Catatan Buku Perkembangan Buku Saya & Coretan Program Di Perak

Perkembangan Buku Saya & Coretan Program Di Perak

  • PDF
(11 votes, average 5.00 out of 5)

Program Hijrah Di Perak & Cetakan

Pertama Buku Hampir HABIS !

Alhamdulillah tamat sudah program dua hari di Perak. Saya bersyukur kerana dapat berkongsi mesej Islam berkenaan hijrah dan kewangan Islam dengan jayanya di ketiga-tiga majlis. Kehadiran juga amat memberangsangkan, forum Ma'al hijrah peringkat negeri menyaksikan kehadiran sekitar 1100 orang di dalam dan di luar dewan besar.

Perkembangan Buku

buku

Dengan tamatnya program dua hari di Perak ini, buku "Wang, Anda dan Islam" juga dikira hampir habis cetakan pertamanya sebanyak 2000 naskhah. Segala puji bagi Allah, buku ini mendapat sambutan yang amat baik dari masyarakat yang dahagakan penjelasan berkenaan halal haram dalam urusan kewangan mereka.

Pihak penerbit telah memaklumkan kepada saya berkenaan cetakan kali kedua yang akan dibuat dalam waktu terdekat ini.

Mereka perlu pantas kerana buku ini belum pun lagi sempat dipasarkan di kedai buku, ia akan disebarkan oleh MPH Bookstore ke seluruh Malaysia. Buku ini dijangka dipasarkan di kedai-kedai buku bermula pertengahan atau hujung Februari disebabkan proses bar code, stock keeping dan lain-lain proses biasa kedai buku.

Ini bermakna buku yang mula keluar dari kilang cetaknya pada 23 Dis 2007 yang lalu, dan yang telah saya iklankan penjualannya di web saya bermula 22 Dis 2007 lalu dikira oleh penerbit telah berjaya habis dijual dalam tempoh 3 -4 minggu sebelum ia sempat sampai ke kedai lagi.

Sebagai buku pertama, ia satu pencapaian yang cukup menggembirakan dan memberi saya lebih semangat untuk terus berkarya bagi manfaat ummah. Terima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan dan membeli buku tersebut, walaupun saya terima satu dua laporan menyatakan buku yang pos rosak semasa proses penghantaran.

Forum Ma'al Hijrah Ipoh & UPSI

Ketika membentang

Yang menariknya, antara yang turut serta sebagai pendengar forum Ma'al Hijrah tersebut juga adalah tokoh-tokoh besar seperti S.S Dato' Seri Harussani Zakaria (Mufti Perak), Timbalan Pengarah Jab Agama Islam Perak, qadhi-qadhi dan ramai termasuk beberapa exco kerajaan negeri Perak.

Semoga mesej hijrah aqidah dan kewangan yang dikongsikan mampu sampai ke minda dan hati para pendengar.

Program sebelah malam 10 Jan 2008 di UPSI juga  dihadiri sekitar 400-500 peserta. Sekali lagi mesej dan pengajaran ( 'ibrah) hijrah dapat dikongsikan bersama para mahasiswa/i UPSI termasuk beberapa tenaga pengajarnya. Forum tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UPSI.

Sedikit Pengisian Forum di UPSI

Dalam pusingan pertama forum di UPSI, pengerusi forum mengutarakan soalan "mengapa Madinah dipilih oleh Allah sebagai tapak hijrah baginda Nabi?"

Peserta UPSI
 

Soalan yang menarik termasuk buat diri saya sendiri. Tidak dinafikan agak sukar untuk insan selemah kita mengetahui hikmah dan sebab yang tepat pilihan oleh Allah SWT.

Namun, sebagai percubaan mencari sebab musabbab yang logik serta boleh diterima, secara ringkasnya, berikut mungkin antara sebab-sebabnya:-

Faktor Pertama :   Geografi

Nabi s.a.w menyebut

رأيت في المنام أني أهاجر من مكة إلى أرض بها نخل

Ertinya : "Aku telah melihat di dalam mimpiku bahawa aku berhijrah dari Mekah ke satu negeri yang banyak kurmanya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Pada mulanya nabi menyangka ia adalah al-Yamamah, yang terletak di Bahrain hari ini. Namun ia adalah Yathrib (madinah) sebenarnya.

Fakta Geografi yang dicatatkan, kelebihan Madinah adalah

  • Subur tanahnya sehingga banyak kurma sebagai hasil penduduk.
  • Terdapat dua wadi sebagai sumber air kepada Madinah.
  • Tempat persinggahan ahli pedagang dari Syam ke Mekah dan sebaliknya.

Kesimpulannya, atas sebab fizikal tanah dan lokasi sebegini, Allah swt memlihnya sebagai asas ibu negara negara Islam paling awal. Sumber kehidupan sebegini yang menyebabkan ia disebut dalam sebuah athar ertinya :

"Sesungguhnya Allah menjadikan bagimu saudara-saudara dan tempat duduk yang boleh kamu merasa aman di dalamnya" ( As-Sirah AN-Nabawiyah As-Sohihah, Al-Umari)

Faktor Kedua : Penduduk

a- Tempat tumpuan penduduk dan orang ramai adalah tempat yang paling strategic untuk dakwah dan perkembangan Islam, ia juga membantu mempercepatkan risalah Islam tersebar di segala ceruk ratnatu kerana madianh adalah tumpuan pedagang,

Sudah tentu pedagang ini akan kembali ke negara masing-masing dan akan menceritakan segala kebaikan yang ada di Madinah serta kehebatan pentadbiran Islamnya. Secara tidak langsung pedagang ini menjadi duta tidak rasmi kepada Islam kelak.

b- Madinah juga mempunyai pendukuk yang telah ditarbiyah awal oleh para naqib Islam seperti Mus'ab Umair dan lain-lain. Kesediaan mereka menerima Islam dan baginda Nabi amat penting dalam peringkat ini.

Saya meninggalkan UPSI pada jam 12.15 menghala ke Ipoh semula bagi menyempurnakan program saya  pada 11 Jan 2008 iaitu Seminar Halal Fest.  Singgah dan tidur di Tapah.

Seminar Halal Fest

Seminar Halal Fest Negeri Perak
 

Jam 8.30 pagi, 11 Januari 2008 sampai di dewan besar INTIM, Ipoh . Saya menjangkakan peserta tidak ramai dan mungkin hanya 100 -200 orang sahaja.

Namun sangkaan saya meleset, dewan besar bagi program seminar halal fest juga dipenuhi hingga ke tingkat atas. Kehadiran dianggarkan seramai sekitar 700 - 800 orang peserta, ia dihadiri oleh Pengarah, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan ramai ilmuan Islam dari seluruh Perak.

Penerangan berkenaan halal dan haram dalam urursan kewangan harian kelihatan amat memanaskan suasana, namun masa yang tidak mengizinkan menyebabkan para peserta tidak berpeluang untuk mengutarakan soalan.

Peserta Seminar Halal
 

Semasa masuk ke bilik jamuan, beberapa orang ustaz dari JAIP (jika tidak salah saya) dengan bersemangatnya mencadangkan kepada saya agar mendedahkan hal yang telah dibentangkan dalam seminar ini di televisyen pada waktu ‘Prime time'.

Bagi mereka kandungannya sangat penting untuk diketahui oleh seluruh orang Islam di Malaysia.

"masih belum ada peluang dan mungkin juga sukar, JAIP boleh sponsor kot?" jawab saya

Siapakah yang ingin sponsor program sedemikian? Siaran televisyen memerlukan kos yang tinggi.

"Malah tidak semua jenis info boleh disampaikan secara terbuka di media TV kerana isu ‘public interest'. Justeru cara sebegini perlu diteruskan" tambah saya lagi.

Media & Beberapa Usaha

Namun saya telah mengusahakannya sedikit demi sedikit setakat kemampuan, ruang dan peluang melalui rancangan "Bicara Islam Hadari" RTM 1 pada jam 8.30 pagi dalam masa hanya 10 minit.

Apa boleh buat, itu saja masa yang diberikan. Lebih malang waktu siaranya di pagi hari yang  kurang penonton. Untuk megharapkan TV 9 atau TV 3 mengulas tajuk Riba Bentuk Semasa dalam program Kuliyyah dan Halaqah, itu perlukah anda sama-sama mencadangkannya kepada penerbit program terbabit.

Percubaan saya menerangkan isu riba dan pendapatan kewangan cara salah di radio juga telah dibuat di radio IKIM.fm. Namun, siaran dunia ekonomi itu hanya disiarkan pada jam 12 .30 tengahari, di ketika orang sedang menikmati juadah tengahari.

Sambungan Slot

Saya baru sahaja selamat sampai di rumah, menanti kuliah maghrib malam ini (11 Jan 2008) di masjid Bukit Damansara.

Slot akan disambung esok subuh, untuk program "BICARA AD-DEEN" di Dewan Seminar Masjid Negeri Shah Alam. Tajuk akan akan saya sentuh adalah "Pelaburan Mudarabah atau Riba?" bemrula jam 7 pagi hingga 8.00 pagi esok.

Dari Shah Alam, saya akan bergegas ke Pusat Muktamar MAS, KLIA untuk mengendalikan seminar Ekonomi dan Kewangan Islam untuk kakitangan MAS. Ia juga terbuka bagi orang ramai. Program bermula jam 9.15 pagi hingga ke jam 12 tengahari.

Di sebelah malamnya, satu lagi kuliah maghrib menanti di Masjid Damansara Damai.  

 Tiada banyak input dapat saya berikan dalam tulisan ini kerana masih keletihan dan hanya ingin berkongsi sedikit info buat peminat web zaharuddin.net.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

11 Jan 2008

2 Muharram 1429 H

6.02 petang 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Comments  

0 #39 Amin007 2008-07-21 05:56
"Untuk megharapkan TV 9 atau TV 3 mengulas tajuk Riba Bentuk Semasa dalam program Kuliyyah dan Halaqah, itu perlukah anda sama-sama mencadangkannya kepada penerbit program terbabit."

mungkin ustaz zaharuddin belum cukup
popular sehingga TV3 nak panggil kot :D

UZAR : SAYA TIADA MINTA PANGGIL SAYA, [ANGGIL SESIAPA YG POPULAR PUN TAK PE, ASAL MEREKA DIBERI PELUANG UNTUK HURAI BAB RIBA SEWAJARNYA
Quote
0 #38 own 2008-01-24 18:59
saya selalu layari laman web UZAR. Tahniah atas usaha murni yang dijalankan. Namun saya tak dapat ikuti program UZAR kerana berada di Kuching Sarawak. ada buat rakaman program UZAR? saya nak VCD ada jual tak? :-)
Quote
0 #37 hambaAllah86 2008-01-24 07:34
Assalamualaikum ..

time kasih ustaz kerana datang ke kolej Harun Aminurrahid, UPSI.

Saya salah seorang yang mengikuti ceramah ustaz pada hari itu.

Ternyata apa yang disampaikan banyak memberi input kpd kami sebagai bakal serang guru..

Sekian time kasih..
Salam ukhwah..
Quote
0 #36 Syawal 2008-01-19 02:43
A`kum wbt.

Ustaz kena kerap sikit turun Ipoh, insyaALLAH ramai peminat.
Quote
0 #35 sallahuddin 2008-01-17 05:50
salam...
Buat hjhamdan on 2008-01-12 22:18:57
sepengetahuan ana dalam kitab2 feqah anak yatim bukalah asnaf yang layak terima zakat, hanya penjaganya yang miskin layak terima zakat...
wasalam
Quote
0 #34 Tudge 2008-01-17 05:48
Salam UZAR

Semoga diberi kekuatan untuk terus berdakwah, nampaknya UZAR nih mmg benar2 letih dan bertungkus lumus, semoga Allah membayar di akhirat kelak, insya Allah.

Buku tuh saya dah dapat, tapi tak habis baca lagi, kena fahamkan betul2 sebab proses kewangan agak complicated.

Anyway, tahniah juga kerana buku UZAR laris mcm pisang goreng..
Quote
0 #33 sallahuddin 2008-01-16 22:46
Salam..
Buat hjhamdan,(hjham dan on 2008-01-12 22:18:57).... anak yatim tidak berhak terima zakat, kecuali penjaganya.
wasalam
Quote
0 #32 Nur Hanisah 2008-01-16 02:12
Salam Uzar,
Dah puas cari buku Uzar kat kedai -kedai buku, tapi masih tak dapat hingga hari ini sejak baca artikel Uzar pertama tentang buku pertama Uzar. Lama lagi lah nak tunggu Feb.
Quote
0 #31 Husaini 2008-01-15 17:53
dah habis? huhu..tak sempatla nak pegi bilik Ust di KENMS tu.. :cry:

KOMEN UZAR : PADA PENERBIT DAH HABIS, TAPI PADA SAYA MASIH ADA STOK AKHIR.
Quote
0 #30 Abdullah 2008-01-15 17:52
Alhamdullilah, buku tuan telah mendapat sambutan yang sangat hangat. Ini bermakna sangat ramai umat Islam di Malaysia yang dahagakan ilmu berkaitan kewangan Islam.

Oleh itu saya sarankan, jika ada VCD ceramah yang berkaitan isu yang sama atau apa-apa ceramah tuan sekalipun, boleh la di jual di website ini.

Penghasilan VCD adalah sangat mudah dan boleh di jual dengan harga yang munasabah, maybe RM5 sekeping. Tak perlu bungkusan yang cantik-cantik, janji isinya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Jikalau tuan tidak mempunyai masa melakukannya, mungkin tuan boleh meminta bantuan orang lain kerana mereka boleh mendapat pendapatan sampingan.

Untuk menangani masalah illegal copy, tuan boleh quote ayat Al Quran yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil ..." (An Nisa' 29).
Quote
0 #29 MK 2008-01-15 17:52
Tahniah Uzar atas program tersebut. Semoga memberi manfaat kepada semua yang hadir. Bukan senang nak tengok Uzar pakai songkok hitam ni. :-) Ada sesiapa yang buat rakaman tak?
Berkenaan buku tu, saya rasa ada sedikit pembetulan boleh dibuat. Dalam bab kad kredit,

Uzar menyatakan kad caj Al-Rajhi menggunakan konsep Tawarruq. Sebenarnya mereka menggunakan akad Qard, hanya bayar apa yang kita guna. Selepas tempoh pembayaran tamat, mereka akan keluarkan 3 kali surat peringatan dengan kos RM5 setiap surat. Jika tak bayar juga, barulah tindakan undang? akan dikenakan. Bayaran yang dikenakan ialah yuran tahunan RM75 untuk kad biasa jika tak silap & RM10 untuk setiap pengeluaran wang tunai di ATM. Begitulah yang tercatat dalam akad. Saya telah memilikinya, & kad tersebut memang bagus.

KOMEN UZAR : OK SYUKRAN MK ATAS MULAHAZAT BERKENAAN RAJHI TU, MUNGKIN DEBIT KAD MEREKA KOT GUNA TAWARRUQ BUKAN CAK KAD, TERSILAP.
Quote
0 #28 amsforce79 2008-01-14 23:17
salam,

saya harap buku ada lagi di tangan ust sebab saya dan kawan-kawan di sini ingin menempah sepuluh, cuma tunggu lagi 3 orang saje dan lepas itu saya akan bank-in kan duitnya. harap masih ada. :-)

wassalaam.
Quote
0 #27 durratul zahirah 2008-01-14 23:13
salam.mujur ustaz tulis kat sini..masa kuliah magrib kat mustaqimah malam semalam terdatang lewat..isi lebih kurang kan.
Quote
0 #26 mohdroose 2008-01-14 23:13
Salam...

Saya berkesempatan mendengar ceramah Ustaz di Masjid Negeri Shah Alam semasa program Bicara Ad deen; Ustaz ada menyentuh "Fiat Money" secara sepintas lalu. Saya rasa ianya berguna untuk Umat Islam memahami hubung kait "Fiat Money" dengan Riba; juga penyelesaian melalui penggunaan matawang Dinar dan Dirham.

Mungkin Ustaz boleh luangkan masa untuk menerangkannya agar lebih difahami oleh Masyarakat kita.
Quote
0 #25 sakinah 2008-01-14 19:36
semoga Allah beri kekekuatan pada ustza untuk terus berdakwah.
Quote
0 #24 hasliza 2008-01-14 19:04
assalamualaikum ustaz
saya nak bertanya mengenai zakat, ada satu hari pusat zakat beri taklimat di tempat kerja kami, ada peserta menyatakan dia membayar zakat sendiri kepada anak yatm, dan pusat zakat tu menyatakan zakat itu tidak sah dan dia kena bayar pada pusat zakat atas reason dia telah menafikan hak 7 lagi pihak yang lain.
saya ingin memohon pandangan ustaz dalam hal ini..
terima kasih
Quote
0 #23 suriah 2008-01-14 17:28
tahniah atas kejayaan seminar 2 hari di Perak

Harap UZAR atau admin zaharuddin.net dapat menguploadkan video seminar tersebut dlm link "siri ceramah UZAR" atau dlm esnips.com atau dalam youtube.com untuk saya dan pengunjung lain download mendengar seminar yang tidak dapat dihadiri di Perak.

InsyaAllah usaha tersebut dapat menyampaikan lagi mesej muamalat dalam islam.

TQ
Quote
0 #22 moza5067 2008-01-13 20:20
Assalamualaikum ,

Tahniah kpd UZAR! Saya dah dapat buku tu melalui pos walaupun sampulnya dah terkoyah tp alhamdulilah bukunya tak terjejas. Kepada yang belum mendapatkkanya, dapatkan segera anda pasti tak rugi DUNIA & AKHIRAT.

Kepada Kakaina49 dan fian saya tolong jawabkan bp UZAR -: Sila baca web ini sepenuhnya dan dapatkan buku tersebut. Kad kredit boleh digunakan jika mengunakan perbankkan ISLAM seperti AmIslamic dan Bank Islam. Pinjaman kereta dgn Public Bank juga terdapat perbankan Islam.
Quote
0 #21 naji 2008-01-13 19:53
alhamdulillah

kalau tgk jumlah 2000 cetakan pertama, mcm utk pengunjung web je.. awat sikit sgt?

KOMEN UZAR

wallahu 'alam, memang kebiasaan bagi penebrit ini, keluaran pertama 2000. bimbng tak laku
Quote
0 #20 Amin Ali 2008-01-13 17:55
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya beli 10 buah buku ustaza walaupun terpaksa drive dari Perlis ke bukit damansara, dan balik selepas kuliah maghrib.

InsyaAllah, saya akan hadiahkan kepada kawan-kawan rapat untuk manfaat bersama.
Quote
0 #19 Guest 2008-01-13 06:21
Askm ustaz...terima kasih atas isi kuliah di bukit damansara malam semalam.

Adakah semata2 kesungguhan dari dalam,ataupun desakan luaran agaknya, yg memberikan semangat utk ustaz dlm menjalankan kerja2 da'wah.
bolehla agaknya ustaz kongsi cerita dengan pengunjung setia zaharuddin.net tips ustaz kekal aktif dlm menjalankan kerja2 da'wah 8)
Quote
0 #18 afandi 2008-01-13 06:19
Saya agak muskil tentang punca pendapatan bagi penternak burung Walet(layang2)d imana sarngnya dijual sebagai sumber pendapatan,Lint ah yang dijadikan Ubat,Cacing sebai makanan ikan atau pembajaan,Tahi Kelalawar dan pelbagai lagi benda-benda kotor yang menjadi harga pada hari ini .
Quote
0 #17 hjhamdan 2008-01-13 06:18
Salam uzar
Saya ada wang zakat, saya bercadang untuk memberi wang tersebut kepada anak anak yatim yang miskin pada 10 Muhharam ini. Adakah sah zakat tersebut. Jika diniatkan didalam hati tanpa melafazkannya kepada tiap tiap kanak kanak tersebut.
Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih diatas perhatian ustaz terhadap soalan ini. :-? :-? :-?

KOMEN UZAR :

YE SAH
Quote
0 #16 ajumain 2008-01-13 02:05
Alhamdullillah ... tahniah UZAR ... di atas kejayaan tersebut.

Tp mungkin benar apa yang dikatakan oleh UZAR diatas klu bole kita pakat reramai propos kat penerbit TV agar perkara W-A-d-I dapat dibincang secara live ...
Quote
0 #15 saiful_kenms 2008-01-13 01:59
Alhamdulillah......

Saya jugak turut bsyukur kr minat org ramai dalam masalah kewangan islam dan yg pentingnye soal halal haram masih lagi mendapat sambutan org ramai....nanti insyaAllah apabila saya graduate dr uia nanti saya akan menolong ustaz dalam permasalahan kewangan islam..... doa2 la utk saya....
Quote
0 #14 devnull 2008-01-13 01:57
saya beli buku masa dekat upsi malam jumaat lepas. harap2 dapat baca abis dan paham apa yg di baca. dapat tandantangan ustaz lg tu. :-)
Quote
0 #13 abu anas 2008-01-13 01:56
Setakat yg ana sempat belek sehelai dua buku ada ternampak kesilapan cetak, hajatnya nak kumpul semua baru hantar kpd sheikh UZAR, takut terlewat pula. contohnya; ms 51, baris 24 Udabah -betul: Ubadah. nota kaki no 53: mengadu ke Sayyidina Umar. betul: kepada. dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik , minta murajaah takhrij: kerana salah seorang rawinya Ata' - adakah beliau bertemu dgn Abu Ad-Darda' ra. kalau ambil kisah yg diriwayat oleh Imam Muslim no 1587 lebih mantap rasanya.
akhukum:
Quote
0 #12 spongebob 2008-01-12 19:27
teruskan! sy sentiasa doakan ustaz..moga sentiasa berjaya
Quote
0 #11 alwardah_0915 2008-01-12 19:27
salam...

tahniah atas sambutan hangat buku pertama uzar...semoga ianya menjadi pemangkin kepada terbitan bahan2 ilmiah membina seterusnya dr uzar...

SubhanaLLAH...hebat yee sambutan program di Perak...

uzar, bila nak mai turn kedah pulak...org kedah pun byk confius lg nih....!! :-)

wslm...
Quote
0 #10 GuestGuest 2008-01-12 14:36
Asslam, gambar Ustaz yang sedang bercakap di atas itu, Ustaz Zaharuddin ke?

ADMIN : YE
Quote

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 


 

Ruangan Iklan









RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Aktiviti Semasa

  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 87 guests
Latest members:
  • Kafineczo
  • Arboledo

Komen Terbaru

You are here: Catatan Buku Perkembangan Buku Saya & Coretan Program Di Perak