Lelaki & Wanita Web Lucah & Harta Tersangkut

Web Lucah & Harta Tersangkut

  • PDF
(38 votes, average 4.71 out of 5)

Web Lucah Perlu Disekat

Sebagaimana Pelaburan Haram 

( Artikel ini  dterbitkan di Akhbar Metro Ahad, 24 Jun 2007)

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Akibat web dan Majalah Lucah Serta Harta Haram di Malaysia

Petikan-petikan berita metro dan lain-lain berkaitan aktiviti terkutuk, cabul dan seks yang dilakukan oleh rakyat Malaysia cukup membimbangkan. Ia datang adri pelbagai jenis kumpulan, tua, muda mat rempit, muda pelajar sekolah, muda mahasiswa dan pelbagai lagi. Belum lagi dicampur dengan pelbagai pengakuan dan permintaan nasihat oleh individu yang terlibat kepada saya melalui email saya dan web saya (http://www.zaharuddin.net/).

Semuanya mengejutkan, dan hampir setiap hari boleh terkejut dengan email-email yang tak pernah terfikir kita. Saya telah katakan beberapa kali di blog saya, peningkatan gejala yang amat merbahaya dan semakin merebak di kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia. Hasilnya antara penyakit terbesar di kalangan rakyat Malaysia adalah gejala terlalu cintakan harta dan wang (sehingga dengan mudah boleh ditipu melalui pelbagai cara) serta terlalu asyik dengan kegilaan seks bebas. Jika tidak dikawal segera, ia bakal menjadi punca kehancuran dan kerobohan masyarakat.

Baca artikel saya yang lepas di

1) Bahaya nafsu lelaki dan seks

2) Lelaki Melayu Bermasalah & Email Mendukacitakan

Usaha tegas dari semua pihak perlu dilakukan, antara yang paling mudah adalah dengan menyekat seluruh web lucah sebagaimana sekatan dibuat ke atas web pelaburan haram internet. Dilaporkan sebanyak 33 juta web lucah boelh diakses di Malaysia hari ini, sekatan boleh dimulakan dengan menamatkan akses bagi setiap web-web lucah keluaran Malaysia sebagaimana yang dilaporkan di akhbar beberapa bulan yang lalu.

Mungkin akan ada penggemar-penggemar web site ini yang ‘kurang puas hati' kerana tindakan ini boleh menyekat 'keseronokan' haram mereka, tetapi sedarkah mereka, kemungkinan besar anak dan ahli keluarga mereka juga boleh menjadi mangsa tindakan cabul dan jahat individu buas di luar sana.

Editor Media Massa

Media massa terutamanya majalah yang menjadikan bahan berita dan cerita seks sebagai pelarisnya mesti ditarik semula permitnya. Saya merasa pelik memikirkan bagaimana seorang manusia yang bernama editor ini boleh dengan bangganya menjual majalah sedemikian. Tidakkah mereka terfikir tentang anak perempuan dan ahli keluarga mereka yang mungkin juga bakal menjadi mangsa akibat majalah keluaran mereka sendiri.? Apa yang dapat saya fahami adalah, semuanya kerana harta. Iaitu ingin mearih jualan terbanyak dan dianggap cemerlang oleh pemilik media kerana mampu melonjakkan jualan. Tidak kira lonjakan itu membawa celaka buat rakyat ataupun tidak.

Benarlah kata Rasulullah SAW berkenaan berlumba-lumbanya manusia mencari harta dunia, apabila sudah berlumba, sudah tentu dilanggarnya yang haram juga:-

فَوَاللَّهِ لَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخَشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كما بُسِطَتْ على من كان قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كما تَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكَكُمْ كما أَهْلَكَتْهُمْ

Ertinya : Tiadalah kefaqiran yang aku bimbang menimpa umatku, tetapi yang palig ku takuti adalah umatku dibentangkan harta dunia   sebagaimana yang pernah diperolehi oleh umat sebelum kamu, maka ia menyebabkan kamu berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka juga pernah berlumba-lumba, dan akhirnya menghancurkan mereka sebagaimana ia akan menghancurkan kamu juga" ( Riwayat Al-Bukhari, 3/1152 )

Nabi SAW mengaitkan ke'gila'an kepada harta akan membawa kehancuran kepada diri seseorang. Lihat sahaja pengedar dadah yang ingin kaya, sehingga sanggup menggadaikan nyawanya, semuanya kerana dirasuk oleh virus cintakan harta yang amat tinggi. Tiada lagi fikir kesan negatifnya kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan lain-lain. Nabi juga pernah menyebut tabiat rakus ini dengan kata baginda :-

لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ 

Ertinya : Sekrianya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )

Sukar juga dapat difikirkan bagaimana ada wanita yang telah begitu hilang malunya sehingga sanggup muncul di web dan media dengan gaya yang terkutuk. Tidakkah para wanita pernah rasa terhina apabila dipromosi tubuhnya semacam barang dagangan dan disamatarafkan dengan iklan sabun pencuci lantai tandas?. 

Teringat saya kata-kata Khalifah Umar al-Khattab berkenaan tahap wanita di zaman Jahiliyah dengan katanya :-

كنا في الجاهلية لا نعد النساء شيئاً. فلما جاء الإسلام وذكرهن الله , رأينا لهن بذلك حقاً

Ertinya : Ketika kami di waktu Jahiliyyah, kami tidak mengganggap ada apa-apa nilai (kecuali untuk dipergunakan) pada diri seseorang wanita itu, tatkala datangnya Islam dan Allah menyebut perihal wanita, maka kami tahu terdapat hak kemuliaan pada wanita yang perlu diambil kira" ( Riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Libas)

Walaubagaimanapun, wanita hari ini kelihatan semakin suka untuk merendahkan kembali tahap mereka seperti zaman Jahiliyah. Islam ingin memuliakan dan menaikkan taraf mereka, tetapi mereka pula enggan. Ia dibuktikan dengan memurah-murahkan nilai tubuh mereka untuk tontonan awam. 

"Makanan yang enak, jika tidak disimpan elok-elok memang cepat basi" Kata seorang guru saya mengisyaratkan kegagalan wanita menjaga kehormatan diri mereka.

Malangnya, semakin ramai wanita yang semakin suka menjadi basi ?.Lelaki basi jugalah yang akan mengambil mereka sebagai isteri. Lelaki basi tidak akan memegang lama seorang wanita basi, lalu penceraian menjadi keutamaan. Akhirnya jadilah wanita seperti pekakas mainan, digunakan sebentar dan dibuang kemudiannya.

Tersilap Pilih Kemajuan  

Ramai yang terpengaruh dengan acuan barat dalam menilai kemajuan sesuatu kemajuan, lalu setiap perlakuan wanita dan lelaki barat dijadikan sebagai ‘standard' kemajuan diri. Tersesatlah mereka dari jalan keredhaan Allah. Tiada lagi Islam dalam kamus diri tatkala itu, keredhaan Allah dan Rasulnya, yang ada hanyalah kebanggaan kerana berjaya meniru barat dan ‘maju', hakikatnya amat mundur di sisi Allah SWT.

Harta Haram Akan Tersangkut 

Sebagai ingatan, harta yang haram dan tiada berkat ini boleh hilang begitu sahaja, samada di ketika hidup mahupun ketika mati. Lihat bagaimana dilaporkan di media sekitar RM 38 billion harta pusaka umat Islam di Malaysia tidak dapat dimanfaatkan kerana pelbagai sebab (Utusan Malaysia, 7 April 2005).

Antara punca yang dapat dikenalpasti adalah ketamakan zuriat si mati yang tidak lagi dapat mencapai kata sepakat semasa pembahagian. Mengapa mesti begitu tamak?. Jawabnya kerana ia lahir dari air mani individu yang tamakkan harta dan tidak pernah memikirkan haram.

Akhirnya lahir kelurga tamak dan tiada endah kepada hukum. Apabila si bapa atau ibu menemui kematian. Hartanya tidak dapat dimanfaatkan sama sekali kerana para waris tidak mahu bekerjasama dan akhirnya semuanya tertangguh, tidak dinafikan penangguhan disebabkan birokrasi dan lain-lain. Cuma ia juga adalah kuasa pembalasan dari Allah.

.

begitu sahaja..adakah kerana ia pengajaran Allah SWT kerana tak pernah fikir haram ?
 

Betapa rugi dan membuang masanya seseorang yang bertungkus lumus mendapatkan harta melimpah ruah tanpa mengira haramnya. Di ketika matinya tiada meninggalkan sesuatu buat keluarga kerana disekat oleh kuasa Allah jua. Satu sen pun tidak dapat dimanfaatkan oleh keluarganya. Ketiadaan pendidikan agama yang baik kepada ahli keluarga, disamping tiada keberkatan pada harta pasti melahirkan pewaris yang tamak dan tidak bertolak ansur.

Lebih malang lagi, harta ini bukan sahaja tersangkut di dunia, malah akan membawa malapetaka maha besar bagi pemiliknya di alam barzakh dan akhirat.

Saya tidak mengatakan secara purata semua harta pusaka yang tergendala pembahagiannya itu sebagai tanda ia dari sumber yang haram, cuma ingin mengingatkan ia adalah antara cara Allah SWT menyekat dan membalas si pencari harta haram di dunia lagi.

.

  

Peranan Pemimpin 

Sebagai akhirnya, pihak berwajib perlu bertanggungjawab di dunia dan akhirat jika mereka masih lagi membenarkan web sebegini beroperasi. Semua pemimpin di semua peringkat bertanggungjawab, ibu bapa sebagai pemimpin, suami dan isteri, majikan dan yang terbesar adalah pemimpin sesebuah negara. Jika web pelaburan cepat kaya haram berjaya ditutup maka kini giliran web lucah pula.

Sedarlah, web dan majalah lucah dan separa lucah tidak lain dari memberi mudarat yang besar buat kita semua, anak kita, dan seluruh keluarga kita di sekolah, di tempat kerja, di jalanan dan di mana jua, hinggakan di dalam bilik air rumah sewa juga sudah tidak selamat. Disebabkan jatidiri iman, agama dan ilmu dalam diri umat Islam semakin hancur. Mereka tiada lagi ‘antibodi' melawan virus nafsu seks yang kuat, tatkala itu kita perlu menggunakan kuasa bagi menghentikan sumber-sumber rangsangan nafsu ini.

Sekali lagi saya ingatkan jangan hanya sekadar memotong 'dahan' dan 'ranting' yang rosak dan merbahaya tetapi wajib membajai akar yang semakin lemah itu, ubatilah, nescaya ia akan subur kembali. Firman Allah SWT :

وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ 

Ertinya : Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur ( Surah Al-A'raf : 58)

Tugas membajai iman dan agama dalam diri masing-masing dan keluarga adalah tugas kolektif dari setiap individu dan terutamanya pemimpin. Sekiranya pemimpin tidak berbuat sesuatu yang jelas halatujunya dalam hal ini. Sedialah memahami hadith Nabi ini :-

 

 ما من عَبْدٍ يسترعيه الله رَعِيَّةً فلم يَحُطْهَا بنصحه إلا لم يَجِدْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ

Ertinya : Tiada seorang hamba (manusia) pun yang dilantik (diberikan rezeki) oleh Allah sebagai pemimpin, dan kemudian ia tidak bertindak untuk menjaga (memberikan) nasihat Islam kepada rakyatnya, kecuali ia tidak akan dapat mencium bau syurga di akhriat" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2614 ; Rujuk huraian di dalam fath Al-Bari 13/127)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

19 Jun 2007

BERIKUT PETIKAN BERITA HARIAN 19 JUN 2007

Laman web lucah punca kadar jenayah kian parah

USAHA kerajaan melalui pelbagai agensi yang bertekad untuk menyekat akses ke hampir 33 juta laman web lucah di internet disambut baik. Lucah selalu dikaitkan dengan perangai tidak senonoh, kotor dan keji.

Ia sudah pasti menjejaskan pembangunan minda dan sahsiah masyarakat, terutama remaja.

Dalam perspektif Islam, amar makruf dan nahi mungkar adalah sesuatu yang harus dilaksanakan. Kewajipan ini dikaitkan terus dengan status dan kualiti iman seseorang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kegilaan melihat gambar pornografi di internet adalah tanda awal penyerapan ke arah perzinaan. Al-Quran dalam surah al-Isra, ayat 32 menyebut bahaya zina kerana ia satu perbuatan yang keji dan buruk. Kerasnya larangan al-Quran dalam soal zina, segala perkara mendekati kepada perbuatan zina harus ditinggalkan.

Profesor Dr Hamka ketika menyusun tafsir Al-Azhar pada 1960-an menyatakan kebimbangan awalnya terhadap kehidupan moden yang begitu mudah mendekatkan orang kepada zina. Hamka berkata: "Segala sesuatu yang akan mendekatkan dengan zina terbuka di mana-mana."

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung." (Surah Ali Imran, ayat 104)

Laman web lucah antara faktor berlakunya kejadian jenayah seperti seks bebas, mencabul, rogol dan bunuh yang semakin meningkat. Oleh itu, jangan sesekali cuba melayari laman web sebegini.

Menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan budaya masyarakat Timur yang beradab sopan tidak dicemari dengan budaya kuning yang cuba diterapkan laman web lucah.

Yusuf al-Qaradawi mengungkapkan sejumlah prasyarat untuk mengubah kemungkaran bersesuaian dengan hadis: "Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya dan seterusnya ....''.

Pertama, kemungkaran itu adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat Islam dan bukan sesuatu yang khilafiah.

Kedua, kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan. Kemaksiatan dilakukan secara sembunyi tidak boleh diintip, memasang alat perakam atau kamera untuk mengetahuinya.

Ketiga, kemampuan untuk bertindak dan mengubah kemungkaran. Jika seseorang itu tidak mampu dengan `tangan' maka dapatlah dilakukan secara `lisan'. Biasanya yang dapat mengubah sesuatu dengan tangan adalah penguasa.

Jika budaya ini berterusan dan tidak menampakkan sebarang tanda berjaya untuk diatasi, bermakna kita perlu bersedia mengikut jejak sesetengah negara Barat yang mula menyerlahkan keruntuhan akhlak remaja mereka.

Bagaimana pula jika kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah atau pihak lain yang dilindunginya? Menurut Qaradawi, aktivis itu haruslah mempunyai salah satu daripada tiga kekuatan iaitu ketenteraan, suara majoriti perwakilan dan kekuatan massa (masyarakat, media cetak dan elektronik, individu perseorangan).

Jika salah satu daripada tiga kekuatan itu tidak dimiliki, Qaradawi menganjurkan usaha mencegah kemungkaran dilakukan menggunakan cara lisan (tulisan, dakwah, nasihat, undang-undang) sehingga dapat mempengaruhi masyarakat bagi tujuan menghapus kemungkaran.

Keempat, untuk mencegah sesuatu kemungkaran perlu dilihat ke atas kesannya sama ada ia menimbulkan kemudaratan lebih besar atau tidak. Ulama mensyariatkan perlunya berdiam diri terhadap kemungkaran, jika dikhuatiri menimbulkan kemungkaran lebih besar.

Melihat kepada pandangan dan syarat dikemukakan Qaradawi, jelas sekali perlunya sifat cermat dalam menangani kemungkaran.

Oleh demikian, usaha bersungguh ke arah membina generasi Muslim yang berketrampilan dan berakhlak mulia perlu membabitkan semua pihak supaya kebejatan sosial kian parah dalam masyarakat dapat dikurangkan sehingga kadar paling minimum



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 16 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Lelaki & Wanita Web Lucah & Harta Tersangkut