Peribadi, Tazkirah & Fikir Suasana Puasa, Raya di UK & Tanggungjawab

Suasana Puasa, Raya di UK & Tanggungjawab

  • PDF
(9 votes, average 4.78 out of 5)

Suasana Puasa, Raya &

Tanggungjawab di Perantauan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

"Bagaimana puasa ustaz di UK"

"Meriah tak puasa dan raya di sana, katanya mesti meriah dengan pelbagai bangsa"

"Harap ustaz dapat kongsikan pengalaman berpuasa di sana"

Begitulah corak pertanyaan berulang yang saya  terima.

Saya mengakui sebenarnya tidak punyai idea apakah yang boleh dikongsikan bersama pembaca. Namun setelah berfikir dua tiga kali, saya coretkan beberapa perkara yang saya kira mungkin dapat memberi sedikit pendedahan kepada semua.

univeristy of wales, lampeter

Gambar : University of Wales, Lampeter 

PUASA DAN SUASANA KEMERIAHAN BERPUASA DI PERANTAUAN

1 September 2008 yang lalu, kami mula berpuasa di UK. Bagi keluarga kami, puasa kali ini dimulakan dengan sakit. Anak perempuan saya yang sulung diserang muntah-muntah teruk, sakit perut dan hilang selera makan. Menurut doktor ia akibat infeksi dan sekitar 1 minggu selepas itu barulah kebah. Ini menyebabkannya tidak dapat berpuasa sepenuhnya pada minggu tersebut. Dalam minggu tersebut juga kedua-dua anak perempuan saya memulakan sesi persekolahan mereka buat pertama kalinya di UK ini.

"Best sekolah" kata mereka sejurus selepas pulang.

"Malaysia punya sekolah tak best ke?" tanya saya menduga.

Mereka hanya senyum sebagai respon.

depan sekolah
 

Gambar : Anak perempuan saya di hadapan sekolah mereka

Sejurus selepas itu, isteri saya pula diserang sakit ditambah pula batuknya yang sudah berteusan hampir 3 bulan. x ray telah dilakukan dan seminggu selepas itu barulah kelihatan pulih seperti sediakala. Alhamdulillah..

Suasana puasa di perantauan berbeza mengikut negara dan kawasan yang diduduki. Ramai yang bertanya berkenaan kemeriahannya, namun beberapa kali saya mengetuk minda ini untuk cuba memahami apakah erti ‘meriah' yang sepatutnya dan apakah pula yang sering difahami orang kebanyakan.

Apakah jawapan yang ingin saya berikan? Mungkin tiada jawapan secara skima bagi soalan ini.

Namun menurut andaian saya, kemeriahan yang difahami dan sering dimaksudkan oleh ramai adalah berkaitan cara sambutannya, orang yang menyambutnya secara berkumpulan, majlis di sana sini, televisyen memaparkan musik-musik Islam, irama padang pasir dan lain-lain lagi.

Jika itulah erti meriah yang anda fikirkan, jawapan saya:-

"Sederhana meriah"

Benar, ini kerana jumlah Muslim di seluruh daerah yang saya duduki ini (Lampeter) tidak sampai 40 orang. Amat sukar untuk mencapai jumlah 40 orang tatkala solat Jumaat, kecualilah ada tetamu, rakan dan pelawat yang datang berziarah, maka cukuplah 40 orang tetapi sempitnya akan pasti terasa tetapi tidaklah sesempit solat di Rawdah ( di Masjid Nabawi) di musim Haji.

Justeru, jika suasana ibadah beramai-ramai, suasana persembangan hiruk pikuk adalah tanda meriah buat anda, mungkin ia kurang ada di sini. Namun bahagian lain di UK terutamanya di bandar besar yang didiami beribu penduduk Muslim, suasananya berbeza sama sekali. Memang ‘meriah' dan menarik.

Saya masih ingat ketika berpeluang berbuka dan solat terawih di Masjid Manar di Bandar Cardiff, Wales. Ia sebuah Bandar besar dan Masjid al-Manar adalah sebuah masjid yang dipelopori oleh komuniti Arab. Cukup menarik menunaikan solat di sebuah masjid seperti itu, dihidangkan pula dengan wangian khas di segenap sudut masjid, ditambah pula dengan imam ‘Arab yang ‘mantap' bacaannya, diselangi juga dengan tazkirah di dalam bahasa ‘Arab. Namun, itu di Cardiff bukannya di Lampeter, bukan di tempat saya.

MASJID KAMI DI LAMPETER, WALES

Masjid kami di Lampeter, Wales. Solat terawihnya hanya dihadiri sekitar 10-15 orang sahaja di setiap malam dan itulah sahaja yang ada, jika ada yang keluar kawasan, mungkin yang tinggal di bawah sepuluh orang sahaja. Hanya  2-3 orang dari jumlah itu yang bukan warga Malaysia, mereka dari Bangladesh, Pakistan dan Libya.

Masjid kami memang kecil, hanya sekitar 40 meter lebar, dan 15 meter panjang, ia sebenarnya hanya satu dewan kecil, tiada terasa seperti sebuah masjid di negara Arab mahupun Malaysia. Tiada mikrofon mahupun khat-khat indah melekat di dinding. Langsung tidak kelihatan seperti masjid di Malaysia dan di lain-lain dunia Islam. Namun demikian, moreh tetap ada sekali sekala.

Ketika saya di Jordan, selain masjid yang memberikan ke‘meriah'an tersebut, rancangan televisyen juga memainkan peranan besar. Nasyid-nasyid khas dendangan Firqatul Isra yang merdu amat saya ingati (namun sebagai makluman kumpulan nasyid ini bermazhab Syiah).

Nasyid Ramadhan yang mengingatkan saya kepada Jordan : Oleh Firqatul Isra', Lubnan

Lebih saya ingati apabila al-Manar channel, stesyen TV Lubnan kerap menyiarkan Umsiah Quraniah sepanjang bulan Ramadhan yang menampilkan qari-qari terhebat dari seluruh dunia bertarannum khusus di masjid-masjid mereka sempena Ramadhan. Diselangselikan dengan penampilan kanak-kanak berumur 8-15 tahun yang memperlihatkan kehebatan hafazan Al-Quran di usia muda.

Suasananya cukup harmoni dan menenangkan jiwa.

Di sini, kemeriahan itu tiada bagi saya kerana TV yang ada di rumah saya sekarang ini hanya punyai 3 channel sahaja. Berbeza dengan rakan-rakan yang lain yang punyai beratus malah ribuan channel. Justeru, ‘meriah' dari TV tiada buat saya tahun ini. Namun belum tahu bagaimana keadaannya di tahun hadapan.

Apa yang ada adalah ke'meriah'an ciptaan sendiri, kitalah yang membaca al-Quran sendiri bersama keluarga.

Namun demikian, walaupun komuniti Islam di sini adalah begitu kecil, pihak persatuan komuniti Malaysia memutuskan agar buka puasa setiap hari Sabtu dan Ahad pada setiap minggu, di adakan di masjid kecil kami secara berjemaah. Di sinilah hiruk pikuk anak-anak, bapak  dan mak budak akhirnya wujud jua. Sambil dapat menikmati juadah yang pelbagai dari setiap rumah. Ia juga boleh dikatakan waktu ‘mencabar' bagi semua kaum ibu yang sentiasa meninjau sama ada lauk yang dibawanya licin atau berusik sedikit sahaja. Jika licin bekas yang dibawanya, pastinya terasa bangga dan terpuji.

Tidak kurang juga ada bapak-bapak yang ringan mulut untuk memuji semasa makan,

"Oii sapa buat nasi beryani ini, sedap-sedap, licin periuk ni dah" kata seorang veteran di sini.

Tersenyum-senyum kaum ibu mendengarnya. Bangga sangat le tu kot, barankali tidurnya cukup nyenyak juga malam itu.

Di sini juga tiada bazaar Ramadhan, kecuali di Bandar-bandar besar seperti Manchester, mereka punyai bazaar Ramadhan yang dianjurkan sendiri oleh komuniti Malaysia di sana. Segala macam juadah Malaysia ada dijual.  Namun ia tiada di bandar kecil kami ini.

Itulah serba ringkas suasana ‘meriah' mengikut tafsiran kebiasaan. Adapun jika meriah yang dimaskudkan adakan ‘meriah' dari sudut ibadah di bulan Ramadhan. Alhamdulillah dengan segala kesihatan yang dikurniakan dan dengan suasana aman Bandar kecil Lampeter ini. Ia memang ‘meriah'.

Kemeriahan jenis ini memang amat menggalakkan sekali. Kita boleh beramal dengan lebih relax dan tenang, maklumlah selaku pelajar yang tidak punyai punch card waktu kerja, cuaca sederhana sejuk yang menyegarkan, tiada kelas yang perlu dihadiri (kerana pelajar PhD di sini hanya melakukan kajian dan menulis),

Kawasan ini juga TIDAK sama sekali seperti bandar besar di UK yang sering dipenuhi peminum arak di bar-bar dan restauran sepanjang malam, si mabuk menjerit- melolong di jalanan, sang pelacur mencari pelanggan, kumpulan gangster berkeliaran, penjahat, wanita seksi dan lainnya.

Di sini, bandar lengang sekali apabila jam menunjukkan waktu 7 malam. Ia senyap tanpa kenderaan seperti semua orang telah tidur. Ia memang cukup meriah untuk beribadah secara khusus di rumah atau di masjid kecil tadi.

HARIRAYA

Suasana hari raya di UK buat saya sekeluarga, adalah biasa-biasa sahaja. Kami telah ada pengalaman menyambutnya di Jordan selama 3 tahun berturut-turut. Kini InshaAllah 3 tahun pula di UK.

Solat hariraya tidak kami lakukan di masjid kecil tadi, sebaliknya berlansung di sebuah dewan sukan di Universiti of Wales. Ahli jemaah juga bukan hanya dari kalangan kami tetapi turut disertai oleh penduduk Islam pelbagai bangsa di kawasan sekitar seperti di Carmathenshire, Cardigan, Highmid dan beberapa tempat lain. Jumah keseluruhannya berjaya mencecah sekitar 200 orang termasuk kaum wanita dan anak-anak.

Namun takbir Malaysia tidak berkumandang kali ini, kerana ahli jemaah arab yang datang awal telah memonopoli takbir raya aktif versi ‘arab.

Sebahagian besar ahli jemaah membawa pelbagai juadah masakan, dihimpunkan dan dinikmati bersama secara berjemaah sejurus selepas khutbah idulfitri. Khutbah kali ini disampikan oleh supervisor saya iaitu Prof. Madya Dr Mawil Izzidien.

khutbah

 

jemaahnya

Gambar : Solat IdulFitri di Lampeter

Upacara ziarah menziarahi boleh dikatakan amat aktif, tiada rumah berkeluarga kecuali telah dilawati malah ada yang dilawati lebih dari sekali.

 

raya

Gambar : Selepas Majlis Idulfitri Lampeter, Wales, UK

Majlis khas idulfitri juga dilaksanakan oleh komuniti Malaysia di sini. Dua ekor kambing dilapah dan dibakar, satay kambing dan ayam pun ada juga. Yang lebih dikagumi terutamanya oleh saya; satay ayam yang dihasilkan kelihatan lebih enak dari satay Kajang yang popular itu, terutamanya ia 'solid' daging ayam atau kambing tanpa lemak di tengah-tengahnya seperti amalan peniaga di Malaysia. Hebat juga rencah rempah hasil tangan gabungan para isteri di Wales ini. Tanpa kuah kacang pun satay ini masih sedap lagi.

bakar satay

Gambar : Saya sedang membakar satay dalam cuaca sejuk  

‘PART TIME' DAN PELAJAR

Setelah semua agenda beraya di kawasan ini tamat, kini sesi pengajian Universiti telah bermula semula. Semua kelihatan kembali sibuk dengan penulisan, kajian dan kerja masing-masing. Namun dalam kesibukan itu, hampir semua pelajar Malaysia di sini bekerja part time sekadar beberapa jam,

Mungkin untuk mengumpul sedikit wang tambahan, atau melancong, membeli kereta mewah untuk dibawa balik kelak atau juga sengaja mencari pengalaman baru. Namun menurut peraturannya setiap pelajar PhD tidak boleh bekerja lebih dari 20 jam seminggu.

Apa pekerjaan mereka?,.hmm macam-macam jenis dan mungkin tidak perlu saya sebutkan. InshaALlah semuanya halal setakat pengetahuan saya.

BAGAIMANA INGIN MENYUMBANG MANFAAT SEMASA BELAJAR?

Bagaimana dengan saya?.

Sewajarnya menjadi kebiasaan kita semua, ketika belajar sama ada peringkat BA, MA dan PHD, kita mencari jalan untuk menyumbang ilmu dan kesedaran Islam kepada masyarakat, sama ada Malaysia mahupun setempat. Ia perlu dibuat kerana kita perlu bimbangkan umur yang tidak diketahui bila tamatnya.

Cuba bayangkan, jikalau kita berazam untuk menyumbang secara all out iaitu setelah tamat belajar. Bagaimana pula jika kita ditaqdirkan untuk tidak sempat menamatkannya disebabkan kematian yang lebih awal menjengah.? Bukankah satu kerugian yang besar buat diri.

Benar, semasa belajar ilmu kita masih terumbang ambing, metodologi pemikiran juga mungkin belum masak dan matang. Namun demikian, perlulah kita tahu apa yang kita tahu dan apa yang kita tidak tahu. Cendiakawan Islam menegaskan bahawa

"Orang yang bijak adalah mereka yang tahu dimana had ilmu mereka dan berhenti di tempatnya."

Lalu mengambil faham dari hadis Nabi yang popular

بلغوا عني ولو آية

Ertinya : "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat" ( Al-Bukhari, no 3274, 3/1275)

Disebutkan oleh imam Badr al-Ayni

إنما قال آية ليسارع كل سامع إلى تبليغ ما وقع له من الآي ولو قل ليشمل بذلك نقل جميع ما جاء به e

Ertinya : Sesungguhnya dikatakan ‘satu ayat' agar semua yang mendengar bersegera untuk menyampaikan ayat yang mereka perolehi hatta walaupun ia belum melengkapi semua (ilmu dari bab yang ingin disampaikan) apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. (Umdatul Qari, 16/45)

Selain itu, ia memberikan erti bahawa apa sahaja yang kamu yakini kamu sudah boleh difahami subjeknya dengan jelas lagi terang, bolehkah disampaikan ilmu itu kepada lainnya sekadar APA yang kamu telah jelas dan faham. Janganlah melebihi hadnya sehinggalah telah kamu pasti kamu faham.

Sebagai contoh, katalah anda hanya faham dan tahu :-

"solat lima waktu itu hukumnya wajib, difardhukan oleh Allah SWT melalui NabiNya, jika ditinggal hukumnya boleh jatuh kepada kekafiran berdasarkan hadis Nabi s.a.w"

Maka itulah mesej lengkap dan ia mestilah disampaikan setakat itu. Namun apabila ditanya apakah hadisnya, katalah "TIDAK TAHU". Itulah juga salah satu tanda yang ditanya itu berilmu.

Demikian juga jika ditanya hal hukum hakam cabang yang BELUM KITA FAHAMI DAN PUNYAI ILMU TENTANGNYA contohnya berkaitan syarat sujud bagaimana?, angkat jari kena goyang atau tidak?. Maka janganlah diteruskan dengan ‘tembakan-tembakan' fatwa sesuka hati kononnya bagimenjaga airmuka agar tidak dianggap TIDAK ‘ALIM.

Demikian apa yang saya cuba amalkan walaupun saya sentiasa sedang belajar di ketiga-tiga peringkat sijil yang disebut tadi.

Demi mengamalkannya, sekitar dua bulan pertama sampai ke UK, fikiran saya ligat melihat suasana dan memikirkan bagaimana boleh saya mendapat dan memberi manfaat kepada masyarakat yang ada di sekitar, atau secara umumnya muslim UK. Sudah sampai masanya untuk cuba menembusi peringkat dakwah dan islah yang terhad kepada sesama rakyat Malaysia sahaja kepada kumpulan sasar yang lebih global.

Jalannya itu kelihatan dipermudahkan sebahagiannya bermula bulan Oktober 2008 ini.

Alhamdulillah saya telah diberikan peluang, kepercayaan dan amanah untuk mengajar setiap minggu di European Instutite of Human Science ( buka http://www.eihs.org.uk/), sebuah institusi kebajikan untuk membentuk para daie, khatib dan imam di seluruh dunia. Pelajar saya datang dari Mesir, Russia, Bosnia, Malaysia, UK dan lain-lain.

Saya diberikan amanah untuk mengajar subjek Fiqh Muamalat dan Usul Fiqh. Bahasa pengantaranya pula adalah bahasa ‘Arab. Tidak pernah terfikir sebelum ini, menyambung PhD di UK tetapi mengajar di sebuah institusi pendidikan di UK menggunakan Bahasa Arab.

Apapun, saya amat bersyukur kerana dapat menjaga kelancaran pertuturan bahasa arab yang kemungkinan akan hilang jika tidak diasah dan dipraktis. Bagaimana pula English?. Di Institut yang sama, saya sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk memperkenalkan kursus pendek kewangan dan perbankan Islam, yang kali ini akan menggunakan bahasa Inggeris. Selain itu, beberapa perkara lagi sedang saya usahakan dalam hal tersebut.

Apa yang juga menarik adalah peluang untuk membangunkan produk kewangan Islam bagi muslim seluruh UK bersama Ansar Finance (http://www.ansarfinance.com/). Dengan niat membantu dan tidak meniru cara produk konvensional sama sekali, mereka bertapak di UK. Mesyuarat pertama bakal berlangsung pada 27 Oktober 2008 ini bertempat di Manchester.

Ini adalah salah satu sumbangan yang amat saya tunggu-tunggu setelah melihat terlalu kurangnya produk kewangan Islam untuk masyarakat Islam di UK. Doakan usaha ini berjaya.

BELAJAR DENGAN KAFIR ATAU OREINTALIS

Walaupun telah saya terangkan sebelum ini bahawa kehadiran saya di UK adalah dengan pelbagai target dan tujuan. Namun masih ramai yang sceptic dengan pengajian ilmu Syariah di UK, lalu mempersoalkan akan sebab mengapa saya tidak memilih negara Arab untuk PhD.

Saya tidak ingin mengulanginya sebab musababnya di sini cuma suka saya ulangi, pengajian PhD di Universiti of Wales ini tidak punyai kelas, kuliah atau tutorial. Justeru, kesimpulannya saya tidak belajar pun Shariah pun di sini untuk PhD saya.

Kami sebenarnya lebih dianggap sebagai penyelidik yang menulis kajian sahaja, Lalu pihak universiti memberikan kemudahan dan seorang penyelia untuk memastikan rangka dan metodologi kajian adalah betul dan menepati standard kajian ilmiah bertaraf PhD.  

Justeru, tidak timbul sama sekali saya dan rakan-rakan mengaji dengan orang kafir atau orientalis. Malah penyelia saya pun adalah seorang Islam yang amat baik akhlak dan budinya. Beliau adalah Prof. Madya Dr Mawil Izzideen, seorang muslim berbangsa Iraq.

Namun demikian, saya terpaksa mengaku bahawa guru english yang membantu penulisan tesis kami adalah bukan Islam, beliau adalah Mrs Carole William, namun ia tiada isu sama sekali.

Malah saya sendiri sebagaimana yang telah disebut tadi, mengajar di EIHS, sebuah institusi pengajian arab, dimiliki oleh arab dan tenaga pengajarnya adalah syeikh-syeikh arab seperti Syeikh Abdullah Al-Judai' dan Syeikh Salim Syaikhi yang juga merupakan Ahli Malis Fatwa Eropah. Kini saya sebahagian dari tenaga pengajar itu. Justeru, suasana Islam itu masih tidak hilang setakat ini, malah lebih hebat dari apa yang ada di negara 'Arab ketika ini.

Justeru, tidak perlulah'membantai' saya dan rakan-rakan yang menyiapkan PhD di sini tanpa mengetahui dengan jelas, siapakah penyelia kami dan cara apakah pengajian di sini.

Sekadar itu coretan ringkas bagi mereka yang berminat membaca dan mengetahui coretan kehidupan kembara ilmu di United Kingdom, di sebuah bandar kecil di Wales, United Kingdom.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

16 Okt 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Suasana Puasa, Raya di UK & Tanggungjawab