Fiqh Ibadah Ramadhan & Batalkah Puasa Kita Jika...

Ramadhan & Batalkah Puasa Kita Jika...

  • PDF
(231 votes, average 4.67 out of 5)

Ramadhan : Batalkah

Puasa Kita Jika...

Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

 

ramadhan_2010_2.jpg

 

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-


1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

 

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

 

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah. 

 

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut. 

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. 

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "

والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه

Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.

Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.


5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.


6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).


7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat 

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)


8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.


9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

 

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.


11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.


12) Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

  Ramadhan Mubarak Buat Semua Pengunjung zaharuddin.net : Ust Zaharuddin Abd Rahman

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.


14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

 

15) Mengosok gigi ketika berpuasa

Persoalan ini telah saya ulas di entry yang berbeza, sila ke tajuk link  'Gosok Gigi Ketika Puasa'


Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net

 

Zaharuddin Abd Rahman

13 Sept 2007

01 Ramadhan 1428 H 

http://www.zaharuddin.net/

 

 

 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Comments  

0 #308 telan kahak batal puasahelmi 2012-05-07 20:11
Assalamualaikum Ustaz...saya ada soalan berkaitan puasa. Dari apa yang saya tahu, ikut mazhab Imam As-shafie, telan kahak balik bila dah keluar ke mulut batal puasa. Saya dulu-dulu selalu buat macam tu. Time perhimpunan sekolah la yang paling banyak. dok berdiri kat tengah2 orang ramai nak ludah kemane. kadang2 dok dalam kete atau dalam bas takde tempat nak buang. Lagipun dulu2, saya tak tahu tak boleh telan. Kadang2 tu sebab malas nak ke tandas untuk buang.

Macam mana puasa saya selama ni Ustaz??? Nak kene repeat ke tak??? Banyak jugak tu, nak kene bayar denda lagi.
Quote
+2 #307 Apa perlu dilakukan?Abdullah 2011-11-17 21:29
Assalamu'alaikum. Ingin tanya, apabila seseorang melakukan perbuatan onani ketika puasa Ramadhan, kemudian bertaubat. Apa yang perlu lakukan mengenai puasanya? Apakah perlu qadha' saja, atau perlu fidyah saja, atau kedua2? Boleh ustaz kongsikan bersama?
Quote
0 #306 Adakah ia batal?farah 2011-08-26 06:18
Assalamualaikum Ustaz

Berkenaan tajukku,saya ingin bertanya.
Adakkah puasaku batal kalau ku muntah ketika ku masih sedang bersahur? Masa tu, waktu sikit lagi masa bersahur hampir tamat.

Sekian.
Quote
+1 #305 Jolok Dubur Paksa Najis Keluaruzzri 2011-08-14 14:48
Assalaamua'laikom ustaz, Jika berdasarkan dari penerangan Dr. Yusof Qaradhawi berkaitan jolok dubur dibulan puasa tidak batal dengan syarat dinyatakan. Bagaimana pula dengan kes saya ini.

Saya ada masalah perut terutama angin dalam perut dan kadang2 bisa perut rasa hendak buang air besar. yang jadi isu bila berlaku ketika waktu solat saya perlu ke tandas dulu untuk memaksa najis keluar dengan memasukkan jari.. adakala sampai ke dalam. Jika tidak ia menyebabkan saya berada dalam keadaan tidak selesa untuk solat. Soalan saya adakah dikira batal puasa. Saya buat bukan suka2. saya tanya semula sebab terjumpa soalan dari web kalam mengatakan masuk satu jari sampai habis batal.
Quote
0 #304 heamodialisiszatil hidayah 2011-08-11 17:01
salam ustaz.saya ingin bertanya,adakah batal puasa seseorang jika dia menjalani proses heamodialisis ketika sedang berpuasa iaitu di siang hari..mohon penjelasan ustaz kerana sepupu saya mengalami kegagalan buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu.
Quote
0 #303 baca doa berbuka sebelum azan magribSuhaila 2011-08-11 07:53
salam. ustaz, batal tak puasa kita kalau kita baca doa berbuka beberapa minit sebelum waktu berbuka. tapi tak berniat pun nak makan atau batalkan puasa. mungkin secara tak sengaja. tolong jelaskan
Quote
+1 #302 Kerap muntah diwaktu berpuasaNoryatty 2011-08-10 18:19
Assalamualaikum ...
Ustaz.. saya ingin bertanya... Saya kini hamil 2 bulan, tetapi ingin berpuasa. Tetapi masalah saya sekarang, setiap sejam saya akan muntah. Adakah ini akan membatalkan puasa saya?
Quote
-1 #301 Nasal spraysyamsuri.. 2011-08-10 00:06
merujuk kepada 2 perkarayg ust catatkan ,

"Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik".

dan

"Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)"

soalannya, bagaimana dgn hukum penggunaan nasal spray untuk pesakit yg mempunyai influenza atau resdung atau allergik hidung?? :-|
Quote
0 #300 InsanBudee 2011-08-09 12:05
waktu imsak adalah waktu berwaspada,iait u menandakan subuh telah dekat, justeru itu masih boleh menjamah lagi makanan pada ketika itu sehinggalah masuk waktu subuh.
Quote
0 #299 mohon izin kongsi artikelmtaqtanwiriah 2011-08-09 08:24
huraian yang jelas dari UZAR..
mohon dikongsi di blog kami..
syukran
Quote
0 #298 tmbah ilmu...gjoe 2011-08-08 13:06
makruh ke bercerita pasal mknn ketika berpuasa..contohnya
berbuka nanti sy nk mkn itu ini dan mcm2 lg...kemudian andai kata saja gurau-gurau ckp pagi td sarapan tp kita masih berpuasa...ape hukumnya...?????
Quote
+1 #297 Menghabiskan makanan sahurAbu fayadh 2011-08-08 08:19
Salam ustaz.. Sy bekas plajar jordan dlm bidang medic
Nak ty berkenaan dgn menghabiskan makanan sahur semasa azan subuh bkumandang.. Dgn 3lah supaya tidak membazir
Dan apakah status hadis tersebut?
Mohon ustaz dpt mbantu
Quote
0 #296 Komen tertutup untuk Ustaz Zaharuddinkomener 2011-08-06 23:49
Assalamualaikum . Tak perlu publish komen ini.
Saya amat terkilan sejak tahun lepas apabila Ustaz post artikel ini. Sejak itu, ramai yang copy paste dan mengatakan "hal remeh temeh" sedangkan perkara yang dibahaskan oleh ulama mazahib bukanlah sesuatu yang remeh. Tetapi oleh kerana Ustaz telah quotekan pandangan Al-Qaradhawi maka mereka menganggapnya begitu. Di dunia ini sebenarnya masih ramai alim ulama tradisi yang membahaskan soal hukum mengikut tradisi ilmu. Pengaruh golongan an-najdiyin telah tersebar luas.

Walaupun Al-Qaradhawi terkenal di seluruh dunia, tidak bermakna kenyataannya benar belaka. Ramai alim ulama yang berpendapat bahawa beliau kerap bertasahul. (Mereka bukan ulama yang suka mengutuk Al-Qaradhawi. Itu golongan lain.) Sangat menghairankan perkara yang dibahaskan oleh para alim ulama kurun terbaik dikatakan sebagai remeh temeh, sedangkan apa yang mereka usahakan hanyalah kesempurnaan dalam mentaati perintah Allah. Wallahu a'lam wa 'ilmuhu atamm.
Quote
0 #295 PeribadiAfiq 2011-08-06 15:00
Salam,,
Saye seorng yg lmah dlm kyakinan,,
Bgaimna nak beza antara mazi n mani..??
Bgaimna mazi dan mani kluar???
Bgaimna mandi wajib yg mdah??
Saye mndi trlalu lama dn saye sndiri sdar dn sedih ustaz,,
Beri pndapat,,
Tq,, :sad:
Quote
0 #294 terlajak sahursofi 2011-08-05 16:43
Saya mendengar suara mengaji bila bangun dan saya sangkakan suara itu dr masjid jadi rasa sempat lagi bersahur, bila tengok jam pukul 5.50am. saya pernah terbaca subuh masuk 5.47 .Jam tu mmg saya cepatkan dalam 10 minit jadi saya sangkakkan waktu pukul 5.40am ada dalam 7 minit lagi....Pada waktu tu saya terus minum air dan makan sebiji dua kurma. Tiba 2 saya dengar azan...

Kemusykilan timbul apabila saya cek waktu jam saya rupanya hanya cepat 5 minit. Seigat saya waktu saya sahur tu mgkin 5.52am mengikut jam saya, bermaksud waktu sebenar 5.47. Jadi saya makan betul2 pada waktu subuh bermula. Dan menjadi shak lagi saya rasa azan yg saya dengar tu mesti muazzin azan lewat sikit... dan suara ngaji tu rupanya dari rumah jiran saya......jadi macamana puasa saya hari...saya masih menruskan puasa..tapi ada hajat nak ganti sebab dah ragu2
Quote
+1 #293 MENYEDUT MINYAKGuest 2011-08-04 10:28
Assalamua'laikum Uztaz,

Saya ingin bertanya berkenaan dengan suami saya. Beliau seorang mekanik kereta. Kadang-kadang pekerjaannya memerlukan dia menyedut minyak petrol atau diesel tapi tidak sampai menelan. Selepas sedut minyak, beliau akan muntah.
Adakah ini akan membatalkan puasanya?
Terima kasih
Quote
-1 #292 pertanyaanmanusia 2011-08-03 23:48
assalamualaikum ustaz, sy nak bertanya sedikit ttg puasa apabila berhentinya haid. contohnya, haid itu berhenti malam dan kita yakin esok boleh puasa. tp, masih belum mandi wajib pda mlm tsebt kerana sejuk dan memudharatkan kesihatan. Tp jika kita sudah niat pd malam itu utk puasa dan esok paginya baru mandi wajib(sudah azan subuh). Adakah sah puasa itu ? syukran ustaz.
Quote
0 #291 minta izindurrahnur 2011-08-03 23:28
salam UZAR..
minta izin untuk share di blog..syukran..
Quote
0 #290 sekadar berkongsiJustice For Life 2011-08-03 16:49
Quoting Usop pinyond:
salam....
ustaz
saya ingin bertnya.. batalkah puasa saya bila saya menggosok gigi d siang hari? :sad:
saya ingin tahu penjelasan ustaz..


bersugi itu sunat dalam pelbagai hal,kecuali selepas zohor bagi orang yang berpuasa...
kerana hadis nabi ada mengatakan
"bau mulut orang orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi"
Quote
0 #289 Hamba AllahMr.F 2011-08-03 14:05
assalamualaikum ustaz zaharuddin,

tidak bermimpi tetapi selepas terjaga dari tidur air mani keluar dengan sendiri, tidak membatalkan puasa kan ustaz? cuma perlu mandi hadas besar kemudian teruskan puasa seperti biasa?

wassalam

UZAR : ye, jika ia benar2 air mani..bezakan di antara mani dan mazi.
Quote
0 #288 Gigit Kulitali ababwa 2011-08-03 13:12
Ustaz,

Saya ada tabiat suka menggigit kulit pipi di dlm mulut. Adakah batal puasa jika menelannya?
Quote
-13 #287 Mrdquote fatan 2011-08-02 17:32
Melakukan Onani di siang hari waktu puasa batalkah ustats?
Quote
+1 #286 Gosok gigi di siang hariUsop pinyond 2011-07-28 20:47
salam....
ustaz
saya ingin bertnya.. batalkah puasa saya bila saya menggosok gigi d siang hari? :sad:
saya ingin tahu penjelasan ustaz..
Quote
+1 #285 menelan air liur di antara dua bibirrini 2011-07-02 14:12
Ustaz saya ada terbaca di internet yang menyatakan menurut mazhab shafie menelan air liur yang telah keluar dan berada di antara dua bibir itu membatalkan puasa. Boleh kah ustaz huraikan bahagian manakah yang dimaksudkan dengan antara dua bibir itu.
Quote
+3 #284 Bagaimana pula muntah bg wanita mengandung?Atik 2011-06-17 18:00
Assalam…

Ustz, bagaimana yg dikatakan dgn muntah secara sengaja ketika puasa? Utk pengetahuan ustz, sy sdg mengandung 5 bulan. Kdgn kali ini mmg agak mencabar n spjg kehamilan ini sy hilang hampir 3 kilo dlm 4 bulan. Sy kerap muntah n loya. Dlm sehari 3-4 kali mesti muntah. Mmg la muntah org preggy ni bukan muntah yg dijolok2 anak tekaknya, tp loya yg datang jika tdk disusuli dgn tindakkan memuntahkan isi perut, mk sy akan rs mcm nk pitam. Seolah2 ada benda yg tersekat dikerongkong. Persoalan sy, adakah tindakan ini akan membatalkan puasa sy? Sy mmg bercdg utk memulakan latihan dibulan Rejab n Sya’ban ini bg persiapan menyambut Ramadhan. Kdgn kali ini benar2 menguji sy…mcm nk extend studi shj…tp apakan daya, notis utk viva sy perlu hantar sebelom sy bersalin hjg tahun ini. Ia target sy…minta penjelasan…
Quote
-2 #283 pertanyaan..fateha 2011-05-20 17:27
assalammualaiku m ustaz..
sy melahirkan anak dan berpantang di bulan puasa,adakah sy wajib menggantikan puasa sy dengan berpuasa selama sbuln juga? ataupun adakah cara lain untuk sy gnti puasa disebabkan bersalin selain berpuasa selama sebulan juga?
Quote
-3 #282 Bab Kahak dgn Air liuramir zakwan 2011-03-17 23:30
Assalamualaikum Ustaz...
Saye ingin bertanye tentang dua perkara ;

1 adakah time solat kita dikira berpuasa?? sbb pada masa kite bersolat kn x boleh makan & minum..

2 ade satu hari ni saye jdi imam isyak..pada rakaat 2 tetibe saye terbatuk lalu terkeluar kahak..75% terkena kat tgn saye tp 25% lgi kt dlm mulut saye..kat hilir lidah..masa tu saye terpaksa telan kahak t'sbut sbb nak bace surah slps al-fatihah..tp kahak tadi saye dh campurkn dgn air liur..jadi kurang sikit rase kahak..sah atau x sah solat saye ustaz?? kalau x sah perlukah saye qada' solat t'sbut?? makmum bagaimana pula?? kene qada' juga ke??( 3 org je..ahli keluarga )

Semoga ustaz dapat membantu saye..saye masih risau takut-takut x sah solat t'sbut..

Wallahu a'lam
Assamualaikum
Quote
+2 #281 HidupMohammad 2010-10-01 17:24
Assalamualaikum Uzar, saya nak bertanya pada ramadhan yang lepas saya telah dijangkiti selesema. Disebabkan pada hari tersebut saya berpuasa dan tidak boleh makan ubat, saya cuma membeli "Vicks Inhaler" untuk melegakan perjalanan pernafasan saya yang tersumbat untuk keselesaan badan dan menumpukan tugasan di pejabat. Adakah puasa saya batal disebabkan menghidu bau tersebut.. niat saya cuma untuk menghilangkan rasa hidung tersumbat..

Sekian..
Quote
+1 #280 Kifarat puasaabgngah 2010-08-29 19:29
Salam UZAR,

Saya ada tgk komen UZAR pasal org yg batalkan puasa di siang Ramadhan untuk bersetubuh dengan isteri. Dalam keadaan ini, adakah hukum puasa 3 bulan dikenakan? Adakah hukum puasa dikenakan pada suami sahaja atau kedua-duanya? Bagaimana pula hukum kifarah bagi pasangan yang berzina di siang hari bulan Ramadhan jika mereka tidak berpuasa pula?

Jazakallah..
Quote
+1 #279 Apa perlu saya buat?Fitri 2010-08-29 18:00
Salam ust...saya pernah mengeluarkan air mani secara sengaja di siang hari..dan saya bt0l2 menginsafinya..bolehkah saya mggantikannya?
Quote

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 


 

Ruangan Iklan









RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Aktiviti Semasa

  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 86 guests
Latest members:
  • Kafineczo
  • Arboledo

Komen Terbaru

You are here: Fiqh Ibadah Ramadhan & Batalkah Puasa Kita Jika...