Kedegilan Pelabur Internet & Skim : Mengapa ?
Oleh
Ust Zaharuddin Abd Rahman
( akan diterbitkan di Metro ahad, 22 April 07)
Rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam perlulah menghayati saranan Allah SWT apabila Allah SWT berfirman : "BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU"
Ini bermaksud, dalam apa jua tindakan dan komitmen kita dalam sesuatu perkara samada ibadat mahupun kewangan. Pengkajian dan pembacaan serta pembukaan minda dalam menilai sesuatu ilmu dari sudut Islam mestilah dilakukan. Ini ternyata dalam ayat itu apabila Allah SWT mengarahkan kita membaca "dengan nama Tuhanmu", amat berbeza seseorang membaca dan berfikir tanpa memikirkan keredhaan dan larangan tuhanNya dari seseorang yang membaca dengan memikirkan redha dan murka tuhannya.
Demikianlah di dalam hal ehwal kewangan ini, wajib meneliti adakah ia mampu meraih keredhaan Allah atau murkaNya. Sebelum sebarang fatwa keluar dari mana-mana mufti negeri mahupun pihak berkuasa agama, sekitar Ogos 2006 lagi saya telah menjawab persoalan yang diutarakan kepada saya berkenaan halal atau haramnya pelaburan Swisscash. Maka berdasarkan panduan Fatwa Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia saya menjelaskan bahawa cara dan ciri pelaburan Swiss cash adalah haram, itu setahun yang lepas. Bagaimanapun, di ketika itu, ia gagal mendapat perhatian umum, maka hanya sebahagian kecil sahaja yang membaca artikel tersebut.
Tiba-tiba isu menjadi hangat lagi apabila sekitar hujung bulan Februari 2007, saya mengulas juga isu empay, ebarrel, abb fund dan lain-lain. Para pelabur dan peserta skim ini DENGAN SEGERA menempelak saya, dalam masa yang sama, ramai juga yang insaf setelah membaca tulisan saya dengan menggunakan iman, hati serta minda yang berfikir kepada keredhaan Tuhan dan destinasi kekal di akhirat.
Di ketika itu timbul beberapa kerat pemain skim haram yang begitu emosi lalu mulalah mereka mempertikaikan mengapa tiada sebarang mufti yang mengharamkannya. Selang beberapa minggu, muncul pengharaman dari Jawatankuasa Fatwa Perlis dan hangat di media. Bagaimanapun puak pelabur masih cuba berdalih serta mempertikai latar belakang Mufti Perlis. Selang beberapa hari Mufti Johor, Terengganu dan Jabatan Mufti Perak pula mengharamkannya.
Malangnya, para peserta yang seperti dirasuk dengan ‘virus' Riba ini masih tidak putus asa lalu mereka mempertikaikan pula ketiadaan fatwa umum dari Majlis Fatwa Kebangsaan.
Tanggal 12 April lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengharamkannya secara sepakat. Kali ini, para peserta menjadi semakin resah terutamanya apabila Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekurtiti juga bersuara akan bertindak terhadap web-web terbabit selain terbukti web-web pelaburan ini rupanya dicipta dari Malaysia. ( buka web http://www.zaharuddin.net/ untuk melihat buktinya)
Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT bahawa individu yang telah makan duit haram riba nescaya akan hilang berkat dalam kehidupannya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan di dalam surah al-Baqarah ayat 278. Imam Ibn Hajar al-Haithami telah menerangkan kesannya sebagai "Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari pemiliknya kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba, kaki fitnah dan lain-lain. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma'rifat, Beirut, 1982 , 1/224).
Lebih malang lagi, kita dapat melihat dari keingkaran pihak ini dari keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini hanya dengan menggunakan hujjah menyeleweng tulisan dari seorang ustaz yang mengaku lulusan Mesir. Sedangkan dari tulisannya, takrif sebenar ‘Mudarabah Mutalaqah' pun tidak mampu difahami sebaiknya si ustaz tersebut, apatah lagi ketepatan fakta yang diutarakan, bermain nama-nama mazhab dengan salah selain mengulas isu yang lari dari konteks. Di ketika itu, bagaimana mungkin mampu ia menghalalkan fatwa haram oleh sepakat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh Mufti setiap negeri di tambah dengan Prof-prof Shariah univeristi yang dilantik sebagai ahli.
Inilah realiti yang amat menyedihkan, saya ingin mengingatkan bahawa keputusan Majlis Fatwa kebangsaan yang mengharamkan Pelaburan Melalui Internet adaah kerana beberapa ciri tertentu, yang paling utama adalah kerana jaminan dan promosi keuntungan tetap dan jaminan modal dalam sebuah pelaburan. Sebenarnya ciri ini juga telah diputuskan haram secara sepakat Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada tahun 1992 yang mewartakan :
"إنه لا يجوز في المضاربة أن يحدد المضارب لرب المال مقداراً معيناً من المال , لأنه يتنافى مع حقيقة المضاربة ولأنه يجعلها قرضاً بفائدة"
"Sebarang pelaburan yang mana pihak pengusaha (mudarib atau syarikat) menjamin satu kadar pulangan tertentu kepada pelabur (peserta), maka ia adalah haram oleh kerana ia telah menukar sifat pelaburan secara Islam kepada elemen pinjaman dengan janji faedah Riba" ( Majma Fiqh Al-Islami, Qarar wa Tawsiat)
Inilah yang menjadikannya haram secara sepakat, tanpa mengira berapa jua jumlah jaminan pulangan keuntungan tersebut, samada RM 1 atau 0.001 % atau apa jua jumlah, semuanya menukar sifat kontrak pelaburan kepada pinjaman dengan riba. Justeru, jika ciri utama terdapat dalam sebarang pelaburan yang tidak melalui internet, ia juga adalah haram sebagaimana haramkan fatwa tersebut.
Pengiktirafan, Locus Standi & Agenda Tertentu ?
Seringkali kedengaran suara sumbang individu ingkar ini mempertikai kredibiliti saya dan Majlis Mufti Kebangsaan. Selain itu bersangka buruk bahawa semua pihak yang mengharamkan ini sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi. Justeru, apa yang saya mampu untuk nyatakan soal memilih-milih tidak timbul.
Adakah salah jika seorang lelaki melihat 10 orang sedang hampir lemas di sungai, lalu ia memilih untuk menyelamatkan 2, 3 orang yang paling hampir di tebing?. Tindakannya itu boleh menyebabkan nyawa 8 orang lagi dalam amat bahaya. Dan Jika kelapan-lapan itu meninggal, adakah lelaki itu dituduh bersalah? Favoritisme?, Penakut ? ...ada agenda tertentu ?
Sudah tentu tidak, ia hanya mampu bertindak dan membantu setakat itu sahaja dan di waktu yang sesuai itu. Maka itu pun dah sewajarnya kita ucapkan terima kasih atas bantuannya menyelamatkan 2 orang. Jika tidak semua mati.! Demikianlah isu yang sedang kita bincangkan ini.
Kesimpulannya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah alasan dan kaedah orang yang terlibat dengan Riba menzahirkan rasa penolakan hukum tanpa ilmu. Kita wajib melihat isi kandungan fatwa dan hujjah tepat (bukan hujjah merapu dengan kesalahan di sana sini) dan bukan sibuk dengan latar belakang orang sahaja.
Dalilnya adalah dari sabda Nabi SAW yang sohih. Iaitu telah datang kepada Nabi SAW seorang sahabat memberitahu ia telah diajar oleh satu makhluk pelik bahawa mahkluk itu berkata mereka takutkan ayat kursi. Sebagai respond Nabi SAW membalas
صدقك وهو كذوب ذاك شيطان
Ertinya : Ia ( makhluk) itu telah bercakap benar, walaupun ia sebenar amat banyak menipu , itulah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari, dengan Fath al-Bari, no 3275 , 6/404 )
Adakah Nabi SAW dalam hal ini mempertikaikan bahawa, '..dia tu syaitan, dia tiada locus standi itu beri tunjuk ajar dalam hal agama" ? Adakah Nabi mempertikaikan, "ala Syaitan tu, dia sendiri jahat dan buat benda haram, tiada kredibilitinya untuk kita dengar pandangannya." Adakah Nabi memberi respond demikian? Jawabnya tiada, itulah ilmu yang diajar oleh Islam, boleh menerima apa saja yang baik tanpa mengira dari siapa ia datang, yang dilihat adalah apa yang dikata dan bukan yang berkata.
Saidina Ali KW pula pernah berkata : "Ilmu adalah barang hilang dari mukmin, ambillah ia walau dari si musyrik " (Riwayat Ibn Abd Barr, Jami' Bayan al-Ilm , 1/121)
Demikian juga kisah Nabi Allah Sulaiman yang menerima maklumat dari burung Hud Hud dan lain-lain. (Surah an-Naml : ayat 20-22)
Sebuah Hadith menyatakan :
الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها
Mafhum : "Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu dimana muslim menjumpai kebijaksaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2687 ; Hadith ini lemah dari sudut sanad ; Syeikh Nasirudin al-Albani menyatakan bahawa hadith ini sangat lemah ; bagaimanapun menurut Al-Qaradhawi, maksud hadith adalah tepat dan disokong oleh dalil-dalil shohih dari al-quran dan hadith lain. Justeru, ini boleh dipegang (Lihat : Thaqafatuna ; Bayna al-Infitah wal Inghilaq , hlm 41)
Sekian
Uzar
19 April 2007
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites