Bertugas Di Tempat Baru : UIA
Zaharuddin Abd Rahman
Saya memang tidak pandai dan kurang minat untuk berkongsi cerita peribadi di web saya ini. Malah anda juga pastinya kurang minat untuk membacanya. Cuma kali ini saya berhasrat untuk berkongsi tentangnya buat julung kali kerana dirasakan ada beberapa faedah yang boleh dikongsikan.
Alhamdulillah, hari ini (5 Oktober 2007 bersamaan 23 Ramadhan 1428 H pada hari Jumaat) adalah hari pertama secara rasmi saya bertugas sebagai ‘Academic Fellow' atau secara mudahnya sebagai Pensyarah di Jabatan Ekonomi Islam, Kulliyyah of Economics & Management Sciences, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.
Cita-cita
Sejak kecil, cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pensyarah di sebuah Universiti. Kini cita-cita tersebut menjadi kenyataan. Syukur kepada Allah s.w.t yang memberikan ruang dan peluang ini menjadi kenyataan.
Jawatan terakhir yang saya sandang sebelum menyertai dunia Akademik adalah Ketua Jabatan Syariah dan Setiauasaha Majlis Penasihat Syariah, Qatar Islamic Bank Malaysia ( Asian Finance Bank Berhad . sila buka http://www.asianfinancebank.com/)
Mengapa Tinggalkan Bank?
Ramai juga rakan yang bertanya mengapa berhenti sedangkan pendapatan yang diperolehi di dunia perbankan dan korporat telah mencecah 5 angka sebulan dan masuk ke dunia akademik yang berpendapatan 4 angka semula.
Malah ketika interview UIAM sebanyak 3 peringkat iaitu Jabatan, Kulliyyah dan Universiti. Pasti tidak terlepas soalan ini, hampir semua panel yang meng'interview' saya menjadi kehairanan dan pelik dengan sikap saya yang sanggup turun pendapatan dari 5 angka ke 4 angka.
Saya lagi pelik dengan kepelikkan mereka. Apakah begitu sukar untuk difahami?. Saya tidak pelik langsung kerana saya telah pastikan kerjaya saya ada hala tuju dan objektif tertentu.
Anatara jawapan mudah saya untuk dikongsikan bersama pengunjung web ini adalah :-
Pertama : Duit bukanlah matlamat saya ketika menyertai industri perbankan Islam ini, cuma tanpa dirancang. telah menjadi budaya korporat apabila anda kerja dengan tekun dan memenuhi 'expectation' mereka, secara sukarela mereka mengganggap anda penting lalu menaikkan pendapatan anda sebagai penghargaan.
Terus terang, saya sertainya adalah kerana inginkan ilmu praktikal dan operasi perbankan Islam. Saya tidak ingin menjadi seorang yang tidak adil dalam menghukumi sesebuah bank Islam tanpa mengetahui hakikat operasi mereka secara ‘live'.
Ia amat penting bagi membolehkan saya mengaplikasikan ilmu Syariah dari Kitab turath ke dalam dunia praktikal..bukan sekadar teori dan cakap-cakap semata-mata. Saya berpeluang menghidupkan teori Fiqh yang tersimpan di dalam kitab-kitab Fiqh silam dan moden dalam bentuk hidup nyata di dunia perbankan Islam bagi menyelamatkan umat Islam dari dosa sebesar Riba. Saya amat gembira dengan tugas demikian.
Islam adalah penyelesai masalah semasa, tetapi jika ia tidak mampu diterjemahkan dalam kehidupan ekonomi dan perbankan semasa, Islam akan dilihat tidak ‘up to date' , malah peranan ilmuan Syariah untuk menonjolkan Islam juga semakin malap dalam dunia yang berkembang pantas ini.
Hasilnya dalam tempoh tiga tahun yang saya peruntukan untuk proses ini, saya telah berjaya memperolehi pengalaman bermakna tatkala membina dan membetulkan produk-produk bank Islam, menyemak seluruh syarat dan dokumen perbankan dan kewangan Islam merangkumi sebuah bank Islam tempatan ( iaitu RHB Islamic Bank) dan juga mempelajari operasi sebuah bank Islam antarabangsa ( iaitu Qatar Islamic Bank @ Asian Finance Bank Berhad) dari mula ia ditubuhkan di Malaysia. Kata orang putih "from the scratch", kerana saya merupakan kakitangan kedua di Asian Finance Bank yang dilantik selepas CEO.
Kedua : Saya juga ingin menyumbang Ilmu Islam kepada semua tanpa ikatan ‘office hours' dan organisasi tertentu. Sebagai pensyarah UIA, saya bebas untuk memberikan manfaat ilmu kepada mana-mana organisasi kewangan Islam dalam satu masa. Waktu saya lebih fleksible untuk menyumbang dan membuat kajian mendalam.
Benar, saya amat ingin jadikan ilmu yang dianugerahi Allah s.w.t ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seramai mungkin, bukan hanya untuk dimanfaatkan oleh sesebuah organisasi sahaja.
Kerjaya sebagai Pensyarah universiti adalah tugas yang terbaik bagi melaksanakan tugasan ini.
Perancangan Tercabar
Saya telah meletakkan pelan untuk berkhidmat dalam operasi perbankan & kewangan Islam selama 3 tahun sahaja, akan tetapi saya perlu pastikan ilmu yang saya perolehi menyamai tempoh 10-15 tahun bekerja di industri ini.
Tidaklah begitu sukar untuk mencari jalan mengetahui bagaimana tahap ilmu kita dalam hal ini. Ajak sahaja seorang Senior Islamic Banker yang punyai pengalaman 15 tahun bersembang dengan anda perihal teknikal perbankan. Jika anda faham bahasa perbankan dan istilah yang digunakan serta anda boleh pula memberikan idea, soalan dan komentar yang dianggap standard oleh mereka. Saya kira ilmu anda sudah hampir dengan pengalaman 15 tahun dari satu sudut paling kurang.
Ia bukan tugas mudah dan memang meletihkan, tapi saya mesti mencapainya, saya nekad. Dalam tempoh sederhana singkat itu telah saya senaraikan ilmu operasi yang perlu saya perolehi termasuk semua ilmu pelaburan Islam, perbankan runcit, perbendaharaan (Treasury), Pasaran Modal Islam seperti Sukuk and Unit Saham Amanah, ‘Structured Products' dan lain-lain.
Tempoh perancangan ini mestilah dijaga sebaiknya walaupun terdapat agak banyak gangguan-gangguan yang mendatang. Tawaran bertugas di Qatar Islamic Bank di Doha Qatar, dan sebuah Syarikat Kewangan Islam di Dubai adalah antara tawaran yang paling menggoda. Terutamanya dari sudut ganjaran kewangan peribadi yang boleh melonjak sehingga 3 ke 4 malah 5 kali ganda dari pendapatan saya di Malaysia.
Bagi saya, sekali saya sudah membuat pelan yang teliti, tidak tepat kiranya saya mengkhianati perancangan teliti saya hanya kerana lumayannya tawaran itu.
Pelan dakwah dan penyebaran ilmu buat rakyat Malaysia menjadi keutamaan saya, Saya mungkin akan gagal memaksimumkan tenaga dan ilmu saya untuk rakyat Malaysia jika saya berkhidmat di Dubai atau Doha, Qatar.
Umat Islam di Malaysia Keutamaan Saya
Saya jadikan umat Islam di Malaysia sebagai sasaran dakwah yang paling utama bagi memenuhkan bekalan akhirat saya.
Agenda menyelamatkan mereka dari kejahilan kewangan Islam, prejudis terhadap perbankan & kewangan Islam tanpa ilmu lengkap serta memandang rendah dosa Riba perlu saya utamakan daripada mendapat pendapatan lumayan untuk diri sendiri di Dubai atau Qatar.
Terutamanya di waktu fahaman anti perbankan Islam yang sebahagiannya dibawa oleh segelintir ahli Akademik dari beberapa buah Universiti. Mereka kelihatan syok sendiri dengan teori idealis yang biasanya tidak menjejak ke bumi, tidak praktikal, serta langsung tidak meraikan kaedah 'tadarruj hakiki' yang diiktiraf Islam.
Sebahagian yang lain pula muncul dari kalangan individu yang membenci kewangan Islam kerana pengalaman peribadi buruk di satu bank lalu di ‘generalize' kepada seluruh sistem kewangan Islam dan bank-bank Islam.
Sebahagian lain pula muncul disebabkan ketidak telitian individu terbabit dalam bidang Syariah dan operasi semasa perbankan dan kewangan tetapi agak malang berlagak lebih alim dari ulama sedunia yang telah membincangkannya di persidangan Fiqh dunia,
Sebahagian lagi datang dari kelompok ahli politik yang tidak habis-habis mencari modal untuk mempolitikkan segala ruang dari sekecil perkara sehingga ke besarnya. Perbankan dan Kewangan Islam tidak terlepas dari modalnya hanya kerana objektif politik yang ingin dicapai, habis ingin diruntuhkan semuanya. Mereka tidak sedar tindakan tidak berhati-hati bakal membawa manusia ke perbankan riba yang nyata haram. Saya tidak nafikan ada kelemahan, tetapi ia masih boleh di 'adjust' bagi memenuhi tuntutan Syariah.
Sesuaikah untuk saya berhijrah bertugas di Timur Tengah dengan pendapatan lumayan dalam keadaan masyarakat yang sedemikian? .
Apalah gunanya pendapatan besar dan berseronok sendiri sedangkan masyarakat di negara sendiri lemas dalam dosa riba sebesar peperangan dengan Allah s.w.t. dan RasulNya.
Moga Allah menetapkan pendirian ini dalam keikhlasan yang tidak perlu dibuktikan kepada mana-mana manusia. Cukuplah Allah sw.t sebagai saksi.
Jangan Fikir Semua Orang Macam Anda ?
Saya teringat kata-kata seorang Atok yang muncul di sebuah stesyen radio berkata :
"Jika seorang penasihat Syariah itu kerja di dalam syarikat, tak mungkin dia berani tegur boss jika salah dari sudut Syariat sekalipun, nak kena potong gaji?!, sebab tu perlu penasihat Syariah luaran"
Demikianlah antara intipati dakwaannya yang liar dan cuba di ‘generalize'kan sesuka hati.
Malanglah kita jika sentiasa mengganggap semua orang lemah macam kita atau kuat dan bijak macam kita. Keadaan ini boleh menimbulkan perpecahan, tidak puas hati dan kemarahan.
Sebagaimana contoh di atas, jika kita tergolong dalam golongan yang boleh dibeli, jangan dengan mudah mengganggap semua orang lain juga boleh dibeli seperti kita.
Saya agak pelik dengan dakwaan liar seperti ini, ia seolah meremeh fungsi Penasihat Syariah yang bertugas di dalam sesebuah syarikat yang pada masa sama mengawal selianya urusan kepatuhan Syariahnya. Samada ia sebuah bank Islam, syarikat MLM, ataupun sebuah kilang pengeluar makanan tertentu.
Dalam masa yang sama individu bergelar 'atok' ini cuba memuji penasihat Syariah luaran.
Padahal jika itu sifirnya, sudah tentu semua Penasihat Syariah luaran juga boleh dibeli, kerana mereka juga dibayar elaun oleh bank, syarikat dan kilang yang sama juga. Kemungkinan juga, jika mereka tidak meluluskan satu-satu produk, mereka juga boleh ditamatkan tempoh ‘appointment' mereka.
Justeru, dakwaan ini hanyalah bersifat menghancur tanpa asas, padahal ramai rakan-rakan saya di bank Islam yang berdebat dengan CEO mereka kerana isu Syariah, saya juga banyak pengalaman dalam hal ini, sehingga adakala saya bawa isu Syariah ke peringkat yang lebih tinggi dari CEO bagi memastikan kepatuhan Syariah dijaga. Malah apabila dibuat demikian, CEO makin hormat dan sayang ke kita kerana ketegasan dan amanah dalam menjalankan semakan Syariah. Tidak seperti yang dijangkakan oleh Atok tadi.
Malah ada penasihat Syariah yang saya kenali pernah menarik diri dan meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan sesuatu struktur kewangan yang ingin dilaksanakan. Walaupun projek itu memperuntukan penghargaan wang sebanyak RM 50,000 jika ia berjaya dilulus dan dilaksanakan.
Justeru, jangan mudah menyangka buruk secara umum kepada ahli agama sebagai menjual agama mereka kerana duit. Tidak saya nafikan jumlah ahli agama yang menjual agama mereka kian bertambah dari hari ke hari tetapi untuk dipukul rata kesemuanya bersifat demikian adalah tidak harus sama sekali.
Fatwa Rakan
Rakan saya berkata : "Wah, ustaz dah keluar dari bank, lepas ini susahlah orang yang benci kat ustaz nak guna hujjah.."ustaz bank tu mestilah pertahan bank Islam. Bank suap dia.", kerana ustaz bukan lagi disuap oleh bank...."
Saya hanya mampu tersenyum, tapi yang pasti saya akan pertahan perbankan Islam dalam perkara yang benar sahaja.
Sekian coretan ringkas di kesempatan waktu di 7 hari terakhir Ramadhan mulia ini.
Moga Allah mengampunkan saya dan anda semua dari sebarang perasan sangka buruk, tuduhan liar dan fitnah tanpa hak di bulan berkat ini.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
23 Ramadhan 1428 H
5 Oktober 2007
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites