Gubal akta belum tentu bendung penipuan Internet - Nik Salida |
Source : Utusan Malaysia On-Line Fariday, June 15, 2007
Pendapat
Namun kita percaya aktiviti penipuan akan terus berlaku selagi ada orang yang bersedia untuk menjadi mangsa.
Hakikat keperluan kepada wang ringgit yang banyak dengan cepat dan ‘halal' tidak dapat dinafikan kerana nafsu manusia berkehendakkan kesenangan hidup daripada kesusahan. Memanglah wang bukan segalanya tetapi segala-galanya memerlukan wang, hatta memonopoli kasih sayang pun ada kalanya dengan menggunakan wang.
Sebab itulah keperluan material hari ini dilihat sebagai yang lebih utama daripada hukum haramnya. Pelaburan Internet sebagai contoh, ia dilihat sebagai tidak menyalahi hukum agama, tambahan pula dinamakan pelaburan, tentulah lebih enak didengar berbanding pelacuran, tetapi haramnya tetap sama. Ini kerana pelaburan Internet tidak berlandaskan prinsip asas agama disebabkan unsur gharar, maysir atau judi selain keuntungan secara tetap.
Setelah begitu ramai rakyat Malaysia tertipu dengan pelaburan yang terang-terangan menipu ini, pengendali skim ini ada yang masih aktif ‘berniaga', maklumkan untungnya bukan sesen dua. Tetapi tidak ada peniaga yang terus berurus niaga jika tiada pembelinya. Itulah yang menghairankan. Apa agaknya yang terdetik di benak orang-orang yang tidak tahu perhitungan di akhirat kelak ini, sedangkan ganjaran dunia hanya setitis cuma berbanding yang hakiki?
Kebetulan, pada masa ini, undang-undang sedia ada tidak banyak membantu pihak berkuasa bertindak ke atas mereka yang terlibat dalam ‘jenayah bentuk baru' ini. Undang-undang yang diperuntukkan hanya membenarkan polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat kes-kes penipuan misalnya melibatkan jual beli dan sewa tanah, bantuan kebajikan, loteri, pinjaman Ah Long, gores dan menang, khidmat bomoh, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lelongan barangan kastam. Selagi tiada dakwaan penipuan tentulah pihak polis tidak boleh bertindak sedangkan penipuan hanya diketahui setelah semuanya berlaku dan tentulah tindakan pencegahan sukar dilakukan.
Kutipan deposit secara haram bukanlah baru di negara ini tetapi kreativiti penganjur atau pengendalinya berjaya menyingkir rasa curiga pengamal kaya segera sehinggakan cerdik pandai pun turut mempertahankan aktiviti haram ini. Segala-galanya berlandaskan kepada alasan ia berlainan dari yang sebelum ini sedangkan mereka juga tidak pasti halal haramnya dan bukan pula hendak bertanya kepada mereka yang lebih arif.
Yang menyedihkan, dakwaan bahawa skim tersebut yang diuar-uarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global sebenarnya beroperasi dari beberapa lokasi di negara ini dan ini menunjukkan bahawa aktiviti mengaut wang daripada orang-orang kampung, pelajar sekolah dan universiti, wang pencen, wang simpanan sejak berpuluh tahun lamanya malahan wang yang dipinjam dari bank atau orang perseorangan ini dilakukan oleh orang-orang di kalangan kita juga.
Sebab itu, selagi kita tidak bijak menggunakan otak selagi itulah orang-orang yang suka mengambil peluang atas kelemahan orang-orang kita dengan ‘wang' menggunakan taktik tersebut tetapi menukarkan cara dan modus operandinya supaya kelihatan ‘halal'.
Mudahnya mereka kaya sebab mudah sangat kita percaya!
- NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH, Universiti Sains Islam Malaysia. |
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites