Balik Malaysia & Waktu Buka, Sahur
& Solat Dalam Kapalterbang
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Alhamdulillah, ada juga rezeki kami sekeluarga pulang ke Malaysia hariraya Idilfitri tahun ini. Walaupun ia sama sekali tidak termasuk di dalam perancangan awal saya, namun setakat ini kelihatan ia akan menjadi kenyataan. InshaAllah.
Terima kasih kepada pihak yang membiayai tambang pulang saya.
Di kesempatan ini, saya ingin kongsikan beberapa perkara yang melibatkan puasa dan solat kami sepanjang perjalanan dan cara kiraan yang kami guna. Semoga kiraan ini diberikan panduan oleh Allah swt.
Kami akan bertolak dari Lapangan Terbang Birmingham pada 2.15 petang dan dijangka sampai di Dubai 7 jam selepas itu. Transit selama 3 jam di Dubai. InshaAllah, akan sampai KLIA pada jam 2.15 petang 13 September 2009.
Setakat semakan saya, inshaAllah kami tidak akan menghadapi sebarang masalah waktu solat, juga tiada masalah untuk mengekalkan puasa walau kami dalam musafir.
Berikut gambaran perjalanan pulang kami dari United Kingdom ke Malaysia esok hari. Doakan perjalanan kami semuanya lancar dan selamat sampai dan pulang. Doa anda semua amat dihargai.
WAKTU BERBUKA ATAS FLIGHT
Sebagaimana fatwa Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, waktu berbuka bagi mereka yang berada di atas kapalterbang adalah dengan melihat ke luar tingkap kapalaterbang bagi memastikan matahari sudah terbenam atau tidak. Waktu berbuka tidak akan mengikut waktu destinasi atau tempat bertolak. Maka dalam kes kami, kami akan memerhati tingkap untuk berbuka.
Bagi waktu sahur kami akan menuruti waktu Dubai kerana kami berada di Dubai sekitar waktu sahur itu, manakala waktu Subuh memerlukan sedikit kiraan, kerana jika matahari naik dijadikan panduan masuk Subuh sebagaimaan untuk berbuka tadi, itu sudah terlewat kerana pastinya sejurus kelihatan matahari bermakna waktu subuh sudah tamat.
PENENTUAN WAKTU SUBUH ATAS FLIGHT KAMI
Justeru, kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai, sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai. Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi.
Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman atau mungkin juga Karachi.
Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi.
Namun setakat ini saya lebih yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.
WUDHU ATAU TAYAMMUM ATAS FLIGHT?
Wudhu tiada masalah untuk disempurnakan menggunakan air di atas kapalterbang, tayammum juga tidak perlu kerana wujudnya air dan tandas kecil yang boleh digunakan bagi penyempurnaan Wudhu. Apa yang perlu dilakukan adalah gunakan cawan kecil plastik minum sebagai bekas air wudhu, dan berwudhulah sesempurna yang boleh di dalam tandas itu.
Tiada alasan untuk bertayammum di dinding kapalterbang atau kerusi atau hanya sekadar solat hormat waktu kerana tiada wudhu.
Malah menurut pandangan yang paling kuat, tidak boleh disempurnakan dengan menepuk dinding, kerusi atau debu-debu yang melekat pada baju. Ini kerana habuk di dinding buatan dan kerusi kapalterbang bukan tidak termasuk dalam erti tanah. tetapi jika dinding, kerusi, baju dan sebagainya itu benar-benar jelas kelihatan berdebu dengan debu tanah, tatkala itu barulah boleh menepuk di atasnya untuk tujuan tayamum.
Allah swt menyebut dengan jelas tayamum hendaklah menggunakan tanah yang suci. Justeru, debu yang diambil mestilah berasal dari benda yang benar-benar datang tanah. Dinding kapalterbang bukan dari tanah, amat sukar pula dibayangkan kewujduan debu tanah di dinding kapalterbang, demikian juga debu atas kerusi.
Allah swt menyebut yang ertinya:
"Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." ( An-Nisa : 43 )
Menurut pandangan ulama Maliki, di waktu sukar, boleh digunakan batu asli untuk mendapatkan debu tayamum, kerana batu yang bercampur dengan tanah sejak dari asalnya, dianggap sebahagian dari tanah.Mazhab Syafie pula membenarkan menggunakan pasri yang bercampur sedikit dengan tanah.
Justeru, bagi sesiapa yang ingin bertayumum juga atas sebab-sebab yang memerlukan, seperti contohnya mandi hadas besar (contohnya tidur atas flght dan ‘bermimpi hingga basah'), bolehlah dibawa dari awal sama ada batu (bukan batu bata tapi adalah jenis batu yang asal) atau pasir bercampur tanah, kemudian tepukkan tangan diatasnya tadi dan sempurnakan tayamum di wajah dan kedua tangan hingga ke siku. ( berdasarkan hadis riwayat Abu Daud)
ARAH KIBLAH UNTUK SOLAT
InshaAllah kami juga tiada masalah arah kiblah kerana kami boleh menunaikan solat zohor dan asar di lapangan terbang Birmingham, berbekalkan kompas kiblah, urusan penentuan arah menjadi lebih mudah dan meyakinkan.
Bagi solat maghrib pada 12 Sept, kami punyai pilihan sama ada untuk jama' takhir iaitu solat di lapangan terbang Dubai atau solat di dalam kapal terbang secara duduk.
Arah kiblah mungkin boleh dilihat melalui panduan Emirates Airline (jika dalam Flight MAS ada disediakan, Emirates saya kurang pasti kerana pertama kali menaikinya esok) atau melalui cara melihat arah halaan Kapalterbang.
Biasanya mudah, kerana arah flight dari UK ke Dubai, biasanya akan selari atau tidak jauh lari daripada arah Ka'abah. Justeru, sejurus kami dapati kapalterbang sedang berhadapan dengan Mekah, kami boleh terus menunaikan solat secara duduk menghadap hadapan.
MASALAH MEMBELAKANGKAN KIBLAH
Cuma sedikit masalah akan timbul ketika kami ingin solat Subuh di atas kapalterbang. Kerana berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, beerti kapalterbang membelakngkan Mekah.
Namun tidak ditolak, adakalanya kapalterbang akan sedikit membelok ke kanan dan kiri. Justeru, cara kami adalah apabila tiba waktu solat Subuh, kami akan memerhati peta kedudukan kapalterbang yang disediakan. Melalui cara itu, kami boleh mengagak arah mana yang perlu kami solat.
Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan. Kami akan berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana ruang yang sesuai.
Namun, jika arah Mekah hanya memerlukan menoleh 90 darjah kanan atau kiri, saya yakin masih boleh ditunaikan solat di atas tempat duduk, iaitu dengan cara mengangkat sebelah kaki di letakkan di atas kerusi dan badan dihalakan ke tepi kanan atau kiri setakat yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketika takbir permulaan dada kita berada tepat menghadap arah yang dikehendaki, pergerakan kapalterbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan.
Begitulah serba ringkas panduan untuk puasa, sahur dan solat di atas kapalterbang. Pastinya, kes yang saya bentangkan berbeza dengan jadual penerbangan para pembaca sekalian, Cuma saya coretkan ia sekadar memberikan sedikit idea apa yang perlu dilakukan. Kiraan seterusnya bergantung kepada jadual penerbangan masing-masing.
Akhir sekali, bagi mereka yang ingin menghubungi saya ketika di Malaysia, boleh hubungi saya di nombor berikut :-
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
22 Ramadhan 1430 H
12 September 2009
Birmingham/ Dubai
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites