Aqidah & Kepercayaan Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas

Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas

  • PDF
(10 votes, average 4.70 out of 5)

Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

isunew.jpg

 

Terdapat beberapa isu semasa yang saya tidak sempat untuk memberikan respon, walaupun agak ramai yang meminta ulasan. Isu-isu semasa yang berkait dengan Islam seperti keputusan kabinet untuk membiarkan anak kekal dalam agama masing-masing walau selepas ibu bapanya memeluk Islam, penggunaan nama Allah bagi penganut Kristian, orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran dan isu bahasa Melayu untuk pengajarn sains dan matematik.

Bagi tidak menghampakan mereka yang bertanya dan menjelaskan pandangan saya, tulisan ini dibuat, namun disebabkan oleh kekangan masa dan memandangkan agak ramai ilmuan Islam telah menulis berkenaan hal ini, saya tidak akan menghurai panjang lebar beserta dalil, cukup sekadar menjelaskan pandangan saya sebagai menjawab soalan ringkas dari mereka yang bertanya.

PERTAMA  : ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN

Isu ini timbul dari kempen ceramah politik pakatan rakyat di pilihanraya Kecil Bukit Gantang, terdapat dua kelompok masyarakat Islam ketika mengamati peristiwa ini. Pertama : Yang tidak bersetuju serta menganggap ia sebagai penghinaan khususnya disebabkan kesilapan sebutannya dan nama surah. Kedua : yang tidak melihat sebagai satu kesalahan malah menganggapnya sebagai satu kelebihan buat Islam.

Setelah mendengar sendiri ucapan Yang Berhormat yang berkenaan di youtube, dan setelah meneliti hujjah kedua-dua kelompok, saya secara peribadi dan atas dasar ilmiah, tidak nampak sebarang masalah yang besar atau yang boleh dihebohkan.

Ia adalah kerana :-

1)   Banyak dalil jelas menunjukkan bukan Islam turut membaca sama ada secara tertutup atau terbuka ayat-ayat al-quran di zaman Nabi sa.w. Malah ayat-ayat al-Quran digelar mu'jizat (sesuatu yang mencarik adat dan luar biasa serta melemahkan musuh), apabila ayat-ayatnya diteliti oleh ahli sastera kafir quraisy, tatkala itulah baru mereka mendapati Al-Quran adalah sebuah kalam Allah dan bukan hasil pemikiran manusia.

2)   Nabi s.a.w turut menghantar surat yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran kepada pemimpin bukan Islam di zamannya. Tentunya ia dibaca dan sememangnya untuk diwarwarkan.

3)   Ayat Al-Quran juga turut dibaca oleh Umar al-Khattab semasa beliau belum Islam. Akhirnya menjadikannya Islam.

4)   Ayat yang dibaca bukan dalam intonasi dan situasi menghina tetapi adalah untuk menegaskan intipati keperluan kepada kesaksamaan dan keadilan dalam kehidupan. Benar, ia adalah satu penghormatan dan bukan penghinaan.

5)   Kesalahan sebutan dan nama surah, adalah dimaafkan bagi mereka yang dalam pembelajaran, apatah lagi orang bukan Islam. Terlalu ramai umat Islam yang masih gagal membaca al-Quran dengan betul malah ramai juga yang langsung tidak mampu membacanya. Tun Dr Mahathir turut pernah menyebut nama surah  dengan sebutan yang salah, ketika menyampaikan ceramah umum beliau di Nilam Puri pada tahun 1993, semasa beliau menghentam PAS yang ingin memperkenalkan hudud. Saya berada di sana ketika itu, namun tiada rakaman yang boleh dikongsikan.

 

KEDUA : PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelabagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang membenarkan penganut kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat dari hujah kumpulan yang menolak.Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada penegrtian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali  penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk  kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi Bible yang wujud hari ini bukannya injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU PENGHARAMAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah digunakan oleh pihak Kristian.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini. Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Ye di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat.

Terutamanya apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu. Kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang dirasakan akan mempermainkan dan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa.  Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, eloklah ia dilarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah.  Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun dari sudut mudarat, ia wajar dilarang sama ada dalam tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu bagi menhindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang lemah.

KETIGA :  ANAK KEKAL DALAM AGAMA ASAL

Berlaku lagi isu yang dianggap sensitif berkait isu agama, sebagaimana kes jenazah individu yang dipertikai sama ada telah menganuti Islam atau tidak semasa hayatnya.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan, keputusan kabinet Menteri memutuskan bahawa setiap ibu bapa yang menukar agamanya ke agama lain, anak-anak mereka yang dibawah umur tidak akan bertukar secara automatik, malah mereka akan kekal dalam agama asal sehinggalah mereka dewasa dan membuat keputusan sendiri selepas itu.

Pelbagai artikel ditulis dalam hal ini, saya tidak berhasrat untuk mengulang-ulang apa yang telah ditulis. Fatwa dari empat mazhab turut disertakan. Secara ringkasnya, majoriti mazhab berpandangan anak akan menjadi Islam secara automatik sama ada ayah atau ibunya menganuti Islam. Manakala mazhab Maliki pula hanya meletakkan kemasukkan Islam secara automatik itu hanya berlaku jika si ayah yang menganuti Islam. Justeru itu, menurut pandangan keempat-empat mazhab, kes  yang berlaku di Malaysia ini, anak turut automatik menjadi Islam.

Bagi yang berminat membaca lanjut boleh merujuk di link berikut .

PKPIM juga ada mengeluarkan kenyataan yang baik, disamping menyertakan beberapa kes lama yang boleh dijadikan panduan dalam menetapkan sikap terhadap kes terbaru ini, iaitu :-

"Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

"Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga.

"Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,"

Secara kesimpulan, sudah tentu saya cenderung kepada pendapat majoriti yang menganggap secara autoamtik anak-anak menjadi Islam. Namun demikian adalah lebih tepat dan hikmah jika si suami dapat mengambil keputusan bijak mengelakkan isu ini dibawa ke mahkamah dan berusaha sedaya mampu mengajak isterinya tuurt serta menganuti islam sebagai cara hidup mereka. Dapatkan bantuan bijak pandai antara agama jika perlu.

Selain itu amat wajar untuk pihak berkuasa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum melakukan sebarang kenyataan umum berkait isu Islam. Saya bersetuju dengan pendapat Mufti Perak bahawa isu ini memerlukan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan,

Namun masalah yang paling ketara jika dirujuk ke Majlis Fatwa adalah tidak pasti bilakah mereka mampu memberi respond dan jawapan. Wallahu'alam.

KEEMPAT : ISU PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS BAGI MENGAJARKAN MATEMATIK DAN SAINS

Ini juga isu hangat yang ditanyakan kepada saya, namun saya tidak mampu memberikan banyak idea berkenaan isu ini khususnya kerana ia adalah satu isu yang lebih dominan berkaitan keputusan politik dalam sesebuah negara.  

Apa sahaja yang diputuskan oleh pihak kerajaan sememangnya perlu berdasarkan hasil kajian terperinci teori dan praktikal, kesan dan target, perbincangan peringkat atasan, ahli akademik, guru, murid, ibu bapa dan ahli politk. Hanya selepas ini semua dilalui, barulah pihak kerajaan patut memutuskan keputusan. Bagi saya, itu cara terbaik jika sesebuah kerajaan menghormati minda dan idea rakyatnya. Malah setiap keputusan yang diambil pula tidak semestinya tidak boleh dibuah, boleh sahaja dicuba beberapa tahun dan dilihat kesan buruk dan baiknya, kemudian ia terbuka kepada pindaan dan perubahan. Yang menjadi maslaah hari ini, kerajaan mungkin malu untuk membuat penilaian dan pindaan kerana bimbang akan dituduh sebagai flip flop dan yang sepertinya.

Perlu diingat, tekanan politik yang menghentam sehingga terlebih had, sehingga bertindak dan tidak bertindak, kedua-duanya akan dihentam, bakal membawa kerugian kepada banyak pihak. Ada kalanya terdapat individu yang ingin melakukan perubahan kebaikan, tetapi membatalkannya kerana tidak mahu dihina dan dimalukan akibat dituduh flip flop selain dianggap tidak cekap dalam membuat keputusan politik. Padahal, keputusan untuk sesebuah negara bukan mudah, malah dengan kajian sekalipun, ia mungkin sahaja tersilap atau berubah berdasarkan keperluan dan zaman.

Malah para ulama sendiri pun banyak yang terpaksa mengubah fatwa dan pendirian apabila mendapat info baru. Seperti Imam As-Syafie yang mengubah beberapa fatwanya ketika berada di Mesir. Adakah ini menjadikan Imam Syafie rh, flip flop dan tidak cerdik.? Tidak timbul isu tidak cerdik sebenarnya, itulah adalah sifat kemanusiaan biasa yang ilmu kita terbatas.

Lihat sahaja, kerajaan Britain hari ini, bajet terbaru menyaksikan pihak parti pemerintah terpaksa mematahkan janji manifestonya untuk tidak menaikkan cukai pendapatan individu, tetapi bajet pada minggu lepas (April 2009) menyaksikan mereka terpaksa menaikkan juga cukai individu kaya. Hasilnya, mereka dilanyak sepuas hati oleh pembangkang yang diketuai oleh David Cameroon. Itulah politik kepartian yang merugikan banyak pihak jika tidak ditangani dengan baik.

Bagi saya secara peribadi, tiada pandangan yang lebih saya cenderung kerana saya tidak punyai data yang mampu menyokong atau menolak. Saya telah baca banyak tulisan sokongan dan bantahan, tetapi semuanya tidak cukup untuk saya menetapkan keputusan buat masa ini.

Semoga apa yang dicoretkan mampu memberi sedikit sebanyak manfaat buat anda. 

Sekian,

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

28 April 2009

 

 

 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Comments  

0 #21 GOD bermaksud TUHANsaiful bahri 2010-01-04 20:14
Dalam hal ini sebenarnya kita dah tau dalam sanubari kita patutkah kita membenarkan perkataan Allah digunakan atau tidak oleh orang bukan islam untuk memberi maksud tuhan. Jawapannya temtulah tidak. Orang2 yang menyatakan boleh tu sebenarnya mereka pun tau dalam hati mereka kata tak boleh, tapi mereka membolehkannya atas sebab2 mereka sendiri. Mungkin sebab politik atau sebab2 lain. Apa sebabnya sesetengah orang2 kristian di Malaysia beria2 benar nak guna perkataan Allah?.. Selama ni mereka tak guna pun? Nikan lagi menggunakan bahasa melayu? padahal pada pendapat saya boleh dikatakan hampir semua orang kristian di malaysia lebih suka bercakap dan menulis dalam bahasa inggeris? Kalau mereka kata kita boleh translate istilah GOD kepada ALLAH untuk tuhan mereka, bukankah itu suatu perbuatan yang melampau?.. SEMUA rakyat MALAYSIA ni dah tau bahawa Allah tu nama yang spesifik dan GOD itu dalam bahasa melayu ialah TUHAN., bukannya ALLAH!.. Sebab tu orang Kristian kata TUHAN mereka Jesus, penganut Buddha kata TUHAN mereka Buddha dan sebagainya... Sedarlah semua ini merupakan rancangan2 orang kafir untuk merosakkan orang2 Islam... Wassalam...
Quote
0 #20 Peraduan Power Rootazlina abdul aziz 2009-05-27 01:14
assalammualaiku m..saya ingin benar membaca ulasan Uzar mengenai peraduan ini. Peraduan ini menawarkan wang tunai RM 1juta untuk satu pemenang. jika kita lihat iklannya, semua orang beli produk powerroot tu (seperti kopi kacip fatimah, kopi tongkat ali) penuh satu troli dan berkata 'saya pun nak jadi jutawan juga' (mungkin di youtube pun ada). saya rasa agak tidak selesa dengan ayat itu. ini kerana seolah olah mereka beli buakn untuk dapat kebaikannya lagi, tapi untuk jadi pemenang. untuk masuk peraduan tersebut perlu sertakan pek /pembuka tin sebagai bukti pembelian. saya rasa lain2 peraduan pun begitu...tapi untuk peraduan ini, boleh Uzar berikan komen? terima kasih
Quote
0 #19 isu bukan islam boleh membaca quranapiz 2009-05-14 20:35
Salam Ustaz,
Berkaitan dgn pandangan ustaz tentang penggunaaan ayat Quran oleh bukan Islam.Secara keseluruhannya saya bersetuju dengan Ustaz tetapi saya hanya berasa pelik apabila orang bukan Islam menggunakan ayat Quran untuk memecah belahkan orang Islam seperti rakaman video klip oleh salah seorang ADUN DAP. Adakah itu boleh?Saya harap Ustaz boleh huraikan..Pada waktu itu, terang2an ADUN itu berada diatas pentas politik yang memburuk2kan pemimpin-pemimpin lain.Wallahu alam.
Quote
0 #18 isu semasaanja 2009-05-13 08:48
ada 2 perkara yang saya nak kongsi.
1. Berkaitan orang bukan islam membaca ayat alquran. Secara realiti saya bersetuju dengan pandangan uzar namun yang menjadi masalah adalah adakah bacaan itu menandakan mereka bersetuju dengan islam ataupun sekadar untuk meraih sokongan politik. Jika bukan islam telah menyatakan bahawa islam adalah agama yang adil dan baik kenapa guan eng , gopala tak masuk islam. pelik - nak ikut pemerintahan khalifah abd aziz tapi tak mengucap.Yang syoknya bila ada kafir baca ayat quran dan mengata orang melayu , bunyilah takbir. Renung2 kan lah.

2. Mengenai perkataan ALLAH dalam bible. Memang tak wajar kerajaan benarkan kerana bible yang nak dimasukkan perkataan ALLAH tu dibuat dalam bahasa melayu. Dalam keadaan masyarakat melayu kita yang ramai jahil agama maka menjadi sesuatu yang membimbangkan bila edaran bible melayu ini akan jatuh ke tangan anak-anak melayu yang jahil , mat rempit dan yang sosial salah. Fikir-fikirkan lah.
Quote
0 #17 khilafahjoei 2009-05-06 06:14
apa pndangan ust ttng perjuangan mengakkan Daulah khilafah?ianya adalah pnyelesaian terhdap permasalahan yg melanda skrg,apabila syariah islam diterapkan scara kseluruhan.
Quote
0 #16 Kebaikan???sarjantulang 2009-05-03 01:57
kebaikan yg manakah yg hendak diwar-warkan???

maaf jika kasar....tp saya rase tidak perlu kita war-warkan kebaikan jika hanya hendak mendapat nama....biarlah hnya Allah sahaja yg memberi ganjaran yg baik atau yg buruk....

tidak perlu kita menyanjung manusia hnya kerana kebaikannya....dan tidak perlu kita mencemuh manusia kerana kejahatannya.....Allah Maha Mengetahui

sarjantulang
Quote
0 #15 ISU SELESMA BABIKASSIM 2009-05-02 01:38
APA PANDANGAN UZAR TENTANG ISU SELESMA BABI YANG TERDAPAT DALAM MEDIA SEKARANG?
Quote
0 #14 IP kena banct_aisyah 2009-05-01 20:45
Ust, kenapa IP saya kena ban kat shoutbox?? huhu :cry:

UZAR : ye ke..?..apa nombor IP?
Quote
0 #13 Isu 3azman 2009-04-30 01:04
Isu 3.

masalah timbul bila hanya salah seorg yg masuk Islam, sorang lagi menentang. apa yg saya faham, kerajaan telah tetapkan yg menentang menang, anak kekal dalam bukan Islam.

kalau dua-dua masuk Islam, tak timbul lagi maslah sebab semestinya mereka akan bawak sekali anak-anak masuk Islam. tetapi, kalau anak tu enggan ikut mak bapa masuk Islam (cthnya yg dah dewasa, umur 16 @ 17 tahun), apa pulak kesudahannya? adakah anak ini boleh menghalang mak bapanya dari mengislamkan dia? atau perlembagaan kata dia kena ikut mak bapa dia? ..tolong jawab..

kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray - setahu saya si bapa kalah dan anak-anak kekal di bawah jagaan ibu yg masih kafir. tapi kalau ini keputusan akhir, Alhamdulillah

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan - masih lagi tak jelas sebab sorang nak bwk masuk Islam, sorang lagi menghalang........

Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 - kita kena ingat di negara kita Perlembagaan mengatasi undang-undang Islam. jadinya, peruntukan ini agak lemah bagi saya keran boleh dicabar di mahkamah Sivil
Quote
0 #12 peranan muftitytsezh 2009-04-29 19:45
pertindihan U2,dan isu seperti pemelukan anak bawah umur,entah berapa kali dah para mufti,teknikal syarak sivil,dan para hakim syarie duk bincang dan bagi cadangan pada Ag Chamber,malah pada malam sebelum kabinet bagi keputusan isu tu pun,AG dan para mufti tengah bincang isu tu,tapi peranan selebihnya adalah pada Parlimen setuju atau tidak untuk gubal perkara tu,dalam enakmen negeri provido adalah jelas,terpulang pada hakimnya dalam buat keputusan yang paling bijak dan baik.Soalnya sekarang kenapa beberapa pindaan kepada Law Reform 1976(s.51) tidak diberi perhatian untuk dipinda dimana tiada remedi diberi kepada org yang masuk islam.

Mahkamah Khas juga perlu difikirkan iaitu gabungan Hakim Sivil dan Syariah untuk dengar kes camni dan juga kes mualamat .Di dalam sana sudah terlalu banyak cadangan dan resolusi dibuat tapi keputusan akhirnya ialah pada kerajaan.
Quote
0 #11 Mana Majlis Fatwaasray 2009-04-29 14:44
saya dah kata depa ni lembap, tak proaktif. nak bincang isu pun kena tunggu surat dulu, pilih tempat la. ni hal penting agama.. buat urgently ..bawah pokok pun boleh....masjid pun banyak dewan. Takkan nak tunggu orang endorse baru nak keluar fatwa.
Quote
0 #10 Sekiranya..aizat 2009-04-29 11:28
Assalamualaikum wbt..

Saya bersetuju dengan pandangan UZAR, Kabinet Malaysia perlu merujuk kepada Majlis Fatwa berkenaan Si Anak akan secara automatik mengikut agama Ibu Bapa mereka yang bertukar agama. Perkara ini saya terima SEKIRANYA mereka memeluk ISLAM.

Tapi bagaimana pula situasinya SEKIRANYA Ibu atau bapa tadi MURTAD. Saya selaku muslim tidak bersetuju SEKIRANYA si Anak tadi turut 'murtad' bersama Ibu atau Bapa mereka..Sedangkan Islam sangat memandang serius dengan Isu Murtad. Buktinya, hukuman bunuh keatas mereka yang murtad. Kerana itu isu orang Islam tukar agama kepada bukan Islam, bukan isu remeh dan main2.

Perkara ini perlu dikaji semula oleh pihak Menteri terlibat dalam mengeluarkan keputusan seperti ini. Minta pandangan dari Majlis Fatwa..
Quote
0 #9 .tunelife 2009-04-29 02:41
pasti ramai yg "geram" time tun dr mahathir menghentam pas kan ? huhuhu.. semoga kebaikan tun terhadap islam melebihi perkara-perkara sebaliknya.

bolehkan uzar berikan contoh-contoh negara yang mengamalkan hudud sebagai rujukan kami?

btw, if uzar ada kelapangan, ulaslah pula tentang earth hour secara ringkas yer :-) thanx..
Quote
0 #8 Boleh atau tidak.Muhammad 2009-04-29 00:58
Saya tergerak utk membalas persoalan ini.Soal boleh memperakui ini adalah boleh jika bacaan nya dan tafsirannya memang merujuk kepada terjemahan alQuran itu.tp kita sebagai muslim, adakh perlu beriman dgn tafsiran tersbut?

pasti sekli tidak.bahkan AlQuran itu sendiri mukjizatnya adalah di dalam bahasa arab. buknnya tafsiran2 sedemikian.sebaiknya catitlah tafsiran oleh beliau,dan rujuklah pada terjemahan2 yang ada di msia.Wallahua'lam.
Quote
0 #7 thankstytsezh 2009-04-29 00:35
salam,syukran atas kesudian UZAR,jengok dan link kan blog saya dlm artikel.

UZAR : No problem ,tok hakim punya blog mesti diutamakan.. cuma nama blog tu rasa pelik sikit. teringat buku bercakap dengan jin pulak.
Quote
0 #6 :-)Me 2009-04-28 23:34
Assalamualaikum wbt,

Saya amat bersetuju dgn pandangan Ustaz dgn perkara2 di atas tu.
Saya pun penah bg Quran (terjemahan) kpd supervisor saya (non-muslim). Bg saya perkara ni tak salah. Klu kita tak cuba memperkenalkn kandungan Quran tu kpd mereka mcm mana mereka nk tahu apa kandungan Quran tu. Adalah tak logik utk mereka hanya blh buka Quran slps memeluk Islam.
"ALLAH" adalah nama saja dlm bahasa arab. Kita blh je guna nama dlm bahasa lain (cth God dlm Inggeris) asal kita tahu siapa Tuhan yg kita sembah & sifat2Nya. Kebiasaan masyarakat kita dh terbiasa dgn Allah yg hanya khusus utk agama Islam.

Bg saya munculnya isu2 begini dlm masyarakat kita adalh suatu kebaikan utk kita. Kita sepatutnya mengambil kesempatan utk lebih memahami agama Islam kita & jgn cpt melatah dgn ilmu kita yg sedikit tersebut.
Terima kasih Ustaz.
Wassalam.
Quote
0 #5 setujukandare 2009-04-28 22:34
saya setuju dgn pendapat anta.
Quote
0 #4 FatwaMegat Ismail Akil 2009-04-28 22:22
Salam Uzar..........

Apabila perkara-perkara yang berbangkit didalam negara seperti isu terkini dan perkara yang uzar buat ulasan ini....
Yang dapat saya bicarakan adalah setiap isu yang timbul selalunya orang yang mengeluarkan kenyataan adalah orang yang luar bidang di malaysia, contohnya isu Allah yang keluarkan kenyataan adalah menteri yang dilantik untuk hala ehwal agama. kadang-kadang kita keliru, dimanakah majlis fatwa?

Kemudian isu nama anak-anak, yang keluarkan kenyataan adalah menteri undang-undang. Dimana orang agama?

Sesungguhnya pemerintahan negara suka mencampurkan minyak dan air, saya masih lagi mengingati perkataan dari dato harun din, jika dicampur minyak & air walaupun kedua-duanya tidak akan bersatu namun ia tidak boleh digunakan selepas dicampur seperti air tidak boleh diminum dan minyak tidak boleh dugunakan untuk menggoreng.

Apa yang uzar ulaskan disini amat bertepatan dengan keadaan semasa.namun orang agama kita yang arif adakalnya membisu, kitapun tidak tahu kenapa atau dibisukan oleh pihak tertentu.

wassalam...
Quote
0 #3 Tafsiran ayat quran oleh non-muslimAces 2009-04-28 21:13
Sekadar bertanya jika non-muslim tersebut melakukan terjemahan surah yg dibacanya lalu mentafsirkan sekaligus ayat tersebut kepada para hadirin yg hadir dalam ceramah politik tersebut rata-ratanya adalah muslim. Adakah kita sebagai muslim boleh memperakui tafsiran si non-muslim tersebut sedangkan kita tahu dia tidak beriman kepada ALLAD dan RASUL
Quote
0 #2 Luahan seorang hamba AllahSerena 2009-04-28 18:37
Sedih mengenangkan bila isu agama dipolitikkan..

Penngalaman sy sendiri, dlm bulan puasa tahun lepas, dlm masjid sekalipun, pak imam, bilal,buleh bersembang ttg isu duniawi, dan paling tak sangka dlm ceramah agama pun mereka buleh meghasut jemaah supaya anti-kerajaan, bukannyer mengingatkan pasal isu akhirat.

Dunia memang dh akhir zaman. Wallahualam.
Quote
0 #1 Syabasperantau 2009-04-28 18:16
syabas UZAR sentiasa memberikan pandangan terhadap isu2 semasa di M'sia. Memang ramai yg keliru dgn pelbagai isu di atas. Dengan penjelasan UZAR walaupun ringkas sedikit sebanyak dapat membuka mata pembaca. wassalam.
Quote

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 


 

Ruangan Iklan









RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Aktiviti Semasa

  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 78 guests
Latest members:
  • Kafineczo
  • Arboledo

Komen Terbaru

You are here: Aqidah & Kepercayaan Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas