Pelaburan & Perniagaan Jangan Jadi Bangau - Usaha Contoh Pembaca Berita Harian

Jangan Jadi Bangau - Usaha Contoh Pembaca Berita Harian

  • PDF
(86 votes, average 4.43 out of 5)

Jangan Jadi Bangau 

baca berita di web asal


ULASAN RINGKAS UST ZAHARUDDIN 

Ada segelintir pelabur-pelabur internet yang terganggu keuntungan haramnya & sebahagian umat Islam yang amat amat bersemangat cuba memprovokasi saya agar mengeluarkan kenyataan haram ASB, bank Konvensional, KWSP, MLM, arak dan pelbagai lagi di media perdana sebagaimana yang berlaku kepada pelaburan internet haram. 

Malangnya, mereka perlu bertenang sedikit sebelum dengan sangka buruk menuduh saya atau sesiapa jua sebagai 'favoritisme' atau 'agenda bank kerajaan' dan sebagainya. Ini kerana 'hentaman' saya terhadap keharaman di bank-bank konvensional telah pun saya ulas dan berjaya disiarkan di akhbar METRO tahun lalu, malangnya tidak ramai yang membaca ketika itu. Adapun tajuk-tajuk lain yang dinyatakan di atas, juga telah saya ulas di web ini dan ada sebahagiannya telah saya hantarkan kepada pihak akhbar, malangnya ia tidak disiarkan. Tatkala itu, apa lagi yang boleh saya lakukan kecuali menyiarkannya di web saya yang hanya dilawati sekitar 4000 - 8000 orang sehari ini. Kerana itu saya pernah menyebut, bahawa jika anda (yang merungut) itu adalah ketua editor atau ketua pengarah tv, maka inshaAllah akan bersegera saya hantar kepada anda untuk diterbitkan, tapi malangnya anda juga tiada kuasa ke atas media, sebagaimana saya.

Satu perkara yang anda mesti faham juga, mengapa asyik mengarah saya untuk bertindak sedangkan anda sendiri (ditujukan khas hanya kepada yang terlibat) hanya menjadi 'mandur' atau seperti orang kurang upaya?. Sedangkan setiap akhbar menyediakan ruangan surat pembaca. Mengapa tidak anda juga berusaha selain anda 'membebel' dan merungut serta menambah dosa dengan sangka buruk anda.?.

Kadang-kadang saya terfikir, adakah ini sikap kebanyakan Melayu Islam di negara kita?. Jika benar inilah sikapnya, bermakna sikap 'suruh orang buat untuk diri dapat manfaat ini' ini nampaknya bukan hanya merebak dalam skim cepat kaya yang mana konsepnya agak sama , iaitu nak cepat kaya dengan usaha yang paling mudah dan cepat. Malah rupa perangai 'skim cepat' ini juga ada dalam bab provokasi bab haram ni kerana individu yang provok berperangai  ' kau kena hantar pengharaman itu ini dan siarkan juga di media iaitu (siarkan apa yang ia inginkan disiarkan dengan cepat tanpa mereka perlu usaha) Suruh orang lain buat, diri sendiri duduk relax menunggu tanpa usaha. Nampak tak persamaannya? .

Skim Cepat Kaya = Nak duit cepat tanpa usaha sewajarnya dan tanpa risiko rugi.

Skim Cepat Rai Kehendaknya = Nak suruh orang ikut arahannya tanpa ia sendiri ingin berusaha dan agar tiada risiko ke atasnya. 'Play safe', biar orang lain yang kena kalau  diutarakan, tapi jangan aku.

Di sini saya sertakan contoh mulia seorang rakyat awam Muslim di akhbar berita harian. Contohilah ia..hantarlah sebanyak mungkin ke media agar isu yang anda kehendaki dihebahkan.

Pelik juga saya mengapa harapan dan provokasi ditujukan kepada saya, sedangkan saya hanyalah rakyat biasa. Sepatutnya anda perlu ajukan rungutan anda itu kepada semua jabatan agama dan mufti dan JAKIM. Merekalah yang menerima gaji khas untuk tugasan seperti ini. Bukan saya. saya hanya lakukan secara sukarela dengan kemampuan masa dan authoriti yang terbatas. 

JUGA ELOK SAYA SARANKAN PEMBACA MEMBACA ARTIKEL YG SAYA PETIK INI:

"Macam mana saya nak baik, kalau suami saya jenis manusia macam tu?", keluh seorang isteri.

"Saya faham Insya Allah, tentang apa yang ustaz cakap. Tapi isteri saya yang masalahnya. Ustaz tak ada buat kursus untuk isteri-isteri?", kata seorang suami.

"Apa yang ustaz cakap tu betul. Tapi kami orang bawah nak buat macam mana? Teori graviti bukankah atas ke bawah? Orang atas yang kena dengar benda-benda ni", keluh kerani-kerani dari sebuah bank.

"Saya rasa puas hati betul dengan huraian ustaz. Kami di bahagian pengurusan faham Insya Allah. Alangkah baiknya kalau orang bawah faham benda-benda ini. Sebab mereka yang nak buat kerja-kerja itu nanti", kata bos-bos yang berkursus.

Itulah nada-nada biasa yang saya dengar setiap kali mengendalikan kursus. Semua orang meletakkan syarat perubahan pada orang lain. Pada seseorang dan sesuatu yang dia tidak boleh ubah.

Walaupun suami ke atas isteri, bos ke atas pekerja, kita hanya mampu menarik kuda ke sungai, tetapi minum atau tidak, tiada siapa yang boleh memaksanya. Tetapi, itulah yang kita suka harapkan. Harapkan orang berubah supaya kita berubah.

Susahlah begini.

Ini falsafah bangau. Sentiasa menyalahkan pihak lain.

BANGAU OH BANGAU

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?

Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
Nasi oh nasi, mengapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.
Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah, hujan melimpah turun.
Hujan oh hujan, mengapa engkau turun?
Macam mana aku tak turun, katak panggil aku.
Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.
Ular oh ular, kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan, MEMANG MAKANAN AKU.

Ya, mujurlah ular berhenti menyalahkan orang lain. Jika ular masih mencari alasan, mungkin nama anda pun akan ada dalam lagu ini. Pelbagai isu akan terlibat.

Globalisasi, dasar kerajaan, Orientalis, jiran, bapa mertua? Siapa lagi dalam senarai pihak yang ingin kita salahkan?

Lihat, apabila ular mula mengambil tanggungjawab terhadap AKU iaitu dirinya sendiri, selesai polemik dan masalah di hutan.

Ya, masalah boleh menampakkan penyelesaian apabila anda akan mula bercakap tentang AKU, iaitu diri anda, diri saya, diri masing-masing.

ERTI PROAKTIF

Inilah namanya PRO AKTIF.

Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri.

Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.

"Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya", kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, baru boleh berhenti mencarut.

"Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed", kata seorang pelajar di Galway, Ireland.

Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha'if, Arab Saudi, atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa.

Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain.

Cuaca yang akan menentukan mood kita.

Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik.

Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.

Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi.

Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaann diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?

Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang ‘AKU TIDAK PEDULI'SMA, anda pilih sendiri.

Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

MENCARI ATAU MENJADI?

"Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya", kata seorang mahasiswi.

"Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!", tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?

Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah... kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu' walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.

PROAKTIF DAN BUTANG PAUSE

Orang yang proaktif, tidak mudah melatah. Dia tidak akan bertindak mengikut apa yang merangsangnya. Tidak seperti orang yang reaktif:

Marah, disambut dengan kemarahan.
Sedih, dirundung kesedihan.
Geram, diselubung kegeraman.

Hidup seperti ini susah lagi menyusahkan.

Ingatlah kita kepada cerita Stephen Covey tentang anak dan isterinya?

Ketika Covey sampai di pintu rumah, dia diterpa anak kecilnya sambil berkata, "daddy, I am a hardworking man"

Sandra, isterinya berkata, "tadi semasa saya baru balik kerja, anak kita ini sedang menaburkan bekas-bekas makanan kotor di atas lantai. Kemudian disimbahnya dengan air"

Oh, itu pengalaman kita semua. Balik kerja, penat-penat, sakit-sakit, tiba-tiba anak buat hal. Apa reaksi anda? Bagaimana reaksi Sandra?

"Saya tahan sabar. Saya tanya anak kita kenapa dia buat begitu?", kata Sandra.

"Apa katanya?", tanya Stephen.

"Saya nak tolong emak!", jawab si anak.

Ya, si anak menyepahkan pinggan mangkuk dengan niat mahu MEMBANTU EMAK.

Bayangkan jika Sadra menampar si anak tadi, apakah pelajaran yang anaknya perolehi?

Hatinya akan berkata, "kalau nak tolong emak, nanti kena tampar!"

Jangan terkejut jika anak kita akhirnya membesar berat tulang, berat punggung. Kita yang mengajarnya dulu. Jika mahu menolong emak, habuannya penampar!

Apa kata Sandra?

"Oh begitu, kenapa tak basuh di sinki?", tanya Sandra kepada anaknya.

"Tak sampai", kata si anak kecil.

"Baiklah, lepas ini kalau kamu nak tolong emak, beritahu dahulu, ok? Emak akan ambilkan bangku dan kamu basuh di sinki, boleh?", pujuk Sandra.

"Boleh", jawab di anak.

"Bagus, you are a hardworking man", puji si ibu yang proaktif.

Stephen Covey membuat kesimpulan, "dalam situasi seperti itu, prioritinya bukanlah lantai dapur yang bersih, tetapi anak yang ,mendapat pelajaran yang betul.

Bagaimana Sandra boleh menyabarkan diri untuk menjadi proaktif, tidak melatah dan bertindak melulu mengikut rangsangan? Sandra mengamalkan apa yang kita orang Islam namakan sebagai SABAR!

Sabar itu adalah butang PAUSE untuk kita berupaya berhenti sejenak dan berfikir apakah tindakan paling tepat yang kita patut buat.

Sabar bukan sentiasa menjadikan diri sebagai mangsa. Sabar adalah upaya untuk bertindak tepat kerana ada penapis yang menapis persekitaran.

Tidakkah Nabi SAW sudah mengajar kita tentang hal ini?

"Bukanlah gagah itu, pada orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang gagah itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah!"

Ya, proaktif adalah simbol kegagahan seorang Mukmin semata. Ia bukan topik motivasi, ia sifat Mukmin yang mesti dibaja.

SUMBER SABAR

Bagaimana untuk sabar? Dari mana sumber sabar?

Dan bersabarlah kamu. Dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan Allah [Al-Nahl 16: 127]

Ya, sumber sabar adalah dengan Allah.

Hiduplah dalam meletakkan setiap asas perbuatan pada kesedaran diri terhadap Allah, dari situlah terbitnya sabar. Tiada proaktif tanpa Allah.

DA'IE YANG GAGAH

Sabar dari gusti dan gaduh bukan hanya untuk ibu terhadap anak, malah pendakwah!

Semua yang berlaku di sekitar kita, semuanya mengundang marah. Siapa tidak marah melihat artis celupar terhadap isteri Nabi? Siapa tidak berang dengan penghinaan orang Islam terhadap agamanya sendiri?

Semua yang berlaku di sekeliling kita, memang patut dimarah, memang patut dibalas dengan setimpal-timpal balasan!

Tetapi seorang pendakwah yang gagah bukanlah pendakwah yang kuat bergusti. Gusti hujah gusti lidah, gusti tangan gusti pemikiran. Tetapi pendakwah yang gagah adalah pendakwah yang dapat mengawal dirinya ketika marah!

Simpan kemarahan itu, dan hamburkan di atas sejadah semasa menangis di depan Tuhan. Ubatkan sakit hati itu dengan meratap di sunyi malam di hadapan Tuhan.

Namun, untuk pergi kepada mad'u, kuatkan diri dan banyakkan interaksi, bukan konfrontasi.

Mahu terus bergusti... silakan... Selamat tinggal pendakwah Islam, selamat maju jaya missionari Nasrani!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000, Kuala Lumpur

INILAH ARTIKEL YANG DIHANTAR OLEH PEMBACA BERITA HARIAN. iNILAH USAHANYA YANG TERPUJI 

 

BARU-BARU ini banyak diperkatakan berhubung pelaburan melalui internet dan ramai rakyat negara ini turut menyertainya dengan hasil pulangan ribuan ringgit. Namun sebagai orang Islam, apakah kita tidak boleh berfikir dengan waras bahawa pelaburan itu tidak menepati syariat?

 


Saya dapat tahu ada pembaca ditawarkan pelaburan yang bukan melalui internet tetapi nampak caranya sama saja. Pelaburan ini kononnya untuk syarikat minyak di luar negara. Minimum pelaburan ialah AS$100 (RM350) selama 100 hari dan dijanjikan keuntungan dua peratus setiap hari.

Pelik, apakah sebuah syarikat minyak perlu mengemis meminta bantuan daripada masyarakat dunia sedangkan syarikat begini mempunyai wang dan aset yang berjuta atau berbilion ringgit.

Satu lagi jadi kemusykilan saya ialah, bayar hari ini, esok sudah dapat keuntungan, lagi banyak masuk lagi banyak keuntungannya. Bagaimana wang pelaburan belum sampai ke syarikat minyak yang dimaksudkan itu sudah boleh dapat keuntungan?

Saya tidak mengatakan pelaburan ini penipuan sebab ramai sudah dapat hasilnya, tapi bagi saya ini adalah satu sistem riba yang jelas haram.

Tidak ada dalam Islam pelaburan atas angin yang berikan wang hari ini, esok terima keuntungan kecuali berniaga kedai makan, kedai runcit atau apa-apa perniagaan yang jelas barangan yang dijual belinya dan tidak bercanggah dengan Islam.

Kegilaan pada keduniaan nampaknya membuat manusia lupa halal dan haram. Mereka bangga dapat hasil cepat dan beri nafkah kepada anak dan isteri. Ingatlah pesan nabi, setiap makanan daripada sumber yang jelas haram, nerakalah yang layak buatnya.

Oleh itu, pihak jabatan agama dan ulama perlu tegas dalam masalah ini kerana bimbang dari hasil keuntungan haram ini, negara kita bakal dihuni manusia rosak akhlak, zalim dan menentang syariat.

TAJUL ARIFIN,
Terengganu Darul Iman.

 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 3 guests

Komen Terbaru

You are here: Pelaburan & Perniagaan Jangan Jadi Bangau - Usaha Contoh Pembaca Berita Harian