Pelaburan & Perniagaan MLM : Tidak Semudah Disangka (Petikan Rencana Dari Majalah)

MLM : Tidak Semudah Disangka (Petikan Rencana Dari Majalah)

  • PDF
(17 votes, average 4.29 out of 5)

MLM, tidak semudah yang disangka

Petikan Rencana Majalah ‘REMAJA' Terbitan Karangkraf ( Keluaran 15 Mei 2007 )

Teks: Nanie Zakir (nani.saudiar@karangkraf.com.my)

Foto: Wan Hamimah Wan Ibrahim @ Amie

zaharuddin abd rahmanSenario jualan pelbagai peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing' (MLM) semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. Ia dikatakan bermula seawal tahun 80an lagi. Namun, sejak akhir-akhir ini, ia semakin berleluasa dan disertai bukan sahaja di kalangan orang dewasa tetapi juga golongan remaja. Budaya ‘jualan langsung' yang dimulakan di rumah-rumah kini ‘merebak' ke institusi yang lebih besar dan mempunyai ahli yang bukan calang-calang orangnya! Malah, ada yang diangkat menjadi jutawan dan tak kurang juga yang memakai kereta besar, mewah menjalar. Semuanya kerana perniagaan ini yang dikatakan memberi keuntungan ‘luar biasa' buat mereka yang benar-benar mahukannya!

Apa itu MLM?

Menurut Setiausaha Majlis Shariah, Asian Finance Islamic Bank Berhad. Ustaz Hj. Zaharuddin Hj. Abdul Rahman ketika ditemui, corak perniagaan berasaskan jualan langsung atau MLM ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

"Secara umumnya MLM adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak tingkat. Biasanya ia dikenali dengan istilah upline dan downline. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan sama ada yang bersifat vertikal (atas ke bawah) mahupun horizontal (kiri ke kanan), ataupun gabungan keduanya. Ia merupakan sistem promosi atau jualan barangan dan perkhidmatan yang baru, berbeza dengan bentuk perniagaan tradisonal yang menjual produk atau perkhidmatan di premis tertentu. Malah, ia dipromosikan oleh individu yang dilantik menjadi pengedar atau ejen. Setiap ahli yang menyertai perniagaan tersebut mempunyai target yang perlu dicapai bagi mendapatkan ganjaran yang ditawarkan.

"Ia juga merupakan alternatif bagi mereka yang mahu mulakan perniagaan tetapi mempunyai modal yang terhad atau tidak mempunyai sijil spesifik dalam bidang perniagaan. Syarat penyertaan juga cukup mudah. Asalkan pandai bercakap dan menyakinkan orang ramai serta rajin berkempen sudah cukup untuk melayakkan diri menjadi ahli. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM4 bilion dan lebih dari tiga juta rakyat Malaysia terlibat dalam urus niaga MLM.

"Syarikat yang menganjurkan perniagaan alternatif ini perlu mempunyai lesen AJL (Akta Jualan Langsung) yang diperoleh dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP). Untuk mendapatkan lesen tersebut, syarikat dikehendaki membuat presentation produk atau perkhidmatan serta mengemukakan pelan pemasaran kepada pihak Kementerian terlebih dahulu. Namun, amat mendukacitakan apabila terdapatnya syarikat yang menukar pelan pemasaran yang dibentangkan setelah mendapat kelulusan dan lesen AJL. Perubahan drastik yang dilakukan menjadi lebih kompleks sehingga ada yang menyalahi disiplin dan akta yang dikenakan. Mujurlah pihak kementerian bertindak bijak apabila menyiasat enam buah  syarikat MLM yang dicurigai melakukan perkara yang bertentangan akta dan peraturan beberapa bulan lalu.

"Hanya mereka yang benar-benar berani dan ‘tak tahu malu' saja yang boleh menyertai perniagaan ini. Mereka perlu sungguh-sungguh bercerita demi untuk menyakinkan orang ramai tentang kelebihan produk yang dijual selain melengkapkan bilangan  ‘kaki' (downline) yang diperlukan untuk mereka naik ke tahap yang lebih tinggi. Pendek kata, memang kena tebal muka. Sungguhpun begitu terdapat beberapa risiko yang perlu ditelitikan. Jangan kerana terlalu taksub dan teruja mendapatkan wang lebih sehingga sanggup berhenti kerja atau belajar dan akhirnya mengalami masalah kewangan yang serius," katanya.

Ganjaran sebagai tarikan

"Setiap syarikat MLM mempunyai cara dan strategi tersendiri untuk menggalakkan kemasukan ahli. Selain pemberian komisen, ganjaran seperti hadiah, pangkat, tajaan percutian ke luar negara, kereta mewah dan sebagainya dijadikan tarikan utama untuk ‘memancing' ahli. Namun begitu, ganjaran tersebut tidak mudah diberikan sewenang-wenangnya kerana ia diukur berdasarkan prestasi dan perlu menepati pelan perniagaan. Sekiranya ahli melepasi tahap yang digariskan, maka secara automatik, ganjaran tersebut bakal menjadi milik mereka. Justeru, tidak hairanlah jika setiap ahli berebut-rebut untuk menambahkan ‘kakinya' semata-mata untuk mendapatkan ganjaran lumayan!," tambah Zaharuddin lagi.  

Jaga ‘amanah'

"Sejak akhir-akhir ini, golongan remaja terutama mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta seringkali menjadi fokus utama para ejen untuk dijadikan ahli. Harus diingat, sebagai pelajar, wang biasiswa atau pinjaman yang diberikan bukanlah tiket untuk melakukan itu dan ini dengan sesuka hati. Pujuk rayu dan kata-kata manis ejen yang menjanjikan kemewahan berlipat ganda telah menjadikan mereka bersemangat untuk menyertainya. Pendek kata, para pelajar didedahkan dengan harapan tinggi bahawa mereka mampu menjadi jutawan segera dan tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan pekerjaan lain.

"Sebagai pelajar, wang pembiayaan pengajian perlu dijaga sebagai amanah. Gunakan ia dengan sebaiknya. Pada saya, mereka yang bergelar pelajar terutamanya siswa siswi amatlah tidak sesuai dan tidak sewajarnya menyertai perniagaan sebegini. Dengan kedudukan kewangan yang meruncing serta jadual kelas yang cukup terbatas, pelajar dikhuatiri akan tersasar haluan. Setahu saya, barang-barang keperluan mahupun perkhidmatan yang ditawarkan menerusi sistem MLM ini mahal-mahal belaka. Dan sudah tentu para pelajar tidak mampu untuk menanggungnya. Yang menjadi pertanyaan, adakah mereka akan menggunakan produk semahal itu? Sudah tentu tidakkan? Mungkin di awal penyertaan atau ketika mereka mempunyai wang barulah mereka membelinya. Bagaimana jika di hujung bulan dan ketika kesempitan wang untuk membeli keperluan pelajaran yang lebih penting? Persoalan seperti itu perlu dititikberatkan terlebih dahulu. Pandang ia secara serius dan bukan hanya sebelah mata!

"Dalam pada itu, waktu yang terhad bagi pelajar sudah tentu tidak membenarkan mereka untuk menumpukan kepada dua perkara dalam satu masa yang sama. Sebagai pelajar, waktu untuk menjalankan perniagaan sudah tentu tidak mencukupi. Bukan sekadar menghadiri kelas, malah masa yang ada juga diperuntukan untuk melakukan ulang kaji dan perbincangan bersama-sama rakan-rakan sekelas. Bayangkan jika masa-masa itu digunakan untuk tujuan perniagaan, sudah tentu pelajarannya tercicir dan secara tidak langsung memberikan impak negatif terhadap pendidikan pelajar terbabit.

"Seharusnya mereka menggunakan skill yang ada dan melakukan kerja sampingan yang tidak terikat dengan peraturan dan tempoh masa tertentu. Kalau boleh biarlah kerja itu secara berkala. Kalau pandai memasak, boleh menjual makanan. Boleh juga membina laman web dan sebagainya pekerjaan sampingan yang boleh menyumbangkan pendapatan," ujarnya.

Elak dipujuk

"Pelbagai cara yang dilakukan oleh penjual atau ejen pengedar bagi menarik minat individu untuk menyertai MLM. Mereka yang terlibat dalam perniagaan ini sememangnya bijak berkata-kata. Dengan cara itu, mereka akan berusaha berlipat kali ganda untuk mempengaruhi pelanggan. Ada juga ejen yang berani bersumpah dan ‘berkempen' dengan hebatnya. Kaedah itu sedikit sebanyak boleh membuatkan pelanggan ‘terpukau' dan seterusnya berminat untuk menyertai. Selain itu, pihak syarikat juga akan menampilkan ejen-ejen yang berjaya untuk memberi ceramah dan sekaligus meningkatkan semangat ahli untuk berjaya seperti mereka. 

 "Apa yang pasti, individu mesti sentiasa peka dan berhati-hati dengan setiap apa yang dikatakan oleh ejen. Adakah ia relevan atau tidak?. Atau adakah produk itu berbaloi dengan harga yang dibeli serta adakah ia memenuhi keperluan hidup? Persoalan-persoalan itu perlu diambil berat dan difikirkan. Sebolehnya ketika dijelaskan mengenai perniagaan itu, individu perlu membuat keputusan tepat dan ‘block' mental dari membeli produk tersebut.  

"Ingat, jangan mudah terpedaya mendengar cerita kejayaan individu yang menyertai MLM kerana tidak semua daripada mereka yang menjadi kaya raya dan hidup senang lenang. Ada yang muflis dan hidup susah sebab perniagaan terbengkalai dan langsung tidak mempunyai sumber pendapatan lain. Mengikut data, bilangan yang tidak berjaya lebih ramai mengatasi yang berjaya. Ia tidak semudah itu. Kita tak boleh nak tarik semua orang untuk menyertai perniagaan ini kerana bukan semua orang berminat. Walau ‘berbuih' mulut bercakap dan menyakinkan, jika orang tak mahu, tak jadi juga kan. Ini realiti. Mesti hadapi.  

"Apa-apapun, pertimbangan semasa membuat keputusan untuk menyertai MLM ini perlu dititikberatkan sewajarnya. Bagi mereka yang ‘makan gaji' dan ingin membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu menceburkan diri secara serius dalam perniagaan ini wajar mempertimbangkan pro dan kontra yang akan diterima. Banyak kelebihan yang disediakan oleh pihak majikan  atau syarikat seperti rawatan perubatan, pendidikan dan lain-lain terpaksa  ‘dilepaskan' hanya kerana ingin melibatkan diri dalam perniagaan MLM. Dan, risiko besar yang perlu diambil kira ialah apabila individu itu terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membiayai kos perubatan dan sebagainya yang sebelum ini ditanggung oleh pihak majikan. Lebih teruk lagi jika perniagaan tidak menjadi, wang pula kehabisan sehingga terpaksa berhutang dengan keluarga, saudara mara, sahabat handai dan mungkin juga ceti haram atau Ah Long semata-mata untuk menyelamatkan perniagaan," tegasnya.


Tanam matlamat, gapai cita-cita

"Generasi muda umumnya golongan pelajar perlu menanam cita-cita untuk berjaya di masa hadapan. Kalau boleh, selepas tamat persekolahan, sebaiknya sambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Kunci utama mengapai kejayaan ialah menetapkan sasaran dan matlamat yang ingin dicapai. Jangan pula jadi ‘serampang lapan mata'. Nak buat itu, nak buat ini. Tapi akhirnya tidak menjadi! Jika sudah bekerja, usaha untuk perbaiki diri dan tingkatkan prestasi kerja dengan lebih baik lagi. Target untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi. Sekiranya mahu berkecimpung secara serius dalam bidang MLM, teruskan hasrat dan usahakan yang terbaik. Cari individu yang berjaya sebagai rujukan dan ‘role model' untuk kamu menjadi hebat sama sepertinya. Selain itu, belajar betul-betul cara mengendalikan perniagaan tersebut dan penuhkan dada dengan kemahiran bercakap dan sebagainya. Kalau rasa yakin, tak payahlah sertai. Kerana ia hanya akan merugikan masa dan wang. Apa yang pasti, tamatkan pelajaran terlebih dahulu kerana kelulusan akademik adalah perlu untuk jaminan hidup yang lebih baik. Terakhir, paling penting terutama bagi mereka yang beragama Islam, pastikan barangan yang dijual adalah halal. Hidup ini hanya sementara dan carilah sumber yang halal dan mampu membawa kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat," jelasnya di hujung perbualan.

Untuk maklumat lanjut, lawati www.zaharuddin.net

ULASAN UST ZAHARUDDIN

Rencana ini tidak menyentuh isu hukum perniagaan MLM, ia hanya menyentuh satu aspek yang lain sahaja kerana ruang yang terhad. Bagi membaca perbincangan hukum MLM, sila buka HUKUM PERNIAGAAN MULTI LEVEL MARKETING

KEPUTUSAN MAJLIS FATWA INDONESIA TENTANG MLM



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 2 guests

Komen Terbaru

You are here: Pelaburan & Perniagaan MLM : Tidak Semudah Disangka (Petikan Rencana Dari Majalah)