saya di alam barzakh dan akhirat saya..ya Jutawan di Planet Akhirat!.. itu maha penting. Ameeen Ya Rabb.

Cetakan Kedua

Pihak Telagabiru menjangkakan cetakan kedua akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan hanya tinggal sedikit cetakan pertama yang berbaki. InshaAllah, cetakan kedua tidak akan ada sebarang perubahan kecuali pembetulan kecil terhadap satu kesilapan saya dalam ‘naqal' (petikan) fakta di halaman 69. Bermula dari ayat :

"pakar hadith kontemporari seperti Syeikh Syuaib al-Arnout juga mentarjihkan pandangan ini"

Ayat ini akan dipadamkan bagi cetakan kedua kerana saya tersilap menaqalkannya, Untuk info, Syeikh Syuaib mentarjihkan hadis ‘turun tangan dahulu'. Moga tidak sebarang mudarat jatuh ke atas Syeikh Syu'aib dengan kesilapan kecil saya ini.

Demikian juga pada halaman 121, pada zikir ke-9, terjemahan yang betul adalah membacanya 10 kali dan bukan seratus kali. 

Oh ye, jika ada sesiapa yang sudi membuat semakan lagi atau terjumpa kesilapan lain-lain, bolehlah memberitahunya kepada saya dengan kadar segera sebelum cetakan kedua dibuat. Usaha anda amat dihargai demi manfaat terbaik untuk semua. Namun perlu saya ingatkan, tidak semua yang anda rasa silap adalah silap, demikian juga sebaliknya.

Mungkin akan ada yang berkata :- 

"tapi ustaz, kesilapan yang ditemui ini dalam bab dalil hadis yang digunakan..dhoif ni"  

Anda perlu ketahui, urusan penilaian sesuatu hadis itu sohih dan dhoif juga adalah perkara ijtihadiyyah yang tidak dapat dielakkan berlakunya perbezaaan penilaian dan pendapat para ulama hadis silam dan kontemporari, Justeru tidak perlulah terlalu rigid dengan satu pendapat ulama hadis. Kecualilah ia disepakati hadis rekaan (Maudu'), atau sangat dhoif dan yang sepertinya.

Lihatlah bagaimana Syeikh Nasiruddin Albani, seorang ilmuan hadis kontemporari yang terulung juga banyak melakukan semakan semula ke atas hadis yang telah dinilainya sebelum ini, sehingga hadis-hadis ini dikumpulkan oleh anak muridnya dan diletakkan di dalam sebuah kitab. Berikut gambar kitabnya.

 

Buku Albani Menarik Balik Penilaian Hadis2

  Terjemahan Tajuk Kitab : Albani Menarik Balik Dalam Penilain Sohih dan Dhoif

 

Jika anda inginkan buku saya tiada silap langsung dan tepat seratus peratus, maka saya tidak dapat menjaminnya. Teringat saya pernah membaca kata-kata salah seorang antara anak murid Imam Syafie yang paling utama kepada gurunya iaitu Imam As-Syafie. 

وَقَالَ الْمُزَنِيّ قَرَأْت كِتَابَ الرِّسَالَةِ عَلَى الشَّافِعِيِّ ثَمَانِينَ مَرَّةً فَمَا مِنْ مَرَّةٍ إلَّا وَكُنَّا نَقِفُ عَلَى خَطَإٍ فَقَالَ الشَّافِعِيُّ : هِيهِ أَبَى اللَّهُ أَنْ يَكُونَ كِتَابٌ صَحِيحًا غَيْرَ كِتَابِهِ

Ertinya : "Berkata Al-Muzani : Aku telah membaca kitab "Ar-risalah" di depan As-Syafie sebanyak 80 kali, dan tiada sekali pun kecuali  mesti kami akan menemui adanya kesilapan (dalam karangan itu).

Lalu Imam Syafie berkata : "Ehh, Allah SWT enggan membenarkan ada satu kitab yang sempurna kecuali kitabnya (Al-Quran)"

Soalan Lanjutan

Telah banyak soalan-soalan susulan diutarakan dari pembaca buku saya ini. InsyaAllah jika ada kemampuan dan kesempatan, saya akan memberikan jawapannya. Teringat saya kata-kata Imam As-Syafie dalam bab disoal ini :-

الشافعي يقول : العالم يسأل عما يعلم وعما لا يعلم ، فيثبت ما يعلم ، ويتعلم ما لا يعلم ، والجاهل يغضب من التعلم ، ويأنف من التعليم

Ertinya : "Orang yang alim ditanya perkara yang diketahuinya dan juga yang tidak diketahuinya. Maka apa yang telah diketahuinya telah sabit manakala dia akan belajar pula dari apa-apa (soalan) yang tidak diketahui. Adapun (sifat) orang jahil adalah sering marah untuk belajar (apabila cuba diajar atau tegur), dan membesar diri ketika memberi pengajaran"

Semoga kita semua terpelihara dari sifat si jahil yang disebut oleh Imam As-Syafie tadi.

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 April 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites