Perbankan & Insuran Pembiayaan BBA Semakin Kurang Popular

Pembiayaan BBA Semakin Kurang Popular

  • PDF
(11 votes, average 5.00 out of 5)

Pembiayaan Perumahan Secara

Islam Semakin Inovatif

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Bagi memperolehi sesuatu keuntungan, Islam tidak membenarkan pinjaman kewangan dijadikan sebagai instrument bagi memperolehinya. Cara yang diterima Islam bagi memperoleh sebarang keuntungan hanyalah melalui kontrak jual beli. Oleh kerana itu, Perbankan Islam di seluruh dunia tidak di benarkan sama sekali untuk meraih sebarang keuntungan dari pinjaman. Hasilnya mereka telah mencipta seluruh konsep produk mereka kepada pelbagai jenis konsep jual beli di dalam Islam bagi meraih keuntungan yang sah di sisi Islam. 

Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Jual beli secara tangguh pembayaran adalah salah sebuah instrumen atau produk yang digunakan oleh kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Konsep ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan yang berpusat di Bank Negara Malaysia dan juga kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Menurut statistik, konsep BBA ini amat popular dan digunakan dengan cukup meluas di Malaysia. Sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 % dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain. Manakala sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 % pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan. Kedua-dua angka ini menunjukkan betapa konsep ini amat selesa diaplikasikan oleh perbankan Islam Malaysia. Malah ia juga amat popular di Brunei dan Bangladesh.

Bagaimanapun, konsep ini tidak diterima oleh bank-bank Islam di Timur Tengah termasuk Pakistan dan beberapa Negara lain. Ini adalah kerana majoriti ilmuan dan cendiakawan Shariah di rantau Timur Tengah tidak menerima konsep itu yang dianggap tidak menepati konsep tulen BBA, malah konsep BBA versi Malaysia juga dilihat sebagai gabungan dua konsep iaitu Bai' Inah (Jual dan beli semula) dan Bai Muajjal ( Jualan dengan bayaran bertangguh dan secara ansuran). Justeru, ini menyebabkan pihak Bank-bank Islam di sebelah Timur Tengah lebih suka untuk mengutamakan konsep-konsep lain yang lebih menepati objektif Shariah menurut ijtihad mereka seperti Ijarah, Musharakah dan lain-lain.

Secara mudahnya BBA versi Malaysia berfungsi seperti berikut; Apabila seorang pelanggan ingin membeli sebuah rumah berharga RM 200,000, maka si pelanggan akan membayar sejumlah wang kepada penjual / pemaju sebagai ‘booking' dan kemudiannya membayar 10 % pula kepada pemaju/penjual sebagai wang pendahuluan (deposit).

Setelah iu, berbekalkan perjanjian jual beli (S&P agreement) antara si pembeli dan penjual, maka si pelanggan akan mula mencari bank Islam yang oleh memberikan pembiayaan perumahan kepadanya. Setelah menepati seluruh syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Bank. Pihak Bank bersetuju untuk membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM 180,000 (iaitu sama jumlahnya setelah di tolak deposit) dengan bayaran tunai. Dengan itu, rumah itu akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah melalui satu surat ‘declaration of trust' dan sebuah ‘charge' sebagai tanda hak bank ke atas rumah tersebut. Bagaimanapun nama pemilik atas geran tidak akan ditulis nama Bank kerana ini bukanlah syarat dalam pemilikan Islam dan hanyalah bersifat urusan rasmi ‘formality'. Setelah pemilikan ini sah di sisi undang-undang Negara dan diiktiraf oleh Shariah, maka pihak bank Islam akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru ( merangkumi modal beserta kadar keuntungan yang di tetapkan) iaitu RM 350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan selama 25 tahun atau lebih, bergantung kepada perjanjian.

Itulah gambaran ringkas bentuk pelaksanaan BBA di Malaysia yang merupakan sebuah produk yang dibina atas konsep jual beli dan bukannya pemberian pinjaman kepada pelanggan. Tidak dinafikan, walaupun konsep BBA ini telah hampir disepakati keharusannya oleh kebanyakan cendiakawan Shariah di dalam Negara. Semakin banyak isu-isu Shariah kelihatan timbul hasil dari cara pelaksanaan atau ‘implementasi' BBA yang kerap tersilap akibat kurang pemantauan oleh individu Shariah di dalam Bank atau tidak difahami sebaiknya oleh para pegawai bank yang mengaplikasikan konsep ini di dalam produk mereka.

Hasilnya, pelbagai pihak yang menyedarinya tampil membuat teguran, pertanyaan dan pelbagai tuntutan penjelasan dibuat. Tambahan itu, konsep ini juga dianggap menjadi satu imej perbankan Islam yang sedikit kurang inaovatif di Malaysia di mata pihak antarabangsa, lalu kemungkinan menjadi salah satu faktor kurang minat pelabur Arab yang kaya untuk turut serta memeriahkan perbankan Islam di Malaysia dengan lebih hebat. Tidak dinafikan, kewujudan beberapa Bank Islam antarabangsa dari Kuwait ( Kuwait Finance House), Saudi (Ar-Rajhi Investment Bank) dan Qatar ( Asian Finance Bank) menampakkan penerimaan  Timur Tengah terhadap Malaysia, tetapi perlu diingat bahawa ketiga-tiga bank Islam antarabangsa ini tidak mengamalkan sebarang konsep BBA di dalam operasi mereka.

Kini, timbul satu fenomena yang agak sihat di kalangan cendiakawan Shariah tempatan dan pengamal perbankan Islam di Malaysia.  Mereka dilihat semakin inovatif dan kreatif dengan mengutarakan pelbagai konsep baru yang lebih ‘mampu' diterima oleh para ulama sedunia dan pengamal perbankan Islam antarabangsa. Sebagai contoh, produk BBA yang sering menjadi teras bagi pembiayaan perumahan kini sudah semakin kurang popular tambahan pula dengan isu-isu Shariah yang masih lagi berlegar di sekitarnya.  Kini konsep pembiayaan perumahan sudah mula di tukar kepada konsep baru yang lebih baik seperti Musharakah Mutanaqisah (Pemilikan berkongsi secara menurun) dan Ijarah Muntahiyah Bit Tamleek (sewaan yang berkahir dengan pemilikan). Pelbagai Bank Islam dan jendela Perbankan Islam ‘Islamic Banking window' sudah mula melakukan kajian terhadap kesesuaian konsep ini dengan perundangan Negara. Malah sebahagiannya telah pun mengaplikasikan produk pembiayaan perumahan dengan cara ini. Setakat ini, ia terbukti lebih berkesan selain diterima oleh Ulama sedunia. 

Apa yang diharapkan adalah masyarakat Islam di Malaysia khasnya dapat memberikan sokongan tanpa berbelah-bagi terhadap operasi perbankan Islam ini dari masa ke semasa sehinggalah ia dapat mencapai tahap terbaik bagi manfaat dunia akhirat.  Tidak dinafikan masih terdapat pelbagai kelemahan dikenalpasti dalam operasi dan harga yang di tawarkan. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap perbankan Islam sahaja tanpa mengetahui bahawa bank-bank Islam ini terhalang dan dihalang oleh pelbagai sebab dan sudut yang diluar bidang kuasanya.



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 39 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Perbankan & Insuran Pembiayaan BBA Semakin Kurang Popular