Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Harga Semakin Naik : Apa Perlu Buat ?

Harga Semakin Naik : Apa Perlu Buat ?

  • PDF
(19 votes, average 5.00 out of 5)

Harga Naik, Apa Perlu Buat?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Minyak adalah emas hitam?
 

Sebagaimana dijangka oleh ramai, kebanyakan harga barangan asas dan lain-lain akan naik. Walau cuba dikawal oleh kerajaan ia masih gagal dikawal. Keluhan demi keluhan di dengari di segenap pelusuk Negara. Masing-masing melihat PETRONAS (termasuk saya) sebagai sumber duit negara, tidak dinafikan juga ramai keliru dengan fungsi dan cara pengurusan wang PETRONAS ini.

 

 

Harga Ayam

 

Gambar : Harga ayam : pada 7 Jun 2008 ( sumber Kosmo) 

 

Harga minyak

  Gambar : Sejarah harga minyak naik (Malaysiakini)

 

kambing pun senyum

 

 

Harga pasar

 

Gambar : Harga Barangan di pasar pada 7 jun 08 ( utusan malaysia) 

 

Sara Hidup

 

PETRONAS & PELIK

Saya menjadi pelik kerana bekas orang nombor dua negara selaku bekas menteri kewangan yang kini menerajui sebuah parti politik juga kelihatan macam kurang tahu dengan pengurusan wang Petronas ini.

Namun yang paling pelik adalah apabila seorang bekas Perdana Menteri yang pernah perintah 22 tahun juga seolah-olah tidak berapa arif bagaimana urustadbir wang PETRONAS, sehingga beliau berkata :-

"250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit). Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang. Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi. Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan Kerajaan." ( petikan  )

Ayat beliau ini seolah membenarkan ‘simple math' orang awam tentang pendapatan PETRONAS yang berlipat ganda dengan kenaikan harga minyak. Saya pernah menyentuh hal ini dalam artikel yang lalu (rujuk sini )

Menteri Kewangan Kedua pernah memberitahu bahawa setiap kenaikan USD 1 kepada harga minyak dunia, kerajaan turut mendapat penambahan pendapatan bersih sebanyak RM 250 juta.

Dalam tahun 2006 pula dinyatakan bahawa setiap kenaikan USD 1 bagi satu barrel minyak akan menambah hasil bersih Negara sebanyak RM 228 Juta. Rujukan di sini

Namun sebagai balasan komen gandaan wang untung PETRONAS ini, YB Menteri Kewangan Kedua menjawab :-

"Kalaupun boleh, kita ambil keuntungan PETRONAS dan memberi subsidi kepada rakyat, supaya harga tak naik. Satu, pendapatan PETRONAS tidak akan bertahan. Akan tahan hanya 6 -7 tahun. Lepas itu, PETRONAS perlu import minyak. Kedua, bukankah tanggungjawab kita untuk menggunakan 250 million bagi setiap dolar kenaikan harga itu untuk menggunakan dengan sedemikian rupa supaya dapat pendapatan dan income yang dapat menjana ekonomi untuk masa depan anak-anak kita, cucu-cucu kita. Memang kita boleh, kita ingin buat, kita boleh bagi. Kita boleh teruskan subsidi, tapi kerajaan berpendapat bahawa keuntungan PETRONAS sepatut di gunakan untuk masa depan negara dan juga anak-anak dan cucu-cucu kita."

Inilah ayat yang boleh ‘mengunci mulut' orang yang ‘membebel' tapi jawapannya seperti ini terawang di udara dan tidak pasti adakah benar-benar digunakan untuk masa depan Negara dan anak cucu kita atau hanya anak cucu orang tertentu?.

Namun saya rasa orang seperti bekas PM sepatutnya mampu memberikan sesuatu penjelasan dengan terang berkenaan cara urus wang PETRONAS ini. Namun penjelasan seperti itu tiada. Seolah mereka tidak tahu atau sengaja ‘terpaksa' disembunyikan. Saya tidak pasti, mungkin juga ‘tersangka buruk'.

Penyelewengan oleh kakitangan awam juga menjadi faktor masalah belanjawan negara, Prof Emiritus Dr Mohd Arief berkata :-

Bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak ini, kerajaan mesti mengatasi masalah ketirisan dan penyelewengan yang berlaku di peringkat persekutuan dan negeri, sebagai contoh pembelian pensil berharga RM1 untuk kegunaan pejabat kerajaan tapi kemukakan resit RM10 sebatang.

Mungkin dengan berbuat demikian, kerajaan boleh membantu rakyat meringankan beban hidup yang kian bertambah, tetapi bukan dengan mengambil laba simpanan Petronas untuk membiayai subsidi penggunaan minyak semasa yang sepatutnya dibuat untuk generasi akan datang.

YB Menteri Kewangan Kedua mengukuhkan hujjahnya dengan respon berikut pula :-

Ada juga cadangan yang diberikan, bahawa senang sahaja kita ambil LABA PETRONAS, keuntungan PETRONAS. Apa susah, kita ada minyak. Tapi, itu akan merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, sebab PETRONAS pun bukan akan mendapat untung selama-lamanya melalui minyak. Tahun 2014, habis dah. Kita tak jadi exporter lagi. Jadi, kita harus menguruskan keuntungan dan pendapatan PETRONAS dengan sedemikian rupa, supaya generasi yang akan datang, supaya anak-anak kita, cucu-cucu kita, cicit-cicit kita dapat keuntungan. Kalau kita teruskan dengan sistem subsidi yang ada sekarang, yang kita bagi kepada 10 orang yang kaya, ini tidak akan dapat memberi faedah kepada negara dalam jangka masa yang panjang. (Rujukan )  

Pengerusi PETRONAS pula mengungkit kos carigali minyak yang meningkat dan kesukaran mencari minyak, hingga terpaksa menggali tempat-tempat yang tidak menghasilkan minyak yang sedikit sekitar 10 juta tong sahaja berbanding sebelum ini menumpukan kawasan yang mampu menghasilkan 100 juta tong.

Saya teringat kisah yang dicatat di dalam buku "Who Move My Chesee". Lebih baiklah kita mendapat sedikit keuntungan daripada enggan berubah dan ego untuk menumpu kepada yang banyak sahaja. Satu nasihat yang nyatakan di dalam buku tersebut :

"It's safer to search in the maze, than remain in a cheeseless situation"

Justeru, betul tindakan PETRONAS untuk menggali telaga kecil di ketika gagal menemui telaga besar. Namun yang kita bimbang kos penggalian adalah tidak seperti yang sewajarnya. Kita tidak mahu pembaziran dalam kos penggalian dan juga pengurusan. Namun bercakap sememangnya lebih mudah dari bertindak. Berharap memang lebih mudah dari realiti. Namun, at least, itu tuntutan kita dan kita suarakan.

PERUBAHAN

Saya cuba meletakkan diri saya dalam kumpulan berpendapatan kecil dan sukar (Alhamdulillah kini dalam keadaan sederhana), apakah yang patut mereka lakukan dalam menghadapi situasi kenaikkan ini?. Memang sukar.

Perubahan cara belanja mungkin salah satu penyelesaian jangka pendek buat mereka yang terkesan teruk dengan kenaikkan harga-harga ini. Teringat sekali lagi tulisan Dr Spencer Johnson :

If you do not change you can become extinct

Benar apa yang dikatakan, jika kita berdegil dengan cara lama dan tidak mahu berubah, kita mungkin akan pupus dan lemas kerana enggan mengubah sikap berbelanja dan pengurusan kita. Perubahan cara perbelanjaan mesti di peringkat individu dan juga negara sudah tentu. Lalu kerajaan mengambil keputusan mengubah pengurusan subsidi sehingga memberikan kesan terbesar buat rakyat yang belum bersedia. Sewajarnya mereka memulakan dengan peringkat atasan dahulu.

Bagi individu, saya bimbang dalam usaha mereka mencari perubahan, ada yang terperangkap dengan pujukan Syaitan hingga berubah kepada jalan yang salah.

Dahulu mereka tidak perlu ambil rasuah, kini berubah kepada ambil dan minta rasuah,

Dahulu tidak terjebak dalam judi, kini berubah kepada terjebak, kononnya peraduan SMS dan bukannya judi.

Dahulu tidak pernah endah dengan skim cepat kaya, kini terpaksa mengintai dengan harapan tinggi untuk perolehi wang tambahan.

Dahulu selalu mengira-ngira pendapatan sudut halal atau haram, kini akibat tertekan dengan harga barang, lalu berkatalah mereka:

"lantaklah..aku terdesak, Allah tahu" monolog hatinya.

Benarkah demikian mudah? Sedangkan jalan halal masih banyak dan terbuka cuma perlukan usaha.

Dahulu tidak kenal siapa ah-long, kini sudah dimasukkan dalam senarai orang yang perlu dijumpai.

Dahulu tidak pernah terfikir lakukan jenayah, sekarang mula terfikir 

Ia sesuai dengan kata-kata hikmah :-

كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُونَ كُفْرًا

Ertinya : Hampir-hampirlah kefaqiran itu menjerumuskan diri dalam kekufuran ( Riwayat Abu Nuaim : Al-Munawi : sanad lemah)

Malangnya semasa mengira-ngira untuk BERUBAH, banyak yang dahulunya dilakukan ingin diteruskan, padahal ia bukanlah perkara asas yang patut diteruskan. Seperti siaran astro, steramyx, surat khabar, makan empat kali sehari (pagi, tengahari, petang dan malam), pembelian surat khabar, ringtone membazir, sms Akademi Fantasia, memasang air cond hampir 24 jam, windows shopping setiap hari minggu sehingga terangsang membeli, membeli vcd filem-filem, majalah-majalah hiburan, rokok dan lain-lain.

Ubahlah perkara sebegini jika rasa beban bertambah semakin banyak. Agar sentiasa dapat menghalang diri dari perkara haram yang menggoda.

PEMIMPIN PERLU JADI CONTOH BERUBAH

Jika tadi kita cerita berkenaan keperluan perubahan oleh orang awam. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, agar bertepatan dengan kehendak Islam dan prinsip keadilan sejagat, saya amat setuju saranan S.S Mufti Perlis agar pemimpin memulakan kempen jimat cermat dan melepaskan sebahagian peruntukan diri sebagai Perdana Menteri, Menteri Persekutuan, Menteri Besar, Exco kerajaan negeri  tidak kira pimpinan BN atau Pakatan. Saya yakin ia akan mencecah ratus juta ringgit malah mungkin billion.

Jumlah ini bolehlah dimanfaatkan untuk golongan berpendatan rendah atau menambah budjet negara untuk ‘simpanan makanan negara'. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk menghapuskan toll di lebuh raya.

Ringkasnya, rakyat tidak akan meluat dengan nasihat pemimpin jika mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan mereka berkorban kepentingan diri untuk rakyat. Hanya air liur yang menerang sahaja tidak lain kecuali mendatangkan meluat yang berterusan sahaja. Berikut petikan nasihat yang amat baik buat para pemimpin (rujuk ) :-

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi.

‘Umar enggan makan bahkan berkata:

"Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya.Lalu ‘Umar bertanya:

"Dari mana diperolehi ini?".

Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar:

"Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

TOL

Kerajaan mungkin boleh mengambil alih pengurusan toll dari syarikat-syarikat swasta kini yang boleh dibeli sekitar harga RM25 billion. Ia juga adalah cadangan Dato' Shahrir Samad (sebelum menjadi menteri) dan juga YB Rembau berkata :

"Sort out the toll issue - I think one way of mitigating the increase in petrol prices would be to reduce toll rates or abolish them out right.  Abolishing toll roads would mean nationalizing these concessions with the Government buying out the remainder of the concession from the operators.  Based on a blended valuation (market capitalization and discounted cashflow), PLUS and LITRAK (the concessionaire for the LDP) can be bought for around RM25 billion.  That would mean no more toll on the highways operated by PLUS and LITRAK.  Of course, the real cost of nationalization would be higher once maintenance is factored in.  (sumber )

SPONSOR SYARIKAT GLC DAN SWASTA

Bagi menmperolehi bujdet membeli pengurusan lebuhraya, kerajaan juga sewajarnya bijak mendekati syarikat swasta yang kaya raya untuk mendapatkan bujdet tambahan bagi membantu rakyat yang semakin menderita. Ia amat sesuai dan baik dari membiarkan ia ditanggung oleh rakyat yang semakin buntu hari ni serta hanya mencadangkan orang pendapatan rendah berjimat dengan menggunakan air liur semata-mata.

Bayangkan, betapa agaknya belanja yang dikeluarkan sebuah syarikat telekomunikasi untuk menaja bolasepak piala Eropah dengan iklan ‘TIDAK BERAQAL, berambut biru dan BERKORBAN DEMI BOLA SEPAK!!. Bagimana juga kos yang dikeluarkan syarikat-syarikat lain untuk menaja pelbagai aktiviti yang bukan member kebaikan kepada asas kehidupan, kebanyakkannya bercorak hiburan semata-mata. Amat membazirkan dan merugikan. Jika pengiklanan yang mereka cari, maka penyaluran wang kepada kerajaan boleh juga diberi ruang khas iklan oleh kerajaan di RTM dan lain-lain.

Keuntungan bank-bank mega yang bebrillion ringgit satu tahun, wajar disedut sedikit bagi tujuan awam.  

KAKITANGAN AWAM

Demi untuk memberikan perubahan kepada golongan awam ini, CEUPACS mencadangkan agar kerajaan membenarkan sebahagian kakitangan awam bekerja sampingan di luar waktu pejabat. Bagi saya ia kelihatan baik tetapi sebenarnya ia amat tidak baik, kerana :-

a-      Pastinya kakitangan tersebut akan hilang fokus kepada tugas kerajaan. Tugasan sendiri kerap lebih diutamakan hingga mengambil masa pejabatnya.

b-     Tugasan wajib di pejabat akan menjadi semakin TERLALU lambat ( sekarang sudah lambat) akibat kehilangan stamina dan tenaga.

c-      Ikatan institusi keluarga semakin bermasalah kerana tumpuan mencari duit untuk menampung kehidupan menjadi priority.

d-     Akan memalukan kerajaan yang seolah-olah tidak lagi mampu membayar gaji yang sebaiknya buat kakitangannya.

Saya yakin terdapat pro dan kontra dalam hal ini, namun secara peribadi saya ras abimbang dengan prestasi kerja kakitangan ini kelak.

AKHIRNYA

Kita semua adalah miskin dan Allah sahaja yang kaya. Kita sentiasa memerlukan bantuan Allah swt. Kewujudan minyak adalah dalam ruang lingkup kuasa Allah, keyakinan dunia tentang minyak yang menyebabkan naik perminataan dan harga juga adalah dalam kekuasaan Allah, global warming adalah kuasa Allah dan semuanya milik Allah,

 

Kita ingin semuanya baik dan menarik, namun yang kita persembahkan kepada Allah adakah semuanya baik dan seiring dengan apa yang diingini oleh Allah?!,. KIta sentiasa menuntut yang terbaik dari Allah swt namun kerap sekali mempersembahkan yang buruk kepadaNya.

FirmanNya :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاء إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Ertinya : Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji ( Fatiir : 15 )

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Jun 2008

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Peribadi, Tazkirah & Fikir Harga Semakin Naik : Apa Perlu Buat ?