Peribadi, Tazkirah & Fikir Switzerland & France Serta Kekeliruan Jumaat & Wahabi

Switzerland & France Serta Kekeliruan Jumaat & Wahabi

  • PDF
(8 votes, average 4.50 out of 5)

Switzerland & France Serta Kekeliruan Jumaat

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Daripada Saarbrukeen, Germany saya terus memandu ke Albstadt, yang mengambil masa sekitar 4 jam, sampai terus berceramah, dan sesudah ceramah selama 3 jam, saya terus memandu ke Geneva, perjalanan yang jika berpandukan Navigator memakan masa selama 4 jam, menjadi 5 jam kerana beberapa jalan lebuh raya sedang dalam baik pulih menyebabkan lebuh raya lapan lorong, menjadi empat lorong berkongsi dua hala.

 

swiss7small.jpg

 

Sampai di Geneva pada jam 8.30 malam, badan terasa cukup letih, namun satu lagi ceramah menanti pada jam 9 malam. Di Geneva, saya singgah bermalam di rumah seorang pegawai Malaysia, yang berkhdimat untuk Kementerian Sumber Manusia, Tuan Aminuddin Abd Rahman dan Puan Hamidah Tahir. Jutaan terima kasih buat mereka yang memberikan layanan amat cemerlang. Manakala program ceramah pula dilaksanakan di rumah DPR (Deputy Permanent Representative) warga Malaysia di sana, Puan Hjh Siti Hajar Adnin.

Ceramah di Geneva di hadiri oleh semua kakitangan kerajaan dan swasta Malaysia di sana. Tiada pelajar Malaysia di sana. Negara yang amat tinggi kos hidupnya, sehingga gaji minimum bagi kerja buruhnya adalah Swiss Francs (cfh) 3,000 ( = RM 9.776 ) sebulan. Namun harga petrolnya lebih murah berbanding UK, Germany dan France. Justeru itu, kerap saya penuhkan tangki kereta sewa semasa di Swiss. Harga satu liter petrol di swiss adalah sekitar 1.5 cfh ( RM 4.80 ) , manakala di Germany sekitar Euro 1.35 seliter ( RM 6.70 ), di UK adalah GBP 0.95 pence seliter ( RM 5.37 ). Ceramah yang bermula jam 9.30pm berlanjutan sehingga 12 pm disebabkan soal jawab yang tidak putus-putus, tahniah warga Malaysia di sana kerana mampu bertahan sedangkan esoknya mereka semua bertugas.

   

SOALAN TERTUNGGAK

Antara soalan yang menarik perhatian serta gagal saya menjawab secara spontan dengan lengkap beserta dalil adalah berkaitan khutbah dan solat Jumaat.

Di Geneva, hanya ada sebuah tempat yang mendirikan solat Jumaat, tidak salah ingatan saya ia adalah tempat yang dimiliki oleh warga Saudi.

Apa yang menjadi perosalan warga Malaysia di sini adalah waktu khutbah Jumaatnya. Di katakan warga Arab di sana semuanya melaksanakan Khutbah Jumaat sebelum masuk waktu zohor ( iaitu sekitar jam 1 petang), dan hanya mendirikan solat Jumaat selepas masuk waktu Zohor.

Warga Malaysia di sini menjadi keliru, tambahan pula warga Saudi yang mendirikan solat ini mendakwa wujudnya dalil hadis yang menyokong amalan mereka. Sewaktu saya berada di Besancon (sebutan betulnya adalah BEZANSIO, sengaukan bunyi di hujungnya), Perancis, para pelajar di sana turut mengakui keadaan itu berlaku juga di tempat mereka. Selain itu, saya juga pernah mendengar situasi yang sama berlaku di Dublin, Ireland ketika menziarahi Dublin sekitar tahun 2004 yang lalu.

Semua masjid yang mengambil tindakan ini, turut mendakwa ‘terpaksa' mengambil cara itu kerana waktu rehat para pekerja hanya satu jam bermula 1-2 petang. Justeru bagi mengambil kemudahan itu dan kesukaran memahamkan majikan khususnya di negara bukan Islam, solat atau khutbah Jumaat dilaksanakan sebelum masuk waktu Zohor.

KHUTBAH ATAU SOLAT JUMAAT SEBELUM WAKTU ZOHOR ?

Bagi menjawab persoalan sama ada khutbah Jumaat boleh dilaksanakan sebelum masuk waktu Zohor dengan lebih perincian, sebenarnya bukan hanya khutbah, malah termasuk juga solat jumaat iutu sendiri adakalanya didirikan sebelum masuk waktu zohor.

        Para ulama terbahagi kepada 3 pendapat dalam hal ini :-

      1- Hanya boleh selepas masuk waktu Zohor :

Solat dan khutbah Jumaat MESTILAH dilaksanakan SELEPAS MASUK WAKTU ZOHOR. Ia adalah pendapat majoriti mazhab dan ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan disokong oleh Ibn Hazm yang bermazhab Zohiri.

 

        2- Boleh setelah masuk Dhuha :

Iaitu selepas salah galah naik matahari : Ia adalah salah satu pendapat atau ijtihad yang popular Imam Ahmad, ini dikatakan pandangan mazhab yang sebenarnya menurut kalangan pengikut mazhab Hanbali.

 

        3- Boleh dilaksanakan sejam sebelum Zohor :

Waktu boleh solat dan khutbah Jumaat bermula pada jam 12 tengahari jika Zohor masuk jam 1 petang : Iaitu waktu yang dinamakan "al-waktu al-sadisah" iaitu satu jam sebelum masuk waktu Zohor. : Ini juga adalah salah satu ijtihad Imam Ahmad dan dipegang oleh minoriti pengikutnya.

Kesemua tiga-tiga pendapat mempunyai dalil hadis dan athar, namun setiap satu dalil tidak sunyi dari bantahan kumpulan yang lain. Saya tidak akan menyatakan dengan perinci dalil kesemua mereka, cukup untuk saya menyatakan satu atau dua dalil terpilih sahaja. Dan saya tinggalkan pandangan ketiga disebabkan amat kurang kukuhnya dalil mereka pada penilaian majority ulama.

RINGKASAN DALIL KUMPULAN PERTAMA DAN KEDUA

Dalil yang dipegang oleh kumpulan pertama :

 ·         Hadis : Dari Anas r.a 

 

أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يصلي الجمعة حين - تميل الشمس

Ertinya : Berkata Anas Bin Malik :  Sesungguhnya Nabi s.a.w melaksanakan solat Jumaat di ketika matahari condong ( selepas masuk waktu zohor)  ( Riwayat Al-Bukhari)

 

·         Hadis : Dari Sayyidatuna Aisyah r.a mengatakan :

كان الناس مهنة أنفسهم  وكانوا إذا راحوا إلى الجمعة راحوا في هيئتهم، فقيل لهم: لو اغتسلتم

Ertinya : Orang ramai semua sedang sibuk bertugas (mencari nafqah), dan apabila mereka pergi untuk menunaikan Jumaat, mereka pergi dalam keadaan itu (dengan peluh dan pakaian kerja), maka di katakan kepada mereka : Sekiranya mereka pulang dan mandi terlebih dahulu ( ia lebih baik) ( Riwayat Al-Bukhari)

 

Hadis ini memberikan indikasi bahawa solat Jumaat dilaksanakan dalam waktu zohor, sesudah tugasan dan kerja dilaksanakan pada waktu pagi. (Fath al-Bari, 2/387 )

 

·         Terdapat banyak lagi dalil yang digunakan termasuk amalan khalifah Abu Bakar, Umar dan Ali r.a yang turut menunaikan solat dan khutbah Jumaat dalam waktu zohor. ( Rujuk lanjut dalan huraian Imam Ibn Hajar di Fath al-Bari); selain itu, bukankah zolat Jumaat sebagai ganti solat zohor maka sudah  tentu waktunya turut seperti waktu zohor. ( Minhaj at-Tolibin, 1/116 )

Dalil pegangan kumpulan kedua :

·         Hadis :  dari Jabir r.a :-

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يصلي الجمعة، ثم نذهب إلى جمالنا فنريحها حين تزول الشمس

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menunaikan Jumaat, kemudian kami pergi ke unta kami dan memberinya makan DI KETIKA gelincirnya matahari. ( Riwayat Muslim )

 

Hadis ini memberi indikasi solat atau khutbah jumaat  disiapkan sebelum gelncir matahari ( iaitu waktu zohor), kerana Jabir r.a memberitahu mereka hanya pergi memberi makan unta mereka selepas itu, iaitu pada waktu matahari tergelincir. ( Naylul Awtar, 3/261)

 

·         Athar : Berkata Abdullah bin Saidan

شهدت الجمعة مع أبي بكر فكانت صلاته وخطبته قبل نصف النهار، ثم شهدتها مع عمر فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: انتصف النهار، ثم شهدتها مع عثمان فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: زال النهار، فما رأيت أحدًا عاب ذلك، ولا أنكره

Ertinya : Aku bersama Jumaat dengan Abu Bakar, solat dan khutbahnya sebelum pertengahan siang ( zohor), kemudian aku juga bersama Umat, demikian solat dan khutbahnya sehingga aku berkata : telah masuk separuh siang, kemudian aku bersama Uthman r.a , demikian juga solat dan khutbahnya sehingga aku berkata; telah tergelincir matahari, dan tidak aku lihat ada seorang pun ( dari kalanagan sahabat) yang menegurnya, tiada juga yang mengingkarinya ( Riwayat Ibn Abi Syaibah,  & Abd Razzaq ) [1]

KESIMPULAN

Sebagai saya sebutkan di awal tadi, kebanyakkan dalil-dalil ada yang bersifat jelas dan sebahagian lain bersifat tafsiran. Lalu sikap yang perlu kita ambil dalam konteks ini adalah :-

a.   Usahakanlah untuk menunaikan solat dan khutbah Jumaat di dalam waktu zohor mengambil pandangan majoriti mazhab dan dianggap punyai dalil yang terkuat.

 

b. Perlu difahami bahawa solat dan khutbah Jumaat sebelum waktu zohor sememangnya mempunyai dalil dan ulama yang menyokong. Justeru itu, tidak timbul solat atau khutbah mereka tidak sah atau salah, selagimana mereka yang melakukannya : -

Yakin dengan pandangan tersebut setelah meneliti dalilnya

Tetap dilakukan solat Jumaat itu atas sebab ‘hajat' (kesukaran) seperti yang berlaku di Geneva, iaitu kesukaran mendapat flexibility waktu rehat akibat bertugas di syarikat yang bukan milik Islam atau bagi memudahkan umat Islam di kawasan persekitaran untuk menunaikan kewajiban Jumaat mereka dengan baik dan mudah. Ini berdasarkan ‘Fiqh Taysir'.

Mengikuti panduan seseorang yang alim atau berwibawa dalam bidang Fiqh, tatkal aitu yang mengikuti sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘individu yang tidak mengetahui ‘ sebagaimana diarah oleh Allah swt, iaitu "Tanyalah orang yang tahu, sekiranya kamu tidak mengetahui"

c. Bagi mana-mana kumpulan warga Malaysia yang amat TIDAK SELESA serta TIDAK YAKIN untuk mengikuti masjid yang mengikuti pendapat mazhab Hanbali itu, serta ingin TETAP dengan berpegang ijtihad mazhab Syafie khususnya atau jumhur, mereka boleh melaksanakan solat dan khutbah Jumaat di secara sendiri di mana-mana tempat yang sesuai jika bilangan ahli jemaah mencukup 40 orang. Jika tidak mereka boleh menunaikan solat zohor sahaja, namun ini bukan pandangan terpilih, khususnya di waktu wujudnya keperluan untuk mengambil fatwa yang lebih ringan di ketika wujud keperluan dan kesukaran.

 

geneva.jpg

Gambar : Switzerland, kami mencari pemandangan ini namun gagal kerana salji dah cair banyak ketika kami masuk Swiss.

CAMPUR MAZHAB BOLEH KE ?

Bagi orang awam, yang masih keliru, mereka sebenarnya boleh mengikuti ijtihad mana-mana alim ulama tempatan termasuk para imam di masjid tempat mereka tanpa banyak soal. Tiada timbul isu bahawa mereka akan bermasalah kerana meninggalkan mazhab Syafie yang dipeganginya. Ini adalah kerana bagi kawasan-kawasan yang berlaku seperti Geneva, yang tiada masjid pilihan lain, keperluan berpindah mengikuti pendapat mazhab lain adalah harus disebabkan kesukaran dan keperluan.

Malah sebenarnya, ramai orang awam bukanlah boleh dikira bermazhab Syafie yang mulzim (komit) dalam erti kata yang sebenarnya. Kebanyakkan orang awam sebenarnya hanya ‘merasa' atau ‘menyangka' mereka menuruti mazhab Syafie tetapi keilmuan dan amalan ibadah dan muamalah mereka setiap hari bercampuk aduk antara mazhab, hatta adakalanya amalan mereka terkeluar dari semua pandangan mazhab tanpa disedari. Inilah hakikatnya, bagi orang awam dan Negara Malaysia, mazhab Syafie hanya dianggap sebagai mazhab rujukan utama atau dijadikan sebagai priority dalam memahami nas al-Quran dan Hadis, itu sahaja. Malah banyak pendapat mazhab lain telah diambil juga oleh fatwa Malaysia. Ia juga tiada sebarang kaitan dengan wahabi atau salafi.

Adalah zalim lagi jahil untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi (khususnya setelah digambarkan Wahhabi itu terkeluar dari ahli sunnah), kerana kebanyakkan pendapat yang diuatarakan bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Justeru, untuk mengatakan ditegah atau haram seseorang awam keluar dari ijtihad mazhab Syafie kepada yang lain khususnya di luar Negara yang mana amat berbilang mazhab pegangan umat Islamnya, ia hanya akan menyebabkan hampir semua orang Islam hatta para ustaznya jatuh berdosa kerana tentu ada amalan peribadinya yang tidak dari mazhab Syafie lantaran ilmu yang amat terbatas berkaitan pandangan mazhab Syafie yang sebenar.

 

Inilah sedikit kelebihan mereka yang bekerja atau menuntut di luar Negara, mereka berpeluang membuka minda dan idea kepada kepelbagaian sikap, ilmu dan mazhab, mampu menjadikan individu itu lebih cepat matang dan bertoleransi dalam menanggapi sesuatu perbezaan pandangan Fiqh.

Namun tidak dinafikan ramai juga yang menuntut di luar Negara, namun otak dan mindanya beku dari persekitaran yang boleh menjadi guru hidup mereka, akhirnya menjadi ekstremis sama ada dalam pegangan mazhab Syafie, atau mazhab dan aliran lainnya.

Bertoleransi dan bersangka baiklah wahai diri, sahabat dan rakan. Nescaya dengki, hasad dan buang masa akan semakin menipis, inshaAllah. Jangan lupa menunaikan solat Jumaat walau berada di Geneva, Perancis, Ireland, United Kingdom dan lainnya walau tidak cukup sempurna dari sudut pandangan mazhab Syafie.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

4 Jun 2009


[1] Abdullah bin Syaiban dianggap perawi yang majhul dan tertolak oleh ramai ahli hadis, imam Al-Bukhari tidak menrima hadisnya (Mizan al-Iktidal, 2/437) ; hadis ini juga dhaif menurut Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' dan juga Albani dalam Irwa al-Ghalil.



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 43 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Switzerland & France Serta Kekeliruan Jumaat & Wahabi