Bank Islam Tiada di Zaman Nabi & Sahabat : Perlukah Kini ?

(2 votes, average 5.00 out of 5)

Wujudkah Bank Islam di Zaman Nabi & Sahabat ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Terdapat banyak persoalan berkenaan asal usul bank dari perspektif Islam, ramai ilmuan yang menulis dalam bidang hal ini akan membuat kesimpulan tiada wujud sistem perbankan di zaman Nabi mahupun sahabat seperti yang wujud di zaman ini.

Adakah penubuhan bank-bank Islam dewasa ini dianggap meniru pemikiran barat semata-mata, tidak bersih dari sudut asalnya serta tidak sesuai dengan sistem konvensional yang wujud.?

Telah diterima di kalangan para ulama Islam, ciptaan-ciptaan baru di dalam bidang kewangan dan hal ehwal urusan sesama manusia ( iaitu bukan hal ibadat khusus) tidak menjadi masalah dalam Islam selagi boleh diubahsuai dan tidak bercanggah dengan kehendak hukum Islam.

buruj.jpg
 

Selain itu, bagi mereka yang menyelusuri sejarah Islam akan mendapati beberapa asas kepada bank sejak zaman sahabat Nabi s.a.w lagi dan zaman selepas itu, ia adalah seperti berikut  :-

1)        Khidmat Simpanan ( wadi'ah) oleh Az-Zubayr Al-'Awwam

Ibn Sa'ad mencatatkan bahawa ramai yang mendatangi Zubayr dan meminta untuk disimpan wang mereka, sehingga Zubayr menolak kerana merasa terbeban akan hilangnya wang tersebut sedangkan beliau sendiri langsung tidak boleh menggunakannya.

Justeru, Zubayr meminta penyimpan untuk menyimpan atas dasar pinjaman dan bukan lagi wadi'ah. Sebagaimana katanya :-

لا ولكن هو سلف , أني أخشى عليه الضيعة

Erti : Tidak, tapi jadikannya sebagai pinjaman, sesungguhnya aku bimbang ia hilang.

Hasil dari tindakan Zubaiyr ini, semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah yag dipegangnya mencecah 2,200,000 dirham. Satu jumlah yang amat besar di zaman tersebut. Sehingga terdapat penulis yang menamakannya sebagai Bank Zubayr. Mungkin ia boleh dikira sebagai bank Islam yang pertama.

Melalui tindakan Zubayr ini beliau telah menukar asas konsep wadiah yang hanya menjaga amanah menyimpan tanpa boleh digunakan, kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkannya dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut. Natijah keuntunagn yang diperolehi oleh Zubayr banyak digunakan untuk membeli aset, menurut Az-Zahabi takala Zubayr meninggal dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham, kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu juga meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2,200,000 dirham iaitu nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman. [1]

2)        Khidmat Perbankan oleh Ibn Abbas dan Abdullah Ibn Zubayr [2]

Diriwayatkan juga, Ibn Abbas r.a mengambil wang perak di Mekah bagi membawanya ke Kufah, dan Abdullah Bin Zubayr pula menulis dan mengambil wang perak dari daripada Kufah untuk dibawa ke Mekah dan seterusnya ke Iraq. Tindakan mereka ini merupakan salah satu dari khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh perbankan moden seperti credit transfer.

Kesimpulan dari pendedahan ini terbukti bahawa khidmat-khidmat perbankan selagi mana menepati hukum Syariah adalah dibenarkan. Tambahan pula jika kewujudannya boleh memudahkan dan memberi manfaat yang banyak buat masyarakat. 

Antara kemudahan yang dapat dihasilkan melalui sesebuah khidmat perbankan adalah seperti berikut :-

a) Menguruskan keperluan kewangan dua kelompok dalam masyarakat, iaitu :_

* satu kelompok yang mempunyai lebihan wang dan ingin melabur, menyimpan dan mendapat manfaat dari lebihan wang yang dipunyainya. Mereka terdiri dari semua orang yang mampu membuat simpanan. Mereka digelar surplus unit.

* Satu kelompok adalah mereka yang memerlukan tunai dan wang samada untuk keperluan pernigaaan mereka atau asasi seperti pembelian kereta dan sebagainya. Mereka digelar deficit unit.

Hasil dari wujud dua kelompok ini dalam masyarakat, kewujudan bank islam sebagai orang tengah yang dipercayai ( kerana ia sebuah institusi yang dipantau dan diberi lesen oleh bank negara) boleh membantu kedua-dua kelompok bertemu dan memanfaatkan antara satu sama lain.

b) Mampu menyediakan penjagaan wang tunai yang lebih selamat berbadning penjgaan oleh individu di rumah masing-masing.

c) Menyediakan khidmat pelaburan. Ini sudah tentu baik kerana tidak semua individu yang berduit mampu mencari dan memutuskan pelaburan apa yang terbaik dan selamat baginya. Justeru, kewujduan bank yang dipenuhi dengan para pekerja profesional yang berpengalaman dalam bidang ini mampu memberikan manfaat kepada orang ramai.

Ini hanyalah antara beberapa perkara yang menunjukkan kewujudaan bank dalam sistem kewangan Islam adalah diterima selagi mana semua manfaat yang disebutkan di atas dapat di kawal selia dalam lingkungan hukum Islam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

24 Feb 2009


 




Add this page to your favorite Social Bookmarking websites