Pelaburan & Perniagaan Skim Empay : Halal atau Haram?

Skim Empay : Halal atau Haram?

  • PDF
(460 votes, average 4.38 out of 5)

 EM-Pay : Pelaburan Halal Atau Haram ?

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

VCD 2 siri, hubungi 0193623152 untuk mendapatkannya

( SIla dapatkan 2 keping vcd ini  : Kuliah hampir 3 jam merangkumi penerangan dan soal jawab isu semasa kewangan termasuk isu Riba, Pelaburan Internet, Skim MLM Cepat Kaya, Empay, ASB, KWSP, Jainetwork, Uptrend, Bank Konvensional, Kerja Kerajaan, Lupus Duit Haram dan banyak lagi  ; hubungi 019 3623 152 & email raisteam01@yahoo.com untuk tempahan dan pembelian)

SOALAN

Assalamualaikum Ustaz Zaharudin,

Sepanjang minggu ini, saya sering kali terdengar dn sering kali juga di syorkn oleh sahabat2 saya mengenai pelaburan EM-PAY ini..

Seperti keterangan Ustaz mengenai " Pelaburan FOREX & Swiss Cash Mutual Fund : Pandangan Shariah "..

Dikesempatan ini, saya juga ingin mendapatkn penjelasan Ustaz mengenai "Pelaburan EMPAY" ini adakah sah mengikut Hukum Syariah Islam ?

Harap makluman daripada Ustaz dan diakhiri dgn ucapan terima kasih

Dari,

Hana

JAWAPAN

Saya anggarkan sekitar 80 kali pertanyaan di ajukan kepada saya dalam bentuk email, sms termasuk melalui web site saya, bertanyakan berkenaan hukum pelaburan Empay ini. Demi membantu individu bertanya yang saya kira baik agamanya (kerana masih memikirkan tentang halal haram dalam pendapatannya berbanding sesetengah yang lain yang langsung tidak memperdulikan sumbernya), maka secara keseluruhannya saya telah memperuntukkan masa sekitar 4 jam untuk membuat kajian dan tulisan ini.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan bahawa saya kerap mendengar terdapat individu yang cuba mengharuskan apa saja yang berkait dengan Riba dengan menggunakan berhujjah menggunakan hadith :-

ليأتينّ على الناس زمان لا يبقى أحدٌ إلا أكل الربا فإن لم يأكله أصابه من بخاره

Ertinya : Akan datang satu zaman dimana tidak terkecuali seorang pun kecuali ia makan Riba dan jika ia tidak makan sekalipun, ia akan ditimpa debu-debunya" (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, hujjah ini tidak boleh diterima untuk bersikap senang-senangan dengan Riba terutamanya tahap hadith ini yang lemah menurut Imam Al-Munziri kerana perawinya bernama Al-Hasan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah r.a (ini kerana menurut hadith ini dikatakan al-Hasan mendapat kata-kata Nabi SAW ini dari Abu Hurairah) - Rujuk Sunan Abu Daud dengan tahqiq Albani, hlm 374, no 3332. cet Bayt Al-Afkar.

Apa itu Empay ?

EM-Pay adalah satu gabungan program loyalti EM-PAY dan IPC SHOPPING dimana anda diberi pelbagai ganjaran dalam bentuk diskaun dan juga over-riding komisyen dari penajaan serta perbelanjaan ahli-ahli dibawah rangkaian anda.

Berikut beberpaa isu yang sempat saya keluarkan, banyak lagi jika ingin diperincikan, tetapi cukuplah saya ulas beberapa sahaja. Dengan wujud beberapa isu inipun sudah boleh memberikan gamabar penuh tentang hukum penyertaannya.

ISU PERTAMA : MEMBELI KAD DISKAUN

Disebutkan di dalam web empay bahawa setiap peserta akan diberikan satu kad diskaun. Ia adalah dikira seperti produk. Ia disebut seperti berikut :-

Melalui program EM-PAY, anda akan diberi satu KAD PREVILAGE di mana anda layak mendapat :-

  • DISKAUN
    Anda akan diberikan diskaun sekiranya anda membuat pembelian dimana-mana merchant yang berdaftar dengan IPC SHOPPING. Jumlah peratusan diskaun bergantung pada perjanjian diantara Merchant dengan IPC SHOPPING. Maklumat terperinci akan dihebahkan dalam laman web EM-PAY yang bermula pada hari pelancaran yang akan dibuat dalam jangkamasa yang terdekat.

  • REDEMPTION POINT
    Anda juga layak menerima bonus over-riding dari pembelian barangan ahli-ahli dibawah rangkaian anda sebanyak 0.1% sehingga 10 level bermula dari ahli-ahli tajaan terus (Direct sponsor) anda.

Pandangan Shariah Tentang Kad Diskaun :

Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy atau Kesatuan Fiqh Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1) memfatwakan bahawa:

Semua jenis kad yang menawarkan keistimewaan diskaun harga apabila digunakan di tempat-tempat dan perkhidmatan tertentu.

Hukum : Jika kad tersebut mensyaratkan pembayaran yuran tahunan yang besar ( jika hanya sekadar RM 12 seperti beberapa kad pasaraya, ia halal kerana ia sekadar harga sekeping kad) dan bulanan atau apa jua yuran yang tinggi serta berulang, maka ia adalah HARAM kerana terdapat unsur judi dan gharar yang ditegah di dalam Islam.

Ini adalah kerana apabila si peserta meletakkan wang yurannya yang tidak dikembalikan, ia masih tidak pasti samada berapa banyakkah diskaun yang mampu dimanfaatkannya. Ini kerana, si pemegang kad ini mungkin pergi ke kedai yang disenaraikan, mungkin juga tidak kerana jarak yang jauh dan sebagainya. Akibtanya, ia boleh menjadi untung atau rugi. Ini tidak ubah seperti berjudi, mungkin jika ada kesempatan dan nasib baik, mungkin ia akan pergi, jika tak berkesempatan maka mungkin ia akan rugi yuran itu tanpa sebarang penggunaan.

saya memahami perkara yang disebut di atas berdasarkan petikan web ahli Empay di bawah :

S: Berapakah bayaran untuk menjadi ahli?

J: Untuk menjadi ahli, anda hanya perlu membayar sebanyak RM138 untuk belian  satu lot yang melayakkan anda menerima pulangan RM32,764 walaupun anda  tidak membuat penajaan.

EM-PAY memperkenalkan 2 jenis keahlian:

1. Keahlian SILVER (Silver Member)     RM 168 (bersamaan 1 Lot)
2.   Keahlian GOLD (Gold Member)         RM 504 (bersamaan 3 Lot)

Komentar saya : Ini bermakna, peserta diperlukan membayar RM 168 (bersamaan 1 lot) atau RM 504 (untuk 3 lot) untuk memperolehi kad ini, justeru ia turut menjadi haram berdasarkan kepada keputusan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia ini. Ia hanya akan menjadi harus apabila dihadiahkan secara percuma oleh penganjur.

Dari banyak-banyak perkara yang perlu disemak dalam skim ini, satu isu telah pun jelas haram. Bagaimana pula dengan yang lain, mari kita lihat.

ISU KEDUA : MUDARABAH YANG PALSU

Berdasarkan info dari web site ahli EMPAY juga, ia menawarkan berikut sistem menjana keuntungan dari kad tersebut secara piramid. Ini boleh dilihat dari :-

"EM-Pay mempunyai satu program yang dinamakan AUTO PLACEMENT di mana melalui program ini secara automatik ahli-ahli akan disusun dalam bentuk susunan force matrix gandaan dua sehingga 13 level dari bilangan ahli yang berdaftar dari seluruh dunia. Setiap ahli yang disusun melalui program ini akan diberikan ganjaran sebanyak RM 4.00 dan bila sudah cukup ke tahap 13 level, jumlah keseluruhan ganjaran yang anda terima adalah sebanyak RM 32,764.00 sekiranya anda tidak menaja. Ganjaran ini adalah hasil dari pembahagian keuntungan secara mudhrabah.

Pandangan Shariah :

Ini adalah satu penyelewengan nama yang amat dikesali; mereka menggunakan nama 'Mudarabah' di tempat yang bukan Mudarabah. Di lakukan oleh individu yang langsung tidak mengetahui apa-apa tentang hukum hakam Pelaburan Islam. Tetapi dengan mudah memperdaya umat Islam dengan hanya satu nama "Secara Mudharabah". Amat mendukacitakan terdapat ramai umat Islam yang mempercayainya.

Padahal, Mudarabah mempunyai rukun dan syarat, yang termudah adalah :- tiada sebarang keuntungan boleh dijamin samada dalam bentuk peratusan mahupun 'absolute amount' seperti RM 32,764.

Bolehkah pembaca atau peserta memberitahu saya bagaimana bentuk aqad Mudarabah yang dibuat? Siapa pula yang berkelayakan Shariah untuk yang menyemaknya terma-termanya ? Asas utamanya sekarang, adakah mereka mempunyai Majlis Penasihat Shariah yang berwibawa? Siapa? Mengapa tidak dihighlightkan?. Atau mungkin nama Penasihat Shariahnya adalah "Donald Trump" atau Ah Long sahaja ? yang tidak beragama Islam serta tiada ilmu tentang Shariah. Anda yakin dengan mereka? Maaf, saya tidak sama sekali menyerahkan urusan agama saya kepada non-muslim untuk memandu.

Inilah yang dinamakan "Mudarabah Jenis Palsu". Menyalahgunakan nama Mudarabah bagi mengabui mata ramai.

Disertakan gambar rajah rukun Mudarabah ( Rujuk Shariah Standard, AAOIFI, hlm 231). Sila buka web http://www.aaoifi.com/ untuk mengethaui kredibiliti Majlis Dunia ini.

Rukun Mudarabah

1. Rabbul Mal

2. Mudarib

3. Raksul Mal (Modal)

4. Sighah

5. Nisbah Pembahagian Keuntungan Dalam Bentuk Ratio atau Peratusan. 

6. Perniagaan & Kerja

7. Ijab & Qabul

ISU KETIGA : RIBA, MONEY GAME & MENIAGA WANG UNTUK MENDAPAT UNTUNG

Disebutkan juga dalam webnya :

" Setiap ahli yang disusun melalui program ini akan diberikan ganjaran sebanyak RM 4.00 dan bila sudah cukup ke tahap 13 level"

PLAN A (PLAN AKTIF)

a) BONUS TAJAAN TERUS


Setiap tajaan terus, anda diberikan bonus sebanyak RM 15.00 untuk setiap lot.

Contoh 1 :
Jika anda menaja seorang dan daftar sebanyak 1 lot anda diberikan bonus RM 15.00

Contoh 2 :
Jika anda menaja seorang dan daftar sebanyak 3 lot atas USER ID yang sama, anda diberikan bonus sebanyak RM 15.00 X 3 = RM 45.00

Pandangan Shariah

Inilah yang dinamakan 'money game' yang diharam sama sekali di dalam Islam. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba. Dalam Islam, untung dari perniagaan yang halal sememangnya boleh datang dalam pelbagai bentuk tetapi asasnya hanya dari dua sumber iaitu :-

•a)     Jual Beli & Sewa

Halalnya untung dari jual beli kerana wujudnya aset atau barang yang dijual,yang mana harga modal pembuatan barangan itu sebagai contoh RM 2, maka dijual dengan harga RM 10 . Maka RM 8 itulah untung yang halal.

Atau anda membeli sebuah kamera dengan harga RM 800 kemudian anda menyewakannya kepada rakan anda untuk 1 tahun dengan bayaran setiap bulan RM 100. Maka jumlah keseluruhan anda perolehi dalam masa setahun adalah RM 1200. Itulah namanya untung. Dalam masa yang sama, anda masih memiliki kamera tersebut. Ini adalah untung dari sewaan namanya.

Termasuk juga dalam katergori ini adalah pembelian saham yang merupakan sejenis asset atau commodity yang mempunyai nilai SERTA SAH untuk dijual. Si pemegang saham boleh mendapat untung samada apabila ia menjual saham itu dengan harga yang lebih tinggi dari harga yang dibelinya, atau ia simpan untuk jangka panjang, maka ia mendapat sebahagian dari keuntungan yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar saham itu secara tahunan dan sebagainya.

•b)     Pelaburan Mudarabah dan Musyarakah.

Iaitu sebagai contoh anda meletakkan wang sebanyak RM 10,000 kepada pengusaha bas ekpress itu pengurusan syarikat bas mereka, dengan persetujuan bersama bahawa dalam setiap bulan, keuntungan bersih yang diperolehi oleh syarikat akan dibahagikan 20 % untuk anda sebagai pelabur, dan 80% dari untung kepada pengusaha. Maka jumlah sebenar hanya boleh diketahui bila sebulan telah lengkap dan dikira semua pendapatan syarikat untuk bulan itu. Katalah kentungan yang diperolehi sebanyak RM 5000. Maka 20 % dari RM 5000 akan diberikan kepada anda sebagai pelabur, dan bakinya akan diambil oleh syarikat. Itulah namanya Mudarabah menurut Islam. Bukannya seperti EMPAY , anda letak RM 138, kami beri RM 32, 764 secara pasti!.

Mudarabah dan Musyarakah juga mewajibkan kita menyemak perniagaan yang dijalankan samada menepati Shariah atau tidak. Seperti contoh di atas, perniagaannya adalah 'perusahaan Bas', maka ia adalah halal.

Adapun EMPAY, apakah perniagaannya? Jawapannya adalah "perniagaan timbun dan kutip wang dari orang ramai dan kad diskaun."

Perniagaan Kad diskaun telah saya berikan hukumnya di atas, adapun pernigaan kutip wang, kemudian dikumpul dan dibahagi-bahagikan kepada semua peserta. Ia jelas bukanlah perniagaan yang diiktiraf oleh Shariah, malah ia adalah Riba.

Iaitu contoh "saya beri RM 138 hari ini, awak beri saya RM 32,764 dua minggu dari sekarang"

Inilah perniagaan wang dengan wang. Yang mana dalam Islam, ia memerlukan dua syarat agar tidak berlaku Riba iaitu :

  • a) Mestilah diserahkan dalam masa yang sama. Jika tidak berlakulah Riba Nasiah. Maka empay , serah duit hari ini, dapat semula bulan depan sebagai contoh, jelaslah ia Riba.
  • b) Mestilah nilai yang diberi adalah sama. Iaitu Jika beri RM 138, pulang juga mesti RM 138. Tetapi EMPAY beri RM 138, pulang RM 32000. Ini lah yang dinamakan Riba Al-Fadhl. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, Khatib Ash-Sharbini, 2/28 ; Al-Bada'I As-Sonai' , Al-Kasani, 5/183 ; Qadhaya Iqtisodiyyah Mu'asiroh, Dr Sulaiman Al-Asyqar, 2/592 )

Kedua-dua syarat ini diambil dari hadith :

الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم

Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan  termasuk wang kertas), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai"  ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .

ISU KEEMPAT : KOMISYEN BERDASAR KEPALA & TERDAPAT SYARAT BAGI PEROLEH KOMSIYEN

Dinyatakan melalui webnya juga bahawa :-

"Program EM-Pay meletakkan downline di bawah anda secara automatik, anda tidak perlu cari mencari orang lagi! Program EM-Pay akan bermula dari Malaysia, dan seterusnya kita akan berkembang ke pasaran di China, Hong Kong, Thailand, Indonesia sehingga seluruh dunia."

Pandangan Shariah

Anda perlu membaca dengan faham tulisan saya berkenaan MLM, dengan demikian anda mampu memahami adakah sistem ini benar-benar MLM yang halal atau dari jenis 'main kepala'.

Jelasnya, ia adalah amat jelas, 'bermain dengan kepala' ( komsiyen ikut kepala dan berapa ramai ahli yang berjaya diperolehi dan bukannya komisyen jual barangan syarikat). Justeru jelas lagi bersuluh ia adalah haram dan termasuk dalam kategori yang disebut oleh Allah sebagai :

ولا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل

Ertinya : Dan janganlah kamu memakan harta sesame kamu dengan cara yang bathil (salah)..( Al-Baqarah : 188)

Inilah sistem piramid bentuk cara yang salah dan tidak menepati Islam. Tambahan pula, setiap lot yang dibeli bermakna akan menghasilkan untung yang telah ditetapkan jumlahnya. Inilah namanya 'Mudarabah Palsu'. Tiada jaminan untung dalam Mudarabah sama sekali walaupun dari pihak ketiga.

Ia tidak ubah seperti ‘Fixed Deposit' dari satu sudut: Fixed deposit adalah satu jenis pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan dalam bentuk yang telah ditentukan secara pasti sejak awal lagi. Sebagai contoh, jika anda meletakkan duit pelaburan sebanyak RM 10,000 bagi tempoh 5 bulan, anda pasti akan diberi pulangan samada jumlah tertentu (seperti RM 5,000) atau kadar pulangan yang pasti (12 %)  dari jumlah pelaburan anda. Cuma perbezaannya adalah ia lebih teruk lagi kerana Fixed Depost tidak meletakkan perbezaan perolehan komisyen kepada pencarian ahli.

Jaminan untung tertentu dalam sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana Riba. Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh menyebut :

أن الخراج بالضمان

Ertinya : "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)"  (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan)

Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram

APA ITU MUDARABAH YANG TULEN DALAM BENTUK PRAKTIKAL ?

Mungkin ada di antara pembaca yang keliru pula dengan konsep Mudarabah yang sebenarnya, Sebagai contoh untuk kefahaman, akaun pelaburan Bank-bank Islam adalah dibuat atas asas Mudharabah?

Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti " Akaun Pelaburan Umum Mudarabah" atau "Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah" atau " Akaun Semasa Mudarabah".

Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.

Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan dilaburkan untuk membiayai syarikat-syarikat yang telah di tapis secara Shariah oleh pengurusan bank dan majlis Penasihat Shariah Bank. Justeru semua "Shariah-Approved companies" ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.

Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana "client-friendly", iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau "transparent" dengan "client". Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut "asset" mahupun "lialibilities" sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan "filter" Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-

i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai "impure interest income" berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )

Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akaun Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar "indicative Rates" atau "kadar andaian dan ramalan" dan bukannya kadar yang tepat dan mesti diberikan oleh bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.  Berbeza dengan kadar Empay yang diberikan secara tetap dengan syarat cukup 2 kaki downline.

Cara kiraan Mudarabah yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-

Untung Sebenar  = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun

                                                      100

Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau anggaran untuk bulan hadapannya seperti berikut :-

3 X 70 (pelanggan) = 2.10

100


Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paparkan oleh Bank-bank Islam bagi menunjukkan jangkaan prestasi keuntungan akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.

Jika anda memahami apa yang saya jelaskan di atas, maka anda akan memahami beza yang amat ketara dengan EMPAY yang bukan dibuat di atas konsep Mudabarah.

Ada yang bertanya pula : Adakah boleh disamakan pembelian lot Empay seperti membeli blok saham yang membolehkan kita mendapat keuntungan ?

Ini juga tidak benar, kerana jika seseorang membeli blok atau lot saham, tiada sebarang jaminan modalnya terselamat dari kerugian, apatah lagi jaminan keuntungan. Inilah bentuk pembelian dan pelaburan yang diterima Islam.

Inilah yang mungkin termasuk dalam hadith :

يأتي على الناس زمان يستحلون الربا باسم البيع

Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia menghalalkan riba dengan menamakannya jual beli (dan pelaburan)" ( Riwayat Al-Khattabi, 1/42 : Albani : Dhoif )

ISU KELIMA : DUA KONTRAK DALAM SATU YANG DILARANG

Web ahli EMPAY juga menyebut :-

Secara realitinya anda tidaklah perlu menunggu sehingga 13 level untuk mendapat ganjaran tersebut, tetapi anda akan dibayar ganjaran ini pada setiap 2 minggu bergantung kepada bilangan ahli yang telah disusun pada minggu tersebut.  Dalam program ini, walau pun anda seorang ahli yang pasif, anda juga layak menerimanya dengan syarat yang paling minima.

Senario 1
Jika anda daftar 1 lot, anda berjaya menaja 2 orang, anda layak menerima 100% dari jumlah RM 65.528.00

Senario 2
Jika anda daftar 1 lot, anda berjaya menaja 1 orang, anda layak menerima 75% dari jumlah RM 65,528.00 iaitu RM 49146.00

Senario 3
Jika anda daftar 1 lot , anda gagal menaja walaupun seorang dalam program ini, anda layak menerima 50% dari jumlah RM65,528.00 atau RM 32764.00

PANDANGAN SHARIAH

Dari gambaran ini, amat jelas bahawa ia adalah perniagaan duit dan ‘kepala' iaitu tajaan kepala dan setiap bagi mendapatkan satu ‘kepala' atau ‘lot' adalah perlulah memabayar sejumlah wang. Sememangnya kelihatan amat menggiurkan tetapi malangnya, ia adalah tidak halal secara pasti tanpa syubhah lagi.

Senario 1, 3 dan 3 ini amat jelas mengaitkan jumlah % komisyen kepada syarat peserta mencari ahli. Inilah yang telah saya sebutkan dalam artikel MLM dahulu sebagai dua kontrak dalam satu yang ditegah oleh Nabi SAW kerana terdapat unsur penindasan dan ketidakadilan, selain ia juga mempunyai serba sediit elemen perjudian.  SILA BUKA maklumat lanjut .  Tapi dalam hal ini, ia lebih teruk lagi kerana tiada sebarang produk yang dijual. Semuanya bergantung kepada jumlah ahli bawahannya.

ISU KEENAM : PARA USTAZ DAN EM-PAY

Terdapat beberapa email yang dihantar kepada saya menyebut bahawa skim ini dianggap halal oleh beberapa orang ustaz yang telah menyertainya dengan alasan ia adalah ‘Maslahat' dan diperlukan oleh membina kekuatan ekonomi umat Islam agar tidak ditindas apabila berada dalam keadaan miskin.

Hakikatnya, saya amat kesal dengan hujjah longgar tanpa bersendikan ilmu yang amanah dari individu yang bernama ‘ustaz' ini. Mempergunakan hujjah maslahat dengan sewenang-wenangnya. Jika benarlah ‘langgar sahaja yang haram asal boleh membuat keuntungan & menguatkan ekonomi' maka saya bimbang selepas ini, mereka ini menghalalkan rompakan bank dan rasuah pula kerana boleh menguatkan ekonomi individu.

Jika demikian halnya, apakah ertinya Allah SWT meletakkan segala macam jenis undang-undang untuk mentertib dan menjaga kebaikan ummah. Dimana pula relevan hadith Nabi yang menyebut :

الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر

Ertinya : Dunia ini ibarat penjara (kerana terdapat hukum yang menjaga) bagi orang Mukmin, dan syurga bagi si Kafir. ( Riwayat Muslim, no 2956 ; Majma az-Zawaid, no 7974 )

Islam melarang kita melakukan perkara haram untuk mencapai sesuatu yang baik. Kecuali di dalam keadaan amat amat terpaksa serta tiada pilihan lain.

النية الحسنة لا تبرر الحرام

Ertinya : Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram.

Islam juga MENOLAK sama sekali konsep (Rujuk al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 36):

الغاية تبرر الوسيلة

Ertinya : Matalamat Menghalalkan Cara

الوصول إلى الحق بالخوض في الكثير من الباطل

Ertinya : Sampai kepada kebenaran melalui kertilbatan dengan pelabagi perkara bathil

Sebenarnya saya amat tidak berminat untuk mengulas pandangan kosong para ustaz seperti ini, cukuplah hujjah saya di atas dijadikan panduan.

Bagi mereka yang sedar akan hadith:

كل لحم نبت  من سحت فالنار أولى به

Ertinya : "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih kayak untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

Diharap dapat berfikir sendiri, tidak saya nafikan skim ini nampak kelihatan begitu indah bagi umat Islam yang memerlukan wang tambahan. Sememangnya saya cuba melihat dari pelbagai sudut bagi mencari jika terdapat hujah yang membolehkan, tetapi tiada, kecuali semakin membaca, semakin banyak cacatnya dari sudut Shariah.

Justeru, di ketika wujudnya pelaburan Islam dan amat besarnya dosa Riba, Tiada sebarang jalan untuk membenarkan pelaburan Riba dan tidak sah ini.

Sesal di dunia pendapatan, sesal di Barzakh tiada berguna. Allah maha adil dan mengetahui akan apa yang kita perolehi.

Akhirnya, hayatilah sabda Nabi SAW :

لا تزول قدما ابن آدم يوم القيامة من عند ربه حتى يسأل عن خمس ؛ عن عمره فيم أفناه , وعن شبابه فيم أبلاه , وماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه , وماذا عمل فيما علم "

« Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah di tanya  lima perkara : Tentang umurnya dimana ia habiskannya, tentang kepemuda dan kepemudiannya dimana digunakan, dan TENTANG HARTANYA DARI MANA DATANGNYA DAN KEMANA DIBELANJAKANNYA, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya » ( Riwayat At-Tirmidzi, no 2416 ; Albani : Sohih )

AKhirnya, TIDAK PERLULAH ANDA BERASA MARAH DENGAN TULISAN INI, IA HANYALAH BOLEH MEMBANTU BAGI MEREKA YANG MEYAKINI ADANYA ALAM BARZAKH. Adapun sesiapa yang masih yakin. Terpulang kepada anda untuk berhujjah di akhirat kelak. Dan sekiranya anda tidak mampu memahami kandungan jawapan saya di atas, ini bermakna ; anda belum bersedia untuk melabur di sesuatu pelaburan yang tiada Majlis Penasihat Shariah.

 

Jika anda terfikir dan mencari alternatif pelaburan Islam yang sah. Sila buka

http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=279&Itemid=72

 

Jika anda terfikir bagaimana ingin menguruskan wang haram yang telah diterima, Sila buka link

http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=196&Itemid=72 

 

 

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

27 Muharram 1428H

15 Feb 2007



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 41 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Pelaburan & Perniagaan Skim Empay : Halal atau Haram?