Kewangan Mengapa Utamakan Isu Kewangan?

Mengapa Utamakan Isu Kewangan?

  • PDF
(4 votes, average 4.00 out of 5)

Jawapan Soalan Majalah I , bulan September 2006

Mengapa Penting Sangat Isu Islam & Harta ?

Oleh :

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman 

Soalan 

Ustaz,

Saya ada mendengar yang bahawa ust sangat banyak menekankan berkenaan riba dan kepentingan bank Islam, malah ust juga di katakan meminta agar isu ini diberikan perhatian besar di samping isu-isu Islam yang lain, bolehkah ust menjelaskan mengapa ust berpandangan demikian?

- Anti Riba -

JAWAPAN :

Terima kasih atas soalan ini. Benar, saya sememangnya berkempen agar umat Islam memerhatikan isu ini dengan lebih serius, tapi setakat ini,  masih di peringkat yang mendukacitakan kerana terlalu ramai para ustaz dan ustazah serta ilmuan Islam agak kurang minat atau tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentangnya. Justeru, bidang ini seperti sunyi tanpa pejuang, sedangkan kesan dari elemen haram dari harta juga adalah amat besar bagi Islam. Menurut pengalaman saya ketika bertemu masyarakat di Malaysia dan Brunei. Terlalu ramai umat Islam yang amat selalu tidak mengambil berat akan isu ini, serta amat terperanjat dengan pendedahan yang dilakukan. Lalu bertimbun-timbunlah soalan yang menghujani saya sehingga tidak cukup tangan untuk menjawabnya.

Benar, saya amat kurang puas hati terhadap kesedaran masyarakat terhadap isu halal haram di dalam urusan kewangan dan perbankan. Perlu diingat, dalam Islam, kesedaran dengan membeli barangan yang bertanda halal sahaja, adalah sangat tidak mencukupi; ia tidak berguna jika barangan halal itu dibeli dengan duit yang haram, samada hasil riba, pelaburan yang haram atau harta curi, rasuah dan pecah amanah serta lain-lain.

Secara ringkas dan mudah, berikut adalah dalil-dalil yang menunjukkan betapa besarnya dosa riba. Ramai yang sering marah-marah dengan rasuah, kronisme, amalan bid'ah, tahlil, kenduri arwah, makanan tiada logo halal, makanan yang terdapat unsur bangkai dan babi dan lain-lain isu. BENAR, saya amat menyokong dan hargai sumbangan tidak ternilai mereka itu. Bagaimanapun, rasa terkilan apabila hampir tiada atau amat kurang perbincangan bersungguh dan jelas dari pelbagai pihak yang berkelayakan tadi dan ilmuan Islam lain khususnya bagi menerangkan dan menyelamatkan umat Islam dari ‘virus' Riba yang amat berbahaya dengan lebih luas dan serius.

Pandangan Islam Tentang Riba

Imam An-Nawawi rh berkata : "Telah Ijma' seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama, antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi" (Rujuk Al-Majmu', 9/391 )

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba yang menjadi sebab mengapa saya menumpukan masa yang lebih bagi menyelematkan masyarakat Islam darinya.

a) Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ia berdasarkan Firman Allah SWT :

Ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya" (Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ‘saki baki' riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ‘saki baki', menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus.

Maaf saya katakan, saya kenal ramai rakan-rakan dari kalangan individu yang berpendidikan agama, pejuang sunnah yang tulen serta sentiasa menapis hadis-hadis dan riwayat, pejuang Islam yang ingin menegakkan sebuah Negara kebajikan Islam, pejuang sunnah yang kerap keluar berdakwah di jalan Allah beberapa hari dan bulan, pejuang keadilan bagi rakyat dan pelbagai pejuang lagi. Bagaimanapun, saya sedikit sedih kerana ada di kalangan mereka yang tidak endah terlibat dengan pinjaman kereta riba, rumah riba, kad kredit riba, simpanan wang riba, insuran riba, pinjaman pelajaban univeristinya juga Riba.

Malah yang lebih menyedihkan, terdapat juga yang menjadi peguam atau mempunyai firma guaman sendiri, lalu mendrafkan dokumen-dokumen undang-undang bagi produk-produk Riba di Bank konvensional dan pelabagai lagi. Bukankah Nabi SAW telah bersabda : "Dilaknati pemakan riba, penulis riba dan yang menjadi saksinya" (Riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah) ; Termasuk juga mereka yang dilaknati adalah mereka yang menjadi penjamin bagi setiap pinjaman riba ( yang termasuk dari kalangan saksi riba).

Saya sering terfikir, bagaimanakah sunnah dapat ditegakkan, Negara Islam tulen dapat dibangunkan, masyarakat soleh dapat diasaskan dengan hidup dikelilingi ‘virus' Riba ini. Sedangkan zahir ayat di atas tadi membayangkan peperangan itu berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi setiap individu dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : "Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT"  (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan"  (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : "Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364

)

Berkata Imam Qatadah rh : " Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )

  • b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" ( Al-Baqarah : 276 )

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari pemiliknya kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma'rifat, Beirut, 1982 , 1/224). Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas'ud r.a :-

Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362  ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

c)          Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Dosa individu terlibat dengan Riba juga adalah seperti berzina dengan ibu bapa sendiri, saya kira, hadith di bawah sudah tidak perlu huraian lagi lantaran kejelasannya.

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : " Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

d)           Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : "Satu dirham Riba  yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali" (Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 )

Hadis ini bukanlah untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memfokuskan kepada besarnya dosa riba. Justeru, saya amat mengharapkan umat Islam membuka mata mereka kepada isu ini. Ramai juga bertanya saya tentang pelaburan FOREX melalui internet yang menawrakan pulangan sebanyak 100 % atau 200 %. Perlu saya diedahkan di sini, semuanya adalah Riba, dan FOREX ini tidak mematuhi disiplin pertukaran wang menurut Islam, maka Riba berlaku dengan amat serius. Sekali lagi, saya kerap dimaklumkan bahawa ramai umat Islam terlibat dalam pelaburan sepeti ini.

e)         Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Demikianlah dengan ringkas bagi saya menggambarkan betapa besarnya dosa yang terlibat dengan riba ini. Justeru, segeralah mempelajarinya apa itu riba dengan serta merta. Boleh layari http://www.zaharuddin.com/ bagi mendapatkan serba sedikit jawapannya.

sekian

Kuala Lumpur

3 Ogos 2006



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 4 guests

Komen Terbaru

You are here: Kewangan Mengapa Utamakan Isu Kewangan?