20 % Laman Web
Haram Masih Beroperasi
Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN dan TAN MING WAI
KUALA LUMPUR 10 Jun - Hampir 20 peratus daripada 45 laman web tempatan dan asing yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) masih beroperasi meskipun tarikh akhir penutupan laman web itu akan berkuat kuasa esok.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan laman web yang disenaraikan oleh SC itu masih lagi dapat diakses oleh pengguna.
Antara laman web yang dikesan masih beroperasi ialah www.swedenfund.com; www.prowealthsolutions.com; www.myshare2u.com; www.mydinar. net; www.eduit.com; www.usfunds.com; www.sunshine-empire.com dan www. simesecurities.net.
Pada 31 Mei lalu, SC bertegas dengan memberi amaran kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun ini.
Jika tidak, bermula dari tarikh tersebut, akses ke laman-laman web yang mempromosikan skim pelaburan secara dalam talian yang tidak pasti kesahihannya akan disekat.
Ini bermakna para pelabur yang masih tidak mengeluarkan wang masing-masing bukan saja tidak akan dapat lagi mengakses laman-laman web itu malah tidak lagi dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.
Sementara itu, menurut kenyataan laman web SC, pihaknya telah menerima sebanyak 349 pertanyaan daripada orang ramai mengenai perkara tersebut ekoran pengumuman tindakan sekatan akses terhadap laman-laman web dalam senarainya pada 31 Mei lalu.
Berikutan itu, SC turut menyediakan satu set soalan yang mengandungi 16 jawapan untuk panduan orang ramai yang ingin mengetahui secara jelas tindakan badan itu.
"Seseorang yang didapati mempromosikan atau bersubahat dalam mana-mana aktiviti pelaburan tidak sah boleh didenda sehingga RM1 juta atau boleh dipenjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Usaha SC untuk menyekat akses kepada laman web pelaburan tidak sah ini akan dijalankan secara berterusan," tegas kenyataan yang dipetik daripada beberapa set soalan dalam laman web SC itu.
Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangan di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.
Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.
Nilai pelaburan keseluruhan dalam skim melalui Internet itu dianggar mencecah RM1 bilion.
Orang ramai boleh melayari laman web SC di www.sc.com.my bagi mendapat perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut.
KOMEN SAYA :
Dalam Islam, penguatkuasaan adalah secondary sahaja. Primary dalam Islam adalah proses membentuk jiwa dan hati yang diikat dengan keyakinan terhadap Allah dan Rasulullah SAW. Dengan ikatan ini, seorang mukmin akan menjadi taat kepada arahan dan jauhi larangan walaupun tanpa sebarang ancaman undang-undang.
Individu yang punyai iman yang baik dan yakin tentang semua amaran dan tawaran Allah di akhirat, tidak memerlukan penguatkuasaan dari manusia untuk mereka jauhi dosa, maksiat dan kejahatan. Hanya manusia yang bermasalah iman sahaja perlu dipaksa dengan menyekat itu dan ini.
Bagaimanapun, sudah tentu, sekatan itu dan ini hanya mampu mengurangkan kemampuan maksiat dan perkara dosa dari merebak. Ia tidak mampu melenyapkannya secara seratus peratus. Hanya iman yang teguh mampu melenyapkannya.
Kerana itu juga, bagi mana-mana pimpinan syarikat sebagai contoh, jika anda inginkan kakitangan yang efektif dan produktif. Jangan lupa terapkan nilai islam sebaiknya dalam hati mereka, nescaya automatik kerjanya menjadi hebat, mantap serta berkualiti. Ini kerana jiwa yang benar-benar mantap akan menghasilkan kerja yang mantap juga.
Semuanya dari hati, sabda Nabi SAW :
وَإِنَّ في الْجَسَدِ مُضْغَةً إذا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وإذا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ألا وَهِيَ الْقَلْبُErtinya : Sesungguhnya di dalam jasad ada satu ketul daging yang apabila baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila rosak maka rosaklah seluruh jasad (tindakan jasadnya) , ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Al-Bukhari, 1/28)
Justeru, bagi membanteras gejala maksiat yang pelabagi hari ini, termasuk keseronokan manusia mencari harta tanpa memikirkan halal haram adalah dengan berusaha memberi mereka ilmu dan keyakinan. Sudah tentu ia bukan kerja mudah. Tetapi inilah jalan ke syurga Allah SWT.
Nabi SAW menyatakan
حُفَّتْ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتْ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ
Ertinya : Jalan ke syurga dengan sukar dan duri manakala jalan ke neraka adalah dengan nafsu syahwat semata-mata ( Riwayat Muslim, 4/2174 )
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
11 Jun 2007
Pelabur Internet Tanggung Hutang |
Source : Berita Harian On-Line Saturday, June 02, 2007 By : Sazarina Shahrim dan Hanneeyzah Bariah Baharin
Mangsa harap wang dikembali berikutan SC tutup akaun serta-merta, sekat akses laman web |
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites