SC sekat Web Pelaburan Internet
Tidak Sah Mulai 11 Jun
KUALA LUMPUR 31 Mei - Selepas memberi amaran berulang kali, Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini bertegas dengan memberi kata dua kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun ini.
Jika tidak, bermula dari tarikh tersebut, akses ke laman-laman web tempatan dan asing yang mempromosikan skim pelaburan secara dalam talian yang tidak pasti kesahihannya itu akan disekat.
Ini bermaksud para pelabur yang masih tidak mengeluarkan wang mereka bukan saja tidak akan dapat lagi mengakses laman-laman web itu malah tidak lagi dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.
Setakat ini, laman web SC masih memaparkan senarai amaran mengandungi 45 laman web dan 15 syarikat yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan suruhanjaya itu.
Dalam kenyataannya hari ini, SC memberitahu, tindakan tegas menyekat laman-laman web itu akan dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Keselamatan Siber Malaysia (CyberSecurities).
Menurutnya, ketiga-tiga pihak bekerjasama menjejak, mengenal pasti dan menyekat akses ke laman-laman web berkenaan.
Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangan di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.
Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.
Nilai pelaburan keseluruhan dalam skim melalui Internet itu dianggar mencecah RM1 bilion.
Sehubungan itu, bagi memastikan para pelabur dilindungi undang-undang sekuriti, orang ramai yang ingin terus membuat pelaburan dinasihatkan supaya hanya melabur dengan pihak yang mempunyai lesen dikeluarkan SC.
Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC dan senarai amaran boleh diketahui menerusi laman web suruhanjaya itu http://www.sc.com.my/
KOMENTAR SAYA
Kita sama-sama tunggu dan lihat setakat mana 'kekebalan' dan kebijaksanaan para pelabur cepat kaya ineternet ini.
Di Klang, seorang 'ustaz' yang merupakan imam kepada seluruh pelabur internet haram, yang mana dia juga pernah mengeluarkan 'fatwa halal' mengatasi fatwa majlis Ulama Fiqh Duia dan kebangsaan, diberitakan telah berpindah tempat kempen ke Hulu Langat. Seorang jiran ustaz 'pelaburan internet' ini memberitahu kepada saya bahawa mereka sudah membuat laporan polis sebanyak 4 kali untuk menangkap ustaz ini. Wallahu 'alam,
Kita juga sedang menunggu..semua web cepat kaya 'berpindah' ke alam ghaib secara paksa setelah diberi tempoh bertawbat, tapi masih berdegil.
Ada yang mengatakan kepada saya bahawa ini adalah agenda kerajaan yang sengaja 'dengki' kepada pelabur internet selain sengaja 'memaksa' orang ramai menggunakan medium pelaburan yang disediakan kerajaan.
Terpulanglah, saya bukan mewakili kerajaan untuk 'backing' sebarang tindakan kerajaan, cuma dalam hal yang membawa kebaikan kepada rakyat, saya sokong. Malah hujjah yang disebut di atas amat tidak releven kerana jika skim ini sememangnya benar, maka sudah tentu kerajaan akan menjadi pelabur utama dalam skim ini kerana ia akan menguntungkan negara. Mengapa kerajaan ingin menutup skim yang mampu mengkayakan rakyat Malaysia serta menambahkan kekeuatan pendapatan isi rumah rakyat, yang akhirnya akan membantu ekonomi negara juga. Jawabnya, adalah kerana ia adalah skim yang ingin menipu rakyat Malaysia.
Lihat, KWSP telah melaburkan dana yang diperuntukkan ke pelbagai tempat pelaburan yang dijangka selamat dan boleh memberikan pulangan hebat. Mengapa tidak KWSP atau Khazanah Nasional Berhad atau apa jua badan pelaburan yang besar, mengalihkan pelaburan mereka ke dalam skim Swiss Cash atau Eindex yang menawarkan pulangan sehingga 200 % atau lebih (pulangan yang tidak pernah wujud di dunia sejak 1000 tahun lepas agaknya).
Jawabnya adalah kerana semua skim ini adalah penipuan dan hanya yang 'buta ilmu pelaburan' sahaja akan menyertainya. Selain ia juga haram di sisi Islam.
Saya pasti mungkin agak ramai peserta-peserta skim haram ini akan segera menghubungi 'upline' masing-masing untuk mengeluarkan duit 'pelaburan' mereka. Apa yang saya sedihkan adalah, kemungkinan terdapat agak ramai yang keluar dari pelaburan ini bukan kerana kesedarana terdapat hukum HARAM yang diputuskan, tetapi hanya adalah kerana untuk menyelematakan duit masing-masing dari 'tersangkut' sahaja. La hawla wa quwwata illa billah. Adakah tiada keinsafan dalam diri mereka ini bahawa mereka telah terlibat dengan perkara yang diharamkan Islam serta dosanya sebesar perang dengan Allah dan RasulNya?.
Adapun bagi mereka yang telah keluar dengan insaf serta ilmu, tahniah diucapkan. Bagi mereka yang baru nak keluar kerana terpaksa menunggu cukup tempoh bagi membolehkan modal yang diletak diperolehi semula juga tahniah diucapkan.
Mungkin jika pihak SC tidak mengumumkan penutupan ini. Mungkin si pelabur ini akan terus selesa dengan skim Riba haram yang diceburinya. Semoga Allah mengampuni mereka...
Sila baca artikel saya web cepat kaya ke alam ghaib.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites