Aqidah & Kepercayaan Kesilapan Umat Islam Dalam Kepercayaan & Aqidah

Kesilapan Umat Islam Dalam Kepercayaan & Aqidah

  • PDF
(49 votes, average 4.63 out of 5)

Umat Islam, Virus Aqidah & Skim Cepat Kaya

Oleh: Ust Hj Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Unsur Merosakkan aqidah bakal merosak seluruh hidup
 

Umat Islam di Malaysia kelihatan kelam kabut dengan munculnya fatwa pengharaman Skim Pelaburan Cepat Kaya Riba baru-baru ini. Ramai yang insaf dan tidak kurang juga masih ramai yang cuba mempertahankannya. Ramai yang bertanya kepada saya,

« Mengapa agaknya ramai umat Islam mudah terlibat dalam hal seperti ini? »

Sebelum saya menjawab soalan itu, suka saya bawakan undian yang telah dilakukan oleh utusan online berkenaan hal ini :-

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa sebarang pelaburan saham melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan). Ramai rakyat Malaysia dipercayai terjebak di dalam pelaburan sedemikian kerana:

Budaya cepat kaya menjadi ikutan masa kini.


 39.9%

(10241)

Ramai yang mudah percaya, senang diperdaya.


 19.5%

(5010)

Tiada maklumat, panduan kepada orang ramai.


 19.8%

(5065)

Pihak-pihak berkuasa gagal melaksanakan tugas.


 14.5%

(3730)

Lumrah dunia akan ada orang yang mahu menipu.


 6.2%

(1598)

Jumlah Undi: 25644

Sumber : Utusan

Hasil dari bancian tersebut lebih 10241 individu berpendapat ia adalah satu budaya yang menjadi ikutan masa kini, jelasnya,

"ia adalah satu budaya yang kurang sihat dan sememangnya sinomin dengan sifat orang melayu" kata seorang Dr yang saya temui selepas kuliah maghrib saya.

Bagaimanapaun dalam tulisan saya kali ini saya suka untuk mengajak kita berfikir lebih jauh dari semua bancian di atas. Bagi saya umat Islam kini ditimpa penyakit dan ‘virus' aqidah dan kepercayaan yang agak serius.

Hasil dari penyakit ini, ‘antibodi' iman umat Islam menjadi semakin luntur dan amat goyah, sehingga timbulnya isu murtad, kebencian kepada hukum hakam Islam, ambil sambil lewa berkenaan hukum dan tidak mempelecehkan Islam secara sedar mahupun tidak sedar. Minat untuk menimba ilmu Islam juga menjadi semakin pudar, yang meningkat adalah minat untuk menjadi jutawan cepat dan secara mudah tanpa usaha yang banyak. 

Sedangkan di dalam kaedah Islam tiada kebaikan yang boleh ditempa dengan mudah kecuali beberapa bentuk yang amat terhad sahaja. Allah SWT berfirman

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Ertinya : " Sesungguhnya selepas kesukaran itu adalah kemudahan, dan sesungguhnya selepas kesukaran itu adalah kemudahan" (As-Syarh :5-6)

"Apakah maksud ustaz virus dalam aqidah tu ustaz? " tanya seorang muslimat melalui nota bertulis dalam ceramah saya.

Inilah keterangannya..

Kepercayaan Dalam Hal Ehwal Ghaib & Virusnya

Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran       

b) Hadith Sohih dan Hasan      

c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .

Malah Nabi juga bersabda :

"Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tenung, lalu mempercayai ramalannya (ghaibnya) maka ia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW" (

Sunnatullah ( Hukum Alam) Boleh Dipercayai

Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)

Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut:

Firman Allah ertinya : "Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah. Secara mudahnya virus ini terbentuk dari amalan dan kepercayaan berikut :-

1) Si Bomoh & Ramalan

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau saya dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya saya dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan saya tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain saya hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh karena itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib yang sebenarnya, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti dimana boleh dijumpakan orang hilang, siapa yang melakukan kejahatan kepada individu tertentu dan pelbagai lagi.

Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا

Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )

Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791 )

2) Sihir

Sihir ialah sesuatu yang sebabnya sangat halus dan tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata. Sihir adalah kerjasama seseorang dengan syaitan. Syaitan akan melakukan tugasnya sebagaimana yang diingini oleh tukang sihir dengan syarat ia juga memenuhi kehendak syaitan.

Termasuklah di dalam sihir adalah menggunakan minyak pengasih samada dikenakan kepada suami atau isteri mahopun orang lain. Semuanya syirik yang disebutkan oleh Nabi SAW :

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Sesungguhnya jampi, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )

Sihir termasuk ke dalam syirik atas dua sebab, iaitu :

a- Sihir pasti menggunakan khidmat syaitan dan tukang sihir sangat tergantung kepadanya malahan sampai ke peringkat mesti menurut kehendaknya dan melakukan apa yang disukainya.

b- Dalam amalan sihir terdapat dakwaan mengetahui perkara ghaib padahal yang dapat mengetahui perkara ghaib hanya Allah S.W.T.

3) Tamimah (Tangkal Azimat )

Tamimah atau tangkal berasal dari perkataan ( أَتَمَّ - يُتِمُّ - تَمِيْمَةً ) : menyempurnakan. Menurut bahasa Tamimah akan menyempurnakan apa yang dimaksudkan. Tamimah (tangkal) telah digunakan oleh orang Arab di zaman jahiliyah untuk tujuan agar terhindar dari sihir atau niat jahat orang lain.

Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.

Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Sesungguhnya jampi, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') :

مَنْ عَلَقَ تَمِيْمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ

Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.

Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik.

4)  Tatayyur  / Tiyarah ( Sial Menyial) :

Tatayyur atau Tiyarah berasal dari perkataan ( الطَّيْرُ ) : burung. Menurut kepercayaan orang Arab jahilyyah jika mereka akan mengadakan safar (perjalanan) maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung. Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa dan mereka selanjutnya akan menangguhkan pemergian.

Mengambil sempena perbuatan inilah maka muncul istilah Tatayyur atau Tiyarah. Islam melarang keras tatayyur / tiyarah. Rasulullah s.a.w. bersabda :

اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ

Ertinya : Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik ( HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi : Sahih )

Tiyarah atau Tatayyur atau ‘sial menyial' dalam akidah bukan hanya terbatas pada rasa sedih atau pessimis ( اَلتَّشَاؤُمُ ) terhadap burung tetapi juga berkaitan dengan nama-nama tertentu, ucapan-ucapan tertentu, tempat-tempat tertentu, orang-orang tertentu dan sebagainya.

Jadi jika ada perasaan murung mengenang nasib malang (musibah) yang akan menimpa (bad luck - unlucky) yang dikaitkan dengan hari, bulan, angka, ucapan, orang tertentu dan lain-lain seperti keyakinan kenan, kesialan angka 13, bulan-bulan tertentu tidak elok mengadakan walimah, membina rumah, maka contoh-contoh itu boleh dimasukkan ke dalam tiyarah.

Tiyarah dihukumkan syirik kerana mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah dan meyakini musibah berpunca dari makhluk yang tidak sedikitpun memiliki kuasa mendatangkan manfa'at atau mudharat. Sebenarnya tiyarah berpunca daripada was-was syaitan yang menimbulkan perasaan takut. Jika hal ini terjadi maka ia dapat merosakkan tawakkal seseorang kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.

Tiyarah sebenarnya penyakit yang muncul sejak zaman silam lagi. Allah menerangkan orang-orang kafir telah melakukan tiyarah terhadap manusia pilihan Allah dari kalangan para rasul dan orang-orang yang beriman.

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)

Mereka menjawab : " Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merajam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami ". Utusan-utusan itu berkata: " Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebinarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas ". ( Yaasiin : 18 - 19 )

Oleh itu Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya jika ditimpa perasaan tersebut maka ia jangan hiraukan perasaan tersebut dan hendaklah ia segera berserah diri kepada Allah dengan membaca doa ini :

اَللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك .

Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. ( Riwayat  Abu Daud )

Yang sama dengan ini, yaitu apa yang kini berlaku di masyarakat kita, seperti bertenung dengan menggaris-garis di tanah, pergi ke kubur, membuka Quran, membaca piring dan sebagainya. Semua ini perbuatan mungkar yang oleh Islam diharamkan.

5)                 Menjadi bomoh secara tidak rasmi.

Jika hukum berjumpa bomoh amat-amat dilarang kerana kepercayaan kepada ramalan ghaibnya boleh menjadikan seseorang itu syirik. Maka menjadi bomoh sudah tentulah lebih dilarang.

Malangnya tanpa disangka-sangka sebahagian orang Melayu kita telah secara tidak langsung hampir menjadi bomoh apabila turut suka meramalkan seusatu yang ghaib tanpa sebarang dalil syara' dan juga logik sains. Sebagai contoh :-

* Meramalkan jika kupu-kupu masuk ke dalam rumah, ia bermakna ada sesorang akan datang.

* Meramalkan masa depan si bayi dengan menentukan tempat tanam uri bayi tersebut ( selepas dilahirkan). Hingga ada yag percayakan bahwa jika di tanam di depan rumah beserta pensil sebatang maka dapat mencerahkan masa depan si anak. !.

* Meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku apabila cawan dan pinggan pecah atau kunci jatuh di ketika ingin keluar rumah.  

* Meramalkan rezeki bertambah hanya dengan menggantung ayat seribu dinar di rumah dan di kedainya. Sedangkan ayat tersbeut menuntut agar seseorang agar bertaqwa kepada Allah bagi mendapat ganjaran kelaur dari sebarang masalah dan rezeki dari sumber yag tidak dijangka dan bukannya hanya digantung.

* Meramalkan akan mendapat duit apabila tangan merasa gatal.

* Meramalkan hafalan al-Quran akan hilang jika lalu di bawah ampaian baju.

* Meramalkan ruh si mati akan kembali ke rumahnya semula. Sedangkan ia bercanggah dengan firman allah dalam surah al-Mukminun ayat 100 yang menerangkan tidak bolehnya ruh seseroang itu kembali ke dunia semula.

* Kepercayaan ramalan buruk oleh si penyebar surat atau sms berantai.

* Meramalkan kayu koka boleh menjadi penyelamat.

Ini adalah antara bentuk kepercayaan karut, khurafat lagu tahyul dan sebahagiannya membawa kepada syirik tanpa disedari oleh individu itu. Akibatnya hati menjadi rosak, iman tergadai dan di ketika itu, perbincangan hukum halal haram tidak lagi menjadi kepentingan buatnya.

6)  Percaya ilmu Bintang

Imam Bukhari di dalam sahihnya berkata : Imam Qatadah berkata : Allah menjadikan bintang untuk tiga tujuan, iaitu : Perhiasan langit, perajam syaitan dan pedoman arah tuju ; Barangsiapa yang mentakwilkannya kepada selain tiga tujuan itu maka ia telah melakukan kesalahan dan menyia-nyiakan usahanya serta membebankan dirinya dengan sesuatu yang dia tidak tahu.

Rasulullah s.a.w. melarang ilmu perbintangan tersebut di dalam sabdanya :

مَنِ اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنَ النُّجُومِ ، فَقَدِ اقْتَبَسَ مِنَ السِّحْرِ ، زَادَ مَا زَادَ .

Barangsiapa yang mengambil panduan satu cabang daripada ilmu perbintangan maka itu bermakna ia telah mengambil satu cabang daripada ilmu sihir. Dan bertambah selama ia bertambah. ( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah )

Dalam bentuk moden, jenis kesyirikan ini boleh berlaku apabila ada individu yang kerap dan suka menilik bintang kelahirannya seperti Leo, Capricon, Sagittarius dan lain, maka dirujuknya apakah yang akan berlaku hari ini baginya. Inilah bentuk virus aqidah yang merosakkan aqidah umat Islam.

Kesimpulan

Inilah beberapa bentuk yang sempat saya tuliskan berkenaan punca dan sebab musabab jiwa dan hati umat Islam hari ini langsung tidak sensitive dengan pahala dan dosa serta tiada risau akan sesuatu dosa mahupun sebesar Riba sekalipun. Berhati-hatilah, dosa syirik adalah amat besar, firman Allah SWt :

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. ( Al-Nisa' / 4 : 48 )

BERTAWBATLAH SEGARA DARI DOSA SYIRIK SEBELUM SAMPAINYA AJAL, KERANA APABILA TELAH SAMPAI AJAL, SI PELAKU SYIRIK TIADA HARAPAN LAGI MENDAPAT KEAMPUNAN ALLAH SWT. Nauzubillah min zalik.

Sekian

UZAR

3 Mei 2007

Kuala Lumpur



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan





RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 58 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir
  • Kafineczo

Komen Terbaru

You are here: Aqidah & Kepercayaan Kesilapan Umat Islam Dalam Kepercayaan & Aqidah