PKP, COVID DAN EKONOMI NEGARA SEOLAH BERUNDUR KE BELAKANG 5 TAHUN?
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Keseluruhan ekonomi Malaysia dijangka berundur seolah empat atau lima tahun ke belakang. Pendapatan negara dijangka mencatatkan hasil yang lebih kecil seolah berada pada tahun 2016 yang lalu iaitu sekitar 212 billion berbanding hasil negara yang dianggar pada RM 290 billion bagi tahun 2020 ini. Ini bermakna negara kekurangan hasil sekitar RM 70-90 billion disebabkan kesan langsung dan tidak langsung yang dibawa COVID-19. Kerajaan menyebut kita kerugian RM 2.4 billion sehari sepanjang tempoh PKP. Itulah kesan dari PKP yang menghentikan majority aktiviti ekonmi negara yang pastinya memberi kesan kepada keseluruhan sektor ekonomi termasuklah pekerjaan, pendapatan syarikat dan isi rumah, institusi kewangan, aktiviti import dan eskport, pendapatan cukai kerajaan dan lain-lain. Ditambah lagi dengan kejatuhan harga minyak Brent ke paras bawah USD 30 se tong yang memburukan lagi keadaan.
Malah dijangka Pendapatan per kapita Malaysia turut jatuh ke tahap USD 9000 berbanding USD 12,000. Demikian juga kejatuhan pasaran saham memberi kesan buruk kepada pelabur besar seperti tabung-tabung pelaburan KWSP, Tabung Haji, KWAP, Khazanah dan lain-lain pelabur dalam dan luar negara.
Sektor perbankan turut bakal terjejas, bagi menyeimbangkan kesan buruk terhadap rakyat, bank perlu memberikan moratorium 6 bulan kepada pelanggan mereka, bukan hanya produk Hire Purchase sahaja tetapi untuk semua jenis pinjaman. Namun, menurut kiraan kasar, bagi sebuah bank yang mempunyai portfolio pelanggan layak (eligible) sebesar RM 500 juta, bank perlu menanggung kos sebanyak RM 20-25 juta bagi menyerap faedah terakru dan kesan ‘compounding’. Saiz portfolio produk Hire Purchase Public Bank sahaja berjumlah RM 51 billion, berapa jumlah modification loss yang bakal ditanggung? Mungkin sekitar RM 2-4 billion?.
Ada bank yang mempunyai portfolio berbillion ringgit hanya bagi produk pinjaman dan pembiayaan perumahan sahaja, belum dikira produk pinjaman kereta, pinjaman peribadi, pinjaman korporat dan lain-lain. Tentunya bank akan terpaksa menanggung kerugian berbanding sebelum ini, namun dijangka mereka masih ada keuntungan, cuma keuntungan bersih bakal mengecut dengan nyata. Itu semua turut memberi kesan kepada dividen pemegang saham yang antara lain adalah tabung rakyat sendiri seperti KWSP. Justeru, kesannya akan ada yang kembali kepada rakyat juga, kerana dividen akan bakal mengecil. Sudah tentunya, perlu bank bersifat lebih membantu rakyat dengan menyerap semua kos itu setelah berpuluh tahun mereka dihujani keuntungan lumayan, cuma saya sekadar ingin menjelaskan keadaan dan kesannya akan ada yang kembali kepada rakyat juga sebenarnya.
Semua ini tidak berhenti sejurus PKPB atau PKP ditamatkan kerana kebergantungan kita kepada pasaran luar adalah tinggi khususnya negara seperti China iaitu 14.2 % dari keseluruhan eksport negara, nilai dagangan kita Singapura pula sebesar USD 33 billion, Amerika pada USD 23.1 bilion, Korea, Indonesia serta lain-lain negera Eropah dan Asia yang majoritinya masih lagi bergelut dengan COVID 19. Selagi mereka masih belum reda dari jangkitan dan kawalan pergerakan, selagi itu juga ekonomi kita akan terus terkesan.
Justeru itu, kerajaan tiada banyak pilihan kecuali perlu berbuat sesuatu pada skala setempat (domestic) dengan mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan PKP sehingga benar-benar selesai atau terpaksa melonggarkan kawalan bagi mengelak kesan lebih besar terhadap ekonomi serta kehilangan kerja dan menambah parah kepada ekonomi. Ia tentunya adalah pilihan yang sukar dan bergantung juga kepada sikap dan keprihatinan rakyat dalam menjaga diri kita sendiri, kerana jika peluang pelonggaran PKP ini tersalah pandu dan guna oleh rakyat sehingga berlaku jangkitan dan kluster baru, ekonomi negara bakal menjadi lebih teruk kerana PKP mungkin terpaksa dikuatkuasakan semula. Jika itu berlaku, penjawat awam mungkin bakal terasa impaknya juga dan bukan hanya sektor swasta.
Tempoh masa untuk kita kembali selesa adalah sukar diduga selagi Vaksin yang berkesan masih belum ditemui. Masalahnya tidak terhenti di situ, iaitu bukan hanya pada kejayaan menciptanya sahaja tetapi juga masalah sekitarnya seperti bagaimana memastikan agihan kepada negara memerlukan secara saksama dan efisyen?. Negara kaya seperti Amerika mungkin akan mendominasi permintaan dan pembekalan. Selain itu, adakah harga vaksin tersebut nanti akan dari jenis mampu milik atau berharga premium ? Bayangkan topeng muka dan cecair pembersih tangan pun boleh melonjak naik harganya kerana permintaan sangat tinggi, bagaimanakah pula nanti jika vaksin COVID-19? Itu belum lagi, vaksin tiruan yang turut bakal berleluasa sebagaimana topeng muka palsu juga.
Justeru itu, untuk menggambarkan ekonomi kita kembali pulih dalam tempoh singkat adalah amat sukar. Kini, tidak dapat dielakkan lagi pengoperasian digital, robotik dan automasi mesti diterokai segera dalam tempoh pemulihan ini bagi memperceptkan pemulihan ekonomi dan pengeluaran hasil. Pengeluaran secara manual seperti dahulu akan menjadikan kita kekal perlahan ke hadapan semula.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Prof Adjung UniSza dan UNISEL
5 Mei 2020
Dijemput untuk mengikuti pelbagai info bermanfaat bersama saya di pelbagai platfrom berikut:
1] MyClaaz (Untuk sesi Private Consultation on Shariah & Bisnes) : https://myclaaz.com/app/#/tutor/8
2] Instagram : https://www.instagram.com/drzaharuddinrahman/
3] Telegram Group : https://t.me/DrZaharuddinGroup
4] Facebook :
a] https://www.facebook.com/DrZaharuddin/
b] https://www.facebook.com/DrZaharuddinAR/
5] Linkedin : https://www.twitter.com/DrZaharuddinAR
6] Website : www.zaharuddin.net
7] Youtube Channel : http://www.youtube.com/c/DrZaharuddinOfficialChannel
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites