Hal Ehwal Riba Ust Zaharuddin Tiada 'Locus Standi' Ulas Isu Riba : Wawancara

Ust Zaharuddin Tiada 'Locus Standi' Ulas Isu Riba : Wawancara

  • PDF
(158 votes, average 4.63 out of 5)

MLM: Ustaz, Cendekiawan

Diminta Mengkaji Hukum

(wawancara akhbar harakah  8 Mac 2007 )  

Muhammad Azamin Muhammad Amin
Thu | Mar 08, 07 | 03:44:48 AM

Hasil kajian Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkaitan 'multilevel marketing' dan pelaburan internet yang menyamai skim cepat kaya menjadi topik hangat yang diperbincangkan serta mendapat reaksi pelbagai pihak malah lebih meresahkan ramai umat Islam yang terlibat dengan skim jenis ini.

zaharuddin abd rahman
 

Bagi merungkai permasalahan ini wakil Harakahdaily menemui dan mewancara Ustaz Zaharuddin yang juga Setiausaha Majlis Penasihat Syariah di sebuah institusi kewangan antarabangsa di Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana Muda (BA) Usuluddin dari Universiti Malaya dan Sarjana (MA) Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Harakahdaily: Berikutan artikel Ustaz keluaran Harakah cetak lalu, ada yang menyoal kredibiliti atau kapasiti ustaz seolah-olah tiada 'locus standi' (kelayakan) untuk membicarakan hal MLM dan riba yang mana ustaz sendiri bertugas di bank kemungkinan terlibat dalam urusan riba?

Ustaz Zaharuddin: Dalam Islam tidak ada isu 'locus standi' , yang penting, ambil apa yang dikatakan bukan siapa yang berkata selagi mana ia menepati syariat Islam. Ibn Umar berkata berkata: "Ilmu itu ada pada tiga, al-Quran, Hadis dan menyebut ‘aku tidak tahu' dalam perkara yang tiada ilmu dalamnya" , maka yang penting di sini adalah apa yang disampaikan dan bukan siapa yang menyampaikan" dan ALLAH SWT menyebut: 'Bilamana kamu keliru atau bertengkar dalam satu perkara maka rujuklah jawapannya di dalam al-Quran dan Sunnah.'

Yang kedua, sebenarnya kapasiti saya yang bertugas di sebuah institusi kewangan Islam menjadikan saya lebih layak dan 'advantage' bukan 'disadvantage'. Ini kerana saya terdedah dengan 'nature' kewangan semasa, instrumen kewangan moden, hal ehwal kontrak.

Di mana tugas seperti ini memerlukan saya menyemak kesahihan sesebuah produk kewangan dan kontraknya dari sudut Shariah.

Malah di sekeliling saya juga terdapat pakar-pakar pelaburan yang boleh saya bawa berbincang berbanding dengan pihak lain yang mungkin tidak memahami apa itu 'fixed deposit', 'derivatif', 'indicative rates', bagaimana implementasi Mudarabah dan musharakah dalam bentuk praktis dan sebagainya, maka seseorang yang tidak terlibat dalam industri kewangan semasa, hanya akan terdedah kepada teori sahaja dan bukan pratikal, menyebabkan mereka boleh tersilap dengan mudah.

Tetapi alhamdulillah saya berada dalam industri kewangan Islam serta bergaul dengan ulama tempatan dan antarabangsa yang takhassus dalam bidang Muamalat Islam.

Seorang graduan Syariah yang bertugas di industri perbankan Islam lebih berkapasiti daripada pensyarah yang mengajar teori berkenaan Fiqh Muamalat sahaja. Mungkin seorang ustaz itu boleh mengatakan 'jauhilah riba' tetapi kami di sini bukan sekadar teori tetapi kami juga berkata sahaja, tetapi juga menjadikan ke alam realiti dan membantu umat Islam.

Kita perlu faham bahawa bank ada dua jenis, satu bank konvensional dan bank Islam. Alhamdullilah saya bertugas di salah sebuah bank Islam antarabangsa yang membuka cawangannya di Malaysia. Bank ini adalah 100 peratus Islam dalam produknya malah dananya juga semuanya datang dari institusi kewangan Islam di Timur Tengah.

Manakala Pengerusi penasihat Syariah yang saya duduk ini pula adalah Syeikh Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah (Ulama Syria) untuk cawangannya di Malaysia dan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi bagi cawangan utamanya di Timur Tengah. Kedua-duanya adalah ulama tersohor dalam kewangan Islam di dunia dan hampir setiap minggu saya akan berbincang dengan mereka demi memastikan urus niaga di institusi kewangan Islam yang saya berkhidmat ini ini tidak terlibat dengan sebarang usnur riba, gharar, zalim dan lain-lain yang diharamkan.

Bagaimana timbulnya kajian ini, mengapa dan tujuan Ustaz mendedahkan MLM dan skim cepat kaya internet ini?

Kajian umum ini sudah lama dilakukan semenjak saya bertugas di sebuah bank Islam tempatan lagi, kerana di samping bertugas saya turut aktif memberi penerangan, seminar, penulisan dan ceramah serta kuliah tentang betapa besarnya dosa riba dan kesannya kepada rakyat khususnya umat Islam.

Hasil daripada itu, timbul respons, reaksi pelbagai serta pertanyaan-pertanyaan antaranya tentang pelbagai produk pemasaran, pelaburan internet dan termasuklah skim ‘multilevel marketing' yang wujud di pasaran.

Sebenarnya, instrument pemasaran dan kewangan ini terlalu banyak, sesetengahnya amat 'complicated', memandang sistemnya rumit, helah dan tipu dayanya sangat licik, penyokongnya pula sangat fanatik, saya tidak berminat untuk mengkaji tambahan pula tiada cukup masa kerana kesibukan, malah ulama dunia pun tidak sempat untuk menyemaknya.

Namun, ramai yang mendesak supaya saya menjawab dan menerangkan secara khusus syarikat-syarikat pelaburan internet ini dan akhirnya saya dedahkan antaranya saya muatkan dalam laman web saya sendiri dan artikel saya disiarkan dikeluaran Harakah lalu, tetapi artikel yang dikeluarkan itu hanya sebahagian sahaja daripada artikel penuh saya.

Jadi ramai dah salah sangka mengatakan saya mengharamkan semua jenis MLM, pada hal saya dah sebut di hujung artikel penuh beberapa bentuk yang halal dan ia hanyalah sekadar pandangan saya yang boleh dibincang, bukannya telah putus.

Kajian ini adalah pandangan peribadi saya, saya bukan JAKIM bukan juga mufti dan terpulanglah kepada sesiapa yang nak menerima ataupun tidak. Sama sepeprti pensyarah dan cendekiawan di universiti yang kerap membuat fatwa sendiri dalam kajian ilmiah mereka, cuma tidak dipopularkan di kalangan orang awam sahaja. Mungkin juga mereka tidak berminat untuk mengutarakan kepada rakyat kerana tiada sebarang merit kenaikan pangkat (di universiti) boleh diperolehi pun.

Saya lakukan kajian itu adalah atas dasar tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan bukti-bukti, dalil-dalil, dan fakta daripada ulama terkemuka dunia sekadar yang saya faham dan temui. Maka jika sesiapa tidak setuju, anda bebas untuk menulis semula di Harakah atau di mana-mana jua dengan dalil dan hujah anda.

Saya tiada masalah kerana saya dah sebut ia masih terbuka untuk perbincangan. Kebaikannya adalah, tulisan saya itu membuka mata para ustaz dan ilmuan Islam yang lain untuk mula membuat kajian. Bagi saya itulah matlamat dan kejayaan tulisan saya itu...iaitu agar awam membuka mata tentang halal dan haram dalam bab kewangan yang boleh menyebabkan seluruh hidup dan darah daging mereka dipenuhi dosa.

Asas utama sesuatu MLM atau skim cepat kaya yang dikenali sebagai sistem piramid itu haram?

Saya bukan 'specialist' dalam bidang MLM atau skim piramid, dan ada masanya saya juga keliru kerana konsepnya hampir sama antara satu dengan lain, tetapi yang saya tahu sistem asasnya berkonsepkan sama ada ‘jual produk' dan dapat komisyen atau tiada produk tapi komisyen atas 'kepala' , lalu terbentuklah 'upline - downline'. Yang jelas haram dan riba ialah sistem piramid yang menjual 'kepala' tanpa menjual sebarang produk.

Ini disepakati ulama dunia iaitu Kesatuan Ulama Fii Sedunia yang pakar tentang kewangan Islam dan mereka telah kaji satu MLM di Indonesia, iaitu Biznaz Multilevel. Biznaz tiada produk, dia melantik orang lantik orang iaitu untuk dapatkan komisen bersandarkan lantikan orang atau wakil.

Maknanya, ini permainan duit, seseorang beri duit untuk dapat duit lebih lagi. Ini 'basic knowledge' iaitu duit bertukar duit yang menjadikan riba. Tidak perlu JAKIM atau mufti untuk keluarkan fatwa. Jenis sistem ini, jelas riba dan haram.

Malangnya, untuk memberi faham kepada orang awam, ia agak sukar kerana ia memerlukan bebrapa ‘basic knowledge' tentang apa itu riba dan pembahagiannya dan bagaimana sifat-sifat dan helah riba. Tidaklah saya mampu untuk meneybut dengan mudah dan ringkas di ruangan ini.

Macam orang tanya pada jurutera bagaimana cara buat bangunan sebesar KLCC dan tak runtuh, maka tidak bolehlah dijawab dengan begitu mudah, perlu belajar dan ambil masa yang lama untuk menerangkannya.

Orang awam perlu faham, apa itu Riba Duyun' dan riba Buyu', dan Riba Qard, Riba Jahiliah, Riba Al-Fadhl, Riba An-Nasiah, Riba Al-Yad , helah-helah Riba dan banyak lagi. Selain memahami teori dan takrif-takrif itu, perlu juga faham bagaimana bentuk ia wujud dalam aktiviti harian dan perbankan. Jika tidak, ilmu teori itu tidak berapa dapat menolong.

Dalam konteks tiada produk tapi jual kemudian dapat komisyen daripada duit. Ahli masuk bayar yuran, dia dapat komisen, maka dia ambil komisyen daripada duit itu. Ini dinamakan riba buyu' dan Riba al-Fadhl, ‘nature'nya sudah berubah daripada komsiyen atau broker atau apa jua istilah topengnya kepada riba yang terhasil daripada jual beli duit dengan tangguh serahan daripada sebelah pihak, malah lebih pula jumlahnya.

Satu lagi, bayangkanlah kalau semua orang buat masuk skim pelaburan jenis internet yang letak duit, goyang kaki duit masuk selagi ada kepala yang masuk, maka semua orang tidak akan bekerja, hanya tunggu dapat duit sahaja, tiada sesiapa yang bekerja. Buat duit dapat duit. Tidak ada yang akan bina bangunan, jalan kerana semua orang tunggu duit masuk selepas 100 hari. Inilah yang amat bercanggah dengan Maqasid Shariah.

Bagi orang ramai yang 'naif' dan bukan ahli agama, apakah asas utama yang perlu diketahui sebelum menceburi sesuatu bidang pelaburan supaya ia menepati syariat dan diterima oleh Islam?

Saya suka mengingatkan masyarakat kata-kata Khalifah Umar Al-Khatab:" Jangan kamu masuk dalam pasar kami, kecuali kamu sudah faham hukum agama tentangnya." Ini bukan bermaksud tak boleh beli sayur atau susu di kedai.

Maknanya, kamu jangan masuk bab-bab kewangan yang keliru dan kompleks kecuali sudah faham bab hukum seperti MLM dan pelaburan internet yang kompleks dan rumit serta penuh dengan helah dan gharar.

Kedua, untuk memudahkan orang awam ialah sesuatu pelaburan asasnya tidak boleh ada riba. Riba ini panjang isunya dan pelajarannya di universiti ada yang mengambil masa satu semester untuk memahaminya.

Yang ketiga 'Gharar' iaitu 'uncertainty' (tidak jelas/ tidak pasti). Sebagai contoh pelaburan internet yang tinggi unsur ghararnya kerana tiada sebarang kontrak dibuat, semuanya bergantung kepada laman web. Seseorang itu masuk dan bayar melalui internet kemudian tunggu level atau 'kakinya'atau 'downline' keluar di situ. Bagaimana kalau laman web itu hilang? Maka, jadinya 'sekian terima kasih lah kot'(ketawa).

Ada individu yang hubungi saya dan sebut bahawa "pelaburan internet yang saya sertai ini tidak mempunyai sebarang kontrak atau sebarang perjanjian dengan pelaburan internet tersebut, maka kalau berlaku sesuatu, saya reda ditipu". Mana boleh begitu. Semua bergantung kepada internet, hilang sahaja laman web itu, habis. Inilah gharar, dan Allah sebut dalam al-Quran agar jika berhutang kena tulis, ia termasuk hal ehwal urusan kewangan yang besar-besar seperti pelaburan. Maka mesti ada perjanjian dan kontrak.

Selain itu, bagi sebahagian MLM pula, ada yang menjadi gharar apabila tiada akad dan jika ada akadnya pun atas wakil kepada wakil, kepada wakil yang lain. Syarikat ini nak jual barangnya, tetapi tak jelas barangnya dan tak jelas kegunaannya.

Malah yang beli sebenarnya bukan reti guna benda yang dibelinya, sebagai contoh, ada MLM yang jual lima laman web, apabila beli secara automatik dapat masuk ‘line'. Tapi ada peserta yang masuk skim ini beritahu saya , internet pun dia tak tahu apa, apatah lagi nak guna lima web yang dia beli tu. Skim beginilah yang telah diputuskan oleh Kesatuan Fiqh sedunia sebagai haram.

Yang keempat dari sudut akad pula ada syarat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "tidak boleh buat dua transaksi atau urus niaga dalam satu akad."

Seperti contoh akad yang betul menjadi haram apabila syaratnya ada unsur haram dan tidak munasabah.

Contoh akadnya seperti 'saya jual ‘handphone' ini dengan harga RM100 kepada awak tetapi syaratnya jangan guna ‘handphone' itu'. Akad yang pada mulanya halal menjadi batal apabila wujud syarat yang mengarut dan menyusah serta membebankan pembeli - sedangkan tujuan beli ‘handphone' untuk guna dan pakai ‘handphone' tersebut.

Begitu juga sesetengah MLM, saya jual barang ini dengan syarat anda mesti menjadi ejen atau wakil syarikat kami dan kami akan bagi anda komisyen jika dapat cari ahli lain yang bayar. Awak nak beli barang saya, awak kena jadi ahli dan wakil saya.

Ini memaksa, sedangkan ada orang nak beli tetapi dia tidak mahu menjadi ahli atau menjadi kaki dan masuk 'downline' ini menjadi paksaan kepada peserta tadi. Ini bentuk yang disebut oleh hadis Nabi s.a.w. Boleh rujuk kajian terperinci oleh Prof Dr Nazih Hammad tentang erti dua akad dalam satu. Dan juga huraian hadis: "Larangan jual dan disertai dua syarat" yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Banyak syarat dan terma yang perlu disemak. Tanya kepada peserta yang telah masuk MLM atau skim itu, sama ada anda semak syarat dan termanya. Pernah tak mereka tahu tentang halal dan haram dalam bab kontrak. Adakah mereka faham apa itu semua terma-terma yang ada dalam aqad mereka?.

Ini kelebihan dan ‘advantage' orang yang bertugas di institusi kewangan Islam, iaitu lebih berkapasiti lagi untuk menbicarakan soal halal haram dalam urusan kewangan dan perniagaan seperti ini. Untuk menjelaskan secara detail perkara-perkara itu, tiada jalan mudah melainkan belajar ilmu tentangnya, tiada jalan 'simple' untuk faham.

Seperti di laman web ustaz, adakah ustaz hanya mengkaji sistem pelaburan ABB Fund sahaja atau ada syarikat lain lagi?

Saya tidak sekadar mengkaji itu sahaja, saya juga sumbangkan ilmu saya untuk kaji Swisscash, ABB Fund, Winlifund, Arabic Fund dan terbaru E-barrel. Ada pengharaman disebabkan oleh konsep yang sama.

E-barrel dan EM-PAY atau yang lain-lain, dari sudut perundangan negara, adakah ianya 'legal' atau sah di segi undang-undang dan bagaimana pula ada sesetengah program dan skim tersebut dilancarkan oleh menteri?

Itu bukan alasan walaupun ada yang sah dari segi undang-undang malah ada menteri merasmikannya namun itu tidak penting dan bukan fokus saya.

Fokus saya ialah bab hukum Syariah. Kilang Carlsberg di Lebuh Raya Persekutuan itu juga sah dari sudut undang-undang Malaysia.

Orang ramai kena faham bahawa kajian saya bukanlah terhadap benar atau tidak sistem ini boleh buat duit, atau berkesan atau terjaminkah sistem ini, ada tipu muslihat atau sebaliknya tetapi fokus kajian ialah sama ada sistem MLM atau Skim tersebut menepati syariat Islam atau sebaliknya. Memang benar ada yang menelefon saya beritahu dah dapat RM2-10 juta dari skim-skim ini. Ia benar katanya. Memang benar, tapi sah ke dari sudut Syariah?. Itu fokus saya.

Saya beri pandangan haram beberapa skim tersebut 'base on my personal view' iaitu pandangan peribadi saya dan sebagai umat Islam yang bertanggungjawab. Kalau anda tahu dan ada ilmu tentangnya, anda perlu beri tahu kepada orang ramai.

Memang benar saya tiada 'authority' di negara untuk memberi fatwa sebagai mufti, sebagai orang Islam yang faham tentang kajian ini, saya kena jelaskan dan saya ada hujah.

Kalau ada pihak yang tidak bersetuju dengan hujah saya terpulanglah atau sediakan dan nyatakan hujah anda pula, begitulah yang sebaliknya.

Dan jangan salah faham, bukan semua MLM, saya hanya sebut bentuk-bentuk yang syubhah dan boleh jadi haram. Jika terbukti salah, maka syarikat MLM itu boleh membetulkan sistemnya supaya tidak menjadi haram dengan memperbetulkan akad, syarat dan kaedahnya seperti contoh buat musyarakah, kena ada 'partnership' sesama ahli.

Tapi persoalan, adakah pengarah syarikat atau bos-bos MLM ada usaha ke arah itu? Saya nampak seolah-olah tidak berminat untuk memperbetulkan sistemnya agar ianya menjadi halal dan merasakan sistem Islam ini menyusahkan mereka.

Kapasiti ustaz sebagai individu yang faham kedudukan kewangan dan pelaburan, adakah secara logik mahupun fakta, adakah sistem ini memang benar-benar memberi pulangan berlipat kali ganda? Adakah sistem ini sesuatu yang meyakinkan?

Memang sesetengahnya memang benar pulangannya malah ada yang telah mengaku telah berjaya memperolehi RM10 juta melalui sistem ini. Dari sudut undang-undang negara, syarikat tersebut memang sah , ada yang telah didaftar dengan Kementerian Kewangan tetapi persoalannya adakah sah dan halal dari sudut agama Islam.

Yang penting adalah hukumnya. Siapa penasihat syariah mereka dan berkaliberkah mereka? Bab hukum ini berkait dengan iman.Hukum ini satu perkara yang tidak nampak.

Kalau beli ‘handphone' betul dengan ‘handphone' curi, tiada bezanya langsung. Sama warna, sama bentuk. Ia tidak bertukar warna sekiranya dibeli secara sah dan tidak juga berubah wajah jika ‘handphone' tersebut adalah ‘handphone' curi, ‘handphone' tetap sama begitu. cuma dari segi hukum ia berkait rapat dengan iman. Apabila ada akad, ada perjanjian dan beli ‘handphone' yang betul menandakan iman kita kepada Allah SWT.

Berkenan skim jual kad diskaun dengan plan A,B dan C, boleh jadi betul dan memang ada yang sudah dapat duit tetapi itu bukan 'point' saya. ‘Point' saya bukan sistem itu tipu atau tak. ‘Point' saya adalah dari sudut agama iaitu halal atau haram.

Boleh jelaskan lagi?

Bukan semua sistem yang mendatangkan wang jutaan ringgit atau berlipat-kali ganda semuanya haram. Islam menghalalkannya sekiranya kita melabur dan dapat duit banyak, tetapi yang menjadi haram ialah mereka membuat jaminan keuntungan yang pasti.

Seperti contoh, yang mana kita boleh tengok web-web mereka, labur RM168 syarikat jamin keuntungan dalam sekian waktu umpamanya seminggu atau sebulan anda dapat dijamin dapat RM100,000.

Analogi saya mudah, jika anda membeli satu lot saham di Bursa Saham Kuala Lumpur, adakah anda diberi jaminan akan dapat keuntungan pada tempoh tertentu dengan 120 peratus dari wang modal anda? Sudah pasti tidak. Yang ada ialah jaminan risiko untung rugi.

Itu adalah konsep pelaburan Islam. Siapa beritahu, Nabi Muhammmad yang beri tahu iaitu ‘alkharraj bi ad-Dhaman' ertinya ‘keuntungan mestilah menanggung risiko yang berpatutan' dan itu adalah kaedah fikah atau dengan kata lainnya ‘profit is by taking risk'.

Tetapi apabila syarikat jamin sahaja keuntungan, itulah telah mengubah 'nature' akad, mengubah pelaburan Islam kepada riba.

Contoh saya melabur RM1000 sebab dijanjikan dengan jaminan RM1,500 sebagai pulangan dalam tempoh sebulan, duit untung RM500 itulah riba duyu' jenis al-Qard.

Pelaburan dalam Islam ialah, saya beri dan labur RM1,000 untuk syarikat buat perniagaan, jika ada untung kita akan bahagikan mengikut peratusan seperti 20 peratus untuk kita atau 80 peratus untuk syarikat. Kalau rugi, lupus begitu sahaja atau ada perkiraan rugi mengikut peratus tertentu. Ini yang dibenarkan.

Saya mahu beri duit itu kepada awak dengan syarat awak bagi duit itu dengan jumlah yang tertentu. Ini macam jual beli duitlah. Saya bagi RM100 dengan syarat awak bagi saya RM150 kemudian. Dalam pelaburan, apabila sahaja ada jamin keuntungan pada sekian masa, maka jatuhlah riba disitu.

Bagaimana kalau MLM dan skim itu mempunyai produk atau barang, malah ada yang halal?

Walaupun perniagaan halal seperti jual Quran. Itu isu kedua. Isu pertama tadi ialah akadnya mesti jelas sifatnya dan tidak terbatal. Barulah dinilai dari sudut barangnya pula.

Jika akad batal atau haram, maka barangan yang diurusniagakan tidak menjadi isu lagi walaupun produk iu halal seperti Quran digital, ubat kuat dan sebagainya. Ada juga akad halal tetapi produknya haram pula, juga tidak terpakai pelaburan seumpama ini.

Analogi mudah ialah si A curi duit kemudian dia beli Quran. Beli Quran itu perkara kedua, perkara pertama yang dilihat ialah cara dia dapat duit tu dulu. Kalau yang pertama sudah haram, maka tidak berguna langsunglah walaupun ianya adalah untuk beli Quran.

Nabi pernah menyebut dalam hadis sohih yang bermaksud: "Tidak akan lepas kedua-dua kaki anak Adam sehingga ditanya dari mana dia dapat duit dan ke mana duit itu dibelanjakan."

Ada dua peringkat kena semak, pertama: cara anda letak duit itu kita kena semak, kemudian baru kita 'check' pelaburan produk itu sama ada halal atau tidak.

Ada yang kata, kami terlibat dengan urus niaga minyak and gas. Itu tahap semakan kedua, tahap pertama adalah atas dasar apa duit itu diberi, apa akad dan cara anda laburkan atau beri duit itu macamana kaedahnya. Sudah selesai, baru semak produk apa pula yang dijual, namun itupun ada yang kena tipu juga.

Malah jika semak pun, sebenarnya macam ABB dan sekutunya , mereka bukan labur dalam ‘oil' and gas semata-mata, bila anda 'check' betul-betul, anda akan lihat syarikat itu terlibat pula dengan 'forex trading' dan 'money market' yang begitu banyak boleh berlaku Riba. Memang ada FOREX yang halal, tapi dalam hal ia dikendalikan oleh puak-puak kapitalis Barat ni, semua mereka langgar je semua jenis.

Contoh lain juga berkaitan ABB Fund, bukan sahaja minyak dan gas tetapi juga terlibat dalam 'commodity features'(pasaran hadapan), iaitu pasaran hadapan yang telah disepakati oleh ulama dunia, haram.

Contohnya mudah: Saya jual kereta yang belum saya beli lagi kepada awak pada masa akan datang. Kereta itu adalah aset atau 'commodity' manakala terma 'akan datang' ialah hadapan - pasaran hadapan.

Ini yang Nabi kata "jual hutang dengan hutang" dan jangan jual sesuatu barang yang belum anda miliki. Ini 'confirm' haram, ijmak ulama.

Bukankah lebih baik menceburi pelaburan yang telah menjamin keuntungan, jadi orang ramai tidak risau malah yakin sudah 'confirm' ada jaminan untung berbanding ada risiko rugi disamping itu ada pula berpendapat sistem jenis ini perlu diberi penafsiran semula, sebab instrumen jenis ini tiada pada zaman Nabi?

Memang benar tiada pada zaman Nabi, tetapi Nabi telah meletakkan asas utama untuk dijadikan panduan untuk diikuti oleh umat Islam pada dahulu dan akan datang. Jangan kata pula Islam tu tak lengkap ye. Allah dah sebut Islam lengkap dan semua jenis instrument kewangan dan pelaburan ini dah ada garis panduannya.

Kita perlu faham, bahawa Islam menjaga kedua-dua belah pihak, pelabur dan pengusaha. Bayangkan jika tiada pelabur mahu letak kecuali jika pengusaha menjamin untung tertentu.

Ini menyusahkan dan menzalimi pengusaha dalam melakukan perniagaan. Kerana terpaksa berisiko amat tinggi, jika ia rugi pun, masih nak kena bayar untung yang dijanjikan, inilah RIBA.

Pelabur seronok, pengusaha mungkin susah hati ataupun seronok juga sebab dapat duit banyak. Memang benar mereka boleh jamin untung tertentu bila bisnes mereka hebat dan bagus, tetapi apa yang akan berlaku jika musibah akan datang, bencana alam seperti taufan yang berlaku sehingga mengakibatkan syarikat tersebut menghadapi masalah kewangan. Bagaimana jaminan untung itu?

Bukankah sudah menzalimi satu pihak dan terpaksalah pengusaha berusaha mencapai jaminan itu atau melarikan diri, atau tutup perniagaannya.

Yang dibenarkan dalam Islam ialah syarikat menunjukkan prestasi keuntungan syarikat sepanjang tahun atau lima tahun, untung sentiasa dan berbeza-beza jumlahnya, itu tidak mengapa. Begitu jugalah yang ditunjukkan oleh bursa saham. Ada laporan kewangan. Ini untuk menarik minat pelabur. Ini boleh, sebab syarikat tersebut tidak menyatakan jaminan keuntungan pada tempoh tertentu dengan jumlah yang tertentu.

Kalau ada, 20 peratus untuk pelabur dan 80 peratus pengusaha ambil tetapi kalau rugi anda rugi sepenuhnya. Itulah risiko yang harus dihadapi dan ini risiko yang dibenarkan dalam Islam bukan risiko ditipu atau hilang wang dan sebagainya.

Pendapat yang menyatakan bahawa inilah masanya dan melalui MLM dan Skim inilah untuk menjana ekonomi umat Islam?

Menjana ekonomi umat Islam...sebagai orang yang memperjuangkan Islam, semua mesti faham bahawa kejayaan sesuatu umat itu bukanlah terletak kepada material atau harta.

Firaun telah menunjukkan kekayaannya dan mampu membina piramid yang hebat dan juga mepunyai harta yang melimpah, tetapi Allah suruh utusannya berjumpa dengannya sebab apa? Sebab dia menderhaka, memang ramai yang menderhaka kerana duit. Mulut melaungkan kalimah Islam tapi terlibat dengan riba.

Kesilapan yang dilakukan oleh umat islam meletakkan material sebagai segala-gala kepada jawapan masalah.

Dua unsur untuk berjaya ialah material dan spiritual, mesti ada unsur berkat. Apabila material atau wang terlibat dengan riba maka keberkatan itu tidak ada. 'Allah menghancurkan keberkatan yang terlibat dengan riba' sila rujuk surah Al-Baqarah - ayat 278.

Kalau begitu, membina ekonomi umat islam tetapi buat perkara bathil seperti rasuah, merompak, mencuri dan terlibat riba maka adakah gunanya di sisi agama? Langsung tidak berguna.

Duit riba sebenarnya tidak dimiliki oleh orang memiliknya, tidak sah dan tidak membawa sebarang berkat serta membawa kepada sifat tamak, pergaduhan, maksiat dan jauh dari Allah SWT.

Pendapat menyatakan urusan pembelian rumah dan kereta juga terlibat dengan unsur riba, maka apalah kurangnya dengan MLM atau skim ini?

Siapa kata semua pembelian rumah dan kereta sekarang semua terlibat unsur riba sedangkan masyarakat telah menggunakan pelbagai dana dan kaedah perbankan Islam yang tidak melibatkan sebarang riba untuk membeli rumah dan kereta. Ada konsep murabahah untuk beli rumah dan ada konsep ijarah untuk beli kereta,

Akadlah dan penjagaan syarat-syaratnya itu akan menjadikan sesuatu perkara itu halal atau haram. Sebenarnya akad tersebut menandakan keimanan kita kepada Allah SWT.

Akad begitu penting. Menggunakan hujah bahawa semua bank dan urus niaga di negara ini terlibat riba sebenarnya mereka ini tidak faham dan tidak benar sama sekali. Ini panjang utntuk saya ulas, rujuklah di web saya.

Bagaimana caranya dan nasihat bagi yang sudah terlibat dengan MLM dan skim jenis yang haram ini?

Caranya ini, mengikut pandangan peribadi saya dan pelajaran yang saya ambil daripada para ulama, ia terdapat khilaf, kesimpulannya segala modal yang telah diletak layak untuk kita ambil semula kerana itu hak kita, ada sesetengah syarikat tidak mengizinkan. Tak mengapa, duduk dulu dalam sistem itu sehingga tempoh matang.

Sudah sampai masanya keluarkan balik modal itu kemudian untung yang diperolehi kena serah kepada fakir miskin atau badan kebajikan anak yatim atau kebajikan awam untuk bina bangunan dan sebagainya. Ini juga keputusan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia dan juga Majlis Fatwa Eropah yang diketuai oleh Al-Qaradawi.

Tidak boleh guna wang keuntungan itu untuk tujuan dan kepentingan peribadi seperti bayar kereta, rumah ataupun cukai pendapatan apatah lagi guna untuk membayar zakat.Ada yang kata boleh guna untuk bayar zakat untuk membersihkan keuntungan, tidak boleh sama sekali.

Zakat hanya untuk barang halal yang kita miliki, kita keluar.Zakat guna duit curi, tak boleh. Zakat mesti milik penuh kita sepenuhnya yang halal seperti gaji kita.

Bagaimana menangkis hujah dan saranan ustaz kepada individu yang 'naif' dari sudut hukum agama yang meletakkan sesetengah para ustaz,lebai atau orang yang arif dibidang agama sebagai 'benchmark' mahupun kayu ukur untuk memasuki dan menyertai MLM atau Skim ini?

Nasihat saya kepada pemimpin sesebuah organisasi, persatuan, pertubuhan, atau masyarakat ialah Nabi sebut dalam hadis sohih yang bermaksud: "Allah tidak melantik seseorang menjadi pemimpin melainkan untuk memberi nasihat kepada ahli ataupun rakyat tentang urusan agama termasuklah kewangan. Jika tidak, Allah haramkan syurga ke atas mereka."

Jadi janganlah main-main dengan urusan seperti ini, cari jalan bagaimana nak 'educate' mereka dan memberi penerangan apa itu halal dan haram mengenai kewangan Islam.

Kepada para ustaz termasuk diri saya sendiri, saya nasihatkan cermin diri dan ‘check'. Bidang mana yang anda ahli, pakar tentangnya malah bagi lepasan ijazah, ‘check' diri sendiri, anda ‘graduate' bidang apa.

Jika bidang Syariah, anda faham tak instrumen pelaburan semasa yang dicipta kebanyakan oleh puak Barat ni? Sebelum beri hukum kena faham dulu untuk aplikasikan ilmu dari kitab-kitab tu.

Jadi buat sembarangan dalam hal kewangan ini, bila diri sudah ustaz, tidak bermakna kita boleh mengajak orang lain untuk menyertai kita. Bukan semua ustaz mahir semua bidang.

Ada yang jadi ustaz kerana mengajar bahasa Arab atau mengajar mengaji muqaddam. Ustaz yang pakar bahasa Arab tetapi dia tidak mahir tentang fiqh muamalat.

Saya sendiri walaupun orang gelar ‘ustaz', saya tidak pakar dalam urusan faraid dan menguruskan pusaka wasiat kematian. Ada yang tanya saya, saya minta mereka rujuk dan semak dengan ustaz-ustaz di Amanah Raya Berhad kerana mereka pakar tentang perkara itu.

Jadi jangan bagi fatwa atau pandangan yang menyeleweng, kerana ia sesat lagi menyesatkan.

Kena tahu kemampuan diri masing-masing khususnya jika pakar tentang Fiqh muamalat barulah layak untuk memberi telahan, hujah, pandangan dan fatwa tentang kewangan Islam.

Akhir sekali kepada orang awam atau oarang ramai ialah 'Kalau anda sakit jantung, jumpa pakar jantung jangan jumpa pakar tulang', walaupun namanya juga doktor, pakai stetoskop dan uniform pakaiannya putih nanti, di kemudian hari penyakit anda akan menjadi lebih parah.

Wallahualam. - lanh



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 10 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Hal Ehwal Riba Ust Zaharuddin Tiada 'Locus Standi' Ulas Isu Riba : Wawancara