Guna Istikharah Untuk Paksa Kahwin

(27 votes, average 4.74 out of 5)

Guna Istikharah Untuk Paksa Kahwin

Salam ustaz.

Dulu saya pernah berkawan dengan seorang lelaki dan akhirnya putus, walaubagaimanapun, lelaki tersebut tidak berpuas hati dan mengatakan dia telah melakukan istikharah dan dia pasti saya adalah teman hidupnya dan mengatakan sekiranya saya berkahwin saya mungkin akan bercerai atau suami saya akan mati dan akhirnya saya tetap berkahwin dengan dia (adakah lelaki ini berdosa cakap macam tu).

Saya agak risau pada mulanya kerana bila saya istikharah saya tak nampak apa-apa (mungkin tidak khusy' atau tak tau laa) sehingga saya jadi ragu-ragu.

Sekarang saya telah berkahwin dengan lelaki lain (suami saya sekarang) dan saya berharap hubungan kami berkekalan hingga akhir hayat.

Minta pandangan ustaz, adakah lelaki itu "jahat" kerana menggunakan alasan istikharah untuk memaksa orang mengahwininya.

- melalui ruangan komentar-

JAWAPAN UZAR

 

Nak Kahwin?1) Perlu fahami konsep istikharah terlebih dahulu. Boleh baca juga jawapan saya berkenaan istikharah di sini. Antara yang perlu difahami adalah, bagi mendapat tanda yang benar, setiap individu yang ingin melakukan istikaharah ini mestilah memberishkan niat dan hatinya dari sebarang pilihannya SEBELUM melakukan istikharah ini. serta benar-benar berniat bahawa ia akan menerima apa sahaja pilihan yang akan didapatinya dari istikharah tadi. Demikian pendapat majoriti ulama.

Ringkasnya, dalam sebuah hadis sohih menyebut :-

كان رسول اللَّهِ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ في الْأُمُورِ كما يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ من الْقُرْآنِ يقول إذا هَمَّ أحدكم بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ من غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ اللهم إني أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ من فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ ولا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللهم إن كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هذا الْأَمْرَ خَيْرٌ لي في دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أو قال عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لي وَيَسِّرْهُ لي ثُمَّ بَارِكْ لي فيه وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هذا الْأَمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أو قال في عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عنه وَاقْدُرْ لي الْخَيْرَ حَيْثُ كان ثُمَّ أَرْضِنِي به قال وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ

Ertinya : Adalah Rasulullah s.a.w mengajar kami melakukan istikharah (meminta petunjuk) sama sepertimana mengajar kami surah-surah Al-Quran. Apabila seseorang kamu mempunyai sesuatu hajat hendaklah dia solat solat dua raka'at dan kemudian berdoa ( dengan doa yang diwarnakan merah di atas)" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1109, 1/391)

2) Ugutan si lelaki adalah salah dan mendedahkan kelemahannya. Ia juga tergolong dalam hal yang ditegah oleh Islam. Dimana Islam menegah umatnya untuk menakutkan dan mengugut yang lain.

Dalam sebuah hadis menyatakan :

كَانُوا يَسِيرُونَ مع النبي فَنَامَ رَجُلٌ منهم فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إلى حَبْلٍ معه فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فقال رسول اللَّهِ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Ertinya : Para sahabat Nabi berjalan (jauh) bersama Nabi saw, lalu seorang dari mereka tidur, sebahagian mereka mula mengambil tali (lalu mengikatnya) dan mengejutkannya (menakutkannya), baginda mendengarnya lalu berkata : "Tidak halal seorang Muslim untuk menakutkan seorang Muslim yang lain" (terjemahan berdasarkan huraian kitab Mirqat Al-Mafatih, 7/103)

Di dalam kitab 'Aunul Ma'bud syarah Sunan Abu Daud, dalam menghuraikan hadis di atas mengatakan tidak halal seseorang mempermainkan rakan yang lain samada dengan niat gurauan, menakutkan dan lain-lain. Al-Munziri pula tidak memberikan sebarang komen tentang taraf hadis ini ('Aunul Ma'bud, 13/236)

Kesimpulannya, perkataan-perkataan yag digunakan oleh lelaki tadi pada hemat saya adalah tergolong dalam kategori ini. Selain itu, ia juga salah kerana berbentuk ramalan berdasarkan tanda istikharahnya semata-mata, malah tanda ini juga mungkin boleh disilapfahamkan jika hati sudah berat sebelah.

3) Ye semoga rumahtangga anda bahagia dan jangan terpengaruh dengan ‘ugutan' tidak langsung lelaki tersebut.

4) Perlu difahami bahawa tanda istikharah lelaki A (sebagai contoh) berkemungkinan menunjukkan wanita B adalah sesuai dan baik untuknya. Namun istikharah wanita B, menunjukkan lelaki A tidak sesuai untuknya. Ia kerap dan boleh berlaku. Justeru, jangan merasa pelik, jika anda mendapat tanda yang baik, tetapi bakal pasangan anda mendapat tanda sebaliknya, kesimpulan jika mendapat tanda sedemikian adalah, anda berdua tidak sesuai.

Akhirnya

Dinasihatkan dalam sebuah athar :

ما خاب من استخار ولا ندم من استشار

Ertinya : Tidaklah rugi sesiapa yang beristikharah ( meminta petunjuk) dan tidak menyesal mereka yang bermesyuarat ( Al-Awsat, At-Tabrani, 6/365)

Ibn Taimiyah ketika menghuraikan atahar di atas menyatakan

ما ندم من استخار الخالق، وشاور المخلوقين، فقد قال تعالي: وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Ertinya : Tidak menyesal barangsiapa yang beristikharah kepada penciptanya ( Allah), dan bermesyuarat ( meminta pendapat) dari makhluk ( rakan-rakan dan mereka yang berpengalaman), dan Allah telah berfirman  ertinya : Dan dalam urusan mereka itu mereka bermesyuaarat, dan apabil akmu telah berusaha, bertawakkal ( berserah) kepada Allah swt"

Justeru, amat elok untuk mengabungkan istikharah dengan berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman, pendapat mereka yang berpengalaman itu sebenarnya adalah salah satu dari tanda istikharah. Seorang ulama salaf berkata :-

من حق العاقل أن يضيف إلى رأيه آراء العلماء، ويجمع إلى عقله عقول الحكماء، فالرأي الفذّ ربما زلّ، والعقل الفرد ربما ضلّ

Ertinya : dari hak seorang yang beraqal lagi bijak itu adalah menambahkan nilai pendapatnya dengan pendapat para ulama, sehingga bergabung pendapatnya dengan aqal (minda) para ahli cerdik pandai, maka pendapat secara berseorangan berkemungkinan tergelincir, dan minda berseorangan mungkin akan tersesat" ( Al-Madkhal, 4/41)

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

22 Feb 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites