Fiqh Ibadah Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?

Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?

  • PDF
(6 votes, average 5.00 out of 5)
"

Salam Idilfitri 1429 H & Soal Pahala

www.zaharuddin.net

Salam Hari Raya

 

Soalan

Salam Ustadz,

Apa hukumnya jika kita buat amal dalam bulan Ramadan kerana nak pahala, sadakah ia salah? Saya ada membaca seseorang seolah mempertikaikannya.

Dia menulis : Sebaik-baik sedekah adalah sedekah Ramadan. Sebesar-besar kebaikan adalah memberi makan kepada mereka yang berpuasa. Apakah ia sekadar soal pahala? Saya tetap melihatnya sebagai perlatihan". "Segala ibadah bukan sekadar mengisi musim ibadah, tetapi untuk mencetus momentum yang perlu bagi bulan-bulan yang seterusnya. Ramadhan itulah kursus motivasi, ia jugalah kursus kemahiran, ia jugalah kursus peningkatan agar cergas iman dan tubuh badan. Justeru apa sahaja perlakuan kita di bulan Ramadhan, bukan sekadar mengejar pahala yang dijanjikan, tetapi ia memberhentikan kebiasaan yang buruk lalu digantikan dengan perlatihan untuk mencetuskan kebiasaan yang baik."

Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Awalnya, saya ingin mengucapkan salam idilfitri kepada seluruh pengunjung web zaharuddin.net, moga amalan kita diterima baik dan menghasilkan bekalan tenaga iman yang kuat untuk mengharungi gelora tipu daya Syaitan dan dunia sepanjang tahun.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri 

Kami di UK menyambut Eidil Fitri pada 30 September 2008, Namun begitu sebahagian kecil kawasan UK menyambutnya pada 1 Oktober 2008. Rujuk  

Takbir Raya - Hijjaz, In-Team & Unic

‘Taqabballahu minna wa minkum'

Berbalik kepada soalan, saya tidak pasti sama ada tepat atu tidak kefahaman sdr terhadap tulisan si penulis. Juga tidak dapat saya pastikan sama ada ia di dalam konteks yang betul atau tersasar.

Namun begitu saya akan cuba mengulas berdasarkan soalan yang saudara majukan.

1)                  Saya secara ringkasnya ada yang setuju dan ada juga yang kurang bersetuju.

Saya tidak berapa bersetuju untuk menganggap Ramadhan adalah bulan latihan bagi menjadi baik dan bertaqwa, ini kerana sefaham saya perkataan ‘latihan‘ membawa maksud yang kurang tepat.

Latihan jika dilihat dalam konteks penggunaan biasanya merujuk kepada satu proses di luar medan sebenar dan tiada masalah jika tersilap sekalipun dalam proses tersebut.

Justeru, saya tidak sama sekali boleh setuju jika itulah maksud 'latihan' yang dimaksudkan oleh penulis tersebut, namun saya harap bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau.

Sebagaimana saya juga tidak bersetuju dengan pendapat beberapa penggerak dakwah yang mengatakan Universiti adalah tempat latihan berdakwah. Bagi saya ia bukan tempat latihan tetapi adalah medan sebenar, cuma medannya sedikit lebih kecil dari luar kampus. Dosa pahala tetap wujud di dalam universiti, tanggungjawab mencegah mungkar dan mengajak kepada yang ma'ruf tetap wujud di atas bahu pelajar muslim dan muslimah di sana. Ia bukan latihan, ia medan pendidikan.

Sama seperti Ramadhan, ia adalah bulan ujian sebenar dan bulan didikan bagi umat Islam, ia bukan bulan latihan tetapi didikan. Mungkin perkataan didikan lebih sesuai berbanding latihan. Wallahu'alam.

2)                  Adakah salah mengejar pahala di bulan Ramadhan ?

Jawapan ringkas saya, TIDAK SALAH. Namun kurang baik jika minat untuk mengejar pahala itu sekadar terhenti di bulan ramadhan, sedeqah hanya di bulan Ramadhan, solat sunat pun demikian, itu yang salah. Sama seperti apa yang telah saya tuliskan, antara kesalahan umat Islam adalah menghindari dosa secara bertempoh, seperti seorang ahli maksiat berkata :

" Ini bulan Ramdhan, kita stop nanti dulu, nanti Raya kita sambung la"

Ini memang terkeji, bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyah dan pendidikan diri agar mampu menghindari dosa itu sehingga 11 bulan akan datang.

BUKAN ‘LATIHAN' TAPI PENDIDIKAN

Keghairahan kepada pahala juga dituntut; penjagaan solat, bangun malam, bersedeqah, bacaan al-Quran dan macam-macam mesti diusahakan untuk diteruskan selepas Ramadhan. Inilah hasil pendidikan Ramadhan, namun ia bukan ‘latihan'.

Cuma apakah wajar kita menggunakan bahasa atau perkataan berikut :-

"Apakah sekadar pahala?"

kepada mereka yang berbondong-bondong beribadah di bulan Ramadhan kerana ingin pahala?

Memang benar, kita ingin menasihati mereka agar jangan terhenti ibadah dengan tamatnya Ramadhan, namun menurut apa yang saya faham, perkataan yang digunakan itu kurang sesuai dan seolah menyalahkan mereka yang berniat mendapat pahala di bulan mulia Ramadhan ini.

Salahkah mereka tiba-tiba ringan beribadah (walau dengan apa jua niat) di bulan Ramdhan kerana ingin mengejar gandaan pahala yang ditawar di musim Ramadhan? Ini mungkin persoalannya?

Tidak salah jika mereka amat ghairah dan berminat beribadah kerana pahala walaupun hanya di bulan ini kalau itulah sahaja yang termampu dek mereka asalkan mereka tidak meninggalkan yang wajib. Namun demikian, mereka sepatutnya membuat yang lebih baik dari itu dengan meneruskannya di luar Ramadhan sebagai tanda berjayanya proses pendidikan Ramadhannya.  

Sifat keinginan kepada pahala di waktu puasa ini dinyatakan dalam hadis popular :-

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Ertinya : Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan penuh keimanan dan "ihtisab" , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu" ( Riwayat Al-Bukhari, no 38, 1/22)

Apakah erti ihtisab?

Al-Hafidz Ibn Hajar memetik takrifan yang diberikan oleh Imam Al-Khattabi iaitu :-

احتسابا أي عزيمة وهو أن يصومه على معنى الرغبة في ثوابه

Ertinya : Ihtisab ertinya satu keinginan kuat iaitu dia berpuasa dalam rasa keinginan kuat untuk memperolehi pahalanya. (Fath Al-Bari, 4/110)

Pengertian yang serupa boleh dilihat dalam kitab ‘Aunul Ma'bud Syarah Sunan Abi Daud (2/190)

Selain itu, ihtisab juga membawa erti ikhlas untuk Allah swt dan mengkehendaki redhanya. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/39 ; ‘Umdatul Qari, 1/226)

Malah jikalau keinginan beroleh pahala itu ditegah, maka apa gunanya Allah SWT menawarkannya dan sudah tentu Nabi s.a.w tidak akan kerap mengulang-ulangkan perihal ganjaran pahala kepada para sahabat dan Umat Islam. Semua tawaran dan tarikan pahala ini boleh dilihat terlalu banyak dalam pelbagai ayat dan hadis dalam pelbagai jenis keadaan.

Sifat manusia yang normal memang sukakan ganjaran, bezanya bagi seorang insan soleh, yang beriman lagi bertaqwa mereka sukakan ganjaran pahala dan syurga serta keredhaanNya. Namun janganlah sehingga menolak pahala kerana inginkan keredhaan, hal ini kerap dinisbahkan kepada tokoh Sufi Rabi'ul Adawiyah, namun saya tidak pasti kesohihan menisbahkan kata-kata sebegini kepadanya. Bagi saya, bukankah pahala itu juga sebahagian dari keredhaan Allah swt, maka mengapa ingin dipisahkan?.

INGIN PAHALA JUGA ADALAH PENDIDIKAN ATAU ‘LATIHAN'

Selain itu, pahala adalah sesuatu ganjaran yang bersifat spiritual dan tiada kelihatan sama sekali. Oleh itu, sesiapa yang bermotivasi untuk bersedeqah, solat, doa, membaca Al-Quran dan lain-lain ibadah kerana inginkan pahala yang disebutkan Allah dan RasulNya, itulah satu jenis pendidikan spiritual dan ‘latihan' yang juga amat dituntut.

Bukan semua orang terangsang dengan gandaan pahala di bulan Ramadhan, hakikatnya lebih ramai yang tertarik dengan ganjaran duit dan kebendaan berbanding pahala yang tidak kelihatan itu.

Amat jelas, individu yang beribadah berkali ganda di bulan ini kerana pahala, sedang menjalani proses pendidikan dan ‘latihan' yang dikehendaki Islam, iaitu memantapkan keimannnya kepada Allah, hari akhirat serta menyakini bergunanya matawang pahala di alam selepas mati. Itu sepatutnya di puji dan bukan diulas seolah-olah satu kesalahan untuk mendapat pahala. Bukan mudah untuk membuat seseorang tertarik dengan pahala.

Kesimpulan, soal pahala adalah soal besar, jangan dianggap kecil sehingga dipersoal "apakah sekadar pahala?". Dengan pahala, mungkin kemampuan untuk terus ber istiqamah akan menjelma.

Kami di UK menyambut Eidil Fitri pada 30 September 2008, Namun begitu sebahagian kecil kawasan UK menyambutnya pada 1 Oktober 2008. Rujuk  

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Oktober 2008

29 Ramadhan 1429 H

Wales, United Kingdom



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Comments  

0 #21 Pak Usu 2008-10-08 09:24
Assalamualaikum ..

Izinkan saya mencelah perbincangan di antara 2 tokoh agama kontemporari yang hebat ini..

Bagi saya, samada kita nak seru orang beramal untuk pahala atau untuk "sesuatu yang lebih dari itu" ia lebih menjurus kepada tahapan mad'u.

Golongan2 Ustaz2 yang mengajar kita dari kecil dahulu banyak mengajar kita akan pelaksanaan ibadah untuk mendapat pahala. Bagi saya ia mungkin sesuai dengan tahap pemikiran kita di waktu tersebut (sekolah, baru nak belajar beramal)

Kerana janji pahala dan ganjaran adalah antara penarik utama kepada golongan2 yang baru nak berjinak2 di dalam beramal ini. Dan di dalam dunia yang serba serbi mencabar sekarang, amat2 sukar untuk kita teka di tahap mana sesetengah golongan itu berada, maka sebab itulah kebanyakan penceramah menerangkan secara meluas berkenaan ganjaran dan pahala beramal.

Apa yang Ust Abu Saif tekankan, saya kira adalah "one step further" daripada apa yang selalu ditekankan oleh ustaz2 lain. Iaitu kita beramal bukan semata2 kerana nak pahala tetapi ada matlamat lain yang lebih besar dan jelas berkenaan setiap amalan yang kita laksanakan tersebut.

Saya kita Ust Abu Saif mengatakan demikian adalah kerana mahu upgrade pemikiran pembaca blog beliau. Memang sudah tiba masanya para peminat ilmu Islam menerima idea2 baru yang lebih "upgraded version" supaya iman amal, akhlaq dan keyakinan mereka juga akan dapat diupgrade dan tidak terlalu terkongkong dengan idea2 lama.

Saya berpendapat ada baiknya kita berterima kasih juga kepada yang bertanya kerana dengan soalan beliau tersebut maka terjadi percambahan ilmu, terlaksana Upgrading di dalam amal, keyakinan, akhlaq dan Iman setiap pembaca kedua2 blog, seteruanya dapat disebarluaskan kepada seantero dunia InshaAllah


Ustaz Saya (Almarhum Ustaz Suhaimi..Moga Allah mencucuri rahmat keatasnya) selalu sebut: Dalam beramal, ada pedagang, ada hamba dan ada pencinta. Jangan TERLALU jadi pedagang, beramal kerana nakkan keuntungan, kurangkan jadi hamba yang beramal hanya kerana takut (tak faham dan tak belajar) tetapi lebihkan menjadi pencinta, yang berbuat amal hanya kerana ketaksuban cinta suci kepada Allah.. (Panjang elaborationnya tapi saya ringkaskan)

Apa2 pun jazakallah UZAR dan Abu Saif kerana menunjukkan kami jalan2 ke arah peningkatan amalan...
Quote
0 #20 aiyrie 2008-10-07 08:36
Assalamu'alaikum...

pertamanya, saya mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri kepada Ustaz Zaharuddin dan keluarga khasnya dan pembaca web ini amnya.

Seingat saya, saya pernah terbaca satu artikel UZAR tentang MANHAJ BERFIKIR, tapi bukan melalui web ini. Artikel tersebut telah di perpanjangkan melalui buletin friendster.Saya rasa, artikel itu amat sesuai dibaca oleh semua pelawat-pelawat blog terutama yang berunsur ilmiah. (Saya cuba cari balik, tapi tak jumpa...)

***
Dari artikel yang dimajukan oleh penyoal, saya tak nampak langsung yang penulisnya mempertikaikan "buat amal dalam bulan Ramadan kerana nak pahala". Apa yang dipertikaikan ialah "buat amal dalam bulan Ramadan kerana SEKADAR nak pahala". Ada tambahan satu perkataan di situ yang menjadikannya sangat-sangat berbeza maksud. Tambahan perkataan itu nampak kecil, tapi sangat-sangat signifikan.

Nasihat saya buat pelawat-pelawat blog macam saya, bacalah artikel secara keseluruhan dan perhatikanlah penggunaan perkataan dan susunan ayat yang digunakan sekali....


UZAR : Jika beramal sekadar nak pahal pun , ia masih dibenarkan dalam Islam dan ia masih tergolong dalam akhlak.

cuma ia mungkin bukan yang terbaik, tapi tidak harus dicerca dan diperkecilkan.
Quote
0 #19 Zana 2008-10-07 07:46
Fuhyo abusaif n uzar btukar2 pandangan ler...hebat2. Sy sentiasa menyokong ustz bdua. Semoga btambah2 la keimanan n kecintaan sy thadap islam dgn mengamati tulisan ustz bdua.
Quote
0 #18 MHHY 2008-10-07 07:34
Salam semua...

Ramai yang beranggapan bulan Ramadhan adalah bulan latihan kerana banyak hadis dan keterangan dari ustaz2 yang boleh dipetik daripada buku atau internet mengatakan bahawa banyak pahala boleh dikumpul dalam bulan Ramadhan. Justeru itu ramai orang Islam berlumba2 mengumpul pahala dengan mengerjakan amalan2 wajib dan sunat dan tidak mustahil semua masjid di Malaysia dilimpahi oleh umat setiap kali Ramadhan terutamanya 10 malam terawal.

Tetapi bila masuk 10 malam terakhir, saf yang awalnya sampai ke luar masjid sekarang memenuhkan saf di depan yang kosong ditinggalkan. Jika kita bersangka baik, kita beranggapan mungkin ramai jemaah lebih khusyuk untuk beribadat sunat di rumah masing2. Dan kerana bersangka baik jugalah, kita beranggapan setelah perginya ramadhan maka perginya juga jemaah yang dulu waktu Isyak'nya melimpah ruah beribadat di rumah masing2. Kiranya kita tidak menganggap bulan Ramadhan sebagai bulan latihan, mungkin masjid2 kini dipenuhi jemaah pada waktu Isyak dan mungkin juga Subuh kerana kita mendirikan solat jemaah di masjid adalah lebih diutamakan.

Sehubungan dengan isu latihan, ada orang beranggapan pergi ke Mekah itu kerana ingin menemui Allah maka setelah pulang ke Malaysia dari menunaikan umrah atau haji umat Islam kembali kepada rutin mereka. Yang tidak menutup aurat kembali mendedahkan aurat, yang berbuat maksiat masih lagi meneruskan aktiviti maksiat. Adakah "tuhan" yang disembah di Mekah lain dengan tuhan yang disembeh di Malaysia? Wallahua'lam. minta ustaz beri pandangan.
Quote
0 #17 Aishah 2008-10-07 07:09
Salam Ustaz,

Mintak maaf klau saya menyelinap di dalam soalan orang. Saya ingin bertanya, apa hukumnya kita menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh vendor/supplier kita. Ada yang mengatakan ianya rasuah dan haram menghadirinya.

UZAR : Ia bergantung kepada banyak faktor dan sukar untuk saya mengesan ia jatuh rasuah atau tidak..serta dibuat hukum secara umum.

SEcara ringkasnya, ia ada syubhah..
Quote
0 #16 puteri_Ganu 2008-10-05 11:39
Salamu Alaikum ustaz..
Lanjutan soalan oleh megat ismail akil berkenaan riyak dalam bersedekah tadi.. Bagaimana pula kalau kita berbuat kebaikan kepada orang termasuklah sedekah katakan, bagaimana pula jika kita melakukannya dengan ikhlas, namun ada pula perasaan ujub yang menyelinap? Adakah pahalanya juga hilang? Kadang2 saya hanya mampu beristighfar, dan cuba meng koreksi kan semula apa yang terlintas tadi.

UZAR : Sedeqah banyak kali, inshAllah lama-lama tiada lagi perasaan riya dan ujub. Cubalah sedaya mampu.
Quote
0 #15 Orang Muda 2008-10-04 12:40
Salam..ustaz..selamat hari raya fitrah, maaf zahir batin...saya mohon kebenaran ustaz utk copy dan paste artikel ustaz ke dalam blog saya sebagai rujukan bila saya memerlukan....terima kasih diatas segala info dan ilmu yang ustaz sebarkan dalam blog ustaz ini..saya banyak mendapat manfaat daripadanya....
Quote
0 #14 Adry 2008-10-02 23:21
Slamat Hari Raya... Maaf zahir dan batin...


Adry @ www.adrysabry.com
Quote
0 #13 esso worker 2008-10-02 23:21
assalamulaikum ustaz..harap ustaz sihat bersama keluarga tercinta..dan tidak lupa juga salam lebaran kepada ustaz..moga bahagia dihari kemenangan ini..usatz,baru2 ini saya ditawarkan untuk menyertai sebuah perniagaan pelaburan kecil2an yang diberi nama BULUHMAS..apa yang perlu saya lakukan adalah melabur serendah rm15 dan mencari ahli baru..dan komisennya bergantung kepada pelaburan saya..jika tinggi saya melabur maka tinggi lah akan komisenya..saya hendak bertanyakan adakah ini menepati perniagaan yang berasaskan syariat islamiah??atau ada riba yang tersembunyi disebaliknya..sekian ustaz..salamualaikum.. :-?
Quote
0 #12 ABU SAIF 2008-10-02 09:14
Assalamualaikum WBT.

Kullu 'Aam wa Antum bi Alf Khair. Salam ukhuwwah buat al-fadhil ustaz dan pengunjung blog yang baik ini.

Petikan artikel di atas yang diulas adalah petikan daripada artikel saya bertajuk FASTING: STRONGER OR SLEEPIER dan juga ada diceramahkan di dalam bahasa Malaysia. Sebagaimana biasa, adalah lebih baik penyoal itu terus bertanya kepada saya selaku penulis artikel itu sendiri, berbanding dengan memetiknya dan meminta orang lain memberikan komen. Tentu sahaja ia akan mendedahkan kefahaman di luar konteks yang menyulitkan perbincangan.

Jika beliau terus bertanya kepada saya, nescaya saya dengan penuh gembira, bersedia untuk menjelaskannya.

Perkataan yang saya gunakan adalah PERLATIHAN dan bukannya LATIHAN. PERLATIHAN merupakan PROSES dan ia dilakukan secara INTENSIF dan itu adalah mekanisma di sebalik RAMADHAN. Ia tidak sama sekali cuba memberikan impression bahawa Ramadhan bukan realiti, malah di luar Ramadhan, saya adalah penentang keras golongan yang suka memomok pelajar dengan idea 'zaman belajar zaman berlatih, zaman sebenar adalah zaman selepas grad'. Zaman pelajar adalah zaman realiti dengan realiti pelajar, zaman bekerja adalah zaman realiti orang bekerja.

Saya menyebut tentang pahala, bukan dengan maksud menafikan relevannya pahala sebagai motif beramal. Bahkan saya emphasize bahawa ia disokong oleh al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Apa yang saya tekankan di dalam tulisan dan ceramah ialah keperluan untuk melihat tujuan beramal dengan lebih luas daripada sekadar soal pahala kerana ibadah di dalam Islam bertujuan untuk membentuk kita dengan akhlaq dan nilai-nilai yang kita sedia maklum.

Mungkin ada baiknya, pengirim email tersebut diberi ingatan supaya merujuk kepada penulis artikel itu sendiri berbanding menyusahkan ustaz-ustaz lain untuk membahaskan sesuatu perkara di luar konteks apabila terpaksa membuat andaian kerana petikan yang terpisah dari tubuh artikel asal.

Salam ukhuwwah dari ana di tanah air. Selamat Maju Jaya Ustaz....

ABU SAIF
www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
_______________ _______________ _______________ __

UZAR : Alhamdulillah, tiada masalah, saya sudah agak soalan itu akan ada yang terkeluar konteks penulis.. dan ternyata benar, namun syukran atas penerangan ust Abu Saif.

Apapun, inilah cabaran menulis pengisian dari blog dan ceramah, kita rasa kita sudah jelaskan yang paling jelas namun masih ada orang yang memahami dalam bentuk yang berbeza. Ana juga tidak terlepas darinya.

Setelah ana rujuk semula artikel Ust Abu Saif, barulah faham konteks sebenar. Namun adalah lebih baik jika masukkan penjelasan lanjut yang Ust Abu Saif beri ini di artikel yang terbabit, sekadar menutup jalan untuk ada yang tersalah faham lagi.

Sekadar mencadangkan.

Ana akan maklumkan kepada penyoal untuk menyoal terus kepada penulis selepas ini. Penyoal tidak menyebut langsung sumber. Dia hanya bertanya petikan itu sahaja.

Perkataan 'PERLATIHAN', maaf kerana ana tidak berapa cukup vocabulary Bahasa Malaysia untuk fahami maksudnya. Rasanya agak jarang menjumpai penggunaannya, oleh sebab itu ana fahami kata akarnya, iaitu LATIHAN dan mengulas sebagaimana yang telah diulas. Ana harap semua pembaca saifulislam dapat memahaminya. Cuba buka kamsu dewan DBP dan buat carian perkataan itu : sbmb.dbp.gov.my/.../...

Ana sudah mencari perkataan "PERLATIHAN' dalam kamus dewan online, namun tiada. Wallahu'alam. Jika Istilah khas pun hanya ditulis "indenture of apprenticeship". Jika demikianlah, cadangan ana mungkin lebih baik jika digunakan perkataan yang lebih mudah dan jelas. Just my two cents.

Berkenaan pahala dan tujuan ibadah; Ana bersetuju kita beribadah patut dengan bertujuan lebih luas hingga mampu membentuk akhlak dan nilai taqwa dll,

Namun beramal untuk pahala juga adalah tergolong dalam akhlak yang dikehendaki Islam, cuma mungkin level sedikit rendah, wallahu'alam.

Ini kerana keinginan kepada pahala tidak terpisah dari membentu jiwa pelakunya kepada ingatan kepada Allah, mengulangi keyakinan terhadap akhirat dan akhirnya mampu mencapai tujuan ibadah hingga membentuk akhlak jua..Justreu, ia adalah akhlak juga, cuma mungkin ia tidak sebaik mereka yang lebih faham. Itu sahaja.

Kullu am wa antum toyyibun..

Eid Mubarak..dari kami di perantauan..moga sukses

Wales, UK
Quote
0 #11 naji 2008-10-02 00:23
'Eid Mubarak! TaqabbalalLahu minna waminka.

Saya teramat bersetuju dengan "Bukan semua orang terangsang dengan gandaan pahala di bulan Ramadhan.." dan "Bukan mudah untuk membuat seseorang tertarik dengan pahala."

Kadang kita jadi hairan fikirkan kenapa. Mungkin itulah hikmah Allah jadikan pahala sebagai sesuatu yang tidak nampak dan Dia hanya berikan 'nampak' kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya walLahu a'lam.

UZAR : Dan bukan mudah juga untuk menjadikan orang takut dengan dosa..Selamat Hari Raya
Quote
0 #10 Mahathir IKIMfm 2008-10-02 00:21
Salam Aidilfitri dari seluruh warga IKIMfm untuk Ustaz sekeluarga.

UZAR : Selamat Hari Raya buat semua warga IKIMFm yang mengenali ...moga diterima amalan kita
Quote
0 #9 selipar jepun 2008-10-01 12:28
Salam UZAR,

Selamat Hari Raya Aidilfitri..saya nak tau bagaimana di katakan maksud 'Allah sayangkan kita jika kita di timpa sakit atau kemalangan' saya dah cari dalam web ni..tak ada. terima kasih
Quote
0 #8 84 2008-10-01 08:03
Assalamua'alaikum W.w...

Selamat meraikan 'Eidulfitri buat UZAR sekeluarga di perantauan, maaf zahir & batin segala silap salah, yg sedar mahupun tidak.

Sy juga dulu merasakan org yg hanya mengejar pahala ikut musim ni sperti x konsisten dan hanya m'cari ruang membersihkan dosa lalu semata, then rase diri dh 'bersih' skit, blh buat salah lagi.

Tapi alhamdulillah, skrg ni, (lbh2 lps baca artikel UZAR ni), boleh sy andaikan bhwa mengejar pahala itu juga adlh tnda ikhlas. Rasulullah S.A.W tidak mengajar umatnya yg sia2. Rasulullah S.A.W juga tahu fitrah manusia dan tahu bagaimana merangsangnya untuk mencari redha ALLAH. Jadi tidak salah Rasulullah S.A.W mengajar umatnya mencari pahala ketika tiba musimnya. Sekurangnya itu menjadi bekalan pelaku tadi. kita perlu faham, tahap iman kita berbeza, mana mungkin Allah menzalimi hambanya yg 'mungkin sedikit kurang' imannya berbanding yg lain.

Yg paling penting, dlm ramai2 yg mengejar pahala tu, mungkin @ mmg ramai lagi yg tak endah langsung ganjaran pahala yg ghaib ni...Lg sedih kan?

Cuma sy mendoakan diri sy dn pengejar pahala Ramadhan, agar kita teruskan memburu 'bekalan paling berharga' ini di bulan lain walaupun tidak dilipatgandakan spt dlm Ramadhan (yg sy fhm), kerana pd sy Allah menilai kualiti ibdah kita dgn ukuran ikhlas.

Salam Lebaran dr pengunjung setia zaharuddin.net(84). Maaf Zahir & Batin.
Quote
0 #7 megat ismail akil 2008-09-30 22:24
Salam Uzar!

Salam Eidul Fitri di perantauan....
Kuiah apa agaknya raya disana?

Satu persoalan tentang perkara baik yang dilakukan tetapi apabila melakukan perkara baik maka hati kita merasa riak! Bagaimanakah caranya untuk tidak merasa riak apabila kita melakukan sesuatu perkara baik....

contohnya apabila bersedekah dalam keadaan ditempat orang ramai, kita bersedekah tetapi hati kita juga riak kerana ada orang melihat bila kita bersedekah.

Apakah tidak ada pahala apabila bersedekah dengan hati yang riak?

wassalam..........

UZAR : Bayangkan betapa ramai lagi orang lain yang sedeqah lebih hebat dari kita..
Tiada pahala bagi sedeqah orang riya.
Quote
0 #6 Illiyyin 2008-09-30 22:23
Doa baginda Nabi Sallallah alaihi wasallam:"Allahumma Inna Nasaluka Ridhaka wal JANNAH" Ya Allah, kami Memohon KeREDHAAN-Mu Dan SYURGA-Mu. :D
Quote
0 #5 yusof embong 2008-09-30 20:51
salam. janji kita semua dapat keredhaan ALlah. Bila ALlah redha....pahala dapat, syurga dapat. Selamat raya. :-)
Quote
0 #4 iskandar 2008-09-30 20:47
salam buat ustaz sekeluarga. Salam eidulfitri dari kami di Bumi Kenyalang
Quote
0 #3 Ungu73 2008-09-30 20:45
Salam UZAR,

Selamat hari raya Aidilfitri kepada ustaz. Tapi sedih juga sebab tahun ni puasa macam tu juga sama seperti tahun-tahun lepas....maksudnya tidak ada keinginan yang mantap dan luarbiasa untuk mencapai ganjaran di bulan Ramadhan ni. Bila buat solat terawikh mudah terasa lega padahal cuma lapan rakaat je...Itupun tengok mana pak Imam yang baca surah habis cepat ... Tak tahulah bilalah nak berubah ni...

Saya pernah tengok video klip Sheikh Misyari Rashid AlAfasy menjadi imam solat terawikh di salah sebuah negara Arab. Pada waktu tu saf penuh melimpah hingga keluar masjid dan pada hari itu juga hujan renyai tapi hati saya menjadi sayu apabila melihat jemaah disitu tidak berganjak pun walaupun mereka dihujani dengan air hujan, lebat juga tu...

Subhanallah, beginilah agaknya orang yang benar-benar ingin mendapatkan ganjaran puasa dengan ihtisab yang ustaz katakan tadi tu....
Quote
0 #2 Zana 2008-09-30 20:45
Ustz apa makna taqabballahu minna wa minkum tu? Ada org 2 xleh motivated by ganjaran pahala, xmengharap keredhaan Allah SWT etc..wpun dia bpakaian mcm org islam, percaya Allah & rasul saw tp hati dia kosong. Cemana nk slamatkan iman n motivate org mcm ni. Patut dgn bdoa saja ke. Nk ckp byk,xmampu. Slamt ari ry, maaf zahir batin :D :-)
Quote
0 #1 Amin007 2008-09-30 20:44
waa, awalnya sambut raya. kat malaysia sambut 1 Okt 2008 :-) .
sana pakai rukyak ker hisab???

tapi UZAR menulis "Amat jelas, individu yang beribadah berkali ganda di bulan ini kerana pahala, sedang menjalani proses pendidikan dan ?latihan' yang dikehendaki Islam, iaitu memantapkan keimannnya kepada Allah, hari akhirat serta menyakini bergunanya matawang pahala di alam selepas mati. Itu sepatutnya di puji dan bukan diulas seolah-olah satu kesalahan untuk mendapat pahala. Bukan mudah untuk membuat seseorang tertarik dengan pahala."

pahala adalah sesuatu benda yang tak nampak. kalau nak samakan konsep pahala dengan markah boleh ker???

tapi pahala akan digunakan di akhirat kelak, siap boleh buat timbangan lagi. boleh bagi pahala sama ada rela ker atau terpaksa bagi kes-kes tertentu laa.

yang penting sekali macam mana nak buat orang ghairah mendapatkan pahala walaupun selepas bulan ramadan ni. atau mereka semua hanya tahu tentang ganjaran pahala masa bulan ramadan, bulan lain tak tahu sebab takde orang bagi tahu :D

tapi bagi saya untuk mengalakkan orang beramal selepas ramadan, rasa kena baca kitab fadilat amal oleh maulana zakaria atau riaratul solihin oleh imam nawawi (tak tahu ejaan betul ker tak)pada setiap hari. tu belun hadis-hadis yang disiar di tv3 setiap kali masuk solat waktu
Quote

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 


 

Ruangan Iklan









RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Aktiviti Semasa

  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 80 guests
Latest members:
  • Kafineczo
  • Arboledo

Komen Terbaru

You are here: Fiqh Ibadah Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?