Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Gejala Malas, Susah & 'Melompat' Di Kalangan Umat Islam

Gejala Malas, Susah & 'Melompat' Di Kalangan Umat Islam

  • PDF
(21 votes, average 5.00 out of 5)

Fenomena Malas,  Susah &

Suka Melompat 

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Alhamdulillah, kelmarin baru sahaja saya dapat membentangkan 5 sesi berkenaan kewangan dan perbankan Islam kepada Dato' Sohibus Samahah Mufti Kedah, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Kedah dan beberapa tokoh ilmuan Syariah yang bertanggungjawab menggubal tawliah di negeri Kedah.

Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyebarkan ilmu-ilmu kewangan Islam yang jarang dapat disampaikan kepada golongan ilmuan Syariah dalam bentuk terkini sebegini.

Membaca Secara Malas ??
Dalam masa yang sama saya cuba sedaya mampu untuk mempermudahkan perbincangan bagi menjamin kefahaman terbaik dapat diterima oleh tokoh-tokoh agama yang hadir di dalam program ini.  

Saya amat berharap, serba sedikit ilmu yang saya perolehi dari pengalaman, pembelajaran teori dan praktikal serta pembacaan berkenaan kewangan & perbankan Islam ini akan dapat sampai dengan lebih berkesan  di kalangan umat Islam di Kedah, di Malaysia dan dunia amnya.

Apa agenda saya ?  hanya satu...selamatkan cara pendapatan dan perbelanjaan umat Islam, nescaya iman mereka akan terjaga dan destinasi akhirat kita semua akan terjamin. Amen.

Anda Baca Kontrak ?

Saya menulis tulisan ringkas ini hanya untuk berkongsi satu perkara penting yang dapat saya simpulkan hasil pelbagai kursus yang saya bentangkan termasuk di Kedah baru-baru ini.

Perkara ini juga telah saya kongsikan di kebanyakkan tempat kuliah dan kursus saya. Ia berkenaan kontrak atau aqad urusan sebagai pelanggan dengan bank-bank Islam.

Soalan yang saya utarakan kepada para tokoh agama Kedah baru-baru ini.

"Ketika tuan-tuan berurusan dengan pihak bank (Islam), adakah tuan-tuan membaca kandungan aqadnya ?" Tanya saya.

Kebanyakkan hadirin menggelengkan kepala.

Satu respond yang telah saya sangkakan, malah saya juga telah bertanya kepada beberapa orang pemegang ijazah PhD  di sebuah universiti semasa dalam satu program. Di pelbagai tempat telah saya utarakan soalan ini, malangnya, hampir 80 % dari individu yang saya tanyakan, mengakui samada tidak membaca kandungan kontrak ataupun tidak mampu memahami isi kandungannya.

Di sinilah masalah baru timbul. Dahulunya hanya terdapat bank konvensional, kini telah diwujudkan bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam. Malangnya di ketika telah wujudnya aqad atau kontrak Islam, pihak pelanggan tidak membaca dan memahaminya sebelum menurunkan tandatangan persetujuan.

Tindakan tidak membaca kontrak yang ditandatangani ini merupakan satu kesilapan di sisi Islam.

Dalam transaksi barangan kecil dan murah, sememangnya tidak begitu diperlukan perincian aqad. Cukup sekadar berisyarat dan mengangguk setelah harga dan barangan berada di depan mata, ia dinamakan Bai bi al Mu'ata dan diiktiraf oleh majoriti ulama terutamanya mazhab Syafie.

Cara ia diterimapakai dalam urusan pembelian barangan murah dan kecil sahaja seperti pensil, sekampit beras dan lain-lain.

Kaedah ini tidak wajar digunakan dalam pembelian dan urusniaga yang besar-besar dan mahal seperti rumah, kereta, pembinaan bangunan, tanah dan lain-lain.

Namun begitu, hakikat di sekeliling agak menyedihkan. Dari orang awam hingga ke golongan professional, para akademia bijak pandai, tokoh agama dan ilmuan Islam. Majoriti mereka rupanya tidak membaca dan memahami isi kontrak.

Lebih malang, apabila terdapat masalah dari pembelian itu dikemudian hari. Barulah mula menyedari ditipu, ditindas, tidak puas hati, ada yang tidak setuju dan macam-macam lagi. Sedangkan penerangannya telah termaktub di di dalam kontrak atau aqad dan telah dipersetujui olehnya apabila menandatanginya.

Justeru, di kesempatan ringkas ini saya  ingin menasihatkan umat Islam yang ingin berurusan dengan apa jua kontrak Islam dari mana-mana jendela perbankan Islam dan bank-bank Islam agar membaca dan memahami intipati utama kontrak anda.

Kefahaman kedua-dua belah pihak tentang kandungan aqad adalah salah satu syarat sah aqad. Amat wajar umat Islam mengubah sikap kurang rajin membaca dan kurang teliti dalam hal ini.

Tidak dinafikan terdapat klausa-klausa yang tidak begitu relevan untuk dibaca di dalam aqad (kontrak) itu. Namun, anda perlu meminta pihak peguam anda mengeluarkan butiran terpenting di dalam aqad sebelum menandata tanganinya, ini adalah cara terpantas buat anda untuk memahaminya.

Terutamanya : -

1) Memahami, aqad apa yang ingin anda tandatangani, ijarah (sewa) atau jual atau beli, aqad janji atau serah kuasa, serah hak, cagaran. Semuanya jenis aqad ini membawa implikasi pelabagai, maka wajib anda ketahuinya.

2) Asset yang ingin dijual atau disewa,

3) Butiran asset yang dijual atau disewakan,

4) Nilai dan harganya,

5) Cara kiraannya,

6) Cara pembayarannya, beza 'monthly rest' dan 'flat rate', yang mana satu digunakan dalam pembiyaan rumah anda?

7) Adakah penalty akan dikenakan jika lewat pembayaran, dan berapa lama lewat yang yang akan dikenakan tindakan.

8) Apakah akan terjadi jika tidak mampu bayar selepas amaran terakhir dari pihak bank.

9) Apa akan terjadi kepada penjamin jika anda gagal menyudahkanpembayaran

10) Bagaimana jika anda ingin bayar sekali lima bulan sebgaai contoh, adakah pihak bank akan memberikan diskaun?

11) Apa akan terjadi jika anda ingin jual rumah itu setelah 2 tahun, adakah sebarang bayaran dikenakan? Dan berapa?

12) Fahami fungsi setiap dokumen yang ingin anda tandatangani.

Dan banyak lagi, bagi sesiapa yang telah membeli rumah melalui mana-mana bank Islam di Malaysia. Adakah anda mampu menjawab soalan-soalan di atas?

Saya yakin, majoriti anda tidak pernah membaca dan memahaminya sebelum menandatangani bukan? Ia satu kesilapan yang wajib diperbetulkan.

Sepatutnya semua orang yang pernah membeli rumah dan kereta dari bank dan perbankan Islam sudah tahu dengan jelas bagaimana struktur produk dan kiraan oleh bank Islam jika mereka dari kalangan membaca dan faham.

Malangnya, hari ini begitu ramai yang tidak faham cara bank Islam mengendalikan produknya. Walaupun agak ramai juga yang sudah punyai pengalaman urusan dengan bank-bank Islam. Mengapa? Kerana malas atau tidak perihatin atau tidak mampu faham?

Saya faham bahawa draf kontrak yang ditulis di dalam bahasa Inggeris itu memang tidak mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang. Namun ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menurunkan tandatangan sebelum faham.  Gunakan peguam anda sewajarnya.

Baru-baru ini saya ada terbaca di televsiyen berkanaan cadangan beberapa pihak agar kontrak yang dikeluarkan oleh bank mestilah dibuat juga di dalam bahasa Malaysia agar lebih mudah difahami. Saya amat bersetuju dengan cadanagan itu. Namun, jika sifat malas masih menguasai diri, Pertukaran bahasa ini tidak memberi banyak manfaat.

Malas dan Gejala Melompat Dalam Menuntut Ilmu

Jika tadi malas membaca kontrak, rupanya sikap ini juga menular dalam sektor pendidikan.

Sikap rasa malas dan cepat menyerah kalah dalam memahami sesuatu yang sukar inilah yang melemahkan umat Islam dan memudahkan mereka ditipu. Mereka juga kerap melakukan ‘skip' atau ‘melompat' apabila bertembung dengan yang sukar.

Sikap ini juga dikongsi oleh kebanyakan mahasiswa Pengajian Islam di IPTA/IPTS, sebagai contoh di waktu saya di zaman mahasiswa dahulu. Apabila tiba waktu peperiksaan, ramai rakan saya termasuk saya sendiri (tidak semua cuma majoritinya) kerap melompat-lompat tajuk yang sukar  lalu hanya menumpukan kepada bahagian dan bab yang lebih mudah untuk difahami dan dihafaz.  

Alhamdulillah, tidaklah sepanjang-panjang waktu kami begitu, cuma kebanyakkan kalinya begitu. Ia menyebabkan ilmu yang diperolehi terdapat ‘lompong' di sana sini.

Ilmu jenis ini kurang mampu dimanfaatkan sebaikanya kepada masyarakat. Mujur sempat kami memperbaikinya sedikit demi sedikit  menjelang tahun-tahun akhir.

Saya masih ingat, cuba membawa sebahagian sikap tersebut ketika menyambung pelajaran di Jordan. Akibatnya amat tidak menyenangkan. Akhirnya saya sedari ia adalah punca ketidakmanisan dalam mengaji kitab-kitab tua dan moden, itulah kesan sikap kerap melompat bila sampai di bab yang sukar.

Semenjak itu, saya berusaha sedaya upaya membuang semua sikap tersebut. Setiap patah perkataan di dalam kitab mestilah difahami tanpa kecuali. Biar sesukar mana, lunyai kamus dikerjakan. Saya juga akan sentiasa menyerbu para pensyarah saya apabila mereka kelihatan bersendirian di bilik pensyarah. Sentiasa bersedia untuk memastikan kefahaman yang telah saya perolehi adalah benar dan tepat.

Sesungguhnya saya mengakui ia memang agak sukar pada mulanya, tetapi hasilnya begitu memuaskan hati. Malah ia memberikan kita kemampuan menghuraikan isi kitab dan menjawab soalan mengikut cara kita sendiri, tanpa terikat dengan aturan kitab dan isinya.

Kefahaman menyeluruh hasil kefahaman setiap perkataan amat memberi manfaat dan gambaran jelas sesuatu isu. Malah kita akan mampu menyelesaikan masalah baru yang timbul kerana kita telah faham semua fakta ilmu berkenaannya. Kita akan mampu memperkembangkannya. Semuanya hasil memahami ayat demi ayat.

Sebab itulah ulama hadith yang tersohor di Syria iaitu Syeikh Abd Fatah Abu Ghuddah pernah berkata yang maksudnya lebih kurang

" Sesiapa yang tidak membaca dari dari awal hingga akhir sebuah kitab, ia tidak akan menemui rahsia kitab tersebut"

Ia amat benar bagi saya. Saya pasti ramai antara kita yang suka membaca secara ‘tebuk' sana sini. Sedarilah, ia kurang bermanfaat kerana anda tidak akan dapat memahami ‘chain of thought and knowledge' sang penulis tersebut.

Justeru kerajinan diperlukan untuk mengkahatamkannya. Jika kitab amat tebal, pastikan anda khatam tajuk demi tajuk.

Kesimpulan

Tambahkan kerajinan bagi mengelak ditipu.

Jangan memalukan Islam dengan sikap mudah ditipu, ada saja pelaburan baru yang diwarwarkan boleh membawa untung akan terus disertai tanpa fahaminya caranya, penganjurnya, lesennya dan lain-lain.

Datang apa jua perjanjian oleh bank, terus ditandatangani tanpa banyak soal atas alasan ingin cepat kononnya.

Datang apa jua buku, terus dibaca secara tebuk sana sini tanpa pernah khatam satu buah pun.

Akhirnya hidup dalam kekelabuan dan kekelaman. Tatkala itu sang penipu sedang menunggu untuk mengeliru dan menipu.

Jika pelajar agama malas dan membaca melompat-lompat, ia bakal menempah kesusahan di akhirat kerana fatwa dan ajarannya yang menyelweng.

Jika pelajar perubatan malas dan membaca melompat-lompat, pesakitnya bakal bertambah sakit, jarum dan kain akan ditinggalkan di dalam tubuh pesakit dan lain-lain.

Jika pelajar kejuruteraan malas dan membaca melompat-lompat, bangunan pasti akan runtuh samada sebelum didiami atau semasa didiami, pasti bocor sana sini, pasti bergoyang jejantasnya.

Jika pelajar ekonomi dan kewangan malas dan membaca melompat-lompat, pasti inflasi bertambah.

Dan seterusnya....

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

24 November 2007



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini
  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 6 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Gejala Malas, Susah & 'Melompat' Di Kalangan Umat Islam