Pergi Haji : Dalam Hutang Dan
Secara Berhutang
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Dalam isu berkaitan, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang sedang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.
Adakah pembayaran hutang perlu didahulukan dari menjadi tetamu Allah di Baitullah al-Haram?
Bagaimana pula jika hutang untuk tempoh yang panjang? Selain itu adakah wajar pula berhutang untuk menunaikan haji.?
Artikel ini dibuat bagi menjelaskan isu ini secara padat dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah dari ayat :-
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 )

Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan' belum diperolehi.
Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi s.a.w menjelaskan :
الزاد والراحلة
Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 [1])
Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan
Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)
2- Kenderaan dan Perjalanan
Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)
DUA ISU UTAMA
Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajiban haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu yang ingin kita bincangkan? Ia seperti berikut :-
a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji
Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji.
Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman.
Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga asal kos haji.
Jawab ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN PRIORITY. Itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi s.a.w apabila ditanya oleh seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa,
سألته عن الرجل لم يحج أيستقرض للحج ؟ قال : لا
Ertinya : Berkata Abdullah : Aku bertanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang lelaki yang belummenunaikanHaji, adakah boleh ia meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : TIDAK" (Musnad As-Syafie ; 1/109 ; Al-Um, 2/116 )
Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu :
ومن لم يكن في ماله سعة يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل
Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116)
Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya.
Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa belanja bekalan itu mestilah :-
أن يكون هذا فاضلا عما يحتاج إليه لنفقة عياله الذين تلزمه مئونتهم في مضيه ورجوعه لأن النفقة تتعلق بها حقوق الآدميين , وهم أحوج وحقهم آكد...وأن يكون فاضلا عن قضاء دينه
Ertinya : Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih dari apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya dari nafqah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafqah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan ( dalam hal ini dari Haji yang merupakan Hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah bekalan ia dari harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317)
Namun demikian, jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan keseluruhan tanggungjawab (kewajiban) hartanya kepada yang berhak (seperti anak dan isteri), kerana ia mempunyai simpanan yang mencukupi atau harta lain (dalam bentuk hartanah atau lain-lain) yang boleh dijual apabila perlu, tatkala itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam As-Syafie :
ولكن إن كان ذا عرض كثير فعليه أن يبيع بعض عرضه أو الاستدانة فيه
Ertinya : "Tetapi jika ia mempunyai harta yang banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai )" ( Al-Umm, 2/116)
b) Hutang belum selesai tetapi ingin menunaikan haji.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan bahawa seseorang yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB untuk menunaikan haji. Sebagai yang dijelaskan di atas, ulama sependapat bahawa ‘bekalan' yang dimaksudkan oleh Nabi adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya, justeru hutangnya terhadap individu perseorangan adalah termasuk dalam tanggungjawab asasinya seperti juga nafqah wajib.
Selain itu, hutang individu perseorangan yang bersifat jangka pendek MESTILAH diselesaikan sebelum pergi menunaikan Haji.
Sebagai contoh, terdapat beberapa individu yang masih berhutang dengan saya sebanyak RM3000, sedangkan janji pelunasan hutang sudah terlewat sekitar setahun dan beberapa bulan. Kesannya, individu ini tidak layak menunaikan haji kecuali telah melunaskan hutang yang telah dimungkiri tempohnya terlebih dahulu,
ATAU
sebagai pilihan lain, WAJIBLAH atasnya meminta izin dari saya (pemberi hutang) menunaikan Haji. Tujuannya adalah agar pemberi hutang, boleh redha jika sesuatu berlaku kepadanya sewaktu di tanah suci lalu samada menghalalkan hutang berbaki atau menuntut dari waris keluarganya.Tanpa izin, ia tidak seharusnya pergi menunaikan Haji.
Justeru, sekiranya pihak kerajaan ingin mengeluarkan khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan Haji, seluruh pertimbangan ini mestilah diberikan dan disemak kepada pemohon sebelum kelulusan diberi, agar khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap sasaran sehingga membawa mudarat kepada individu yang kurang berkemampuan, lalu menjerumuskan mereka di dalam perkara haram.
Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba' berpegang dengan mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie sendiri telah meriwayatkan hadis berkenaan larangan meminjam untuk menunaikan haji. Maka jika ulama rasmi kerajaan ingin mengambil pendapat lain, mereka perlulah berhati-hati serta menilai syarat-syaratnya dan tidak tergesa-gesa.
HUTANG INSTITUSI KEWANGAN
Namun demikian, terdapat perbezaan di antara hutang individu dengan hutang Institusi Kewangan yang berpanjangan selama bertahun-tahun malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah.
Seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan, terutamanya bagi mereka yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji.
Seorang jutawan muslim di sebuah masjid di Kuala Lumpur pernah berkata kepada :-
"Ustaz kalaulah berhutang itu menghalang seseorang pergi haji, saya pastinya tidak akan pergi haji sampai bila-bila, walaupun saya ada harta yang banyak"
"Mengapa kata demikian?" Tanya saya
"kerana saya ada syarikat sendiri, dan syarikat sentiasa ada hutang baru, biasalah ustaz, bisnes sederhana dan besar tanpa wujud hutang adalah tidak logik. So, adakah kerana hutang syarikat saya ini menyebabkan saya tidak berkelayakan menunaikan Haji?" balasnya perlahan dan sangat berminat mendengar jawapan.
"Ooo, hutang jenis tu lain sikit cara pengendaliannya, tapi masih ada syarat" jawab saya ringkas
Benar, hutang dari jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan mereka untuk menunaikan haji DENGAN SYARAT, pemergiannya ke Haji tadi TIDAK AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi kewangan tadi.
Jika diyakini pemergiannya ke Mekah, BAKAL menyebabkan terjejasnya kedudukan kewangannya sehingga diyakini boleh menjejaskan tanggungjawab wajibnya seperti nafqah, dan hutang wajib kepada institusi kewangan.
Tatkala itu, TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan Haji malah pemergiannya boleh membawa kepada haram, ini kerana telah sedia maklum bahawa apa-apa yang diyakini membawa kepada haram, maka hukumnya juga jatuh HARAM. Disebutkan oleh para ulama Islam satu kaedah yang dipetik dari dalil-dalil al-Quran dan hadis :-
ما يؤدي إلى الحرام فهو حرام
Ertinya : Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adaah haram ( Majma Al-Anhar, 4/251 ; Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi'ien, Ibn Qayyim, 3/137 )
Ia juga boleh difahami dari firman Allah yang mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan hanya zina sahaja yang haram, segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata, chat bersyahwat, telefon bersyahwat dan lain-lain.
Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa mudarat kepada hak pemilik hutang dari kalangan individu dan institusi kewangan.
KESIMPULAN
Tiada jawapan satu baris bagi kedua persoalan di atas kecuali perincian dan semakan terhadap kemampuan individu dan kiraan semula nafqah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat di pastikan sama ada berhutang untuk menunaikan Haji dibolehkan atau sebaliknya.
Demikian juga halnya bagi mereka yang sedang terikat dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang dari pelbagai aspek dan hanya selepas itu boleh ditentukan sama ada individu ini boleh menunaikan Haji. Tanpa penilaian yang tepat, seseorang itu mungkin sahaja pergi haji dengan dosa kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera.
Sebagaimana berdosanya seorang isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suami.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
26 Nov 2008
[1] Namun kesohihan dan hasan hadis ini dipertikai, Imam Ibn Munzir mengatakannya dhoif, Abu Hatim terdapat perawi status munkar iaitu Abu Qatadah Abdullah Bin Waqid al-Harrami; Ibn Hajar Al-Asqolani mengatakannya tidak mawsul, manakala jalan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula terdapat rawi bernama Ibrahim Bin Yazid al-Khuziyy yang dikatakan sebagai matruk . Kesimpulannya kata Ibn Hajar, semua jalan periwayatannya adalah dhoif. ( Talkhis al-Habir, 2/221 )
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites





























Comments
1. apakah hukum bagi seseorang yg ada kemampuan utk menunaikan haji & mampu utk sediakan keperluan utk keluarga yg ditinggalkan, tetapi memberi alasan utk tidak pergi awal disebabkan anak2 masih kecil - adakah alasan ini relevan?
2. umum mengetahui, skrg telah byk produk takaful dijual utk persediaan kewangan jika kite meninggal ketika anak2 masih kecil & ada pula hutang yg ditinggalkan. Bagi sy keperluan hidup utk keluarga & kegunaan utk langsaikan hutang sy slps ketiadaan sy telah disediakan, jadi sy tidak perlu bimbang jika mahu menunaikan haji walaupun masih mempunyai hutang kereta & rumah. Bagaimana pendapat uzar pula?
terima kasih.
situasinya ialah, adik beradik sepakat ingin membiayai perbelanjaan menunaikan haji untuk ibu bapa(masih hidup dan sihat) mereka, tetapi mereka sendiri belum lagi menunaikan haji untuk diri sendiri. Soalannya ADAKAH boleh ?.atau adik-beradik ini perlu tunaikan haji dulu sebelum membantu ibubapa mereka..?
terima kasih, ustaz
Sejak kebelakangan ini berkemundangan di radio,institusi kewangan islam contoh Bank Islam menawarkan pinjaman umrah bulan ramadhan iaitu pergi dulu and bayar 3 bulan akan datang ianya saperti iklan Court mamonth.apakah pendapat Ustaz tentang perkara ini.Adakah dibenarkan?
apakah maknan bagi yang berkemampuan (dari segi kewangan) menunaikan haji? maksud saya utk org kaya..Inshallah confirm mampu dari aspek perbelanjaan..tapi bagi golongan yg sederhana pertengahan atau bawahan mcm mana?sedang kan merokok hari2 mampu
apa yg saya faham pinjaman d institusi kewangan x d benarkan utk menunaikan haji sekiranya institusi itu mengamalkan riba...jd bagaimana jika kita pinjam dari institusi perbankan yg mengamalkan perbankan ISLAM?
saya nor dari kuantan
saya mnghadapi konklif rumahtangga yg tak mngkin tenang kembali..sya bercadang mn
UZAR : sebaiknya selesaikan dahulu masalah rumahtangga tersebut, krn pergi umrah tanpa izin suami mengundang dosa juga di sisi Allah
UZAR : tiad amaslaah, boleh digunakan. Cuma jika cara ayah membuat pinjaman adalah secara riba. Transaksi pijmana ada dosa besar di situ. Tapi tanah yang telah dibeli dan dijual dgn cara yang betul. Hasilnya adalah halal.
saya berniat utk ke umrah/haji dalam masa terdekat.
saya bercadang untuk mengadai/pajak simpanan emas untuk tujuan umrah/haji.
apakah hukumnya boleh atau tidak digalakkan.
-aimanrashid-
Saya telah bernazar untuk menunaikan haji seandainya simpanan saya mencukupi, bahkan bernazar juga untuk meng "haji"kan arwah ibu saya (secara upah haji).
Alhamdulillah, nazar untuk menunaikan haji bagi diri saya sendiri (pertama kali) sudah terlaksana.Akan tetapi, nazar untuk meng"haji"kan arwah ibu saya belum terlaksana. Semasa di Madinah, sebelum bertolak ke Makkah, saya ada bertemu dengan rakan yang tinggal di sana (sudah saya hubungi di Malaysia lagi) dan beliau boleh mencarikan calon untuk upah haji bagi menyempurnakan nazar haji tersebut.Akan tetapi, semasa di sana, saya kurang yakin akan calon yang bakal memikul tanggungjawab (kurang yakin dengan perlaksanaan rukun haji yang bakal dipikul) dan dalam masa yang sama, ada sahabat/ustaz yang menasihatkan supaya diri saya sendiri yang meng"haji"kan arwah ibu saya di masa akan datang (lebih afdal) . Maksudnya, akan datang ke makkah lagi untuk menunaikan fardhu haji lagi untuk arwah ibu saya (pada masa itu saya baru pertama kali pergi haji dan wajib untuk diri saya dahulu).
Jadi, saya tidak menunaikan nazar "upah haji" tersebut pada masa itu dan menggantikan dengan nazar akan menunaikan haji lagi (untuk ibu saya).
Soalan saya ;
1. Adakah saya perlu melunaskan nazar kedua-duanya sekali yakni nazar untuk upah haji arwah ibu saya dan nazar kedua saya untuk pergi sekali lagi ke makkah dan menunaikan haji untuk arwah ibu saya.
2. Sekarang ini, peluang untuk menunaikan fardhu haji agak terhad kerana perlu menunggu giliran yang lama tidak seperti dahulu. Jadi, sekiranya nazar ini lewat dilaksanakan, apakah hukumnya, dan jika ianya terbatas dengan kekangan masa, giliran juga masalah kewangan yang belum mencukupi, apakah yang harus saya laksanakan?
Saya mohon pandangan dan nasihat dari ustaz. Terima kasih.
Saya ada kemuskilan tentang zakat yang harus dibayar, kerana saya mendapat pampasan yang diberi oleh mahkamah semasa dibuang kerja dulu.Saya ingin menggunakan wang pampasan sebanyak 25,000 untuk mengerjakan haji untuk saya, ayah dan kakak saya.Perlukah dibayar zakat duit tersebut sebelum dimasukkan ke TH atau tidak perlu zakat sebab zakat dibayar oleh TH untuk pendeposit akaunnya?
UZAR : tak perlu, boleh terus guna untuk tunai haji
'DDG J('1C AJC
saya amat memerlukan respon UZAR kepada soalan yg pertama. saya sudah ada cukup wang belanja utk diri sendiri tetapi dlm masa yg sama ibu dan bapa ana ingin pergi haji. saya bercadang membuat pinjaman bank & I.A ana mampu utk membayar balik.atau mana yg patut sy dahulukan haji utk diri sendiri @ org tua? saya mohon respon segera dr UZAR. saya sekarang sedang berurusan dgn pihak bank. maaf mendesak.
Saya ada berjanji dengan ibu dan ayah sya bahawa saya ingin bawa mereka pergi haji. waktu i2 saya tiada kerja. saya akan masuk alam pekerjaan, bolehkah saya meminjam wang dari bank islam.melalui pinjaman peribadi untuk diberi hadiah kepad emak dan ayah supaya mereka boleh melaksanakan haji?
UZAR : harus selagi tidak terlalu membebankan dan diketahui hutang itu mampu dibayar. sleian itu, tiada hutang2 lain yang urgent untuk diselesaikan
Satu perkara yang dibangkitkan setiap tahun adalah samada wang simpanan utk persaraan patut dibenarkan utk dikeluarkan rakyat melalui skim baru utk menampung perbelanjaan menunaikan fardhu haji?
Apa komen UZAR kerana tiada komen dari ulama yang telah saya lihat?
Wassalam.
saya nak tahu, ada tak ATAU dalam apa keadaan orang yang buat haji kena buat haji semula... macam solat/puasa ke buat semula kalau terbatal...
kalau ada, dia kena bayar dam sahaja ke atau kena buat semula haji...
terima kasih UZAR.
saya ingin bertanya dengan ustaz,saya seorg bujang.Mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi belum menemui calon pasangan lagi,dalam masa yg sama mempunyai keinginan untuk menunaikan haji.Mana yg lebih afdhal untuk saya lakukan?kahwin dulu atau tunaikan haji?
Terima kasih.
UZAR : boleh tunaikan haji jika demikian, kerana calon pun belum ada. Cuma anda ni lelaki atau perempuan?
Saya ingin bertanya, apakah hukumnya kita beli rumah, beli kereta & beli aset2 lain, sedangkan duit yg kita ada itu (duit tunai untuk downpayment) cukup untuk kita pergi haji (untuk kali pertama). Adakah sudah memadai tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga wajib menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak isteri, tapi contohnya bagi rumah, tak perlu hingga ke tahap beli. Sewa sudah memadai.
Sebabnya skrg saya dalam dilema, kereta dah habis bayar, rumah mampu untuk dibeli tapi masih menyewa (sebab kos sewa lagi rendah dpd beli), tapi hajat utama saya adalah ingin mengerjakan haji sebelum saya tukar kereta dan beli rumah baru. Saya takut suatu masa nanti disoal, ENGKAU ADA DUIT TAPI RUMAH DAN KERETA YG ENGKAU UTAMAKAN.
Atau bolehkah saya boleh beli kereta dan rumah dahulu dengan alasan takut harga makin naik?
Pohon penjelasan dari UZAR. T.Kasih
UZAR : Boleh berhutang asalakn berazam dan ada plan untuk bayar semula. BUkan berhutang dengan niat lesap terus..
mungkin kena ada garis panduan kot yang dapat difahami oleh orang ramai.
tapi kan saya teringin nak pergi makkah dan madinah. tapi bukan ker kalau pergi sana, patut buat umrah? pada hal haji belum buat.
lagipun kos buat umrah lagi rendah dari buat haji. apa pendapat uztaz?
RSS feed for comments to this post