Aqidah & Kepercayaan Majlis Fatwa, Yoga dan Pertikaian

Majlis Fatwa, Yoga dan Pertikaian

  • PDF
(4 votes, average 5.00 out of 5)
 

Majlis Fatwa, Yoga & Pertikaian

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Fatwa yang dikeluarkan oleh Majis Fatwa Kebangsaan akhir-akhir ini cukup mendapat  perhatian ramai, dari orang Islam kepada yang bukan Islam. Dari orang kebanyakkan kepada Perdana Menteri dan Kerabat Diraja.

masjidku.jpgSaya masih ingat ketika bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa bulan lepas. Saya mencadangkan agar beliau memberikan perhatian kepada bentuk atau teks fatwa (sighah fatwa) yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, yang bagi saya antara punca masyarakat tidak atau kurang hormat kepada fatwa yang dikeluarkan.

"Dato', saya cadangkan agar teks fatwa yang dikeluarkan dinaiktarafkan (upgrade) iaitu dengan mengelakkan fatwa beberapa baris kepada mengeluarkan fatwa beserta kesimpulan yang disertakan penjelasan bersandar hujjah dan dalil" kata saya

"ia penting terutama di zaman masyarakat semakin terpelajar dan sering ingin melihat dan membaca sendiri apakah sandaran yang menyebabkan sesuatu keputusan atau fatwa itu dibuat"

Saya juga memberikan beberapa contoh teks fatwa yang amat baik seperti teks fatwa oleh Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Shariah Kesatuan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI).

Sebagai contoh, cuba lihat teks fatwa Majlis Ulama Indonesia yang boleh diakses oleh orang ramai ini :

Beberapa contoh fatwa Majlis Ulama Indonesia

Melihat kepada teks-teks fatwa mereka, jelas menunjukkan kesungguhan dan ketelitian Majlis Ulamanya dalam mengeluarkan fatwa. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga mungkin teliti dan terperinci dalam perbincangan mereka, namun rumusan perincian perlu dihebahkan kepada masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Majlis Ulama Indonesia ini. Tanpanya, sesuatu fatwa akan kurang dihargai, malah akan kerap dipandang lekeh oleh pelbagai pihak.

Pendedahan dan kebijaksanaan, ketelelitian dalam merangka teks fatwa (sighah fatwa) adalah amat perlu kerana tentu dengannya mampu mengukuhkan keyakinan ramai selain mendidik para pelajar ilmu agama di seluruh dunia akan cara-cara mengeluarkan fatwa. Bukankah itu satu proses pembelajaran yang  amat baik.

Cuba bandingkan tels fatwa Majlis Ulama Indonesia dalam link di atas dengan kenyataan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia

Lihat teks fatwa ASB :

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-80 bermula pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah memutuskan bahawa Hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Oleh itu, umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu merasa ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta dividen atau bonus yang telah diterima. (rujuk )

Tiada penjelasan lanjut, hanya HARUS.full stop.

Berikut pula adalah fatwa YOGA, Alhamdulillah ia punyai sedikit huraian namun masih memberikan seribu satu macam persoalan di minda pembaca:

Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.

(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.

(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. ( sumber )

DOUBLE STANDARD ATAU FATWA SECARA TERPILIH

Ini adalah satu isu yang sensitif namun wajar diperhalusi dan diambil perhatian oleh sidang Majlis Fatwa Kebangsaaan agar kewibawaan dan keyakinan masyarakat kepadanya tidak pudar dan jatuh.

Dakwaan double standard dan mengeluarkan fatwa secara terpilih terutamanya apabila ia melibatkan isu politik dan kepentingan pihak tertentu yang berkuasa sering dikecam oleh pelbagai kumpulan masyarakat.

Namun protes, cadangan dan pandangan yang kurang senang ini kelihatan diabaikan dan tidak diambil ‘pusing' oleh ahli majlis fatwa.

Bagi sebuah Majlis Fatwa dianggap penyelesai masalah ummat dan petunjuk bagi rakyat dalam hal ehwal agama, ketelusan dan ketegasan dalam fatwa amat amat diperlukan. Mereka perlu berdikari sebagai Majlis Fatwa Indonesia.

KESELARIAN FATWA

Keselarian pendirian majlis fatwa dengan apa jua fatwa yang telah dikelaurkan oleh mereka juga AMAT-AMAT diperlukan.

Menurut ilmu Usul Fiqh, keselarian ini amat penting malah keselarian hukum yang datang dari Allah dan Rasulnya dijadikan salah satu kaedah untuk ulama semasa dalam menentukan hukum bagi masalah-masalah baru yang timbul dalam masyarakat. [1]

Kaedah ini dinamakan "Istiqra". Atau "Istiqra tasarrufat as-Shari"

Atau meneliti sifat-sifat hukum yang ditentukan oleh Shari' ( Allah dan RasulNya)

Syeikh Ibn Asyur pernah berkata :-

فعليه أن لا يعين مقصدا شرعياً إلا بعد استقراء تصرفات الشريعة

Ertinya : "Oleh kerana itu, tidak boleh diketahui sesuatu objektif dalam sesuatu hokum shariah kecuali setelah dilakukan penelitian dan penyemakan khusus kepada (hamper semua) bentuk dan tatacara hukum syariah" [2]

Malah hal keperluan keselarian hukum lalu dengan yang terkini dapat diketahui melalui kaedah istiqra ini. Melaluinya, akan dapat difahami objektif sesuatu hukum dengan jelas dan seterusnya membantu para ulama dalam penentuan hukum seterusnya.

Namun jika fatwa-fatwa yang dikelaurkan tidak selari, ia akan mencetuskan kekeliruan umum terhadap dasar fatwa yang dikeluarkan dan targetnya.

Untuk menjelaskan lagi berkenaan keselarian fatwa contohnya begini:

Apabila Majlis Fatwa memutuskan bahawa YOGA adalah haram disebabkan boleh berlakunya kesyirikan, penyerupaan dengan upacara keagamaan bukan Islam dan lain-lain yang disebutkan di atas.

Maka masyarakat kini tertanya-tanya bagaimana pula hal-hal yang lain seperti ucapan Selamat Hari Natal atau Merry Christmas, Happy Deepavali, kongsi raya, bersanding, tepung  tawar dan pelbagai lagi yang berasal usul dari agama lain.

Apabila ia disenyapkan atau di fatwakan sebagai HARUS, sedangkan YOGA adalah haram, akan berlakulah  ketidak selarian dalam fatwa.

Ia secara automatik akan membawa pertikaian dari pelbagai kumpulan masyarakat yang akhirnya menjatuhkan kredebiliti fatwa.

Tidak saya nafikan, mungkin majlis fatwa telah pun mengeluarkan beberapa fatwa lain yang hampir serupa permasalahannya dengan YOGA seperti PENGHARAMAN SAMBUTAN VALENTINE DAY :

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: "Bahawa

amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam. ( Sumber : http://www.islam.gov.my )

Namun, apabila teks fatwa YOGA tidak menyebut contoh-contoh lain dalam penwartwaannya, kekeliruan akan timbul yang akhirnya menjatuhkan kredibiliti fatwa. Sebaiknya, bincangkan sekali isu-isu lain yang serupa ini selain yoga dan keluarkan fatwa sekaligus untuk semua yang mempunyai ciri yang sama.

Malah teks fatwa YOGA turut memberikan kekeliruan antara YOGA dengan mantera dan yang tidak dengan mantera dan jampi. Sekali baca fatwanya di atas kelihatan YOGA tanpa mantera adalah boleh, sekejap baca lagi macam tetap tidak boleh.

Justeru, amat wajar jika yang berwajib dapat mengelakkan pertikaian-pertikaian ( antara lainnya akibat penggunaan bahasa teks fatwa, ayat dan kandungannya) yang akhirnya menggugat nama baik Majlis Fatwa dengan bersifat lebih akademik dan professional dalam teks fatwa mereka. Bukan hanya beberapa baris ringkas seperti fatwa ASB dan malah belum cukup juga penjelasan ringkas dalam fatwa Yoga. Seeloknya disediakan hujah dan penulisan seperti yang disediakan oleh seorang wakil penulis JAKIM. [3] Saya kira, jika semua fatwa yang dikeluarkan dapat disertakan dengan bentuk lampiran sebegini serta boleh pula diakses oleh ramai, ia adalah baik dan menggalakkan.

RUANG KAJIAN SEMULA FATWA LEPAS

Pada hemat saya, adalah amat bijaksana jika Majlis Fatwa Kebangsaan memanfaatkan kewujudan para ilmuan Syariah di Malaysia sama ada di Universiti, pondok dan lain-lain instutusi pengajian tinggi yang lain. dengan menggunkan kepakaran mereka untuk meneliti fatwa yang dikeluarkan dan ditambah nilai atau dibantah secara ilmiah.

Oleh kerana mereka yang terlibat dalam pengeluaran fatwa dan kajian isu amat terhad, saya kira adalah amat wajar jika tindakan intutusi kewangan Islam gergasi seperti Dallah Al-Barakah dapat diambil kira.

Apa yang mereka lakukan adalah, setiap fatwa yang telah digazetkan oleh Majlis Syariah mereka sejak lama dahulu, kini dibuka semula untuk semakan dan pembetulan (jika perlu dan ada).

Bagi tujuan itu, baru-baru ini bertempat di Jeddah Hilton pada bulan September 2008, mereka mula memilih beberapa tajuk dan meminta pakar-pakar di luar majlis Syariah mereka untuk membentangakn kajian semula. Hasilnya, terdapat beberapa fatwa mereka yang diubah manakala beberapa yang lain kekal dan menjadi semakin kukuh. Untuk membaca beberapa kertas kerja lengkap perbincangan dan kajian semula fatwa mereka, sila buka link ini 

Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-

 

لا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك , فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق , فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير

Ertinya : Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu putuskan hari ini maka  ingin kamu nilaikannya semula,  berpandukan ilmu kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran, sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah amat baik " ( Ilam al-Muwaqqien, 1/69 )

 

Selain itu, kita perlu sedar bahawa fatwa-fatwa dalam beberapa isu yang berkaitan dengan hokum adakala boleh berubah apabila disedari terdapat kesilapan dan cara fatwa, sumber rujukan dan lain-lain. Justeru, menyedari manusia tidak maksum, sekiranya majlis fatwa mampu menganjurkan majlis seumpama ini,

ia pastinya akan dapat meningkatkan nilai setiap fatwa yang dikeluarkan di mata dan hati para akademia di Universiti selain masyarakat awam.

Tulisan ini tidak sesekali ingin meng'hentam' majlis fatwa namun ia ditulis dengan niat murni untuk melihat setiap fatwa yang dikeluarkan lebih dihormati oleh masyarakat bukan secara paksa (tidak wajar cadangan mengambil untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mempertikai), sesungguhnya penghormatan akan datang apabila kualiti fatwa ternyata dan teksnya dirangka dalam bentuk yang tepat, kemas dan bijaksana.

Justeru, hasrat saya agar majlis fatwa mampu serta dapat menzahirkan kualiti fatwa serta kaedah dan prosedur fatwa mereka yag akhirnya mampu meraih hormat masyarakat dan seterusnya membantu masyarakat Islam dalam urusan deen Islam yang mulia ini.

Sebagai ahli akademik berlatarbelakangkan agama di Malaysia, saya turut merasa kurang senang apabila institusi yang sepatutnya hebat di mata masyarakat seperti ‘majlis fatwa' dihina dan dicerca dan tidak dihormati, namun tiada jalan lain kecuali suatu plan perubahan mestilah dilakukan untuk memartabatkan kembali majlis fatwa kebangsaan Malaysia dan juga institusi Mufti di Malaysia.

Bagi mereka yang berkuasa, anda bertanggungjawab untuk mengjaga nama baik Islam dan instutui fatwa. Jangan dipaksa masyarakat untuk ‘hormat' jika kita tiada elemen yang boleh dihormati. Justeru, dapatkan elemen itu bukan dengan paksa tetapi secara fitrah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

3 Disember 2008



[1] Maqasid As-Shariah Fi Ahkam Al-Buyu', Zaharuddin A Rahman, hlm 85

[2] Maqasid As-Shariah Al-Islamiyyah, Ibn Asyur, hlm 231 ( cet Dar an-Nafais)

[3] Seperti yang dapat dibaca di link (http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18867 )



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 14 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Aqidah & Kepercayaan Majlis Fatwa, Yoga dan Pertikaian