Peribadi, Tazkirah & Fikir Wales Ke Lancaster & Manchester : Mari Betulkan Sikap

Wales Ke Lancaster & Manchester : Mari Betulkan Sikap

  • PDF
(9 votes, average 5.00 out of 5)

Wales, Lancaster & Manchester ;

Muslim Bertindaklah Bukan Berdiam

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Saya terpanggil untuk mengulas satu komentar yang diberikan oleh pelawat web ini. Ianya saya petik dari ruang komentar di bawah artikel saya bertajuk "PhD, Keluarga & Pindah Rumah". Ayatnya berbunyi :-

"Mengenai perihal SYARIAH di UK macam hal meter air yang UZAR sebut tadi.. kita dah tahu itu bukan negara Umat Islam. So live with it. "

Pemberi komentar menyebut : "So live with it!!?".

Apa yang saya faham kira-kira maksud penulis tersebut untuk saya  iaitu pandai-pandailah saya membiasakan diri dengan cara kiraan dan pembayaran itu, walaupun ia bertentangan dengan Shariah?, HUJJAHNYA ini adalah United Kingdom dan bukannya sebuah negara umat Islam. Sebegitu mudahkah alasannya ?

Mungkin ini sikap sebahagian umat Islam di Malaysia atau mungkin lebih khusus kepada mereka yang  berbangsa Melayu. Bagi saya sikap cepat ‘cair' atau ‘pak turut' dengan suasana sekitar tanpa mengira baik atau buruknya, bukan dari sikap yang dipersetujui oleh baginda Nabi s.a.w.

Saya sebut ‘di Malaysia' kerana dari pengamatan saya, umat Islam berbangsa Pakistan, Bangladesh dan Arab di United Kingdom telah mampu dan berjaya membentuk suasana mereka sendiri. Mereka mampu dan bertenaga mencorak suasana yang mereka inginkan, menenggelamkan suasana asal orang putih.

Malah menurut laporan akhbar Daily Express UK bertarikh 22 Ogos 2008, masyarakat Britain semakin bimbang dengan kemasukkan orang asing. Diwartakan seramai 605,000 warga asing memasuki Britain setiap tahun dan lama-kelamaan orang asing ini menguasai bisnes dan ekonomi Britain. Manakala sekitar 54% kelahiran baru di UK adalah dari ibu yang bukan rakyat Britain.

Kita mungkin akan melihat bagaimana Britain dijajah sedikit demi sedikit oleh orang asing beberapa puluh tahun akan datang. Nasib yang sama sedang dan hampir berlaku di Malaysia, bangsa Melayu sebagai bangs asal semakin jauh ke belakang berbanding  masyarakat Cina dan India. Mungkin sikap ‘live with it' adalah salah satu punca Melayu sentiasa ketinggalan dari bangsa lain.

Berkaitan muslim warga asing di UK tadi, memang terdapat banyak tabiat dan sikap negatif yang dilakukan oleh mereka, namun kita tidak memfokus kepada sifat dan suasana negatif yang dihasilkan tersebut, tetapi sedang membicarakan sikap proaktif, jatidiri dan kekuatan membentuk suasana yang dimiliki oleh mereka.

Kita boleh lihat dengan jelas bagaimana kemampuan mereka membuka mini supermarket, kedai halal, restaurant halal malahan juga beberapa buah Pusat Islam dan Sekolah Islam. Mereka turut mengasaskan masjid kecil dan besar serta pelbagai lagi. Jelas,mereka bukanlah dari bangsa yang mudah larut serta suka mencari dan membuat  alasan, seperti  kononnya mereka di negara bukan Islam lalu terpaksalah ‘live with' segala kekurangan untuk mengamalkan Islam dan mendapatkan makanan halal. Mereka tidak ‘cair' dengan hanya berkata, "live with it", dah tak ada ayam dan binatang sembelih, makan sahajalah ayam dan daging TAK SEMBELIH orang putih".

Apa yang mereka lakukan adalah  ‘BUKAN TUNGGU TAPI MENCORAK, MEMPELOPORI DAN BERTINDAK'

Kini mereka berjaya dan kejayaan mereka ini banyak memanfaatkan umat Islam termasuk umat Islam Malaysia di sini.

 

PENDIRIAN PERLU PERSIAPAN

Bagi membolehkan diri tidak mudah ‘cair', kita amat  PERLU untuk mempersiapkan diri agar mampu menilai dan seterusnya menentukan sikap yang tepat berdasarkan ajaran Islam. Walaupun kita tidak berada di sebuah negara Islam, kita mestilah tahu mengenalpasti mana yang betul dan mana yang salah, seterusnya cuba sedaya upaya mengubahnya.

Hanya selepas itu, barulah kita akan punyai hujjah di hadapan Allah swt kelak, bukannya dengan lemah dan mudah menyatakan "live with it".

Sebuah hadis berbunyi :-

لا تكونوا إمعة ، تقولون : إن أحسن الناس أحسنا ، و إن ظلموا ظلمنا ، و لكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا ، و إن أساؤوا فلا تظلموا

Ertinya : Janganlah kamu menjadi ‘pak turut' yang sering berkata : "Jika orang di sekelilingku baik nescaya akan baiklah aku, namun jika mereka zalim, aku jua menjadi zalim". Hendaklah kamu menetapkan jiwa dan pendirianmu sehingga jika manusia baik, kamu baik bersama mereka, tetapi jika mereka buruk, maka kamu tidak menjadi bruuk dan zalim (seperti mereka)" (Riwayat Tirmizi)

Malah banyak lagi dalil dan nas yang mencela sikap ‘pak turut' dan cepat ‘cair' dengan suasana serta TIDAK berpendirian. Ia juga salah satu sifat orang Munafiq sebagaimana yang dicatatkan oleh Allah swt sebagai :-

مُّذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذلِكَ لاَ إِلَى هَـؤُلاءِ وَلاَ إِلَى هَـؤُلاءِ

Ertinya : Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir): tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir) .." ( An-Nisa : 143 )

Bagi melihat contoh semasa, cuba kita lihat bagaimana seorang atlet Muslimah bernama Ruqayyah Al-Gassra, pelari 200 meter dari Bahrain yang tetap tidak cair dengan sukan yang dianjur bukan Islam, malah beliau berjaya membawa satu mesej yang luar biasa, beliau adalah pemegang pingat emas Sukan Asia di Doha tahun 2008.

Manakala dalam sukan Olympic 2008 di Beijing baru-baru ini beliau berjaya menjuarai sesi saringan pertama dan suku akhir. Beliau hanya tewas di peringkat separuh akhir. Buka info di sini dan juga di sini

Mungkin beliau tidak mampu mengubah seluruh penganjur sukan agar mewajibkan penutupan aurat bagi atlet wanita, namun PALING TIDAK, beliau berjaya mengubah dirinya sendiri dari 'kepompong atlet bogel' serta memecahkan tradisi di samping berjaya membolot pingat emas di sukan Asia.

Bagi saya, jika kita benar-benar tidak bersedia dan tiada kemampuan untuk mengubah suasana, cukuplah kita mencari aqal untuk menghindar dan menjaga diri dari suasana buruk tersebut. Atas perasaan inilah, saya tidak bersetuju apabila dengan mudahnya ada yang mencadangkan kepada saya untuk ‘tunduk' kepada sistem yang tidak Islamik hanya kerana kita berada di sebuah negara bukan Islam.

Sikap dan sifat sebeginilah yang kita perlukan di kalangan umat Islam. Tegas dengan prinsip dan ia sekaligus memberi gambaran yang baik untuk Islam dan Muslim juga.

 

SERANGAN SOALAN DARI WARGA LANCASTER DAN MANCHESTER

Minggu lepas, saya dijemput ke Lancaster dan Manchester bagi menyampaikan ceramah berkaitan halal dan haram di dalam isu kewangan dan pendapatan.

 

di lancaster

 

Gambar : Saya satu family di Lancaster

 

Sedang ceramah

 

Gambar : Ketika memberikan ceramah di Lancster University

 

lancaster

 

  Gambar : Ketika menjawab soalan tanpa henti hadirin dari kalangan warga bukan Malaysia, hingga tak sempat nak menoleh ke sebelah kanan.ish 

pendengar

 

Gambar : Sebahagian warga muslimah yang hadir ceramah di Lancaster bersama isteri saya.

Ceramah di Lancaster lebih menarik bagi saya kerana ia turut disertai bukan warga Malaysia antara lain daripada Iran, Mesir, Pakistan, Saudi, Palestin, Indonesia, UK dan lain-lain.

Apabila saya menyentuh bab riba di dalam kad kredit dan akaun simpanan, soalan bertubi-tubi datang dari mereka, menyebabkan ruang bertanya kepada warga Malaysia hilang sama sekali. Ditambah pula warga Malaysia lebih terbiasa dengan sifat tolak ansur yang tinggi dalam bab soal menyoal semasa ceramah .

Mana tidaknya, keadaan sejuk menjadi hangat kerana ketiadaan kad kredit Islam dan akaun simpanan Islam di beberapa kawasan di United Kingdom termasuk di Lancaster. Namun tidaklah sampai tahap dharurat mahupun hajiat kerana alternatif seperti Debit Card dan Charge Card masih ada.

Isu yang sama juga agak hangat ketika saya berprogram di Manchester.

 

On the way

 

Gambar : On the way ke Manchester, dari kereta kami

Dipendekkan cerita, saya bertanya kepada seluruh pendengar di Lancaster, juga di Manchester berkenaan satu perkara yang ada kaitan dengan tajuk artikel ini.

"Pernahkah anda, ketika ingin membuka akaun di bank HSBC, Llyods, Natwest, Yorkshire Bank Plc, PNC bank dan lain-lain, anda bertanya tentang produk Islam yang mereka ada, lalu meunjukkan minat anda terhadap produk sedemikian?" Tanya saya.

Semua senyap seketika. Malah mungkin ada yang merasa malu untuk bertanya kerana anda bimbang akan dilihat ‘tidak cerdik' , 'terrorist' atau akan timbul lain-lain perasaan negatif.

Padahal..

"Sedarkah anda, dengan tidak bertanya itulah anda dikira TIDAK MEMBANTU perkembangan produk Islam di UK dan penubuhan bank Islam di UK"?

"Cuba anda bayangkan, sekiranya anda berpakat seramai beberapa ratus orang Muslim di sekitar anda untuk masuk ke sebuah bank yang tiada endah tentang kewangan Islam, tiba-tiba beratus-ratus muslim masuk lalu bertanya tentang akaun simpanan Islam, kad kredit Islam dan lainnya. Sudah tentu suatu mesej penting akan sampai ke minda pegawai dan pengurusan bank itu, iaitu kewujudan ‘demand' terhadap Islamic banking products di kawasan itu, setiap demand memerlukan ‘supply'. Mana bank yang mampu menyediakan supply, merekalah yang bakal menerima keuntungan darinya." terang saya.

Ini kerana bank di seluruh dunia beramal dengan sikap kapitalis yang bergantung kepada permintaan ‘demand' untuk mengorak langkah. Selagi tiada permintaan atau tidak disedari wujudnya permintaan, selagi itulah mereka TIDAK INGIN sama sekali mengetahui atau memperkenalkan produk Islam.

 

wadi

 

Gambar : Cover buku terbaru, saya sedang nantikan proses penerbitannya, bila keluar lebih mudah untuk saya

memberi manfaat kepada masyarakat Islam di dunia.InshaAllah.Tunggu keluarannya

DIAM DIRI YANG TERCELA

Sikap berdiam diri, dan senyap sunyi masyarakat muslim di UK, walaupun ramai namun jumlah mereka tidak proaktif dan masih gagal memberi mesej berkenaan keperluan Islamic banking products di UK.

Buktikan...dan berubahlah..seorang pendengar ceramah di Manchester memberi respon sambil berkata :

"Tidak terfikir pulak begitu ustaz"

Nah..sekarang berfikirlah untuknya dan jangan lagi hanya diam dan ‘live with those Non-Islamic products', berselindung di sebalik alasan kononnya terdesak, terpaksa, dharurat, hajiat dan lain-lain.

Kesimpulannya, dengan kita mengambil SIKAP PROAKTIF bertanya dan mengasak bertubi-tubi untuk wujud produk Islam atau barang halal. Pihak bank pasti akan mengambil kira suatu hari. InshaAllah.  

Menurut statistik pada tahun 2001, jumlah Muslim di United Kingdom mencecah 1.6 juta orang, dan kini mungkin sudah bertambah ke 2 juta orang, menjadikan Islam sebagai agama kedua terbesar di UK ( www.statistics.gov.uk/census2001) .

Bayangkan dengan jumlah 2 juta Muslim ini, bank islam yang wujud di UK hanyalah dua buah iaitu Bank Islam of Britain , dan sebuah lagi European Islamic Investment Bank  dan sebuah syarikat Takaful iaitu Salaminsurance. Beberapa cwangan Llyods TSB Bank baru memperkenalkan akaun Islamnya,manakala beberapa cawangan HSBC amanah sudah ada pembiyaan rumah dan lain-lain. 

Namun mengapa begitu perlahan.? Dianggarkan hanya 10% dari jumlah muslim di UK tadi berfahaman Syiah, bakinya Ahli Sunnah wal Jamaah. Namun kelihatan kewujudan Muslim di UK ini masih belum cukup kuat atau terancang untuk mencipta satu ombak permintaan instrumen kewangan Islam di bank-banknya. Lebih malang ilmu dan perbincangan berkaitan hal ehwal Islamic Finance di UK (malah di Malaysia) kelihatan agak elit, konferennya tahap lima bintang, menyebabkan orang kebanyakkan tidak mendapat kesedaran dan manfaat yang mencukupi.

Saya sendiri sedang memikirkan apakah yang mampu saya sumbangkan dalam hal ini kepada masyaarakat UK. Biarkan conference-conference besar dengan audiennya yang terhad itu, ruang yang masih kosong sekarang adalah bagaimana boleh disampaikan info penting ehwal dosa riba ini kepada Muslim biasa.

Saya ada berfikir menganjurkan kursus kewangan Islam intensif buat warga UK dan Ireland untuk rakyat Malaysia dan orang Islam tempatan khususnya. Namun ia masih dalam pemikiran dan perancangan. Jika ada yang sudi membantu, mungkin ia mampu direalisasikan.

 

SIKAP MELAYU ATAU BANGSA LAIN JUGA?

Setelah memberi gambaran tadi, timbul satu persoalan.

Adakah umat Islam berbangsa Melayu sahaja yang bersikap demikian atau lain-lain-lain bangsa.?

Dalam hal perbankan Islam, kelihatan bangsa lain juga tidak proaktif sebagaimana warga Malaysia. Namun dalam hal makanan halal dan lain-lain hal, kelihatan memang majoriti bangsa lain kelihatan semakin mendominasi di United Kingdom. Kedai-kedai Pakistan, Bangladesh dan Arab sememangnya bertebaran di seluruh United Kingdom. Bagaimana dengan kedai Melayu Islam dari Malaysia?.

Anda boleh mencari kedai Cina Malaysia di Swansea, Wales dan lain-lain bahagian United Kingdom. Namun kedai ‘Melayu Islam' Malaysia amat sedikit, terdapat sebuah di Ireland yang dimilik oleh rakan kami dengan panggilan mesranya "Abang Man", mungkin ada beberapa lagi di Ibu kota London. Namun bilangannya masih amat jauh jika dibanding dengan bangsa Umat Islam yang lain. Manakan tidak, Melayu asyik dihantui dengan pepatah mereka sendiri :

"Hujan emas di negara orang manakan sama dengan hujan Batu di Negara sendiri"

Baguskah kita asyik berpegang teguh dengan pepatah ini sehingga lari dari mengambil dan member manfaat kepada masyarakat luar?. Bukankah Islam melangkau garis sempadan negara?..Mungkin anda punyai pandangan tersendiri.

Adakah memang sifat genetic melayu sebegini mudah ‘cair' dan tidak proaktif? hingga terpalit negatifnya kepada Islam.?

Artikel ini hanya ingin memuhasabah sebahagian sikap negatif melayu muslim dan bukan untuk menghina tanpa tujuan membina. Saya juga Melayu Muslim namun cadangan seorang Malaysia agar saya ‘live with it' dengan perkara yang tidak halal dengan semudah itu sahaja mendorong saya untuk berkongsi pengajaran melalui artikel ringkas ini.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

27 Ogos 2008

26 Sya'aban 1429 H 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini
  • Pengisian Terkini

  • Paling Popular

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Wales Ke Lancaster & Manchester : Mari Betulkan Sikap